Sunday, 1 February 2009

Kes Kugan: 17 NGO sokong polis

UTUSAN MALAYSIA 1 FEB 2009

Oleh Mohd. Noor Firdaus Mohd. Azil

KUALA LUMPUR 31 Jan. – Ketika polis dibidas teruk oleh segelintir individu dan ahli politik khususnya pembangkang dalam isu kematian suspek curi kereta mewah, A. Kugan, 17 buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hari ini tampil memberi sokongan kepada pasukan itu. Pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan itu melahirkan keyakinan tidak berbelah bahagi terhadap keupayaan polis untuk menangani kes kematian suspek curi kereta mewah itu. Malah, mereka percaya polis mampu menangani kes ini dengan telus dan adil. Penasihat undang-undang kepada gabungan NGO itu, Datuk Theng Book berkata, orang ramai perlu menghentikan segala spekulasi mengenai kematian Kugan.
“Pemimpin politik tidak perlulah menggembar-gemburkan isu ini sehingga boleh menimbulkan kekeliruan bahawa suspek jenayah mempunyai kekebalan dari segi undang-undang.
“Pemahaman sedemikian boleh dieksploitasi. Ini akan membawa kepada peningkatan jenayah dan kecenderungan untuk menjadi penjenayah,” katanya pada sidang akhbar yang dihadiri kira-kira 100 ahli gabungan NGO itu di Pusat Bandar Puchong dekat sini, hari ini. Beliau yang mewakili gabungan itu yakin keputusan siasatan kes Kugan dapat dibuat secara adil dan saksama bagi memuaskan hati semua pihak. Kugan, suspek kes curi kereta mewah yang ditahan polis pada 15 Januari lalu, meninggal dunia ketika berada dalam tahanan empat hari kemudian. Keputusan bedah siasat pertama menunjukkan mendiang mati akibat paru-paru berair. Bagaimanapun, keputusan itu tidak dapat diterima ahli keluarganya yang memohon supaya bedah siasat kali kedua diadakan. Keputusan bedah siasat itu dijangka dapat diperolehi dalam tempoh beberapa minggu ini.

Book juga meminta semua pihak bertenang menghadapi kes itu kerana Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail telah memberi jaminan siasatan kes tersebut akan dijalankan secara telus. Antara NGO yang hadir pada sidang akhbar itu ialah Persatuan Por Tor Puchong Jaya, Persatuan Penduduk Puchong Indah, Persatuan Penduduk Puchong Intan dan Persatuan Penduduk Kampung Tengah. Persatuan Penduduk Puchong Perdana, Persatuan Penduduk Balakong, Persatuan Penduduk Pangsapuri Puchong Jaya dan Rukun Tetangga Pangsapuri Puchong Jaya. Persatuan Penduduk Pusat Bandar Puchong, Persatuan Penduduk Sungai Besi Indah, Persatuan Penjaja Pasar Pagi Puchong Indah, Persatuan Tarian Singa Balakong, Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Puchong, Persatuan Penganut Dewa Cheng Nam Tin, Persatuan Penganut Zheng Yuan Puchong Selatan dan Persatuan Buddhist Batu 14, Puchong.
Book juga meminta ahli-ahli politik tidak memperbesarkan isu kematian ini kerana ia boleh mewujudkan perpecahan kaum.
“Kita harus ingat, polis banyak berjasa kepada masyarakat dalam menjaga ketenteraman dan keselamatan awam tanpa mengira waktu. Rakyat juga harus sedar kita masih memerlukan kewibawaan dan khidmat bakti polis untuk melindungi keselamatan orang awam,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment