Monday, 29 June 2009

Perlembagaan payung keselamatan : Dato Ruhanie Ahmad

Utusan Malaysia


Oleh RUHANIE AHMAD


Matlamat Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan perlu dihayati semula sebelum pindaan dilakukan kepada mana-mana akta keselamatan negara, khususnya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

Peruntukan ini memberikan kuasa kepada kerajaan untuk mencegah perbuatan subversif, keganasan terancang dan jenayah yang memudaratkan awam.

Ia juga merupakan teras kepada undang- undang seperti ISA, di samping mencegah pelbagai ancaman yang dijangka muncul (perceived threats) dan ancaman keselamatan bukan tradisional seperti terorisme, sabotaj, cauvinisme dan pengkhianatan.

Dalam konteks kajian keselamatan kontemporari, peruntukan ini bukan sahaja menjamin keselamatan negara, malahan keselamatan politik, keselamatan masyarakat dan keselamatan ekonomi yang dikaji secara meluas dan mendalam berikutan beberapa konflik etnik di era pasca Perang Dingin.


Antara kajian ini terkandung dalam buku-buku Buzan (1991), Buzan, Waever, De Wilde (1998), Scherrer (2003), Mackerras (2003), Guzzini & Jung (2004), Sheehan (2005), dan Booth (2007).
Keselamatan Politik


Buzan (1991:19) menyatakan, keselamatan politik adalah mengenai keupayaan organizational sesebuah negara, sistem kerajaan dan ideologi yang menjadi legitimasi kerajaan berkenaan.


Aspek keselamatan ini terkandung dalam Perkara 149(1)(b) yang mencegah tindakan "membangkitkan perasaan tidak suka terhadap Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana kerajaan dalam Persekutuan."

Dan, Perkara 149(1)(d) yang melarang tindakan "untuk mendapatkan diubah, dengan apa-apa cara lain daripada cara yang sah, apa-apa jua yang tertubuh menurut undang-undang" di Malaysia.


Maksud 149(1)(d) diperjelaskan oleh mukadimah ISA yang menyatakan "untuk mendapatkan perubahan, selain dengan cara yang sah. Kerajaan Malaysia yang sah yang ditubuhkan menurut undang-undang."


Kedua-dua peruntukan Perlembagaan ini menjamin keselamatan politik kerana institusi Yang di-Pertuan Agong adalah lambang demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang menjadi ideologi nasional negara. Tindakan merobah kerajaan secara tidak sah pula adalah mencanggahi prinsip-prinsip demokrasi.


Keselamatan Masyarakat


Keselamatan masyarakat adalah mengenai kemampanan pola tradisional bahasa, kebudayaan dan agama serta identiti dan adat resam dalam suatu keadaan yang melalui evolusi (Buzan (1991:19)

Lazimnya, keselamatan masyarakat juga merangkumi keselamatan insan seperti keselamatan pribumi, keselamatan etnik dan keselamatan identiti.


Aspek keselamatan ini terangkum dalam Perkara 149(1)(a) yang mencegah tindakan "menyebabkan kekerasan yang dirancang terhadap orang atau harta, atau untuk menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan kekerasan itu;"

Perkara 149(1)(c) yang mencegah perbuatan "mengembangkan perasaan jahat atau permusuhan antara beberapa kaum atau golongan penduduk yang mungkin menyebabkan kekerasan;"

Dan, Perkara 149(1)(f) yang melarang tindakan "yang mendatangkan mudarat ketenteraman awam atau keselamatan, dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya."

Peruntukan ini juga terkandung dalam Mukadimah ISA yang melarang individu melakukan keganasan terancang dan Fasal 8(1) ISA yang mengizinkan tahanan pencegahan ke atas individu yang berhasrat mendatangkan mudarat kepada keselamatan Malaysia.

Seluruh peruntukan ini selaras dengan ciri-ciri keselamatan masyarakat kerana api perkauman dan konflik etnik, jika tidak dicegah, boleh menjejaskan kesejahteraan serta identiti rakyat Malaysia yang majmuk.

Ini membuktikan ISA yang bersumberkan Perkara 149 bukan undang-undang yang bertujuan untuk melenyapkan pengkritik kerajaan, ketua parti pembangkang, pemimpin pelajar dan peneraju kesatuan sekerja, seperti dipropagandakan oleh pemimpin pembangkang tertentu di Malaysia.

