Sunday, 25 January 2009

MELAHIRKAN BLOGGERS YANG BERTANGGUNGJAWAB

25 JAN 2009
Melahirkan bloggers bertanggungjawab.

Blog atau internet ialah aset sangat penting bagi penyampaian maklumat yang pantas dan menjadi pra syarat bagi keupayaan negara bersaing dalam dunia tanpa sempadan hari ini. Blog jangan dimusuhi dan jangan pula disalahgunakan. Ia sudah mula membina kredibilitinya kerana mengungkap sesuatu dengan pantas, dibangunkan oleh tenaga muda yang menawarkan pandangan alternatif. Pada masa yang sama, media perdana dilihat dipengaruhi oleh birokrat politik di belakang tabir justeru dicurigai kandungannya.
Namun demikian, blog bukanlah sentiasa tepat dan berwibawa. Semakin banyak muncul laman web, akhbar dalam talian dan blog yang menimbulkan kemarahan masyarakat. Blog menghina nabi dan mencerca Islam, gambar artis dibogelkan, tokoh dan pemimpin difitnah dan diaibkan. Apa lagi selepas ini? Jelaslah, blog tidak terlepas daripada bahan yang songsang. Di sebalik pelbagai peraturan yang ada, penulis blog masih kelihatan gagah dalam dunia maya. Kekuatan mereka terletak pada keupayaan menyebarluaskan tulisan yang mereka hasilkan berbanding media arus perdana.
Penulis blog tidak terikat atau makan gaji dengan sesiapa. Mereka menulis semua isu dan menyebarkannya mengikut kata hati mereka sendiri. Beberapa peristiwa yang berlaku kebelakangan ini yang melibatkan penulis blog mempunyai kesan positif dan negatifnya kepada semua pihak. Kerajaan menjadi lebih tidak popular dalam kalangan bloggers, penulis bebas dan peminat parti pembangkang.
Internet membenarkan sesiapa saja menjadi penulis tanpa peduli apakah seorang itu terdedah kepada amalan dan etika kewartawanan atau tidak. Tidak ada sesiapa yang akan menapis atau menyunting sesuatu tulisan. Penulis mesti berusaha sendiri bagi memahami etika dan etiket dalam menulis dan menyemak tulisannya sebelum menyiarkannya.
Dengan kebebasan yang ditawarkan oleh internet, ada bloggers berpendapat mereka tidak patut diikat oleh mana-mana etika penulisan. Bloggers yang bertanggungjawab patut sedar yang mereka menulis kepada masyarakat terbuka, maka mereka wajib beretika kepada pembaca dan masyarakat yang menjadi bahan tulisan mereka. Etika yang bagaimana yang patut diteladani oleh penulis blog? Kesedaran ini memang wujud dalam kalangan bloggers di negara kita.
Sekitar April 2007 telah ada usaha mewujudkan National Alliance of Bloggers oleh sekumpulan penulis blog di negara ini. Namun demikian semangatnya yang panas itu tidak berpanjangan. Di Indonesia, diwujudkan KampungBlog.com yang dibangunkan untuk warga negara Indonesia dengan pendaftaran keahlian tanpa bayaran. Kumpulan ini menjaga etika dalam kalangan ahlinya.Semua blog yang bukan MFA (Made For Adsense), blog yang kebanyakan kandungannya berisi pautan download mp3/file tanpa izin dan hanya berisi lirik lagu, mengandungi bahan pornografi, menyinggung atau menghina suatu suku, agama atau golongan tertentu juga tidak diperkenankan untuk mendaftar di KampungBlog.com.
Semua blog yang memohon masuk pula disemak kewibawaannya dan dinilai terlebih dahulu. Perkumpulan bloggers wartawan dalam CyberJournalist.net pula telah menggariskan suatu model kod etika bloggers yang diubahsuai daripada etika kewartawanan. Namun demikian, terpulanglah kepada individu bloggers sama ada mahu mematuhinya atau pun tidak. Integriti sesebuah blog akan menjadi asas kepercayaan pembaca.
Penulis blog mesti sentiasa bersikap jujur dan adil dalam mengumpul, melapor dan menafsir sesuatu maklumat. Mereka juga tidak memplagiat justeru setiap buah fikiran yang mencetuskan penulisan mestilah dirujuk dan dipautkan. Bahan-bahan ini tidak digunakan dalam konteks yang salah atau dikelirukan. Mereka juga mesti bijak membezakan yang mana satu maklumat promosi atau propaganda, komentar dan fakta. Bloggers mesti mengungkapkan hanya bahan yang benar dan sahih. Sebagai manusia bloggers, perlu bertimbang rasa dengan mereka yang akan menerima kesan akibat pendedahan, sindiran, teguran, kritikan atau kecamannya.
