Wednesday, 9 September 2009

SISTEM KEADILAN JENAYAH : KES MENGAMBIL KAD PENGENALAN PENGUNDI SEMASA PRU !


1996 5 MLJ 301 PP V WONG SING NANG


Bahasa Malaysia Summary:


Tertuduh telah dituduh dengan tiga kesalahan di bawah s 9(1) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 (‘Akta tersebut’). Dalam pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merampas kad pengenalan seorang yang bernama Terry ak Kilat (‘PW3’) yang merupakan pengundi yang didaftarkan dengan stesyen mengundi di Sekolah Rendah Kebangsaan Nanga Assan (‘SRK Nanga Assan’) dan dengan itu telah menghalangnya daripada membuang undi.

Dalam pertuduhan kedua, tertuduh didakwa merampas kad pengenalan seorang yang bernama Dyg Rapieah bte Awang Hassan (‘PW4’) yang juga merupakan pengundi yang didaftarkan dengan stesyen mengundi di SRK Nanga Assan dan dengan itu telah menghalangnya daripada membuang undi. Dalam pertuduhan ketiga, tertuduh didakwa merampas kad pengenalan seorang yang bernama Genick bin Likau (‘PW5’) yang merupakan pengundi yang didaftarkan dengan stesyen mengundi di SRK Nanga Assan dan dengan itu telah menghalangnya daripada membuang undi.

Kesalahan itu dikatakan telah dilakukan pada 25 April 1995 kira-kira pada 1 tengah hari di persekitaran stesyen mengundi di SRK Nanga Assan. Isu-isu yang perlu diputuskan oleh mahkamah adalah: (i) sama ada PW3, PW4 dan PW5 adalah pengundi berdaftar; (ii) sama ada tertuduh berada di persekitaran stesyen mengundi semasa pengundian dijalankan untuk merampas dan menahan kad-kad pengenalan PW3, PW4 dan PW5; dan (iii) sama ada akibatnya tertuduh telah menghalang mereka daripada mengundi.

Diputuskan:

Diputuskan, membebaskan tertuduh:

(1) Keterangan berkenaan setiap pertuduhan hendaklah dipertimbangkan secara berasingan. Tambahan pula, sebelum kes prima facie boleh didirikan, adalah menjadi tugas mahkamah untuk menjalankan penilaian keterangan secara maksimum untuk memastikan sama ada pihak pendakwa telah membuktikan setiap unsur penting kesalahan tersebut melampaui keraguan yang munasabah (lihat ms 305E–F); Tan Boon Kean v PP [1995] 3 MLJ 514 diikut.

(2) Menurut peraturan 14 Peraturan-Peraturan Pilihanraya (Penjalanan Pilihanraya) 1981, daftar pengundi merupakan keterangan prima facie untuk menentukan sama ada seseorang itu berhak untuk mengundi di mana-mana kawasan pilihanraya. Oleh kerana nama-nama PW3, PW4 dan PW5 terdapat di dalam daftar pengundi, maka mereka patut dianggap sebagai pengundi-pengundi berdaftar dan menurut peraturan 5 Peraturan-Peraturan Pilihanraya (Pendaftaran Pengundi-Pengundi) (Sarawak) 1971, mereka berhak mengundi (lihat ms 307B–C).

(3) Berdasarkan keterangan saksi-saksi pihak pendakwa, pihak pendakwa telah mengemukakan dua versi yang bercanggah berkaitan dengan masa tertuduh telah sampai dan meninggalkan stesyen mengundi itu. Memandangkan bahawa keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwa adalah tidak bebas daripada keraguan yang munasabah, maka pihak pendakwa tidak boleh dikatakan telah membuktikan melampaui keraguan yang munasabah satu unsur yang penting kesalahan tersebut iaitu bahawa tertuduh berada dalam persekitaran stesyen mengundi di SRK Nanga Assan kira-kira pada pukul 1 tengahari pada 25 April 1995.

Mungkin sekali, tertuduh telah sampai di sana pada pukul 2 petang. Dengan itu, biarpun tertuduh telah mengambil kad pengenalan PW3, PW4 dan PW5, ianya tidak boleh dikatakan bahawa beliau telah menyekat mereka dengan tujuan menghalang mereka daripada membuang undi kerana pembuangan undi telah tamat pada pukul 2 petang pada hari itu (lihat ms 314D–315A).

(4) Andainya penemuan fakta bahawa tertuduh telah tiba di stesyen mengundi pada pukul 2 petang adalah salah, tertuduh masih tidak boleh dikatakan telah menghalang PW3, PW4 dan PW5 daripada mengundi dengan mengambil kad-kad pengenalan mereka kerana seseorang pengundi boleh mengundi tanpa kad untuk membenarkan seorang pengundi untuk mengundi terletak pada pegawai berkuasa di setiap stesyen mengundi.

Sekiranya terdapat apa-apa halangan, ianya adalah daripada penduduk rumah panjang yang telah membantah terhadap PW3, PW4 dan PW5 membuang undi di SRK Nanga Assan. Memandangkan tiada keterangan yang menunjukkan bahawa tertuduh telah memulakan tindakan penduduk rumah panjang itu, maka tertuduh tidak boleh dikatakan telah menyekat pengadu-pengadu supaya menghalang mereka daripada membuang undi (lihat ms 315B–316B); Tg Nawawi bin Tengku Ab Kadir lwn Lokman bin Muda & Lain-Lain Lagi [1996] 1 CLJ 551 diikut.]

Penghuni Gua : Semuga semua pembaca dan pelajar dan agen calun parti yang bertanding di dalam mana-mana PRU atau PRK memahami kes ini. Dan belajar dari keputusan kes ini.

2. Semuga ilmu kita terus bertambah. Kalau tidak jadi pakar pun sudah memadai kita semua dapat berhujah secara berhemah dan bukan menggunakan " Keng" ( loghat kelantan ). He he he he he!

No comments:

Post a Comment