Sebaliknya, Perkara 149 dan ISA adalah undang-undang yang menghalalkan tindakan sesiapa juga yang memerintah Malaysia untuk melindungi keselamatan rakyat supaya identiti mereka tidak terjejas, konflik etnik dapat dibendung dan keganasan etnik dapat dielakkan.

Keselamatan Ekonomi

Buzan (1991:19) menghuraikan, keselamatan ekonomi melibatkan akses kepada sumber-sumber, kewangan dan pasaran yang diperlukan untuk memelihara tahap kebajikan rakyat dan kuasa negara.

Aspek keselamatan ini termaktub dalam Perkara 149(1)(a) yang melarang tindakan "kekerasan yang dirancang terhadap harta", dan Perkara 149(1)(e) yang melarang tindakan yang "mendatangkan mudarat kepada ketenteraman awam atau keselamatan dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya."

Aspek ini juga terkandung dalam Fasal 8(1) ISA mengenai tindakan individu yang "boleh mendatangkan mudarat kepada penyenggaraan perkhidmatan perlu di dalam negara atau kepada kehidupan ekonominya."

Huraian ini membuktikan bahawa keselamatan ekonomi negara dan rakyat adalah dilindungi oleh Perkara 149 dan ISA. Sebarang dakyah sebaliknya adalah bertujuan untuk mengelirukan rakyat supaya mendesak kerajaan memansuhkan ISA.

Keselamatan Rejim

Seluruh peruntukan dalam Perkara 149 dan ISA juga memberikan perlindungan kepada keselamatan rejim yang memfokus kepada negara, individu, dan kumpulan sosial di sesebuah negara.

Antara nilai-nilai teras yang dipertahankan menerusi konsep keselamatan rejim adalah ideologi politik pemerintah, perpaduan etnik, keharmonian agama, institusi raja, pembangunan dan kemakmuran.

Keselamatan rejim disifatkan sebagai keselamatan kerajaan (Buzan 1985) kerana ia memelihara kelangsungan negara Dunia Ketiga, khususnya bila masyarakat majmuknya tidak berkongsi nilai dan kepentingan nasional yang serupa.

Keselamatan Pribumi

Keselamatan pribumi dihuraikan secara tidak langsung menerusi konsep keselamatan etnik dan identiti yang antara lainnya adalah mengenai migrasi serta dampaknya kepada penduduk asal di sesebuah negara.

Menurut Sheehan (2005:92), Buzan menyifatkan migrasi sebagai ancaman kepada masyarakat kerana ia mengancam identiti warganegara (pribumi) di sesebuah negara. Isu migrasi dikategorikan sebagai ancaman keselamatan sejak tahun 1990-an.

Scherrer (2003:95-97) pula menyatakan, serangan terhadap identiti sesuatu kelompok boleh mendorong pemberontakan; perbuatan mempolitikkan etnisiti makin bertambah; dan etnisiti terus menjadi elemen dalam sesuatu pertelingkahan sosial.

Huraian ini membuktikan tindakan mempertikaikan peruntukan Perlembagaan mengenai Islam, Raja Melayu, Bahasa Melayu, orang Melayu, Bumiputera dan keistimewaan mereka, adalah tindakan anti-nasional.

Ini kerana tindakan sedemikian boleh "menimbulkan perasaan jahat atau permusuhan antara beberapa kaum atau golongan penduduk yang mungkin menyebabkan kekerasan," seperti yang dihuraikan dalam Perkara 149(1)(c).


Tindakan Futuristik

Oleh sebab itu para pejuang kemerdekaan Malaysia menangani masalah etnisiti seperti ini secara proaktif. Ia dilakukan menerusi kewujudan konsep pribumi yang ditafsir secara Perlembagaan dalam Perkara 160, 161A, (6)(a)), 161A(7) dan 161A(6)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Konsep kewarganegaraan rakyat bukan pribumi pula ditafsir secara Perlembagaan menerusi Perkara 14, 15, 15A, 16, 16A, 18, 19 dan 22 Perlembagaan Persekutuan. Tafsiran ini juga berasaskan prinsip muafakat dan toleransi antara kaum.

