Saturday, 3 October 2009

UNDANG-UNDANG KETERANGAN : PENGISTIHARAN KEMATIAN DAN KES-KES MENGENAINYA !


Pengisytiharan Kematian (Dying Declaration ).


Merupakan pengecualian kepada peraturan dengar cakap. Ianya merupakan kenyataan dari orang-orang yang tidak boleh dipanggil sebagai saksi, tetapi masih relevan dan boleh diterima. Peruntukannya terdapat di bawah seksen 32;

i. Dari orang yang telah mati.
ii. Dari orang yang tidak boleh dijumpai.
iii. Dari orang yang menjadi tidak berupaya memberi keterangan.
iv. Dari orang kehadirannya tidak boleh dibuat tanpa kelengahan atau belanja dari biasa.

Peraturan umum.

Adalah peraturan umum keterangan bahawa keterangan terbaik hendaklah dikemukakan. Lihat seksen 60(1)(a) – (d) dibaca bersama dengan seksen 3(a) iaitu keterangan lisan hendaklah secara terus dan dibuat di bawah Akta Ikrar dan Sumpah. Keterangan tersebut mestilah :

i. Dibuat secara bersumpah.
ii. Ianya boleh disoal balas untuk menguji kebenaran sesuatu fakta yang relevan.

Leong Hong Khie V PP dan Tan Gong Wai v PP [1986] 2MLJ 206 FC

Hakim Seah berkata ` Peraturan umum keterangan dengar cakap tidak boleh diterima sebagai bukti sesuatu fakta yang dinyatakan oleh orang ketiga. Peraturan ini telah lama terbentuk sebagai prinsip asas dalam undang-undang keterangan`. Hakim telah memetik kes Teper V R [1952] AC 480 : ` Peraturan penerimaan keterangan dengar cakap mempunyai asas ianya bukan keterangan terbaik dan tidak boleh diterima dalam keterangan dibuat secara bersumpah. Kebenaran dan ketepatan perkataaan dari orang ketiga tersebut yang memberi keterangan tidak dapat diuji melalui pemeriksaan balas dan demeanour(tingkahlaku) baik saksi tersebut memberi keterangan akan hilang`.

Bahaya lain keterangan dengar cakap tidak boleh diterima adalah ianya mungkin akan terdapat mereka cerita (concocted), pemalsuan dan disesuaikan untuk memenuhi keterangan saksi tersebut.

Walau bagaimanapun seksen 32 dan 33 adalah pengecualian kepada peraturan umum dan diterima atas alasan keperluan atau kemudahan , walaupun keterangan dengar cakap secara semula jadinya suatu keterangan yang lemah.

Seksen ini adalah pengecualian oleh kerana saksi tersebut tidak boleh dipanggil dan tidak ada keterangan lain. Beban membuktikannya adalah pada pihak yang ingin menggunakan keterangan tersebut dan mestilah memenuhi syarat yang dinyatakan di bawah seksen 32.(tidak boleh dijumpai, mati dll). Keterangan yang tidak memenuhi kategori seperti seksen 32 adalah tidak boleh diterima. Seksen 32 adalah terpakai untuk kes-kes jenayah dan juga sivil. Keterangan orang-orang tidak boleh dipanggil dan sebagainya di bawah seksen 32 mestilah dibuktikan dengan ketat. Jika syarat-syaratnya tidak berpuas hati maka keterangannya tidak boleh diterima.

Allied Bank (M`sia ) Bhd v Yau Jiok Hua (1998) 6 MLJ 1 (HC)

hakim Augustine Paul berkata ` ..... seksen 32 hendaklah dibaca dengan ketat yang bermakna ianya mestilah dibuktikan secara ketat untuk menjelaskan ketidak hadiran saksi .Beban untuk membuktikan keadaan tersebut adalah pada pihak yang ingin menggunakan keterangan berkenaan...`.

