Tuesday, 20 July 2010

AMALAN BERTENTANGAN NILAI BUKAN HAK ASASI : DR SHAMRAHAYU A. AZIZ !!!!


Malaysiakini

Amalan bertentangan nilai bukan hak asasi
Oleh Shamrahayu A Aziz


Kebebasan individu perlu hormati moral, budaya masyarakat

NILAI moral menjadi paksi kepada kelangsungan suatu tamadun yang berlandaskan agama dan budaya. Sekiranya nilai moral, agama dan budaya ini menjadi kabur dan luntur, kestabilan identiti, ideologi dan tamadun itu akan terjejas. Natijahnya, tamadun itu akan dipengaruhi dan seterusnya diambil alih oleh tamadun lain dan lama kelamaan ia akan terhapus. Keadaan ini amat menggerunkan bagi Malaysia. Sekiranya nilai moral yang berasaskan agama dan budaya yang menjadi identiti masyarakat Malaysia tidak dijaga dan disuburkan, ia akan kabur, luntur dan ditakuti akan hilang kelangsungannya.

Masyarakat Malaysia terkenal sebagai sebuah masyarakat yang tinggi nilai moral, agama dan budaya, mempunyai jati diri yang tinggi serta adat resam dan amalan timur yang kental. Walaupun begitu, perkembangan semasa menyaksikan perubahan yang menyumbang kepada kelunturan nilai agama dan moral. Budaya dan gaya hidup masyarakat Malaysia sudah berubah dan berbeza. Walaupun perubahan sebegini adalah lumrah kerana apabila masa berubah situasi juga tentunya bertukar. Ia tidak harus menjadi kebimbangan sekiranya perubahan itu tidak membabitkan perkara asas dalam masyarakat yang mementingkan nilai moral, agama dan budaya. Tetapi, sekiranya perubahan itu mengancam kelangsungan nilai ini, ia adalah sesuatu yang perlu diambil perhatian dan diberi tumpuan yang sewajarnya.

Gelombang hak asasi liberal yang ditiup dari Barat menjadi cabaran kepada nilai moral, agama dan budaya di Malaysia. Dalam ruangan ini dua minggu lalu saya ada menyebut mengenai gerakan hak asasi liberal yang memperjuangkan hak individu telah berusaha mengetepikan nilai moral. Keadaan ini akan mendatangkan kemudaratan. Saya menyebut bahawa menjenayahkan perbuatan yang bertentangan dengan moral yang diterima oleh masyarakat dan penguatkuasaannya adalah antara mekanisme yang berkesan bagi menangani masalah sosial yang menghakis nilai moral masyarakat Malaysia.

Bicara kali ini juga ada kaitan dengan apa yang telah saya sebut. Ia juga berkaitan hak asasi yang disandarkan kepada Perlembagaan Persekutuan. Namun penekanan kali ini ialah mengenai nilai agama dan nilai moral dalam hak kebebasan seseorang atau sesuatu pertubuhan.

Perlembagaan, sebagai undang-undang dasar negara menyediakan perkara asas dan mendukung ideologi negara. Oleh itu, Perlembagaan menjadi asas dan ukuran kepada semua tindakan. Perlembagaan Persekutuan menjadikan agama, terutama agama Islam, sebagai perkara dasar dan pada masa sama, undang-undang tertinggi ini juga memberi penekanan kepada nilai moral.

Daripada sembilan perkara yang diletakkan di dalam Bahagian Kedua Perlembagaan Persekutuan Malaysia, iaitu Perkara-Perkara 5 hingga 13, mengenai Hak Kebebasan (lebih dikenali dengan ‘hak asasi’), dua peruntukan membenarkan Parlimen membuat undang-undang bagi menyekat hak asasi seseorang atau sesuatu kumpulan demi prinsip moral. Perkara-perkara itu ialah Perkara 10(2)(c) dan Perkara 11(5). Perkara 10(2)(c) memberi kuasa kepada Parlimen untuk membuat undang-undang yang menyekat hak menubuhkan persatuan sekiranya tujuan atau aktiviti kumpulan terbabit menjurus kepada perbuatan tidak bermoral, manakala Perkara 11(5) pula tidak membenarkan hak kebebasan beragama yang bertentangan dengan moral.

Peruntukan ini mengukuhkan lagi kedudukan moral di dalam Perlembagaan. Hatta hak kebebasan beragama, yang menjadi antara hak yang asas, hak kebebasan boleh dinafikan sekiranya agama itu menganjur dan membenarkan ajaran-ajaran yang bertentangan dengan moral.

