Wednesday, 11 February 2009

I.S.A : MENGAPA MASIH DIPERTIKAIKAN DARI SEGI PEMAKAIAN DAN PERLAKSANAANYA?

PENDAHULUAN

Akta Keselamatan Dalam Negeri (1960) atau I.S.A , adalah satu-satunya undang-undang Negara ini yang paling unik kerana ia digubal sedemikian rupa sehinggakan ia dipersepsikan menceroboh jaminan ke atas hak-hak asasi manusia sebagaimana yang temaktub di dalam Perlembagaan MALAYSIA. Sebenarnya ISA , yang digubal pada 1 OGOS 1960 , adalah undang-undang yang lahir seiring dengan peruntukan Perkara 149 Perlembagaan itu sendiri.Justeru itu , soal kesahihannya di sudut undang-undang tidak timbul.Tambahan pula , MALAYSIA bukanlah Negara “signatory” kepada Universal Declaration Of Human Right , 1948 , yang cenderung dijadikan pengukur oleh Negara-negara Barat untuk menilai tahap hak asasi di sesebuah nagara lain

2. Oleh hal demikain , mengapakah ia terus di kecam sebegitu hebat oleh pelbagai pihak baik dari dalam dan luar Negara. Adakah penggubalannya oleh parlimen bermotifkan untuk mengekangkan kebebasan individu atau menzalimi rakyat Negara ini? Benarkan dakwaan-dakwaan pihak luar yang menuduh ISA itu sentiada diperalatkan oleh pihak kerajaan untuk mengekalkan tampuk kekuasaannya? Atau benarkah ia sudah lapuk dan tidak releven lagi di masa kini serta perlukah ia dipinda bagi memberikannya “nilai-nilai kemanusiaan” sebagaimana yang dianjurkan sesetengah pihak yang lain?

3. Sesungguhnya segala persoalan ini telahpun terjawab dipelbagai forum termasuk dipersidangan Parlimen itu sendiri. Namun demikian usaha mengecam undang-undang ini nampaknya tidak juga luntur dan sebaliknya terus dilihat bertambah giat lagi. Kerajaan terpaksa bertindak defensive.

4. Saya mengambil kesempatan di forum ini untuk menjelaskan kedudukan sebenar di samping berusaha member gambaran dan pemahaman kepada pembaca semua berdasar kajian saya dengan matlamat untuk menangkis segala fitnah dan tomahan yang dilemparkan oleh pihak yang berkepentingan kepada pihak kerajaan dan agensi penguatkuasa yang berkaitan dengan proses ISA ini . Ke arah ini penjelasan terperinci akan dibentangkan mencakupi setiap sudut bagi menjustifikasikan pendaulatan ISA di negara ini. Di sini kami tidak bercadang untuk mendirikan hujah politik mahupun menghentam pendirian tidak konsisten sesetengah negara Barat dalam isu hak asasi manusia. Walaubagaimana pun , kami tidak dapat mengelak dari menggunakan contoh-contoh yang membabitkan insiden-insiden tertentu negara luar.

SEJARAH PENGGUBALAN ISA.

5. ISA adalah kesinambungan kepada Emergency Regulation Ordinance No. 10, 1948 (ERO, 1948) yang telah digubal ketika Negara diancam oleh pemberontakan bersenjata Parti Komunis Malaya (PKM). Rekabentuk ordinan ini adalah bermatlmat mengekang dan menangani ancaman PKM. Dengan kuasa-kuasa , tangkapan serta tahanan pencegahan yang termaktub dalam undang-undang ini , penjajah Inggeris telah berjaya mematahkan pemberontkan ini dan pada tahun 1960 kerajaan Persekutuan Tanah Melayu yang baru merdeka telah mengisytiharkan tamatnya darurat.