Lam Peng Hoa & Anor [1996] 5 MLJ 405 (HC)

hakim Hwee Gee merujuk kepada buku Sarkar On Law of Evidence ( Edisi ke 14) pada muka 649 menyatakan apabila tidak ada pencarian yang bersungguh –sungguh (deligent) dan usaha yang munasabah untuk mendapatkan kehadiran saksi, mahkamah tidak boleh membuat dapatan (finding) bahawa saksi tersebut tidak boleh dijumpai dan keterangan mereka ini tidak boleh diterima.

Dengan hanya tidak mempeduli (mere ignorance ) di mana saksi berada adalah tidak mengcukupi untuk menggunakan seksen ini.

Satish Chandra Seal V Emperor

– sebelum sebarang keterangan diterima di bawah mana-mana peranggan seksen 32 , satu asas yang kukuh penerimaannya mestilah dibuat .

Seksen 32(a) adalah kenyataan dari seorang yang mati atau dikenali sebagai pengistiharan kematian. Penerimaannya adalah berdasarkan kepada maxim :

Nemo Moritur Praesumntur Mentiri yang bermaksud orang yang hampir mati tidak boleh berbohong.

Justifikasi penerimaan perisytiharan kematian.

Pengistiharan kematian adalah kenyataan dari orang yang telah mati dan terjumlah kepada keterangan dengar cakap. Walau bagaimapun ia telah dibuat pengecualian kepada dengar cakap atas alasan :

i. Satu keperluan oleh kerana tidak ada keterangan lain dan jika tidak dibenarkan akan menggagalkan keadilan.
ii. Undang-undang telah membuat anggapan orang yang hampir mati tidak akan berbohong. Perasaan menghadapi kematian adalah sama seperti keterangan yang dibuat secara bersumpah.

Pengistiharan kematian boleh dibuat kepada mana-mana anggota polis, Magistrate atau orang persendirian. Tidak diambil kira kepada siapa kenyataan dibuat. Ianya boleh dalam bentuk repot polis ( FIR –First Information Report) atau rakaman kenyataan yang dibuat kepada polis.

Penerimaan awal kenyataan kematian diterima dalam kes bunuh atau bunuh tanpa sengaja dengan syarat kenyataan itu dibuat dalam keadaan tidak ada harapan atau pasti akan mati (settled or hopeless expectations of death) dan saksi yang memberi keterangan apa yang dengar dari simati adalah merupakan saksi yang kompeten.

R V Woodcock (kurun ke 18)

Eyre C.B telah menerangkan rasional penerimaanya `....Prinsip umum keterangan ini diterima adalah pengistiharaan dibuat dalam keadaan amat sangat kepada kematian dan setiap harapan kepada dunia tiada, motif untuk membuat pemalsuan tiada dan fikirannya adalah di pengaruhi pertimbangan untuk bercakap benar dan tanggugjawab undang-undang untuk menyamakan pengakuan tersebut sebagai pengakuan positif bersumpah dalam mahkamah keadilan`.

Keperluan yang diperlukan pada Pengisytiharan Kematian dalam undang-undang am.

i. Pasti tidak ada harapan untuk hidup (settled Hopeless Expection of Death) - Perasaan yang dipunyai bukanlah ketakutan akan mati tetapi keadaan suci hati bahawa dia tidak lama lagi akan mati (Solemn conviction) dan tidak ada harapan untuk sembuh. Fakta orang tersebut tidak mati selepas beberapa waktu tidak memberi kesan kepada kebolehterimaan selagi ianya berlaku dalam kedekatan (proximity) tertentu.
ii. Pembicaraan kepada tertuduh dengan tuduhan bunuh atau bunuh tanpa sengaja dan keterangan ini hanya terhad kepada pembunuhan sahaja. Dalam kes

R V Mead hakim Abbot C.J

` Keterangan sebegini hanya boleh diterima di mana kematian simati adalah tuduhan yang dibuat dan keadaan kematian berlaku adalah perkara pengisytiharan kematian.` Kecuaian jenayah dengan menyebabkan kematian telah diputuskan juga boleh diterima keterangan pengisytiharan kematian kerana jenayah sebegini adalah juga terjumlah di bawah bunuh tidak sengaja.

iii. Pengisytiharan kematian juga terhad kepada pengisytiharan kematian diri seorang itu sendiri dan perkara dalam tuduhan yang dibicarakan.

