Tuesday, 3 November 2009

MALAYSIA LAW JOURNAL : KES SAKSI PERANGKAP DAN ASAS HUKUMAN !


[1996] 4 MLJ 142
Surandran a/l Rajaretnam lwn Pendakwa Raya
Case Details:

Malaysia MAHKAMAH TINGGI (KOTA BAHRU) — RAYUAN JENAYAH
NO 42–22–92

Judges NIK HASHIM PK

Date 9 NOVEMBER 1995

Citation [1996] 4 MLJ 142


Catchwords:
Keterangan — Saksi — Kebolehpercayaan — Sama ada saksi perangkap tidak wajar dipercayai — Sama ada keterangan saksi perangkap harus disokong — Sama ada saksi perangkap adalah rakan sejenayah kerana penglibatannya dalam kes

Keterangan — Saksi — Pemanggilan saksi oleh pendakwaan — Sama ada terdapat salah laksana keadilan jika saksi tidak dipanggil oleh pendakwaan atau tidak ditawarkan kepada pihak pembela — Sama ada anggapan bertentangan timbul kerana saksi tidak dipanggil — Akta Keterangan 1950 s 114(g)

Acara Jenayah — Penghakiman — Isi kandungan — Sama ada mahkamah rendah telah memberikan perhatian yang secukupnya kepada isu-isu relevan dan fakta kes — Penggantungan kepada keterangan sahaja — Sama ada kegagalan memberikan penghakiman dengan prinsip undang-undang serta autoriti adalah kegagalan keadilan

Acara Jenayah — Hukuman — Rasuah — Kepentingan awam dalam menjatuhkan hukuman — Sama ada hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah rendah berlebihan apabila melibatkan kesalahan rasuah oleh pegawai awam

Facts:

Perayu di dalam kes ini merupakan seorang inspektor polis yang telah didapati bersalah di bawah s 4(a) Akta Pencegahan Rasuah 1961 (‘Akta itu’) di mana beliau telah menerima wang rasuah berjumlah RM2000 dari seorang bernama Tan Hun Kiang (‘SP8’). Wang itu diterima sebagai balasan kepada perayu kerana memberi amaran kepada SP8 mengenai waran tangkap yang dikeluarkan di atas namanya. Hakim mahkamah sesyen mendapati perayu bersalah dan dia dihukum empat bulan penjara dan denda RM4,000. Perayu telah membuat rayuan terhadap keputusan tersebut dan hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah rendah. Peguam perayu menyatakan bahawa hakim itu telah gagal mengambil kira semua isu yang terlibat terutamanya isu undang-undang dan fakta, dan kegagalan tersebut telah menjejaskan keputusan kes ini. Beliau juga mengatakan bahawa penghakiman yang diberi itu terlalu ringkas dan merupakan penghakiman yang tidak berprinsip.

Holdings:

Diputuskan, menolak rayuan itu:

(1) SP8 adalah saksi perangkap dan bukannya seorang rakan sejenayah seperti yang dinyatakan oleh peguam perayu. Dia bukan rakan sejenayah kerana dia seorang mangsa dan penglibatannya dalam kes ini tidak begitu aktif. Sekadar membuat laporan dan memberi rasuah atas tuntutan perayu, SP8 tidak boleh disifatkan sebagai seorang rakan sejenayah peringkat pertama (lihat ms 150E–F; Ahmad Shahbin Hashim v PP [1980] 1 MLJ 77 dan Sathasivam & Ors v PP [1949] MLJ 71 diikut).

(2) SP8 sebagai saksi perangkap tidak boleh dianggap tidak wajar kebolehpercayaan hanya kerana dia membuat bayaran kepada perayu. Tetapi keterangan SP8 wajar disokong kerana tidak selamat untuk perayu disabit tanpa keterangan sokongan. Di sini, keterangan SP8 disokong dengan wang rasuah yang ditanda, pita rakaman, rakaman perbualan antara perayu dan SP8, pemberian rasuah tersebut dan perlakuan perayu. Maka, SP8 boleh diterima sebagai seorang saksi yang wajar dipercayai (lihat ms 150I, 151A; Mohamed Mokhtar v PP [1972] 1 MLJ 122; Mohamed Taufik v PP [1975] 1 MLJ 36 dan Datuk Hj Harun bin Hj Idris v PP [1977] 2 MLJ 155 diikut).