6. Menyedari tentang keberkesanan ERO ,1948 , maka pada 1 OGOS 1960 Parlimen telah menggantikannya dengan meluluskan Internal Security Act, 1960 yang mana telah diperkukuhkan dengan 3 peruntukan asas yakni kuasa-kuasa tahanan pencegahan ; pencegahan tindakan subversive dan pencegahan serta penghapusan keganasan terancang serta lain-lain kuasa bagi menjamin keselamatan rakyat serta hartabenda mereka. Tiada apa-apa kandungan di dalam akta baru ini sebarang perkataan yang merujuk kepada PKM.

7. Penggubalan undang-undang baru ini dibuat dengan mengambil kira persekitaran politik , social dan ekonomi negara ketika ini. Parlimen sedar bahawa dengan struktur social yang begitu rapuh serta usia yang begitu muda , maka ia merasakan pihak eksekutif perlu dibekalkan dengan satu bentuk kuasa mutlak semata-mata bagi digunakan untuk mempertahankan institusi demokrasi itu sendiri bagi jangka masa panjang.

8. Kebijaksanaa parlimen ini terbukti bermanfaat berikutan dengan kebangkitan semula PKM , serta ancaman Operasi Ganyang Malaysia oleh Presiden Sukarno pada tahun 1965. Keberkesanan ISA telah memaksa PKM berundur ke Selatan Thailand dengan hanya meninggalkan unit-unit kecil untuk bergerak tindak di Pahang , Selangor , Perak ,Kelantan , Kedah dan Negeri Sembilan. Mereka akhirnya terpaksa menyerah kalah pada Disember 1989.

9. Dalam pada itu, pengwujudan Malaysia pada 16 SEP 63 menyaksikan ISA diluaskan guna-pakainya ke Sabah dan Sarawak. Sekali lagi undang-undang ini dikuatkuasakan dengan efektif bagi mematahkan ancaman North Kalimantan Communist Party (NKCP). Ia terpaksa menandatangani perjanjian damai dengan pihak berkuasa pada 17 OKT 1990.

STRUKTUR ISA.

10. ISA yang termaktub pada ketika ini sebenarnya telah melalui beberapa siri modifikasi dan pindaan. Semenjak penggubalannya ia telah menjalani proses kemaskini dan pengukuhan sebanyak 20 kali. Kali terakhir ialah pada tahun 1989 di man parlimen memutuskan ISA tidak boleh dicabar di mana-mana mahkamah semata-mata atas sebab kepincangan atau kelemahan pada alasan-alasan yang digunakan bagi menahan seseorang di bawah Seksyen 8. Semakan Undang-Undang (“Judicial Review”) hanya boleh dibuat oleh mahkamah atas alasan pelanggaran prosedur oleh pihak berkuasa.

11. Selain itu dua pindaan terdahulu iaitu pada tahun 1971 telah memberikan ISA “sweeping powers”. Pertama, perluasan alasan bagi menahan seseorang di bawah Sek. 8 dan Sek. 73 yang mana meliputi sebarang tindakan yang dianggap prejudis kepada penyenggaran perkhidmatan-perkhidmatan perlu dan kehidupan ekonomi Malaysia, Kedua, pelanjutan tempoh tahanan maksimum dari 30 hari sebelumnya kepada 60 hari kini.

12. Sebagaimana yang dihujahkan terdahulu, ISA digubalkan di parlimen melalui proses yang penuh demokratik. Para penggubalnya telah menggariskan beberapa “checks and balances” agar ia tidak disalah guna atau diselewengkan. ISA sebenarnya lahir dengan “restu” Perkara 149 Perlembagaan Malaysia untuk “menceroboh” jaminan-jaminan hak individu sebagaimana yang termaktub di bawah Perkara 5, 9, 10 dan 13 atas alasan untuk menjamin keselamatan negara.
13. Apa yang dimaksudkan dengan “checks and balances” adalah peruntukan Perkara 151 yang menghendaki ISA dibekalkan dengan beberapa proviso bersabit penahanan seseorang itu. Proviso yang dimaksudkan termasuklah hak seseorang tahanan untuk dimaklumkan tentang alasan atau sebab penahanannya dibuat sebagaimana yang diperuntukkan oleh Sek.11. Seseorang tahanan itu juga diberikan hak untuk merayu di hadapan Lembaga Penasihat , yang dipengerusikan oleh seorang hakim atau seseorang yang setaraf dengan jawatan tersebut, serta dua orang anggota lain yang kesemuanya dilantik oleh YDP Agong.