( Nota : Jika orang yang membuat kenyataan tersebut hidup maka kenyataan tersebut bukanlah pengisytiharan kematian. Di bawah akta keterangan di Malaysia kenyataan berkenaan boleh dijadikan keterangan sokongan di bawah seksen 157).

Undang-undang umum pengisytiharan kematian adalah lebih ketat/sempit dari undang-udang yang terdapat di Malaysia. Di bawah undang-undang umum pengisytiharan kematian adalah kenyataan dibuat oleh orang yang mati tentang kematiannya atau keadaan yang menyebabkan dia mati. Di bawah undang-undang umum ianya diterima dalam kes-kes jenayah bunuh dan bunuh tanpa sengaja.

Di bawah undang-undang umum pengisytiharan kematian hendaklah dibuat pada hampir mati atau tidak ada harapan untuk hidup iaitu bahaya sebenar kematian segera akan berlaku semasa kenyataan dibuat dan dengan penuh sedar kematian akan berlaku. Dengan lain perkataan pengetahuan mengenai kematian telah pun ada sebelum kematian berlaku.

Jika kenyataan dibuat sebelum hampir kematian berlaku , kedekatan (proximity) kematian hendaklah ditunjukkan sebelum kenyataan dibuat. Ini bermakna selepas kenyataan dibuat dan simati meninggal selepas 2 -3 hari kemudian , kemungkinan besar kenyataan tersebut tidak boleh diterima.

Pengisytiharan kematian di bawah Akta Keterangan Malaysia, 1950

Seksen 32 (a) adalah berkaitan dengan kerelevanan kenyataan mangsa dalam kes jenayah di mana sebab kematianya dipersoalkan. Oleh yang demikian kenyataan adalah dari orang yang menyatakan sebab kematian mangsa atau kenyataan sebarang keadaan transaksi yang menyebabkan kematian mangsa (nota : perkataan transaksi ditambah). Akta Keterangan di Malaysia mempunyai skop yang lebih luas. Di bawah Undang-undang umum pengisytiharan kematian hanya diterima dalam kes bunuh dan bunuh tanpa sengaja.

Seksen 32(a) terpakai dalam kedua-dua kes jenayah dan sivil. Perbezaan utama dengan undang-undang umum adalah ianya tidak perlu dibuat dalam keadaan hampir mati. Kenyataan dibuat sungguh pun sebelum kematian hampir adalah juga diterima di bawah seksen 5. Jika kenyataan dibuat sebelum hampir kematian , kedekataan adalah perlu ditunjukkan kepada kenyataan yang diberikan. Di bawah akta keterangan harapan atau pengetahuan akan mati tidak diperlukan.

Kenyataan orang yang telah mati.

Mestilah ada keterangan bukti kematian. Cara terbaik adalah dengan megemukakan salinan sijil mati. Kematian juga boleh dibuktikan dengan fakta yang boleh dibuat anggapan di bawah seksen 107 dan 108 Akta Keterangan. Kematian juga boleh dibuktikan dengan keterangan lisan.

PP V Leong Heo Cheong [1990] 2 CLJ 818 .

..Pendakwa telah membuktikan fakta kematian Sidek sungguhpun tanpa bantuan sijil kematian. Dengan merujuk kepada keterangan PW1, PW2, kesemua mereka kawan tertuduh, memberi keterangan tanpa dicabar bahawa Sidek telah mati sebelum pembicaraan bermula. Pw2 iaitu ketua kepada Sidek telah memberi keterangan bahawa sabjek telah mati pada 14 June,1989. Oleh itu keperluan awal pembuktian kematian seksen 32 adalah dipenuhi oleh pendakwa.