(3) Kegagalan pendakwa untuk memanggil Lai Poh Kim yang telah menemani SP8 ketika beliau membuat laporan kepada pihak polis dan pejabat BPR sebagai saksi, atau sekurang-kurangnya menawarkannya kepada pembelaan, tidak dengan apa cara sekali pun menimbulkan satu salah laksana keadilan memandangkan pendakwa tidak bergantung kepada keterangannya untuk membuktikan kes mereka tanpa sebarang keraguan menasabah. Budi bicara untuk memanggil seorang saksi untuk memberikan keterangan terletak kepada pendakwaan dan selagi tiada niat untuk menyembunyikan atau menyekat keterangan, anggapan bertentangan di bawah s 114(g) Akta Keterangan 1950 tidak dapat digunakan (lihat ms 151G–I; Ti Chuee Hiang v PP [1995] 2 MLJ 433 dibeza, PP v Teh Cheng Poh [1980] 1 MLJ 251 dan Munusamy v PP [1987] 1 MLJ 492 diikut).

(4) Walaupun keputusan hakim perbicaraan tidak panjang dan tidak disertai autoriti-autoriti, namun beliau tidak tersalah arah daripada prinsip undang-undang yang asas dan yang membawa padah sekiranya tidak diikuti. Kecacatan, sekiranya ada, adalah tidak begitu penting sehingga boleh menyebabkan kegagalan keadilan menurut s 422 Kanun Prosedur Jenayah (NMB Bab 6). Sabitan telah dibuat semata-mata berasaskan keterangan yang diberikan dan tertuduh didapati bersalah tanpa keraguan yang munasabah.
Sementara adalah tidak diragui bahawa adalah elok untuk majistret semasa menulis alasan penghakiman memberikan pendapat dan sebab-sebab untuk pendapat itu, kegagalan untuk memberikan sebab-sebab itu tidak akan menjadikan sabitan tak sah atau menjadikan perbicaraan satu pembatalan. Apabila mahkamah rayuan yakin bahawa sabitan perayu adalah betul, mahkamah boleh bertindak di atas perkara itu dengan sempurna walaupun didapati alasan penghakiman tidak mempunyai sebab-sebab mahkamah perbicaraan mencapai pendapat yang sedemikian. Di sini, sukar untuk keterangan pembelaan menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas keterangan kes pendakwaan (lihat ms 152C–F, 153B; Mohamed Mokhtar v PP [1972] 1 MLJ 122 diikut).

(5) Mengenai hukuman pula, kepentingan awam mengkehendaki mahkamah supaya tidak bertolak ansur dengan kesalahan rasuah yang melibatkan pegawai awam. Oleh itu, hukuman yang dikenakan tidaklah boleh disifatkan sebagai berlebihan walaupun ini merupakan kesalahan pertama oleh perayu (lihat ms 153C–D).

Judgment:
Cur Adv Vult

Nik Hashim PK:

Section #1

Dalam kes ini, Surandran a/l Rajaretnam (‘perayu’) seorang inspektor Polis Di Raja Malaysia, pada 29 Februari 1992, telah dituduh menerima secara rasuah wang tunai sejumlah RM2,000 daripada seorang yang bernama Tan Hun Kiang (‘SP8’) sebagai upah kerana menyuruh SP8 meninggalkan Kelantan supaya tidak ditangkap oleh pihak polis, suatu kesalahan di bawah s 4(a) Akta Pencegahan Rasuah 1961 (‘Akta itu’).