14. Lembaga Penasihat pula dikehendaki oleh Sek. 12 untuk menimbangkan dalam masa 3 bulan representasi atau rayuan seseorang itu sebelum membuat perakuan kepada YDP Agong. Keputusan YDP Agong mengenainya adalah muktamad. Seterusnya Sek. 13 pula , mengehendaki Lembaga Penasihat mengulangkaji kes seseorang tahanan sekali setiap 6 bulan. Peruntukan ini menjamin hak seseorang tahanan untuk terus membuat rayuan.

15. Perlu juga diingatkan bahawa hak seseorang tahanan untuk mengadu kepada mahkamah tinggi atau mana-mana hakim mengenai kesilapan pihak berkuasa menangkap dan menahannya tidak digugat oleh ISA. Hak memfailkan notis “habeas corpus” sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perkara 5 (2) Perlembagaan tetap utuh.

PENGUATKUASA ISA.

16. Semenjak ia digubal pada tahun 1960 banyak tangkapan telah dibuat di bawah undang-undang ini. Sebahagiannya telah dikenakan Perintah Tahanan, ada yang dikenakan Perintah Sekatan , sebahagian lagi telah dibebaskan sebelum berakhir tempoh tahanan 60 hari. Kini masih ada lagi tahanan ISA yang sedang menjalani Perintah Tahanan atas alasan memudaratkan kehidupan ekonomi Malaysia di bebarapa Pusat Tahanan di seluruh Negara.
.
17. Wajar diingatkan bahawa sebahagian besar tahanan ISA, khususnya di tahun-tahun 60an hingga 80an , adalah merupakan ahli dan penyokong Parti Komunis Malaya (PKM yang terdiri dari ahli Kesatuan Sekerja , pelajar university dan ahli parti pembangkang berhaluan kiri. Pada tahun 1970an juga , ISA digunakan bagi menghentikan mogok dan tunjuk perasaan berikutan isu “kelaparan Baling”. Operasi Lalang pada tahun 80an menyaksikan ramai pemimpin politik pembangkang ditangkap bagi mencegah berulangnya pergaduhan kaum.

18. Pada tahun 1990an, ISA dikuatkuasakan dengan efektif bagi mengekang pergerakan Al-Arqam , kumpulan Syiah dan gerakan Reformasi. Dalam millennium baru ini, ISA terus digunakan bagi menumpaskan kumpulan Al-Maunah, sindiket pemalsuan wang dan dokumen serta sindiket penyeludupan manusia. Ancaman dari Kumpulan Militan Malaysia dan Jemaah Islamiah memaksa pihak berkuasa menggunkan ISA secara berterusan bagi menghindar petaka yang dibawa oleh mereka.

KUMPULAN PENGKRITIK ISA

19. Semenjak sekian lama , ISA telah dikritik oleh pelbagai pihak dari segenap sudut. Selain dari negara-negara Barat , termasuklah Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Denmark, Kesatuan Eropah, terdapat juga kritikan cari Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) antarabangsa seperti Amnesty International dan Human Rights Watch.

20. Sekarang kutukan-kutukan dari “human rights champions” ini didapati mulai luntur akibat dari perkembangan selepas peristiwa 911 namun demikian kritikan kumpulan dari dalam negara ini sendiri dilihat terus bertenaga.

21. Di Malaysia kegiatan anti-ISA telah dipelopori oleh pihak parti-parti tertentu, orang persaorangan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO). Usaha penentangan ISA menjadi bertambah rancak pada tahun 1998 berikutan perbicaraan yang melibatkan seorang pemimpin atasan Negara dan seterusnya menerajui penentangan terhadap ISA maka pada 30 APR 2001 terbentuklah pakatan Gerakan Memansuhkan ISA (GMI), yang menggabungkan kedua-dua kumpulan parti politik pembangkang dan NGO tersebut.


MEDIA KRITIKAN.

22. Parti-parti politik pembangkang dan NGO menggunakan pelbagai kaedah atau forum bagi mengutarakan bantahan samada melalui majlis-majlis ceramah politik, laman-laman web , media cetak dan elektronik dan seterusnya menganjurkan beberapa siri demonstrasi.

23. Tidak cukup dengan usaha meraih simpati dan sokongan pihak luar turut dijalankan di forum dan seminar anjuran NGO di luar negara. Bagi menjamin usaha penentangan ini sentiasa berada “at the limelight” maka sessi parlimen digunakan oleh pembangkang bagi mengajukan soalan-soalan yang menjurus kepada kritikan terhadap ISA.

ASAS ASAS KRITIKAN

24. ISA keseluruhannya mengandungi 85 seksyen (Sek. 84 telah dimansuhkan) yang dibahagikan kepada 3 bahagian. Hanya peruntukan Sek. 73 dan Sek. 8 sahaja yang memberikan kuasa khas tangkapan kepada pihak polis dan kuasa tahanan pencegahan kepada menteri. Kedua-dua seksyen inilah yang menjadi focus kepada kritikan. Lain-lain bentuk kesalahan yang termaktub di dalam undang-undang ini adalah tertakluk kepada perbicaraan mahkamah terbuka.

25. Rata-rata kritikan terhadap ISA terbahagi kepada 2 aspek, pertama percanggahan undang-undang tersebut dengan prinsip hak kemanusiaan sejagat dan kedua, aspek tatacara perlaksanaannya.

a. Penentangan Dengan Prinsip Hak Asasi.

I. Pengkritik berhujah bahawa Sek. 73 dan Sek. 8 yang memberi kuasa kepada pihak polis dan Menteri Keselamatan Dalam Negeri untuk menangkap dan menahan seseorang tanpa dibicarakan adalah jenis bercanggah dengan prinsip keadilan sejagat. Kritikan dari aspek ini jelas dihuraikan menerusi petisyen 46 orang Ahli Parlimen Denmark kepada kerajaan Malaysia pada 23 MEI 2003 yang berbunyi “we are concerned that the ISA violates fundamental human rights as set out in Universal Declaration Of Human Rights, including the rights not to be subjected to torture or other cruel, inhuman and degrading treatment, the right to a fair and public trial and the right to be presumed innocent until proven guilty”
II. Kritikan dari elemen luar negara ini senada denan momokan pemimpin politik pembangkang tempatan. Di antaranya Ahli Parlimen Permatang Pauh, sewaktu berhujah pada sessi parlimen 20 MAC 2003, di antara lain telah mendesak “ supaya mereka yang ditahan di bawah ISA segera dibebaskan. Atau kalau mereka ini benar-benar telah melakukan kesalahan dakwa dan bicarakanlah mereka di mahkamah terbuka agar keluarga dan rakyat tahu apa yang sebenarnya berlaku. Hentikan tangkapan dan penahanan tanpa bicara. Penahanan Dato’Sri Anwar Ibrahim mestilah atas dasar hukum dan bukan atas dasar politik”.

b) Penyelewengan Tatacara Perlaksanaannya.