Nilai keterangan pengisytiharan kematian.

Ianya tidak dibuat dengan cara bersumpah. Kenyataannya tidak boleh disoal balas. Tidak ada peraturan undang-undang menyatakan kenyataannya perlu di sokong ( Corroborate) .

Nembhard V R [1982] 1 ALL ER 183

– Privy Counsel menolak bahawa kenyataan pengisytiharan kematian perlu disokong.

Kushla Rao V State of Bombay ( AIR) 1958 SC 22 . Mahkamah menyatakan:

i. Ianya tidak boleh dikatakan peraturan mutlak undang-undang, pengisytiharan kematian tidak boleh dijadikan asas sabitan jika keterangannya tidak disokong.

ii. Setiap kes hendaklah ditentukan pada faktanya sendiri mengikut keadaan pengisytiharan kematian dibuat.

iii. Ianya tidak boleh dikatakan pengisytiharan kematian suatu jenis keterangan yang lemah.

iv. Pengisytiharan kematian yang dirakam oleh seorang magistrate kompeten dengan cara yang betul iaitu dalam bentuk soalan dan jawapan dan seberapa yang boleh dengan perkataan yang dikatakan oleh pembuatnya mempunyai asas yang lebih tinggi dari pengisytiharan kematian yang hanya bergantung kepada keterangan lisan yang mungkin mengalami kecacatan ingatan dan kelakuan manusia.

State of Uttar Pradesh V Chet Ram & Ors [1990] 1 CLJ 1079

Mahkamah Agong menyatakan pengisytiharan kematian tidak perlu dikatakan, tidak memerlukan keterangan sokongan seperti rakan sejenayah atau pengakuan salah. Walau bagaimana pun sekiranya simati yang membuat pengisytiharan kematian adalah rakan sejenayah maka sokongan keterangannya adalah diperlukan dan di ingini.

Pengisytiharan kematian boleh dalam bentuk lisan atau tanda-tanda, isyarat yang dibuat oleh simati.

Queen Empiers V Abdullah IRL 7 385 ,

Tertuduh dibicarakan dengan membunuh seorang pelacur dengan memotong leher menggunakan pisau cukur. Oleh kerana kecederaan yang dialami mangsa tidak boleh bercakap. Pihak polis telah menyebut beberapa nama untuk dikenali oleh mangsa. Apabila nama tertuduh disebut mangsa telah mengangguk kepala dan berkata ` hau` (ya) dengan suara yang sangat perlahan. Apabila ditanya adakah beliau dicederakan dengan pisau cukup, mangsa telah mengangguk kepala. Bila ditanya bila dia berjumpa tertuduh,mangsa telah menunjuk kepada langit yang menunjukkan waktu pagi. Mahkamah memutuskan semua keterangan ini adalah boleh diterima di bawah seksen 32.

Kedekatan (Proximity ) dan pengisytiharan kematian.

Soalan kedekatan hanya boleh diputuskan melalui fakta sesuatu kes.

Pakala Narayananaswamy v The Emperor [1939] PC 8 MLJ 59 .

Isteri perayu telah meminjam duit dari simati. Pada 20 March simati telah menerima surat dari isteri tertuduh menjemputnya kerumah di Berhampur. Si mati telah memberitahu isterinya dia pergi kerumah tertuduh pada 20 hari bulan dan selepas itu simati didapati hilang. Pada 23 hari bulan mayat si mati telah dijumpai dalam 7 bahagian di dalam batang besi dalam compartment kelas ketiga stesen kereta api Puri. Isteri si mati telah memberi kenyataan bahawa si mati telah pergi kerumah tertuduh berikutan dengan surat yang diterima pada 21 hari bulan. Telah dipertikaikan kenyataan demikian adalah dengar cakap dan bukanya pengisytiharan kematian. Walau bagaimanapun mahkamah memutuskan ianya pengisytiharan kematian di bawah seksen 32(a) dengan alasan penyataan adalah keadaan transaksi yang menyebabkan kematian kepada si mati.

