Sunday, 15 February 2009

CERITA DATO DAVID

UTUSAN MALAYSIA 15 FEB 2009

RENCANA

Awang senyum puas apabila dua penyanyi popular, David Arumugam dan Khatijah Ibrahim dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang yang membawa gelaran Datuk sempena Hari Keputeraan ke-78 Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, baru-baru ini.

Kedua-duanya penyanyi popular itu cukup layak untuk menerima gelaran tersebut sebagai penghargaan sumbangan mereka hampir 40 tahun dalam dunia hiburan tanah air.
Sesungguhnya, bakti mereka menerusi bidang seni jauh lebih besar jika dibandingkan dengan artis luar negara, yang sudah pun ada diberi gelaran Datuk.

Bagi David, inilah kali kedua beliau menerima penghormatan daripada istana dalam tempoh tidak sampai tiga bulan. Pada Disember lalu, beliau menerima pingat Johan Setia Mahkota (JSM). Kali ini, penganugerahan yang diterimanya lebih istimewa kerana membawa gelaran Datuk.

Sebenarnya inilah juga harapan Awang sebagaimana yang disiarkan dalam ruangan ini pada 21 Disember tahun lalu. David, penyanyi utama kumpulan Alleycats yang dianggotai oleh bukan Melayu, sudah menjadi ikon dalam industri muzik tempatan.

Kumpulan tersebut bukan setakat popular dan mampu bertahan lama malah telah berjaya memartabatkan lagu-lagu Melayu di kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Seboleh mungkin kita harus menunjukkan penghargaan yang setimpal ketika insan yang banyak berjasa seperti David, masih ada. Kalau selalunya beliau melaungkan perkataan terima kasih dengan sebutan tersendiri setiap kali selesai persembahan, inilah masa kita pula menyatakan penghargaan kepada beliau. Tidak lupa juga kepada baginda Sultan Pahang. Terima kasihhhhh.

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

No comments:

Post a Comment