Fokus pengkritik ini kemudiannya dihalakan kepada perlaksanaan proviso-proviso Sek. 73 dan Sek. 8 oleh pihak berkuasa yang didakwa terdedah kepada penyelewengan dan manipulasi. Kritikan mereka dapat dihuraikan menerusi satu kenyataan akhbar Gerakan Memansuhkan ISA (GMI) yang telah disiarkan pada 10 FEB 2004 yang menegaskan bahawa “tahanan tanpa bicara bukan sahaja tidak adil serta berperikemanusiaan kepada seseorang itu malahan menjadi penyumbang utama kepada rasuah dan penyelewengan oleh pihak berkuasa. GMI akur terhadap tanggungjawab kerajaan menangani ancaman pengganas namun terdapat undang-undang seperti KanunProsedur Jenayah dan Kanun Kesiksaan yang dikira memadai tanpa perlu melanggar hak asasi seseorang menerusi penggunaan ISA”.

26. Mereka berhujah bahawa alasan-alasan yang digunakan bagi penangkapan dan penahanan sesetengah individu itu tidak memenuhi kriteria “mengancam keselamatan negara” sebagaimana yang telah disyaratkan oleh Sek. 8. Bagi menguatkan hujah mereka keputusan kes rayuan Mohamad Ezam Mohd. Nor vs IGP and Others, telah dijadikan bukti penyalahgunaan kuasa oleh pihak polis. Di dalam kes ini, hakim telah memutuskan bahawa sesetengah aktivis Reformasi telah ditangkap dan ditahan semata-mata bagi membolehkan pihak polis mengutip maklumat yang mana pada keseluruhannya tiada kaitan dengan keselamatan negara. Pengkritik membangkitkan dakwaan berlakunya insiden di mana orang tahanan disiksa, dihina dan dilayani tanpa perikemanusiaan.

27. Pada 1 JUN 2003 , sewaktu mengetuai delegasi, seorang pemimpin sebuah parti pembangkang menyerahkan memorandum bantahan di Kem Tahanan Kemunting (KEMTA), disamping mengedarkan kenyataan yang di antara lain berbunyi “MALAYSIA akan menjadi sebuah negara paria di dalam masyarakat antarabangsa sekiranya ISA terus digunakan untuk menekankan hak demokratik rakyat Malaysia”.

28. AMNESTY INTERNATIONAL , yang berpejabat di London, pula terus mencemuh kerajaan Malaysia menerusi laporan-laporan tahunannya di atas apa yang didakwa “the use of ISA to suppress peaceful political, academic and social activities and legitimate constructive cristicism by NGO’s and other social pressure groups.”

29. Dalam pada itu usaha pihak pengkritik seolah-olah mendapat nafas baru berikutan dengan pendirian SUHAKAM yang mengesyorkan agar kerajaan mengkaji semula ISA.

JUSTIFIKASI MENDAULATKAN ISA.

30. Pada pandangan saya ISA perlu dipertahankan demi keselamatan negara. Keberkesanannya dalam menangani pelbagai ancaman terhadap keselamatan negara di masa lalu tidak dapat disangkal lagi. Ia menjadi semakin relevan berikutan dengan perkembangan keselamatan diseluruh dunia. Berlakunya “state-sponsored terrorism” oleh negara-negara tertentu serta reaksi ganas dari kumpulan yang teraniaya di era globalisasi ini turut mendedahkan Malaysia kepada bahaya ancamannya.

31. Pandangan saya adalah berteraskan kepada factor-faktor berikut:-

a) Mengutamakan Keselamatan Negara

I. Penggubal ISA begitu bijak menggariskan kriteria atau pra –syarat yang mewajibkan seseorang itu ditangkap serta ditahan. Keselamatan negara dijadikan paksi dalam setiap pertuduhan. Penggunaan kriteria ini sebenarnya dibuat berlandaskan latar belakang struktur sosial dan politik negara yang penuh kepelbagaian dan begitu rapuh sekali. Amat sukar mewujudkan perpaduan dan harmoni di kalangan masyarakat yang berbeza kaum, agama dan budaya.