Di akhir kes pendakwaan, hakim mahkamah sesyen telah mendapati perayu bersalah dan disabitkan dan dihukum empat bulan penjara dan denda RM4,000 atau empat bulan penjara dan perayu juga diperintah membayar penalti RM2,000 di bawah s 13 Akta itu. Perintah penangguhan perlaksanaan hukuman telah dibenarkan oleh hakim. Perayu terkilan dengan keputusan hakim mahkamah sesyen dan merayu terhadap sabitan dan hukuman tersebut.

Menurut keteranganpendakwa sebagaimana yang diterangkan oleh hakim mahkamah sesyen, perayu ialah seorang pegawai inspektor polis yang bertugas sebagai pegawai penyiasat. Pada 10 Februari 1992 jam 4 pagi, anak (‘SP12’) kepada saksi utama pendakwa SP8 telah menerima satu panggilan telefon menyuruh membawa SP8 ke rumah kawannya yang bernama Ah Siew, kerana perayu dan seorang lagi anggota polis bernama Detektif Sathiyaseelan (‘SD7’) sedang menunggu untuk berjumpa dengan bapanya.

Apabila sampai di rumah Ah Siew, SP8 menemui perayu dan SD7. Perayu memberitahu SP8 bahawa kerajaan telah mengeluarkan waran tangkap terhadap SP8 dan dia akan dibuang daerah. Perayu berkata dia akan menolong SP8 dan meminta sedikit ‘duit kopi’ daripada SP8. Perayu juga memberitahu SP8 bahawa lebih baik dia lari balik ke Pulau Pinang berjumpa dengan orang-orang besar di sana supaya hal itu dapat diselesaikan. Mengenai duit kopi, tertuduh meminta RM4,000. Tetapi SP8 hanya boleh memberinya RM3,000. Perayu telah bersetuju menerima RM3,500 dan RM2,000 hendaklah dibayar dahulu dalam masa satu atau dua minggu. Pada masa itu, SP8 tidak ada wang.

Pada pagi itu juga, SP8 balik ke Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Selepas beberapa hari SP8 berada di Pulau Pinang, perayu menelefonnya beberapa kali bertanyakan hal wang RM2,000 dan SP8 berjanji untuk memberikan duit itu kepadanya apabila dia balik ke Kuala Krai.

Semasa berada di Pulau Pinang, SP8 telah dibawa oleh kawannya bernama Loo Lian Soon iaitu Pengerusi Parti Gerakan, Kubang Pasu, Kedah ke Bukit Aman untuk mengesahkan waran tangkap yang diperkatakan oleh tertuduh itu. Kali kedua SP8 pergi ke Kuala Lumpur ialah pada 26 Februari 1992 dan kali ini ditemani oleh kawannya Lai Poh Kim, dan didapati tidak ada waran tangkap dikeluarkan terhadapnya untuk dibuang daerah. Setelah berbincang dengan kawan-kawannya termasuk Lai Poh Kim, SP8 telah membuat laporan ke Badan Pencegah Rasuah (‘BPR’), Kuala Lumpur pada 26 Februari 1992 sebelum balik ke Pulau Pinang.

Di Kelantan pada 28 Februari 1992, SP8 telah diperkenalkan kepada pegawai siasatan dalam kes ini, Mohd Soib Abdullah (‘SP7’). Satu panggilan telefon untuk menghubungi perayu telah dibuat oleh SP8 tetapi perayu tidak dapat dihubungi.

Satu lagi panggilan telah dibuat pada 29 Februari l992 jam 8.15 pagi oleh SP8 atas arahan Mohd Soib dan SP8 berjaya bercakap dengan tertuduh. Percakapan SP8 dengan perayu telah dirakamkan oleh BPR sebagai eksibit P9 dan P9A.

Dalam perbualan ini, SP8 telah mencadangkan untuk berjumpa perayu di Tanah Merah, Kelantan pada jam 4–5 petang dan perayu bersetuju dan SP8 berjanji akan menelefon perayu semula apabila sampai di Tanah Merah.

Satu rancangan untuk menangkap perayu diuruskan oleh BPR dan diputuskan tempat perangkap adalah di Restoran Muhibbah, Jalan Dato’ Nik Mustapha, Tanah Merah dan SP8 diarahkan memberi isyarat kepada BPR dengan cara membuka cermin mata dan mengelapnya bila wang diserahkan kepada perayu.