Menurut Leong H. Liew (2005:88), pemberian hak-hak kewarganegaraan kepada bukan Melayu di Malaysia adalah sebagai pertukaran kepada pengiktirafan bukan Melayu kepada hak-hak istimewa orang Melayu.

Etnik keturunan Cina khususnya, wajar menginsafi hakikat ini kerana Mackerras (2003) membuktikan bahawa layanan terhadap masyarakat minoriti di Malaysia adalah lebih baik berbanding di China, Indonesia dan Thailand.

Etnisiti di negara-negara tersebut, melainkan di Indonesia dan Thailand, memang belum pernah mencetuskan konflik seperti tragedi 13 Mei. Ini kerana ketiadaan aktor politik yang mengeksploitasikan isu-isu etnisiti.

Ini membuktikan bahawa masalah etnisiti di Malaysia boleh dibendung dan dielakkan sekiranya tiada pemimpin politik menggunakan isu berkenaan untuk mendapatkan pengaruh dan sokongan.

Menurut Leong H. Liew (2005: 92-93), eksploitasi isu-isu etnik dilakukan secara agresif oleh parti-parti pembangkang Cina sewaktu Pilihan Raya Umum (PRU) tahun 1969.


Mereka memperolehi pertambahan kerusi. Tetapi, tindakan mereka menyebabkan orang Melayu terancam sehingga mencetuskan ketakutan dan kemarahan yang belum pernah terjadi sejak Perang Dunia Kedua. Akibatnya adalah Tragedi 13 Mei 1969.

Pelindung Rakyat

Kesimpulannya, tragedi 13 Mei boleh berulang jika masih ada pihak mengeksploitasi isu-isu etnik. Ia juga boleh meletus kerana isu etnik yang digandingkan dengan isu hak-hak asasi kini jadi semakin ketara.

Wacana mengenai hak-hak asasi ini dimunculkan menerusi pelbagai tuntutan hak-hak sivil, politik, etnik dan demokrasi. Wacana ini terbahagi kepada aliran universalis yang menerima dukungan Barat dan aliran komunitarian yang wujud di Asia (Mackerras 2003:4-5).

Pendukung aliran universalis menitikberatkan hak-hak sesuatu kelompok. Mereka ketepikan elemen sejarah dan permuafakatan kaum. Mereka juga tidak pedulikan dampak negatif perjuangan mereka kepada keselamatan negara dan rakyat.

Gerakan ini kian menonjol di Malaysia. Kes-kes membabitkan Islam diheret ke mahkamah sivil. Keistimewaan pribumi terus dipolitikkan. Bahasa Melayu cuba disinonimkan dengan bahasa etnik lain, termasuk untuk kegunaan di papan tanda jalan.

Fenomena ini membuktikan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan dan ISA adalah penting untuk melindungi seluruh peruntukan Perlembagaan mengenai pribumi yang masih dipolitikkan oleh sesetengah pemimpin parti politik di Malaysia.

Ia juga memperkukuhkan hujah bahawa seluruh peruntukan Perlembagaan mengenai Agama Islam, Raja-Raja Melayu, orang Melayu, Bumiputera, dan Bahasa Melayu tidak akan mencetuskan konflik etnik jika tidak dieksploitasi oleh sesetengah pemimpin politik dan pertubuhan sivil.

Oleh itu, rakyat Malaysia tidak harus terpengaruh dengan dakyah kononnya ISA yang bersumberkan Perkara 149 Perlembagaan Persekutuan adalah akta yang menindas rakyat.

Sebaliknya, semua undang-undang keselamatan di Malaysia yang bersumberkan Perkara 149, termasuk ISA adalah penting untuk menjamin keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat jelata.

Undang-undang seperti ini tidak wajar dimansuhkan. Sebarang pindaan mengenainya tidak boleh mengkompromikan matlamat Perkara 149 yang melindungi kepentingan serta kelangsungan pribumi, rakyat bukan pribumi, dan lain-lain peruntukan strategik dalam Perlembagaan Persekutuan.

DATUK RUHANIE AHMAD

Mantan Ahli Parlimen Parit Sulong

merangkap Naib Presiden Perkasa

No comments:

Post a Comment