FOLLOWERS

Thursday 9 June 2011

MALAYAN LAW JOURNAL : BUANG KERJA / FUNGSI MAHKAMAH PERUSAHAAN !!!!




[1994] 2 MLJ 167
Malayawata Steel Bhd v Mohd Yusof bin Abu Bakar & Anor
Case Details:

Malaysia HIGH COURT (PENANG) — ORIGINATING MOTION NO 25–48–93

Judges VINCENT NG J

Date 3 MARCH 1994

Citation [1994] 2 MLJ 167


Catchwords:


Civil Procedure — Prerogative orders — Certiorari — Appeal against decision of Industrial Court — Whether High Court may review decision of Industrial Court — Powers of High Court — Courts of Judicature Act 1964 para 1 of the Schedule


Labour Law — Industrial Court — Reference under s 20(3) of the Industrial Relations Act 1967 — Whether Industrial Court precluded from interpreting collective agreement and general conditions of employment — Whether interpretation could only be made if there was an application under s 33 — Industrial Relations Act 1967 ss 20(3) & 33


Labour Law — Employment — Dismissal — Misconduct — No inquiry held before dismissal — Whether Industrial Court had duty to hold its own inquiry — Whether by not holding inquiry its decision was a nullity — Whether it had acted without jurisdiction — Industrial Relations Act 1967 s 30(5)


Statutory Interpretation — Construction of statutes — Ouster clauses — Whether jurisdiction of High Court ousted by s 33B(1) of the Industrial Relations Act 1967 — Principles applicable — Industrial Relations Act 1967 s 33B(1)

Bahasa Malaysia Summary:


Responden pertama merupakan seorang pekerja pemohon. Pemohon telah mengatakan bahawa responden pertama sering tidak menghadirkan diri untuk bekerja dan telah memecat beliau selepas mematuhi sistem amaran yang terkandung di dalam perjanjian kolektif (‘PK’) kepada mana responden pertama menjadi suatu pihak. Siasatan domestik tidak dijalankan sebelum pemecatan itu. Responden pertama mendakwa bahawa pemecatan itu tidak adil dan perkara itu telah dirujuk ke Mahkamah Perusahaan di bawah s 20(3) Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (‘Akta itu’).


Mahkamah Perusahaan berpendapat bahawa walaupun kedua-dua PK dan syarat-syarat am (‘SA’) pekerjaan itu tidak memperuntukkan supaya suatu siasatan domestik diadakan sebelum pemecatan seseorang pekerja, PK dan SA itu memperuntukkan bahawa dua pegawai kesatuan perlu hadir sebagai pemerhati di sesuatu siasatan domestik. Dengan demikian, mahkamah berpendapat bahawa apabila suatu pemecatan akan dibuat, suatu siasatan domestik perlu diadakan. Oleh kerana suatu siasatan domestik tidak diadakan, terdapat suatu perlanggaran rukun keadilan asasi dan pemecatan itu merupakan suatu amalan kerja yang tidak adil.


Pemohon berhujah bahawa oleh kerana perkara itu telah dirujuk kepada Mahkamah Perusahaan di bawah s 20(3) Akta itu, mahkamah telah bertindak melebihi bidang kuasanya apabila ia terus mentafsirkan PK dan SA itu sebagai mengenakan keperluan mandatori untuk suatu siasatan domestik. Pemohon berhujah bahawa suatu pentafsiran PK dan SA itu hanya boleh dibuat jika terdapat suatu permohonan di bawah s 33 Akta itu, tetapi oleh kerana tidak terdapat permohonan sedemikian, adalah menjadi undang-undang mantap bahawa Mahkamah Tinggi boleh bercampur tangan melalui pengeluaran perintah certiorari.


Semasa mahkamah mempertimbangkan kes itu, isu kedua timbul sama ada Mahkamah Perusahaan telah membuat suatu keputusan yang terbatal dengan tidak mengadakan siasatannya sendiri selepas mendapati bahawa suatu siasatan tidak diadakan.