II. Alasan penahanan yang digariskan oleh Sek. 8 iaitu , bagi mencegah seseorang dar bertindak dengan apa cara yang boleh menimbulkan mudarat kepada keselamatan, atau kepada penyenggaraan perkhidmatan-perkhidmatan perlu, atau terhadap kehidupan ekonomi Malaysia, membuktikan bahawa ISA itu sendiri digubal bertujuan semata-mata atas keperluan keselamatan.

III. Di sebalik wujudnya ISA, yang dipersepsikan sebagai “draconian” lagi kejam, masih terdapat sesetengah pihak yang secara berterusan memainkan sentiment perbedaan ini demi meraih sokongan. Parti politik, kumpulan pendesak dan pihak media kerap kali terbawa-bawa dengan emosi masing-masing untuk mencetuskan ketegangan kaum dan agama. Operasi Lallang pada tahun 1987 yang menyaksikan penangkapan beramai-ramai 106 orang di bawah undang-undang ini telah Berjaya menghindar tercetusnya pergaduhan kaum.

b) Bersifat Mencegah

I. Semangat di sebalik penggubalan ISA adalah berasaskan kepada prinsip “prevention is better than cure”. Apatah lagi sekiranya ancaman yang timbul datangnya dari kumpulan yang bergiat secara sulit dan bermatlamat mencetuskan keganasan secara terancang. Dalam menghadapi situasi begini ketangkasan bertindak amatlah penting “to nip the threat in bud”. Contoh paling drastic bagi penyokong berhujah ini ialah penangkapan ahli-ahli Kumpulan Militan Malaysia (KMM) berikutan insiden rompakan Southern Bank, Petaling Jaya , pada tahun 2001.

II. Menerusi kerja keras dan professional yang dijalankan oleh pihak berkuasa, pihak polis telah berjaya merungkal struktur organisasi KMM serta menggagalkan lain-lain misi ganas yang telah dirancang oleh kumpulan ini.

III. Tindakan pantas pihak polis seterusnya telah berhasil membongkarkan kegiatan kumpulan Jemaah Islamiah yang jauh lebih berbahaya dan sofistikated. Kumpulan yang bermatlamat mewujudkan sebuah negara Islam yang menggabungkan Selatan Thailand, Malaysia , Indonesia , Singapura dan Selatan Filipina ini, telah menghalalkan kaedah militan bagi mencapai objektif tersebut.

IV. Fakta bahawa ISA ini sebagai senjata paling berperikemanusiaan bagi menentang mereka yang tidak menghormati peradaban manusia telah diakui oleh banyak pihak, termasuklah dari luar negara. Ia pernah disuarakan oleh pemimpin dari Thailand yang begitu terkilan kerana mereka tidak mempunyai undang-undang seperti ISA untuk menentang militant di Negara mereka. Rintihan yang sama juga telah disuarakan oleh pemimpin-pemimpin Indonesia . Di mana pemimpin – pemimpin ini yakin sekiranya undang-undang yang sama beroperasi di Thailand dan Indonesia , nescaya insiden-insiden ganas yang berleluasa berlaku di wilayah selatan negara dan Jakarta itu dapat dielak atau dihentikan dengan serta merta.

V. Terdapat banyak lagi contoh-contoh nyata yang memantapkan hujah ini. Kita dapat lihat keadaan huru hara di Filipina, Thailand dan Indonesia, yang selama ini berbangga dengan amalan “idela democratic practices” mereka yang kononnya menjamin hak rakyat telah gagal mengawal keselamatan negara masing-masing.

VI. Wajar juga diingatkan di sini betapa Malaysia , pada pertengahan 2001, dikecam hebat oleh masyarakat antarabangsa termasuk Amerika Syarikat sendiri apabila pihak polis menggunakan ISA bagi menahan ahli KMM dan Jemaah Islamiah ketika itu. Peristiwa 911 membuka mata dunia terhadap rasional yang digunakan Malaysia bagi menguatkuasakan ISA.

c) Berorientasikan Pemulihan

I. Tahanan pencegahan ISA memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan usaha pemulihan ke atas mereka yang tersasar dari sudut ideology dan agama serta bagi mereka yang berpendirian pelampau dan militan. Sek. 8(4) memberikan kuasa kepada Menteri untuk mengenakan peraturan tertentu bagi mendisiplinkan orang tahanan.