Section #3

Apabila sampai di Kg Bukit Jelatok, SP7 menyuruh SP8 menelefon perayu di Balai Polis Kuala Krai sebagaimana dijanjikan. Panggilan dibuat dan perbualan telefon di antara SP8 dan perayu dirakamkan oleh BPR iaitu eksibit P10 dan P10A, di mana SP8 telah memberitahu perayu dia ada membawa wang RM2,000 dan perayu bersetuju untuk berjumpa di tempat sebagaimana dicadangkan.

Wang berjumlah RM2,000 yang telah disenaraikan (‘P11’) telah diserah kepada SP8 oleh BPR.
Di Restoran Muhibbah, SP8 mengambil tempat di sebuah meja manakala pegawai-pegawai BPR duduk di meja yang berdekatan seperti di rajah kasar (‘P7’).

Lebih kurang jam 5.40 petang, perayu datang dengan kereta dan selepas meletakkannya di hadapan sebuah bank berhampiran, terus memasuki restoran tersebut dan duduk di meja di mana SP8 berada. Sementara itu, pegawai-pegawai BPR memerhatikan apa yang berlaku di antara perayu dengan SP8. Kemudian SP8 mengeluarkan wang RM2,000 dari poketnya, memeriksa isi sampul surat yang berisi wang itu lalu melipatnya dan terus menghulurkannya kepada tertuduh dengan tangannya di atas meja.
Perayu terus mencekup sampul surat itu dengan tangan kirinya yang ketika itu memegang kotak rokok. Sampul itu dicekupnya sekali dengan kotak rokok. Sejurus kemudian perayu bangun untuk beredar dari restoran itu, SP8 turut bangun dan menanggal cermin matanya dan terus mengelapnya. Perayu ditangkap oleh BPR dan di tangan kiri perayu terdapat sampul berisi wang RM2,000 yang telah disenaraikan itu. Perayu meletakkan sampul itu di atas meja. Selepas itu perayu dibawa ke pejabat BPR, Kota Bharu.

Di peringkat penutupan kes pendakwa, hakim mahkamah sesyen telah memutuskan bahawa pihak pendakwa telah berjaya mengadakan suatu kes seperti dikehendaki s 173(f) Kanun Prosedur Jenayah (NMB Bab 6) (‘Kanun itu’) dan memanggil perayu membela diri.

Section #4

Perayu dalam keterangannya mengaku pergi ke rumah Ah Siew dengan SD7, dan berjumpa dengan SP8 jam 10 malam pada 9 Disember 1992 tetapi bukan jam 4 pagi 10 Februari 1992 sebagaimana dinyatakan oleh pihak pendakwa. Semasa pertemuan itu, perayu menyuruh SP8 berjumpa dengannya di kedai di bawah bangunan Hakka Association di Jalan Ah Seng jam 1 pagi 10 Februari 1992 dengan alasan perayu hendak berjumpa dengan SP8.

Tujuan perayu meminta SP8 datang jam 1 pagi ke gerai adalah untuk menahan SP8 dan menghubungi pihak Ibu Pejabat Polis Kontinjen. SP8 tidak datang.

Pada 29 Februari 1992 jam 4.30 petang, perayu akui dia menerima satu panggilan telefon dari SP8 memintanya pergi ke restoran sebelah Bank Bumi di Tanah Merah antara jam 5.30–6 petang. Perayu telah berjumpa SP8 di restoran sebagaimana dijanjikan, dan mengatakan SP8 telah mengambil satu sampul surat warna putih dan meletakkannya di atas meja dengan mengatakan kandungan sampul itu berisi diari poket dari Thailand dan mengandungi gambar bogel. Perayu telah mengambil sampul itu dan ketika itu dia ditangkap oleh pegawai BPR.