Keadaan transaksi ( Circumstances of transaction ).

Untuk layak sebagai pengisytiharan kematian, kenyataan mestilah berhubung kepada dua perkara iaitu sebab kematian atau keadaan transaksi yang membawa kepada kematian. Perkataan keadaan transaksi tidak jelas/tepat dan memerlukan pertimbangan kehakiman.

Yeoh Hock Cheng v R [1938] 1 MLJ 99.

A telah disabitkan salah membunuh seorang perempuan Cina bernama Low Koh. 2 kenyataan masing-masing telah dibuat kepada bapa dan kakaknya pada tarikh berbeza telah diterima sebagai keterangan.

a) Kenyataan kepada bapanya adalah dia menafikan tidur dirumah perayu pada tarikh tertentu disebabkan A telah mengugut untuk membunuhnya sekira diberitahu demikian (jika diberitahu dia sebenarnya tidur dirumah perayu).
b) Kenyataan kepada kakaknya adalah dia akan keluar bersama A dan telah disuruh oleh A untuk memakai pakaian lelaki bagi mengelak dari dikenali. Keadaan transaksi ini telah menyebabkan kematian mangsa.

Mary Shim V PP [1962] 28 MLJ 132

– Isteri (simati) telah memberitahu suaminya dia menjadi sakit setelah mengambil ubat yang dibekalkan oleh perayu. Suaminya juga telah diberitahu bahawa isterinya telah pergi kerumah perayu untuk melakukan pengguguran dan sebatang kayu telah dimasukkan ke dalam rahimnya. Simati menyatakan kayu tersebut telah dikeluarkan olehnya sendiri di mana telah diberikan kepada Dr.Tan.

Di samping kenyataan yang dibuat kepada suaminya simati juga telah menceritakan apa yang dialami kepada kepada Dr. Tan dan juga kepada Magistrate semasa berada di hospital. Kenyataan simati kepada Dr. Tan dan Magistrate adalah jelas boleh diterima di bawah seksen 32 (a) Akta Keterangan.

Sharad V State of Maharashtra 1948 SC 1622

sekali lagi isu kedekatan dan pengisytiharan kematian dibincangkan. Kedekatan masa kenyataan dan masa kematian telah di timbangkan. Simati seorang perempuan telah menulis surat kepada saudaranya tentang kesusahan yang dibuat oleh saudara pihak suaminya. 4 bulan kemudian beliau didapati mati. Surat berkenaan telah digunakan untuk menjadi pengisytiharan kematian di bawah seksen 32 dan diputuskan keadaan demikian tidaklah menghilangkan kedekatan akan sebab kematian.

Fikiran waras (fit state of mind).

Lallubhai Devachand v State of Gujarat AIR 1977 SC 1776.

Fakta adalah simati seorang perempuan telah apabila telah curahkan minyak tanah dan dibakar oleh keluarga pihak si suami. Sebelum meninggal simati telah memberi beberapa kenyataan. Mahkamah Agong menyatakan sebelum kenyataan pengisytiharan kematian diterima ia mestilah ditunjukkan fikiran simati adalah waras. Orang yang merakamkan pengisytiharan kematian hendaklah berpuas hati orang yang membuat kenyataan kematian adalah sedar dengan pemahaman biasa yang boleh diterima.

Kenyataan yang relevan di bawah seksen 32(a) mestilah berkait dengan kematian orang yang membuat kenyataan tersebut. Jika ia mengaitkan kematian orang lain maka ianya tidak boleh diterima.

Re Peria Chelliah Nadar [1942] Mad. 450.