Mendapatkan maklumat yang meledak dan memeranjatkan memang ada kalanya sulit dan sukar tapi itu bukan alasan untuk menjadi angkuh atau lesen untuk mendedahkan keaiban. Maklumat yang dikelaskan sebagai rahsia rasmi jangan sesekali digunakan kerana ini hanya akan memakan diri sendiri. .
Dalam konteks negara kita, setelah kerajaan memperlihatkan kesungguhan membersihkan mahkamah daripada campur tangan politik, penulis blog hendaklah pula menunjukkan rasa hormatnya terhadap keputusan mahkamah. Seorang bloggers mesti tidak teragak-agak mendedahkan pelanggaran etika oleh blog atau bloggers yang lain.
Bloggers tidak boleh takut atau memihak. Sebagai manusia biasa bloggers mesti bersedia mengaku kesilapannya dan memohon maaf secara terbuka. Penulis boleh mengkomersialkan blognya dengan memberi ruang kepada iklan tetapi tidak sehingga terpaksa dicucuk hidungnya oleh tekanan dan kemahuan pengiklan dalam menentukan kandungan blog. Ada waktunya bloggers berada di persimpangan dalam suatu konflik atau dilema tentang sesuatu isu. Jika keputusannya yang memihak kepada sesuatu, ini mestilah dijelaskan.
Menjadi bloggers memerlukan disiplin yang tinggi, sama juga jika ingin menjadi penulis atau wartawan. Penulis blog yang beretika menulis secara berterusan dan tetap, bukan muncul sekali-sekala. Memang banyak sekali blog, laman web dan akhbar dalam talian yang terabai dan terbiar. Jika tidak boleh bertekun menulis, lebih baiklah jangan mula menjadi bloggers. Itulah sebabnya kebanyakan blog yang popular dibangunkan oleh bekas wartawan dan kebanyakan blog yang mundur dimiliki oleh orang politik yang hangat-hangat tahi ayam. Bloggers yang beretika mestilah aktif dalam masyarakat bloggers dengan mengunjungi dan menulis kepada blog lain, bukan terperap dalam blog sendiri dengan hanya mengharap orang lain membaca blognya. Penulis blog juga sedikit sebanyak mesti menguasai seni penulisan dengan mengirim tulisan yang kreatif, mengalir, menghiburkan, menarik dan relevan dengan perkembangan isu dalam masyarakat.
Jika mahu bebas menulis, seorang blogger juga mesti mendukung prinsip kebebasan bersuara. Maka setiap bloggers tidak wajar menghalang capaian orang lain ke blognya, apa lagi seorang bloggers tidak patut memadam mana-mana bahagian dalam komentar yang tidak disukainya. Bloggers mesti menggalakkan kebebasan berbahas dalam blognya. Seorang bloggers yang baik berusaha menegakkan kebenaran, tidak berbohong dan bertanggungjawab terhadap sestiap sesuatu yang ditampilkan dalam blognya dengan berani dan telus. Ketelusan seorang bloggers terletak pada kejujurannya muncul dalam identiti yang jelas - nama yang lengkap, wajahnya yang sebenar serta maklumat latar belakangnya. Bukan bersembunyi di sebalik nama palsu.
Beliau dengan yakin memaparkan kedudukannya, misi dan visinya, agendanya serta perkara yang bercanggah dengan kepentingannya. Sebagai manusia yang berakhlak, seorang blogger sentiasa memastikan tulisannya tidak menyakiti orang lain di samping membina hubungan baik dengan membalas setiap e-mel dan komentar yang diterima.
Penulis patut menulis sesuatu yang menggalakkan kehidupan yang berakhlak, adil, bebas, selamat, bersih dan beradab. Semua ini saling berkait dan amat diperlukan oleh sebuah masyarakat majmuk. Kita tidak boleh selamat, bebas, dan bersih kalau meneruskan kehidupan dalam masyarakat yang tidak berakhlak, tidak adil dan tidak beradab. Penulis mesti melukiskan dan menampilkan citra masyarakatnya yang betul. Hal ini penting supaya masyarakat Malaysia tidak hidup dalam persepsi yang kacau, kepalsuan dan prejudis yang liar.

ROOSFA HASHIM ialah Pensyarah
di Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia. roosfa@ukm.my

No comments:

Post a Comment