Perayu mengatakan dia telah lama mengenali SP8 sebagai seorang penganjur judi ekor haram.
Pada 29 Februari 1992, sebelah paginya perayu mengatakan dia berada di Mahkamah Majistret Kuala Krai dari pukul 8–10 pagi menghadiri perbicaraan sebagai saksi dalam dua kes jenayah dan mengemukakan keratan panggilan saksi (‘D16A dan B’). Dia juga menafikan bahawa dia menerima panggilan telefon dari SP8 pada jam 8.15 pagi.

Dalam soal balas, perayu menyatakan dia tidak menangkap SP8 jam 10 malam di rumah Ah Siew kerana dia tiada waran tangkap dengannya. Perayu bercadang hendak menangkap SP8 pada siang hari, kerana mengikutnya, prosedur jabatan ialah orang tahanan hendaklah dimasukkan ke penjara pada hari yang sama sebelum 4 petang. Perayu juga mengakui bahawa dia tidak membuat catitan dalam diari rasmi mengenai pergerakannya pada jam 9.30 malam 9 Februari 1992 dan jam 2 pagi 10 Februari 1992. Perayu mengetahui bahawa mengedar buku lucah adalah suatu kesalahan. Perayu menafikan bahawa dia menerima wang rasuah RM2,000 daripada SP8 di Restoran Muhibbah pada 29 Februari 1992.

Di akhir perbicaraan setelah mendengar dan menimbangkan keterangan dan hujah-hujah kedua belah pihak, hakim yang bijaksana telah mendapati perayu gagal menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwa dengan alasan-alasan yang diperturunkan seperti berikut:

(1) Dalihan bahawa pada 29 Februari 1992 tertuduh berada di Mahkamah Majistret Kuala Krai tidak dapat meragukan keterangan pihak pendakwa yang disokong dengan P9 dan P9A yang jelas menunjukkan percakapan talipon di antara SP8 dengan tertuduh pada tarikh itu, lebih kurang 8.15 pagi. Pihak pembelaan tidak membawa keterangan selain dari keratan sapina D16A dan B sahaja.

(2) Mahkamah tidak mempercayai cerita tertuduh mengenai percubaannya untuk menangkap SP8 pada malam 9 Februari 1992 dan pada 29 Februari 1992. Cerita saksi pendakwa mengenai kejadian pada malam 9 Februari 1992 dan pada 29 Februari 1992 tinggal kukuh dan tidak dapat diragukan.

(3) Dalihan tertuduh bahawa beliau menyangka sampul yang berisi wang bertanda itu sebagai mengandungi diari poket tidak dapat meragukan kekukuhan keterangan saksi pendakwa yang terdiri dari pegawai-pegawai BPR yang melihat kejadian penyerahan sampul itu dari awal hingga akhir sehingga tertangkapnya tertuduh bersama sampul bersama isinya.

(4) Cubaan pihak pembelaan untuk menimbulkan keraguan bahawa percakapan telefon di antara SP8 dengan tertuduh mungkin sebenarnya dengan Insp Zaini (‘SD3’), kerana talian sambungan telefon sama, tidak berjaya kerana SD3 menyatakan beliau tidak pernah menerima apa-apa panggilan telefon dari SP8 sepanjang tahun 1990–1992.
dan dengan itu hakim mendapati perayu bersalah dan disabitkan.

Di hadapan saya, En Mohd Apandi Ali, peguambela yang mewakili perayu dalam perbicaraan dan juga dalam rayuan di hadapan saya, berhujah bahawa hakim mahkamah sesyen gagal memberi pertimbangan yang secukupnya ke atas kesemua isu-isu yang relevan dari segi undang-undang dan fakta kes dan kegagalan tersebut telah menjejaskan keputusan kes ini. Beliau juga mengadu bahawa alasan penghakiman hakim ‘is not a speaking judgment’ dan seterusnya mengatakan keputusan yang tidak berprinsip adalah suatu penghakiman yang salah dan mengemukakan Ghazali bin Salleh & Anor v PP [1993] 3 CLJ 638 untuk menyokongnya.