Fakta adalah tertuduh di bicara untuk kesalahan membunuh si mati. Isteri si mati telah membuat kenyataan bahawa tertuduh telah membunuh suaminya. Selepas itu dia membunuh diri. Kenyataan isterinya cuba dijadikan keterangan di bawah seksen 32. Mahkamah memutuskan kenyataan demikian tidak boleh diterima kerana kenyataan tersebut mengaitkan kematian orang lain (suaminya) dan bukan dirinya.

Livera V Abey Wikrema.

Seorang jaga telah didapati mati tergantung pada satu tiang di dalam stor. Sekeping surat dijumpai ditujukan kepada tuannya. Kandungan surat tersebut menyatakan tertuduh bersama 3 yang lain dengan secara paksa masuk ke dalam stor dan mencuri 5 tong minyak dan dia telah gagal untuk menahannya. Tertuduh telah dituduh membunuh ,tetapi dilepaskan kerana magistrate berpendapat mangsa melakukan bunuh diri dan tertuduh telah diubah pertuduhan kepada samun. Hakim berkata surat tersebut tidak diterima sebagai pengisytiharan kematian sebagai sebab kematian tetapi surat tersebut menyatakan mengenai samun.

Hj. Salleh dan Marzuki V PP [1931] FMSLR 229

–Dalam kes ini perayu telah dituduh membunuh orang muslim. Terdapat saksi budak lelaki berumur 11 tahun dan disokong dengan Pengisytiharan Kematian sebulan sebelum kematian. Di dalam surat yang ditemui menyatakan dia takut kepada Marzuki. Mahkamah memutuskan Pengisytiharan Kematian tersebut tidak boleh diterima di bawah seksen 32(a) kecuali surat itu menyatakan sebab kematian. Ianya perkara sebelum berlaku kejadian dan bukan transaksi yang sama. Seksen 32 (a) mestilah dibaca dengan sewajarnya dan surat tersebut bukan transaksi yang sama dan perkara berasingan (remote).

Chan Phuat Khoon V PP [1962] 28 MLJ 132 (HC).

Untuk kenyataan boleh diterima di bawah seksen 32(a) pembuatnya sekiranya hidup mestilah boleh dipercayai.

Chow Siew Poh v PP [1967] 1 MLJ 228 (FC)

– Tidak mengemukakan Pengisytiharan Kematian adalah fatal kepada kes pendakwa.

Pengisytiharan Kematian mestilah lengkap.

Cyril Waugh V King [1950] AC 203 (Privy Cauncil )

– Perayu telah menembak seorang lelaki secara tidak sengaja dengan menyangka pencuri. Sebelum simati meninggal dia telah berkata `lelaki itu ada perselisihan lama dengan saya .......kemudian meninggal. Pengisytiharan Kematian tidak lengkap kerana tidak diketahui siapa yang membunuh dan tidak boleh diterima.

Abdul Satar V State of Mysore [1958] AIR (SC)

- Pengisytiharan Kematian telah dibuat ` Satar shot me off.... I`am ruin, please come ..... ( Satar tembak saya.... saya musnah, tolong datang..... ) . Seorang Range Gonda datang untuk menolong, simati ingin berkata lagi tetapi tidak sempat. Peguam mempertikaikan kenyataan itu tidak lengkap dengan merujuk kepada kes Cyril tetapi mahkamah memutuskannya ianya adalah lengkap kerana dinyatakan Satar yang menembak dan ada orang melihat Satar melarikan diri dari tempat kejadian.

Adakah Pengisytiharan Kematian perlu di rakam. Ianya tidak perlu dirakam ,tetapi jika dirakam ianya mempunyai asas yang lebih tinggi (greater footing). Jika tidak ditulis ianya mestilah dinyatakan dalam perkataan tepat yang diucapkan. Ipsissima Verba- the very words themselves and nothing more or less ( perkataan demi perkataan tidak kurang dan tidak lebih). Adalah amalan baik jika ditulis untuk mengelak keraguan. Kenyataan tidak boleh di ringkaskan.