II. Selaras peruntukkan ini pihak berkuasa telah menggariskan program kaunseling serta kuliah agama kepada orang tahanan.

d) Isu Orang Tahanan Tidak Dibicarakan

I. Kepada pengamal undang-undang memang sukar bagi mereka menerima fakta perlunya dalam kes-kes tertentu seseorang itu tidak dibicarakan secara terbuka. Mereka tetap berpendirian bahawa terdapat banyak undang-undang lain yang boleh diguna bagi mengekalkan hak seseorang untuk diadili secara umum.

II. Hakikatnya kes-kes yang bersangkut-paut dengan keselamatan amat sukar dibicarakan. Sebagai contoh kita ambil kes Asmar Latin Sani, pengebom berani mati dalam insiden pengeboman Hotel J.W Marriot, Jakarta. Pihak berkuasa Indonesia, sebelum itu tidak berupaya dari segi undang-undang untuk menangkap dan mendakwanya di mahkamah atas tuduhan “bercita-cita untuk mati syahid”. Undang-Undang Kasus Tindak Pidana Terrorisme 2002 tidak memperuntukkan kuasa penahanan pencegahan. Akhirnya kita sama-sama termaklum apa akibatnya.

III. Begitu juga keadaan yang Malaysia bakal hadapi seandainya salah seorang ahli JI Johor yang telah direkrut sebagai pengebom mati syahid oleh Dr. Azhari Hussein tidak ditangkap serta ditahan dibawah ISA. Berapa ramaikah orang yang tidak berdosa akan terkorban sekiranya pihak polis gagal membongkar rancangan mereka.


IV. Dari sudut lain pula kes-kes keselamatan juga tidak wajar dibicarakan secara terbuka kerana proses tersebut akan mengkompromi sumber risikan. Lagipun dalam sesetengah kes amat sukar mendapatkan bukti-bukti kukuh. Lihat sahaja kesukaran yang dihadapi oleh pihak Berkuasa Indonesia dalam kes Abu Bakar Baasyir , Amir Jemaah Islamiah , yang diketahui telah merestui misi pengeboman Bali pada 12 OKT 2002. BEgitu juga persamaannya dengan kes ahli-ahli KMM yang diketahui bertanggungjawab menembak mati orang kenamaan. Wajarkah mereka dibebaskan begitu sahaja semata-mata kerana mahkamah memutuskan bukti-bukti “hearsay” dan “circumstantial” tidak cukup untuk mensabitkan kesalahan mereka?

e) Efektif Bagi Menangani Ancaman Keganasan Global

I. Di saat dunia dilanda kebimbangan ekoran ancaman keganasan berskala global yang dibawa oleh kumpulan-kumpulan tertentu, Malaysia amat bertuah kerana ia berada “a step ahead” di kalangan negara-negara lain yang turut menjadi sasaran

II. Perlu diingat bahawa trend dan strategi kegiatan kumpulan pengganas kini telah menjadi begitu sofistikated dan kompleks serta licik dalam tindak tanduk mereka. Oleh kerana sifatnya yang “unconventional” ini maka “ senjata “ yang diperlukan oleh pihak polis mengekang ancaman ini juga semestinya berbentuk luar biasa. Dalam konteks ini ISA dikira dapat memenuhi keperluan tersebut.

III. Di peringkat awal kita dapat melihat betapa sesetengah negara yang terjejas terkial-kial mencari “senjata” masing-masing. Amerika Syarikat akhirnya terpaksa meluluskan The Patriot Act, 2001; United Kingdom pula dengan The Anti-Terrorism, Crime And Security Act, 2001 ; Anti- Terrorism Act, 2001 di Kanada; dan , Prevention Of Terrorism Ordinance, 2001 di India.