Hashim Yeop A Sani HMP (beliau ketika itu) di dalam Lim Kheak Teong v PP [1985] 1 MLJ 38 di ms 40 berkata:

With respect, what Lord Rusell of Killowen said in Sheo Swarup was that although no limitations should be placed on the power of the appellate Court, in exercising the power conferred ‘the High Court should and will always give proper weight and consideration to such matters’ as:

(i) the views of the trial judge on the credibility of the witnesses;
(ii) the presumption of innocence in favour of the accused;
(iii) the right of the accused to the benefit of any doubt; and
(iv) the slowness of an appellate court in disturbing a finding of fact arrived at before a judge who had the advantage of seeing the witnesses.

Section #6

Dan di dalam PP v Vijaya Raj [1981] 1 MLJ 43, Wan Yahya J (beliau ketika itu) berkata:
… it is the duty of the court on appeal to review all evidence presented before the lower court and, if it feels that certain material facts have been missed or inproperly considered by the President or Magistrate, then it should not hesitate from performing its duty as a judge of facts to consider and weigh those facts and decide whether those facts could have altered their judgment in one way or other.

Dalam kajian semula kes ini, saya dapati pihak pendakwa bergantung kepada saksi SP8, wang rasuah (‘P11’) dan dua pita rakaman percakapan (‘P9’) dan (‘P10’) termasuk transkripsinya (‘P9A, P10A’) antara SP8 dan tertuduh untuk membuktikan kesnya.

Jika dilihat keterangan SP8 pada keseluruhannya, dia bukanlah seorang rakan sejenayah dalam ertikata sebenarnya kerana dia adalah seorang mangsa, dan penglibatannya dalam kes ini tidak begitu aktif.Beliau membuat laporan kepada BPR apabila dia diminta ‘duit kopi’ oleh perayu. Dia tidak menawar dan mengesyorkan rasuah itu. Segala tindakan yang dia lakukan selepas laporan adalah atas arahan BPR.

Sekadar membuat laporan dan memberi rasuah atas tuntutan perayu, SP8 tidaklah boleh disifatkan sebagai seorang rakan sejenayah peringkat yang pertama.

Mohamed Azmi J (beliau ketika itu) mengatakan dalam Ahmad Shah bin Hashim v PP [1980] 1 MLJ 77:

Although the person who gave the bribes was an accomplice, it was the accused who solicited the bribe, and therefore that person could not be classified as an accomplice of the first degree …

Section #7

Sila lihat juga Sathasivam & Ors v PP [1949] MLJ 71, di mana Storr J memutuskan:

… that a witness who has made himself an agent for the prosecution before the actual commission of the offence is not an accomplice.
Sehabis jauh SP8 boleh disifatkan sebagai seorang saksi perangkap. Namun begitu, SP8 tidaklah boleh dianggap tidak wajar kebolehpercayaan (‘to be unworthy of credit’) semata-mata kerana membuat bayaran kepada tertuduh (lihat s 18 Akta itu, dan Mohamed Taufik v PP [1975] 1 MLJ 36). Keterangan SP8, walau bagaimanapun, wajar disokong, kerana adalah tidak selamat untuk perayu disabitkan tanpa keterangan sokongan (lihat Mohamed Mokhtar v PP [1972] 1 MLJ 122).

Adakah keterangan sokongan dalam kes ini? Dalam kes ini banyak keterangan yang menyokong SP8. Wang rasuah (‘P11’), pita rakaman (‘P9 dan P9A’), perbualan antara perayu dengan SP8 (‘P10 dan P10A’), dan penyerahan wang rasuah dalam sampul di restoran oleh SP8 kepada perayu telah disaksikan dengan jelas oleh pegawai SPR (‘SP5’). Perlakuan perayu sendiri meninggalkan stesyen di Kuala Krai iaitu tempat dia bertugas dan datang ke restoran di Tanah Merah untuk mengambil wang daripada SP8 dan kegagalannya menangkap SP8 sebelum ini juga boleh disifatkan sebagai menyokong keterangan SP8. Dalam kes Datuk Hj Harun bin Hj Idris v PP [1977] 2 MLJ 178, di mana Suffian LP di ms 178 para G mengatakan:

The evidence of an accomplice may be corroborated by the conduct of the accused.