Toh Lai Heng V Regina [1961] 27 MLJ 53

– Dalam kes ini pegawai polis dan simati adalah cina tetapi bercakap dalam bahasa Melayu. Pegawai polis menyatakan dia telah menulis dengan ringkas dalam bahasa English apa yang dikatakan oleh simati. Diputuskan Pengisytiharan Kematian tidak boleh diterima kerana ringkasan dibuat menimbulkan keraguan. Perkataan tepat yang dikeluarkan oleh mangsa adalah vital.

Tidak dinafikan Pengisytiharan Kematian tidak perlu dibuktikan melalui rakaman tulisan. Terdapat banyak kes di mana saksi tempat pergaduhan atau orang yang datang sebaik saja selepas itu, mendengar perkataan akhir yang disebut oleh simati. Ingatan mereka tentang apa yang disebut adalah boleh diterima sebagai keterangan. Pada praktiknya saksi berkenaan dikehendaki memberi perkataan tepat(exact) diucapkan oleh simati dan sejauh yang relevan, sebarang perkataan yang disebut oleh saksi kepada simati. Sekiranya Pengisytiharan Kematian dirakam secara bertulis iaitu dibuat oleh pegawai penyiasat polis, Magistrate atau seseorang seperti mereka, perkataan sebenar (actual words) mestilah dirakam.

Naranjan Singh V PP [1949] MLJ 122

– Telah diputuskan jika suatu deposisi dibuat dalam bentuk menjawab suatu soalan ,maka rakaman mestilah menunjukkan soalan yang ditanya dan jawapan yang diberikan. Jika tidak dilakukan, nilai deposisi adalah di persoalkan. Dalam kes ini simati bercakap Punjabi dan Magistrate telah menggunakan jurubahasa. Walau bagaimana pun jurubahasa tidak dipanggil memberi keterangan. Pengisytiharan Kematian tidak boleh diterima tidak dapat disahkan ianya benar-benar mewakili apa yang dikatakan oleh simati.

Ong Her Hock V PP [1987] 2 MLJ 45

– Ingatan semula (recollection) perkataan-perkataan akhir disebut oleh simati kepada saksi telah diterima sebagai keterangan. Dalam kes ini perayu telah disabitkan dengan kesalahan membunuh Phua Ah Kau. Simati telah dilihat terhoyong hayang disebuah kaki lima kedai kopi dengan darah di muka dan baju. Dia meminta pembantu kedai kopi memanggil pihak polis. Tidak lama kemudian kawan simati sampai di tempat kejadian dan membawanya ke dalam kereta berdekatan untuk menuggu kehadiran ambulan. Abang kepada simati yang dipanggil tempat kejadian telah bertanya kepada simati adakah serangan berlaku berkaitan dengan perniagaan surat khabar. Jawapan simati adalah negatif. Dia kemudian bertanya siapa yang telah menikamnya dalam bahawa Hokkian dan dijawab oleh simati ` Tiong Gi Tong Eh Lang` yang bermaksud orang dari kongsi gelap Tiong Gi Tong. Tidak lama selepas itu polis sampai dan Kpl. Subramani bertanya kepada simati dalam bahasa melayu apa yang telah terjadi. Dia menjawab dua lelaki Cina yang tidak dikenali bertanggungjawab di atas kecederaannya. Kpl. Subramani telah bertanya apa senjata yang telah digunakan dan simati menjawab pisau. Dia tidak dapat menjelaskan butir-butir simati kepada Kpl. Subramani.

Simati juga telah ditanya oleh pegawai ambulan yang membawanya ke hospital. Dia menyatakan dua orang lelaki Cina yang tidak dikenali telah menikamnya.

Mahkamah memutuskan ingatan semula oleh saksi-saksi tentang ucapan akhir simati diterima dengan sewajarnya.

Penghuni Gua : Semuga semua pembaca dan pelajar mendapat menafaat dari paparan ini .

No comments:

Post a Comment