Oleh demikian hak kebebasan hendaklah sentiasa mengambil kira nilai agama dan juga nilai moral. Hak kebebasan itu bukanlah hak mutlak yang boleh mengetepikan nilai agama dan moral yang telah sekian lama berakar umbi di dalam masyarakat Malaysia. Oleh itu, perbuatan atau aktiviti yang bertentangan dengan nilai ini tidak boleh dianggap sebagai sebahagian daripada hak kebebasan atau hak asasi yang diiktiraf oleh Perlembagaan dan ia tidak patut dipertahankan.

Mungkin ada antara masyarakat Malaysia yang masih menganggap persoalan kemoralan sebagai hak individu yang tidak boleh diganggu gugat oleh sesiapa, termasuk pihak pemerintah. Anggapan ini tidak benar. Hakikatnya, Perlembagaan Persekutuan, sebagai undang-undang tertinggi negara telah mengiktiraf nilai yang perlu wujud dalam negara ini. Walaupun tidak diberikan perincian yang khusus oleh Perlembagaan, dasarnya agak jelas dan semangatnya sangat pasti. Oleh demikian, ahli masyarakat hendaklah sentiasa menghormati asas dan nilai yang diperuntukkan di dalam undang-undang tertinggi berkenaan.

Mungkin juga ada ahli masyarakat yang menganggap persoalan berkaitan moral adalah sesuatu yang subjektif. Apa yang moral pada saya mungkin tidak bermoral kepada orang lain, atau sebaliknya. Namun dalam masyarakat Malaysia yang beragama dan berbudaya, apa yang dikatakan tidak bermoral ialah apabila suatu cara, watak atau tingkah laku itu adalah bertentangan dengan nilai agama atau nilai budaya yang diterima oleh masyarakat Malaysia. Sebagai contoh, hubungan sejenis bukanlah suatu kebebasan atau bukan suatu hak yang patut dipertahankan. Perbuatan seperti ini amat jelas bertentangan dengan nilai agama dan juga budaya masyarakat Malaysia. Malah, ia juga perlakuan jenayah yang disebut dalam Kanun Keseksaan dan juga di dalam undang-undang jenayah Syariah.

Sebagai sebuah negara merdeka yang telah lama berdiri di atas dasar nilai moral, agama dan budaya, Malaysia tidak patut digesa untuk menerima dan mengiktiraf secara sembarangan sesuatu yang dilabelkan sebagai hak kebebasan atau hak asasi. Negara ini harus diberi hak untuk menolak perkara-perkara yang bertentangan dengan nilai moral, agama dan budaya yang telah sekian lama menjadi dasar dan ideologi negara ini. Malaysia hendaklah diberikan kebebasan membuat acuan sendiri berkaitan hak kebebasan tanpa pengaruh atau tekanan orang asing.

Penulis ialah pensyarah Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia

Penghuni Gua : Amat baik tulisan oleh Dr ini. Ianya lebih bagus untuk renungan semua. Terutama kepada pejuang hak asasi di Malaysia ini yang nak bebas dalam segala hal. Hak asasi awam adalah keutamaannya.

5 comments:

  1. Terimakasih Dr , atas tulisan ini ...satu ilmu yg harus dihayati dan wajib diingat oleh sekalian lapisan masyarakat ,

    mohon izin untuk mengambil beberapa point pada artikel ini sebagai bekal menghadapi dan bersoal jawab dengan beberapa teman 'penderhaka totok' pada negara ,

    ReplyDelete
  2. dino.yp@gmail.com20 July 2010 at 13:02

    Good thingking, apa pendapat al ustad al bewaki al lord reid al butuhi ?

    ReplyDelete
  3. ALOO 2 EKOQ BEWAK PEJUANG MELAYU ASOBIYYAH SESAT LAGI MENYESATKAN........salam mentekedarah taik ( seropa ngan salam 1 malaysia)

    APA LA YANG BEWAK 2 EKOQ NAMPAK BAGUIH KAT TULISAN DATAIH TU. TADAK NAMPAK BEIK PON NYESAT ADA LA. 2 EKOQ NI NGAKU JE MAKNUSIA....IQ....MACAM ITIK NAK KENE SEMBELIH.

    TAK MAW BACA TAPI AKU TERBACA.....FUHHHHHHHH LOYA LAGU LIHAT BANGKAI BEWAK KENA LANGGAQ KETA.
    MUNTAH HAIH SIKIT.........HUWEEEEEEEEEKK.....
    HUWEEEEEEEEEEEKKKK.......HUWEEEEEEEEEKKKKK.
    FUHHHHH LEGA SIKIT.

    gurau ngan 2 ekoq bewak iq rendah.

    ReplyDelete
  4. lord reid

    untuk kau

    krakkkkkkkkhhhhhhhhhhhhh puihhhhhhhhhhhhhhhh

    kah kah kah kah akh

    ReplyDelete
  5. MC
    gambar tu , keadaan PAS dan pemimpinnya

    ReplyDelete