FOLLOWERS

Sunday 13 September 2009

SISTEM KEADILAN JENAYAH : KES PENGESAHAN STATUS AGAMA SI MATI !


[1991] 3 MLJ 174
Ng Wan Chan v Majlis Ugama Islam Wilayah Persekutuan & Anor

Bahasa Malaysia Summary:


Di dalam kes ini, plaintif telah memohon mendapatkan deklarasi bahawa simati, bekas suaminya, adalah seorang penganut agama Buddha seumur hidup dan pada masa ia meninggal pada 2 Mei 1991. Majlis Ugama Islam Wilayah Persekutuan (‘MUI’) telah mendakwa bahawa simati adalah seorang Islam pada masa ia meninggal. Salinan borang permohonan memeluk agama Islam yang diperakui sah yang dibuat oleh simati pada 24 Disember 1973 telah dikemukakan.

Upacara penukaran kepada agama Islam itu telah dikatakan dijalankan oleh Haji Adam KC Chao tetapi tidak ada ketediberi mengenai tarikh upacara itu atau di mana ia dilakukan dan tidak ada keterangan menunjukkan Haji Adam KC Chao itu adalah seorang ‘pegawai’ seperti yang disebut di dalam borang permohonan itu. Sungguhpun upacara itu dikatakan diadakan pada 24 Disember 1973, laporan upacara itu telah diterima hanya dua bulan kemudian oleh MUI iaitu pada 2 Februari 1974. Plaintif telah memberi keterangan menunjukkan simati telah terus tinggal bersamanya sebagai penganut agama Buddha sehingga ia meninggal. Persoalan-persoalan utama yang timbul dalam kes ini ialah:

(1) sama ada simati, seorang penganut agama Buddha, telah ditukar kepada agama Islam dengan sempurna dalam tahun 1973;

(2) sama ada simati pada masa ia meninggal telah menganuti agama Islam atau tidak; dan

(3) jika ia telah ditukar kepada agama Islam dengan sempurna, sama ada ia telah menolak Islam dan menjadi murtad sebelum ia meninggal.

Diputuskan:

Diputuskan,membenarkan permohonan plaintif:

(1) Keterangan di dalam kes ini tidak mencukupi untuk menunjukkan bahawa penukaran simati kepada agama Islam telah dibuat mengikut peruntukan Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam 1952 (‘Enakmen itu’) dan kaedah-kaedah yang dibuat di bawahnya. Penukaran simati kepada agama Islam itu telah tidak dilaporkan dengan segera kepada MUI dan tidak ada bukti menunjukkan orang yang mengendali upcara penukaran itu adalah seorang ‘pegawai masjid’. Telah terdapat kegagalan mematuhi peruntukan s 148 Enakmen itu dan k 10 Kaedah-Kaedah Pentadbiran Undang-Undang Islam 1953.

(2) Tidak ada keterangan diberi untuk menunjukkan bahawa penukaran simati kepada agama Islam telah dibuat menurut kehendak-kehendak undang-undang Islam. Adalah tidak mencukupi bagi pihak MUI mengemukakan daftar mualaf atau perakuan Mufti untuk membuktikan bahawa penukaran telah dilakukan, oleh kerana tidak terdapat apa-apa peruntukan di dalam undang-undang bertulis yang memdaftar mualaf itu diterima sebagai bukti muktamad mengenai fakta-fakta yang disebut di dalamnya.

(3) Kelakuan simati semasa hidupnya jelas menunjukkan bahawa ia tidak mengikuti kelakuan yang boleh diharapkan secara munasabah dari seorang yang menganuti dan menagama Islam. Di dalam keadaan seperti itu walaupun dianggapkan simati telah ditukar kepada agama Islam dengan sempurna, adalah perlu bagi MUI mengemukakan keterangan yang membuktikan bahawa sungguhpun kelakuan simati itu menunjukkan bahawa ia bukan seorang Islam dan ia telah murtad, ia telah bertaubat sebelum ia mati. Tidak terdapat keterangan sedemikian di dalam kes ini.

(4) Deklarasi patut diberi bahawa simati ialah seorang penganut agama Buddha semasa ia hidup dan pada masa ia meninggal.]

Penghuni Gua : Semuga semua pembaca dan pelajar dan mereka yang mempunyai masalah sedemikian agar mendapat menafaat dan pengajaran dari kes ini dan boleh menyelesaikannya sebelum sesuatu kematian berlaku bagi mengelakkan kerumitan .

2. Semuga Allah memberkati kita semua. Amin

No comments:

Post a Comment

PETA PELAYAR