Timbalan Pendakwa Raya, En Masri bin Mohd Daud, telah berhujah bahawa fakta tuntutan wang rasuah (duit kopi) oleh perayu tidak dicabar oleh pembelaan. Saya bersetuju dengan hujahnya. Tidak hairanlah hakim pembicaraan menerima keterangan SP8 sebagai benar (lihat Wong Swee Chin v PP [1981] 1 MLJ 212 (FC); PP v Abang Abdul Rahman [1982] 1 MLJ 346). Persoalan sama ada SP8 marah kepada perayu tidak timbul dan memberi kesan kerana perayu yang membuat tuntutan rasuah dan menyuruh SP8 meninggal negeri Kelantan.
Lagipun tiada bukti nyata yang SP8 ada menaruh dendam kesumat terhadap perayu, walaupun SP8 mengakui bahawa dia ialah seorang penganjur judi ekor haram, dan perayu mengetahui latar belakangnya.

Mengenai keselamatan pita rakaman P8, P9 dan P10, peguambela yang bijaksana mengadu bahawa pita rakaman tidak disimpan dengan selamat dan berkunci, dan dengan itu bekemungkinan ia diganggu gugat, dan tidak boleh diterima sebagai barang bukti. Dalam hal ini, pegawai penyiasat (SP7) telah menjelaskan bahawa ketiga-tiga pita itu telah disimpan olehnya sendiri di dalam kabinet sehingga ia dibawa ke mahkamah, dan menegaskan dia seorang sahaja yang mempunyai hak masuk kepada kabinet itu. Saya berpuashati dengan penerangannya dan tiada sebab mengapa keterangannya tidak boleh diterima.

Suatu perkara lagi yang tidak kurang pentingnya ialah sungutan pembelaan iaitu pihak pendakwa telah gagal memanggil Lai Poh Kim sebagai saksi, atau sekurang-kurangnya menawarkannya kepada pembela dan seterusnya berhujah kegagalan itu menyebabkan salah laksana keadilan, dan peguambela En Jamaluddin, pembantu En Mohd Apandi Ali, merujuk kepada kes Mahkamah Agung Ti Chuee Hiang v PP [1995] 2 MLJ 433. Di dalam kes itu, saksi yang gagal dikemukakan ialah seorang pemberi maklumat yang kemudiannya menjadi seorang ejen provokasi.
Manakala dalam kes rayuan ini, Lim Poh Kim ialah seorang kawan yang menemani SP8 ke Kuala Lumpur ke Bukit Aman dan pejabat BPR. Oleh itu, di segi fakta kes Ti Chuee Hiang berbeza dengan kes rayuan ini, yang mana pihak pendakwa tidak bergantung kepada Lai Poh Kim untuk membuktikan kesnya tanpa keraguan munasabah.
Tidak diketahui di mana Lai Poh Kim berada. Oleh yang demikian, kegagalan pendakwa menawarkan Lai Poh Kim tidak boleh menyebabkan salah laksana keadilan. Harus diingat, budi bicara untuk memanggil seorang saksi untuk memberi keterangan adalah terletak kepada pendakwaan (lihat PP v Teh Cheng Poh [1980] 1 MLJ 251), dan selagi tiada niat untuk menyembunyikan atau menyekat keterangan, maka anggapan di bawah s 114(g) Akta Keterangan 1950 tidak terpakai (lihat Munusamy v PP [1987] 1 MLJ 492).