Diputuskan:
Diputuskan, memberi perintah certiorari dan meremit kes itu kepada Mahkamah Perusahaan untuk suatu keputusan mengenai merit substansial:


(1) Fungsi Mahkamah Tinggi bukanlah untuk bersidang sebagai suatu mahkamah rayuan untuk mengkaji semula pendapat tribunal bawahan dan mempertimbangkan merit kes itu. Fungsinya yang tunggal adalah untuk mempertimbangkan sama ada tribunal bawahan itu telah menjalankan tugasnya mengikut undang-undang.


(2) Di dalam suatu rujukan di bawah s 20(3), Mahkamah Perusahaan tidak terhad untuk hanya mempertimbangkan isu yang dirujuk kepadanya kerana ia perlu bertindak mengikut peruntukan di dalam s 30(1), (5) dan (6) yang nyata terpakai kepada s 20(3) Akta itu. Adalah tidak wajar untuk berkata bahawa suatu perkara yang jatuh di bawah s 20(3) menghalang Mahkamah Perusahaan daripada mentafsirkan PK atau SA itu. Mahkamah Perusahaan telah bertindak dalam lingkungan bidang kuasanya apabila ia memutuskan bahawa plaintif dikehendaki secara mandatori untuk menjalankan suatu siasatan domestik sebelum memecat responden pertama.

(3) Bagaimanapun, peruntukan s 30(5) yang memerlukan Mahkamah Perusahaan bertindak mengikut ekuiti dan kemurnian, bermakna bahawa jika terdapat salah laku pada pihak pekerja, mahkamah seharusnya menanya sama ada pemecatan itu telah dilakukan tanpa sebab dan alasan yang adil. Dengan kegagalan Mahkamah Perusahaan untuk mengadakan siasatannya sendiri, ia telah memberikan suatu keputusan yang terbatal. Suatu keputusan adalah terbatal jika ia gagal mematuhi obligasinya yang nyata di bawah s 30(1), (5) dan (6) Akta itu. Atas dasar pembatalan keputusan itu sahaja, suatu perintah certiorari boleh dikeluarkan. Lebih-lebih lagi, dengan kegagalannya untuk bertindak mengikut peruntukan dan bidang kuasa yang diberikan kepadanya di bawah s 20(3), Mahkamah Perusahaan telah bertindak di luar dan tanpa bidang kuasa.


(4) Akta Mahkamah Kehakiman 1964 pada perenggan 1 Jadual memperuntukkan bahawa apabila bertindak terhadap writ prerogatif, Mahkamah Tinggi mempunyai kuasa mengeluarkan sebarang arahan atau perintah untuk sebarang tujuan. Mahkamah Tinggi apabila mengeluarkan suatu perintah certiorari, mempunyai kuasa untuk memerintahkan suatu perbicaraan semula perkara itu di Mahkamah Perusahaan atas isu tertentu, yang bersifat suatu perintah mandamus dan melalui pemberian arahan betul. Oleh itu, perkara itu diperintahkan supaya diremit dan didengar oleh bahagian lain Mahkamah Perusahaan atas merit substantial.


(5) Berdasarkan prinsip mantap bahawa sesuatu yang diwujudkan oleh statut hanya diselubungi dengan kuasa yang diberikan oleh statut yang mewujudkannya itu, fasal privatif seperti s 33B(1) Akta itu tidak dapat melindungi tindakan Mahkamah Perusahaan daripada kajian semula kehakiman. Adalah menjadi undang-undang mantap bahawa mahkamah seharusnya memberi pentafsiran luas berbanding dengan pentafsiran yang sempit atau ketat kepada fasal penyingkiran bidang kuasa di dalam statut. Suatu keputusan yang dibuat melebihi kuasa di sisi undang-undang langsung tidak merupakan suatu keputusan dan tidak dapat diselamatkan oleh fasal privatif. Oleh itu, peruntukan privatif s 33B(1) Akta itu tidak akan menghalang pengeluaran perintah certiorari di dalam keadaan ini.]


Penghuni Gua : Semuga paparan ini memberi menafaat kepada semua pembaca dan pelajar. MLJ adalah dokumen awam. Ia boleh diakses di Laman Web Jabatan Kehakiman Malaysia. Tq

No comments:

Post a Comment

PETA PELAYAR