Monday, 15 June 2009

PUISI DATO A. KADIR JASIN : SEMPENA LAWATAN LEE KUAN YEW !

Dipetik dari Blog : The Scribe A. Kadir Jasin

Monday, June 15, 2009

Buat Baik Biarlah Berperi
A Kadir Jasin

LEE Kuan Yew datang dan pergi
Mengadap Raja, mengunjung Menteri
Bermesra dengan anak dan bini
Semuanya seronok tidak terperi.

Konon dipanggil “Uncle Lee”
Khabar cerita digelar “Daddy”
Satu Semenanjung dia pergi
Melawat negeri BN, Pas dan DAP.

Maka ramailah tunduk tafakur
Kerana “Uncle Lee” orang masyhur
Datang berduyun berbaris beratur
Hendak mendengar nasihat yang jujur

Maka “Daddy Lee” pun berkata
Suami-isteri pasangan bahagia
Malaysia-Singapura jiran tetangga
Marilah kita hidup bersama.

“Uncle Lee” orangnya bijak
Kawan dan lawan semua dipijak
Dari zaman penjajah sudah pun nampak
Kawan baik ke penjara dicampak.

Cina, Melayu, India dia tak kira
Semua berkawan akrab dan mesra
Tetapi bila hendak berkuasa
Satu persatu dihumban ke penjara.

A Samad Ismail jangan dilupa
Lim Chin Siong itu siapa?
Devan Nair dikatakan gila
Kerana di depan “Daddy Lee” berani bersuara.

Tetapi itu cerita lama
Orang muda tak tahu apa
Tentang sejarah mereka buta
Cetek ilmu malas membaca.

Maka mereka pun sangatlah bangga
Dengan “Uncle Lee” dapat bersemuka
Lalu dilayan ibarat Maharaja
Bebaslah dia ke mana-mana.

Inilah kita orang Melayu
Mudah dipujuk, mudah dirayu
Kera di hutan diberikan susu
Anak di rumah letih dan lesu.

Ingatlah kata madah pujangga
Gula yang manis bawa bahaya
Dengan jiran kita bermesra
Tapi jangan tergadai bumi pusaka.

LKY datang dan pergi
Hebohlah kita satu negeri
Buat baik biarlah berperi
Takut tergadai kampung dan negeri.

Di pinggir sawah melakar kata
Ampun dan maaf terkasar bahasa
Nasib petani janganlah dilupa
Kerana merekalah makanan tersedia.

Posted by A KADIR JASIN at 11:04 AM

Penghuni Gua : Fikirkanlah wahai bangsaku , bangsa Malaysia. Dato A. Kadir Jasin melukis segala. Fikirkanlah dengan minda yang terbuka. Kita semua jangan bersengketa.
Kura-kura dalam perahu
Pura-pura tak tahu?

2 comments:

  1. Salam bro. Kawan nak berpantun pulak.

    Guna timba mengumbah telaga,
    Ambil air membasuh pegaga,
    Matanya sepet, otaknya bergeliga,
    Penuh rahsia dan muslihat belaka.

    ReplyDelete
  2. kah, kah, kah. kah, bagus, bagus

    ReplyDelete