En Mohamed Apandi Ali seterusnya berhujah bahawa alasan penghakiman hakim perbicaraan begitu ‘bare and naked’ sehingga tidak diketahui pendekatan prinsip undang-undang mana yang diikuti oleh hakim, dan oleh itu, keputusan yang tidak berprinsip adalah suatu penghakiman yang salah. Kalau dikaji dan dihalusi, saya dapati alasan penghakiman, walaupun tidak begitu panjang dan tidak berbunga dengan autoriti-autoriti dan tidak menyenangkan pihak pembelaan, namun hakim tidak tersalah arah dirinya di segi prinsip undang-undang yang asas dan yang membawa padah sekiranya tidak diikuti, seperti beliau telah memutuskan dengan betul di akhir kes pendakwaan, bahawa pendakwa telah mengadakan kes terhadap tertuduh menurut peruntukan s 173(f) Kanun itu.
Manakala di akhir kes pembelaan pula, beliau telah berpendapat bahawa pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas kes pendakwa dengan memberi alasan-alasan mengapa beliau tidak menerima keterangan pembelaan seperti dalam penghakimannya. Pendekatan ini adalah betul dan sekaligus menyangkal hujah pembelaan yang mengatakan alasan penghakiman hakim perbicaraan bukan ‘a speaking judgment’. Kecacatan sekiranya ada, adalah tidak penting sehingga boleh menyebabkan kegagalan keadilan menurut s 422 Kanun itu.
Sabitan ke atas tertuduh dibuat semata-mata berasas kepada keterangan yang ada, dan saya bersetuju dengan hakim yang bijaksana mendapati tertuduh bersalah atas pertuduhan, tanpa keraguan yang munasabah. Sementara adalah tidak diragui bahawa adalah elok untuk majistret semasa menulis alasan penghakiman memberikan pendapat (findings) dan sebab-sebab untuk pendapat itu, kegagalan untuk memberikan sebab-sebab itu tidak akan menjadikan sabitan tak sah atau menjadikan perbicaraan satu pembatalan.

Dalam kes Mohamed Mokhtar v PP [1972] 1 MLJ 122 di ms 123A, Sharma J berkata:

It is undoubtedly desirable that the learned magistrates … should when writing their grounds of decision give their findings and the reasons for those findings. It has been suggested that it is mandatory on the part of the learned magistrates … to give such reasons. I have in one of the appeals held it to be so but it is not mandatory in the sense that failure to give such reasons would render the conviction void or turn the trial itself into a nullity. (Emphasis added.)

Dan saya dengan hormatnya bersetuju dengan pendapat Sharma J dan memakai pendekatan yang sama dalam memutuskan kes ini seperti beliau berkata di ms 123D kes tersebut:

When the appellate court is convinced, as I am in this case, that the conviction of the appellant was good and there is nothing to cast any shadow of doubt in the finding of guilt arrived at by the learned magistrate or the president, the court itself can deal with the matter as fully and as effectively even though the grounds of decision as appearing in the appeal record are found lacking in specific findings and the reasons for those findings.

Section #9

Suatu persoalan yang saya sepatutnya mengkaji ialah samada pembelaan yang dikemukakan oleh perayu boleh meragukan kes pendakwa. Sebagaimana yang telah dinyatakan sebelum ini, bahawa perayulah yang meminta wang rasuah itu dan dengan ada banyaknya keterangan sokongan ke atas keterangan SP8, saya dapati keterangan pembelaan sukar untuk menimbulkan keraguan yang munasabah ke atas keterangan kes pendakwa yang kuat itu.

Dengan itu rayuan terhadap sabitan ditolak.

Mengenai hukuman, perayu telah dihukum penjara empat bulan dan denda RM4,000 atau empat bulan penjara, dan dikenakan bayaran penalti RM2,000 di bawah s 13 Akta itu. Kepentingan awam mengkehendakkan mahkamah tidak bertolak ansur dengan kesalahan rasuah lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan pegawai awam, dan dengan itu, saya berpendapat hukuman yang dikenakan itu ke atas perayu tidaklah boleh disifatkan terlampau berlebihan dalam hal keadaan kes ini dilakukan, walaupun ini merupakan kesalahan perayu yang pertama. Rayuan terhadap hukuman juga ditolak dan hukuman dan penalti dikekalkan.

Rayuan ditolak.
Penghuni Gua : Semuga dengan paparan ini ianya akan memeberi menafaat kepada pembaca dan pelajar semua bagi memahami perundangan kita dan jika ia melibatkan kita. Tq

No comments:

Post a Comment