Tuesday, 10 February 2009

Daripada " Raja " kepada " Kerajaan " .

DI PETIK DARI BLOG : DesaKota
Sunday, 8 February 2009

DARIPADA' RAJA' KEPADA 'KERAJAAN'

PADA SAAT MENULIS paparan ini istana Perak menjadi pusat perbahasan di tengah-tengah dua kerajaan yang masing -masing mengaku berkuasa secara sah. Rakyat biasa yang bukan ahli dalam bidang undang-undang, malahan peguam profesional pun tdak semua yang boleh mengatakan dengan tepat siapakah antara kerajaan negeri ( PKR dan BN ) yang benar-benar absah (legitimate) atau apakah keputusan istana yang menitahkan Menteri Besar PKR mengundurkan diri sebagai betul atau salah?Pertikaian dan kemelut politik serta undang-undang ini akan mewujudkan tindakan-tindakan perundangan dan pembicaraan di depan hakim dalam waktu terdekat . Ini akan menjadi peristiwa yang memberi pengalaman serta pengetahuan perundangan yang rumit . Ia akan memperkaya pemikiran perundangan di negara ini. Dalam waktu yang sama ia juga menandakan bahawa rakyat semakin yakin terhadap sistem kehakiman untuk menjadi tempat rujukan terakhir bagi sebarang pertelingkahan . Jadi serahkanlah kepada sistem kehakiman untuk memberi kata putus dalam pertikaian demokrasi yang telah menemui jalan buntu.Apa yang sangat mendukacitakan ialah banyak pihak menggunakan kesempatan ini( tokoh politik, individu, pemimpin NGO, media ) untuk menyeret istana , dalam nada menyokong atau menentang . Ada yang mengkritik istana kerana membuat keputusan yang tidak tepat berasaskan hak-hak dan kuasanya. Ada yang mempertahankan istana dan menuduh penentangnya sebagai derhaka. Tidak semua yang menyokong atau menentang istana ini jujur atau ikhlas kerana ramai yang bermotifkan politik kepartian, dan tidak kurang pula yang bermotifkan perniagaan, kedududukan, dan peluang-peluang peribadi pada masa depan dengan menampakkan dirinya sebagai penyokong atau penentang sewaktu krisis .Walau apa pun imej istana Perak itu sekarang terlempar dalam kontroversi yang semakin dirumitkan oleh media yang tidak peduli apakah kesan dan akibatnya dalam persepsi, hati dan perasaan rakyat terhadap istana dan Raja yang berkuasa. Rasanya inilah pertama kali istana atau institusi di raja dihadapkan dengan tunjuk perasaan di jalan raya oleh rakyat Melayu sendiri; dan diambil tindakan undang-undang atas isu politik oleh seorang pemimpin bukan Melayu. Apakah tanda-tanda sosial yang dapat kita baca daripadanya? Apakah sedang berlaku perubahan besar nilai-nilai sosial budaya di kalangan penduduk sekarang? Apakah fahaman demokerasi dan hak-hak sivil sedang mengacu pada kebebasan yang boleh menggoncang institusi sosial yang ada?Istana dan raja itu adalah tradisi politik tanah air yang boleh ditelusuri ratusan tahun ke belakang dalam sejarah negara kita. Istana dan Sultan itu menjadi lambang kedaulatan kekuasaan politik Melayu pada zaman lampau; dan pada zaman ini menjadi pemelihara tradisi keMelayuan, adat istiadat, budi bahasa dan sopan santun serta keharmonian bersama bagi seluruh rakyat Melayu, Cina , India dan lain-lainnya . Dari istilah "raja" itulah terbitnya istilah "kerajaan" yang dalam sistem demokrasi berparlimen, dan raja berperlembagaan, istana, Agong dan Sultan itu berada di atas politik kepartian. Raja dan istananya menjadi lambang keadilan bagi seluruh rakyat, dan lambang kedaulatan negara demokratik yang merdeka .Justeru itu peranannya dalam menstabilkan kehidupan rakyat jelata melalui tindakannya yang adil dan berlandaskan Perlembagaan dan undang-undang sangatlah penting. Sultan di takhta tidak tertakluk pada pilihanraya lima tahun sekali seperti Perdana Menteri dan Menteri-menterinya. Sultan berada di tempat yang istemewa bukan sahaja dalam erti yang rasmi, tetapi sangat dekat dengan hati masyarakat Melayu sehingga apa jua penentangan terhadapnya ( lebih-lebih lagi daripada rakyat bukan Melayu) berkemungkinan mencetuskan konflik antara kumpulan atau kaum.Pergolakan politik di Perak sekarang memberi banyak iktibar kepada kita, terutama masyarakat Melayu sendiri, supaya jangan memperalatkan nama istana; dan istana pula harus berwaspada memelihara martabatnya sebagai sumber cahaya keadilan bagi semua rakyat jelata. Krisis di Perak itu juga diharap akan lebih membijakjsanakan agar pada masa depan tokoh-tokoh politik tidak memandang mudah terhadap kekuasaan dan pengaruh istana; dan istana pula tidak lalai akan kemungkinan kedaulatannya disanggah oleh rakyat.Mari kita semua kembali kepada akal sihat , dan tidak lebih memudaratkan keadaan dengan tindakan serta kenyataan-kenyataan yang memancing publisiti di media. Media juga sepatutnya jangan memancing pembaca dan penonton dengan sengaja mencari-cari atau mengada-adakan juru ulas, penganalisis dan sebagainya. Masyarakat sekarang sudah ramai yang berfikiran canggih dan mampu membezakan propaganda daripada laporan yang objektif; pandangan yang berat sebelah dengan pandangan yang saksama; dan tokoh yang autentik dengan tokoh yang bergelar. Keghairahan media untuk memihak sering menjadikan pemberitaannya bersifat overkill dan hasilnya counter-productive . Tidak hairanlah kalau ramai orang berasa bosan dan muak sehingga lebih percaya kepada kredibiliti blog daripada media perdana. Jadi serahkanlah kepada mahkamah , dan yakinlah Allah akan memberi kemenangan kepada yang benar( cepat atau lambat).
Diposting oleh bahazain di 12:57

5

No comments:

Post a Comment