PENUTUP

32. Soal keselamatan adalah menjadi tanggungjawab mutlak mana-mana kerajaan di dunia ini. Bebanan berat ini terpaksa dipikul dengan penuh hati-hati. Undang-undang yang digubal semestinya mengambil kira kepentingan setiap warga agar tidak berlaku sebarang penganiayaan. Kerajaan Sepanyol pimpinan Jose Maria Aznar, tumbang akibat peristiwa pengeboman keretapi di Madrid pada 11 MAC 2004. Wajarkah hak segelintir orang yang tidak berperikemanusiaan dibela hingga terpaksa menggadaikan hak majority untuk bebas tanpa sebarang ancaman. Kami yakin jawapan yang tepat kepada soalan ini boleh diperolehi dari mangsa-mangsa insiden pengeboman bangunan Kedutaan Besar Australia di Jakarta pada 9 SEP 2004

33. Sebenarnya, kepada pihak pengkritik, tidak ada kompromi dalam soal hak-hak asasi. Sesungguhnya apa jua kebimbangan yang dilahirkan oleh para pengkritik ISA telah pun mendapat perhatian pihak eksekutif. Atas fakta lain inilah penggubal Perlembagaan Malaysia serta ISA itu telah memasukkan proviso-proviso “checks and balances” sejajar dengan nilai peradaban rakyat negara ini. Tidak wajar bagi kita meniru nilai-nilai Barat dengan membuta tuli. Kita akur dengan kata-kata hikmah YAB. Tun Dr. Mahathir Mohamad , yang berbunyi “do not be hoodwinked with the norms set by West because they are indeed the worst violators of human rights”. Peperangan Iraq menyokong ketepatan penyataan ini.

35. Di Malaysia hari ini hak-hak asasi rakyatnya lebih terbela sekiranya dibandingkan dengan banyak negara pengamal demokrasi yang lain. Sekurang-kurangnya hak rakyat bagi mendpatkan keperluan asas kehidupan dari aspek “material and spiritual “ lebih terjamin. Bukanlah nikmat kehidupan aman, selesa dan harmoni itu suatu hak yang asasi bagi setiap warga di dunia ini? Kami yakin serta pasti bahawa rakyat Amerika sendiri mencemburui kejayaan Malaysia dalam menjamin agar majority rakyatnya hidup dalam suasana bebas lagi aman.

36. Berbalik kepada soal hak orang tahanan ISA saya senada dalam menghujahkan bahawa nasib mereka jauh lebih baik dari apa yang terpaksa diharungi oleh rakan-rakan semilitan mereka di Guantanamo Bay. Sekurang-kurangnya mereka di sini terus diberikan perlindungan serta harapan untuk kembali ke pangkuan masyarakat.
Nota : Lihat Berita di bawah :

PUTRAJAYA: Lima pemimpin Hindraf kekal dalam tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama dua tahun selepas Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak usul untuk menyemak keputusan panel terdahulu yang menafikan kebebasan mereka.

Mereka membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan sebagai usaha terakhir selepas gagal mendapatkan panel dari mahkamah sama untuk melepaskan mereka. Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman yang bersidang bersama Hakim Datuk S Augustine Paul dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin memutuskan bahawa usul yang dikemukakan oleh lima pemimpin itu tidak layak untuk semakan.

Nik Hashim berkata keputusan Mahkamah Persekutuan sebelum ini adalah berdasarkan dua kes Mohamad Ezam Mohd Nor dan Tan Sri Raja Khalid. “Sama ada keputusan itu betul atau salah...ia bukan untuk mahkamah ini menentukan. Jika kita melakukan percubaan untuk berbuat demikian maka ia akan mendorong kepada satu lagi rayuan dan kami tidak bersedia untuk melakukannya. Oleh itu, kami menolak usul ini untuk semakan,” katanya

No comments:

Post a Comment