Sunday, 8 February 2009

Kaca Mata: Pakatan Rakyat Perak tewas dalam permainan ciptaan sendiri


Oleh Hishamuddin Aun

Pas-DAP-PKR ibarat menepuk air di dulang, terpercik semula ke muka SELAMA berbulan-bulan Pakatan Rakyat menabur janji untuk mengambil alih pemerintahan negara pada 16 September lalu. Lebih sedikit dari sebulan juga kerajaan Pakatan Rakyat di Perak dijanjikan akan tumbang menjelang 31 Ogos lalu. Didahului oleh kedatangan Hari Kebangsaan tahun lalu, disusuli Hari Malaysia lewat dua minggu selepas itu, janji-janji berkenaan bagaimanapun meleset.

Di satu sudut, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mencanangkan sudah memiliki secukupnya bilangan bagi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan memancing wakil mereka untuk berpaling tadah. Tiada pun kegusaran – andainya itu berlaku – ia menyalahi etika atau mengkhianati mandat pengundi. Tiada juga disebut-sebut perlunya pilihan raya kecil atau pilihan raya umum diadakan semula dalam menjustifikasikan harapan itu. Sebaliknya, apa yang tidak henti-henti disogokkan kepada umum ialah betapa kepercayaan dan sokongan terhadap BN semakin terhakis, yang menghalalkan apa jua cara untuk ia digulingkan.

Di sudut berlawanan pula, Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali, pada 5 Julai lalu, meramalkan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak akan ditunjukkan jalan keluar menjelang 31 Ogos. "Ia tidak mudah, tapi saya amat yakin," katanya sebagai merumuskan hasrat lebih daripada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) mewakili Pakatan Rakyat untuk 'menyeberang' ke pihak BN. Pakatan Rakyat, bertitik-tolak dari Pilihan Raya Umum Ke-12, 8 Mac tahun lalu, memenangi 31 kerusi di DUN Perak – 18 daripada DAP, tujuh daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan enam daripada Pas. BN memiliki 28 – 27 daripada Umno dan satu MCA. Apa yang diperlukan BN ialah untuk dua Adun PKR keluar daripada gagasan itu. Mereka tidak kehilangan dua, sebaliknya tiga.
Berlawanan dengan Anwar yang membuat dakwaan itu dan ini, Tajol Rosli sebaliknya memilih untuk banyak berahsia mengenai perancangannya. Apa yang sebaliknya juga berbeza ialah sambil janji Anwar masih terus menjadi pembohongan, Tajol Rosli sudah boleh mengurut dada kerana terlaksananya suatu perancangan. Tapi, sebelum itu, lain pula ceritanya pada 25 Januari lalu, apabila Adun Bota, Datuk Nasaruddin Hashim, mengumumkan keluar daripada BN untuk menyertai Pakatan Rakyat. Anwar, dalam menyambut baik wakil rakyat pertama daripada BN menyertai pembangkang sejak selepas pilihan raya umum Mac lalu, menyifatkannya sebagai 'perubahan minda politik masyarakat.' "Ini satu perkembangan penting dan kehadiran rakan saya, Nasaruddin, yang sebelum ini bersama Umno amat besar ertinya kepada PKR," katanya pada sidang medianya. Anwar tidak pula bercakap mengenai mandat rakyat. Atau mandat itu dikhianati. Malah, daripada janji asalnya lebih 30 Ahli Parlimen BN akan menyeberang, seorang pun sudah memadai untuk dijadikannya sebagai modal kononnya kepercayaan terhadap BN sudah terhakis begitu mendalam.

Harus tiada tamparan lebih hebat terhadapnya, selain pengumuman Nasaruddin, 4 Februari lalu, untuk kembali ke pangkuan Umno, seiring dengan keputusan Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu, Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi, dan Adun Jelapang daripada DAP, Hee Yit Fong, keluar Pakatan Rakyat untuk menyokong BN. Seperti diduga, tidak pun kedengaran daripada Pakatan Rakyat ia mencerminkan 'perubahan minda politik masyarakat', lantaran ia tidak langsung memberi apa-apa keuntungan kepada mereka. Sebaliknya, timbul pula cakap-cakap kononnya Nasaruddin sekadar dijadikan 'umpan' BN apabila beliau memutuskan keluar dengan kemasukan semulanya memberikan dividen paling besar buat BN untuk menempelak Pakatan Rakyat bahawa apa saja yang boleh dibenarkan untuk mereka, boleh juga dibenarkan untuk pihak lain. Ibarat menepuk air di dulang, kini ia terpercik ke muka barisan kepemimpinan Pakatan Rakyat sendiri.

Sesiapa saja di kalangan Adun BN Perak boleh mengesahkan tindakan Nasaruddin keluar BN sama sekali mengejutkan mereka, seperti mana ia menggembirakan mereka apabila beliau mengubah pendirian untuk kembali. "Semua itu kebetulan saja," kata seorang Adun BN, "Sekarang Pakatan nak cakap apa lagi? Jika tak salah untuk mereka disertai wakil rakyat BN, apakah salah untuk wakil rakyat mereka menyeberang ke pihak kami?" Sebetulnya, sejak dari Julai tahun lalu lagi, keretakan sudah pun semakin jelas pada Pakatan Rakyat di Perak. Ia ibarat retak menanti belah di sebalik bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, mahupun Anwar sendiri berkeras mahu menutupinya. Cakap-cakap beberapa wakil rakyatnya tidak lagi berselindung dengan menyatakan mereka semakin tidak senang dengan kepemimpinan kerajaan negeri terdahulu yang semakin kehilangan fokus dalam berkhidmat kepada rakyat.

Tajol Rosli tidak mungkin sedemikian berani meramalkan tumbangnya kerajaan Pakatan Rakyat di Perak – kalaupun lewat daripada diramalkannya pada 31 Ogos lalu – andainya ia tidak didasarkan kepada gelora yang melanda pakatan Pas-DAP-PKR itu. Harus juga sudah demikian resminya apabila kerajaan negeri diketuai parti minoriti hingga bukan asing lagi kepercayaan bahawa Mohammad Nizar sekadar menjadi kuda tunggangan DAP. Ia tidak ubah umpama persepakatan yang cuma mampu bertahan untuk seketika, bukan untuk sekian lama. Dalam pada itu, DAP turut mengakui masalah dalaman parti itu yang menjadi titik tolak kepada tindakan seorang Adunnya mengumumkan keluar dan menjadi wakil rakyat Bebas. Sesudah PKR bermasalah, DAP bergolak, lambat-laun Pas di Perak juga kesudahannya tidak mampu untuk membendung arus perpecahan untuk BN, yang memiliki majoriti, ditabalkan untuk kembali berkuasa.

Pakatan Rakyat boleh memilih untuk menyalahkan sesiapa saja melainkan diri mereka sendiri, daripada kepemimpinan BN hingga kepada Raja. Mereka boleh saja terus bersorak dan menyalak, tetapi pada masa sama, tidak dapat hendak menolak bahawa Pakatan Rakyat di Perak sudah ditewaskan dalam permainan ciptaannya sendiri. Politik, kata sesetengah orang, umpama pertaruhan. Kehilangan wang pertaruhan tidak harus meluangkan apa-apa untuk peraturan permainan diubah atau mendakwa ia tidak adil. Harus kepada BN, permainan ini baru pun bermula.

No comments:

Post a Comment