Sunday, 19 September 2010

PERTAHANKAN BANGSA BUKAN PERKAUMAN / EKSTREM : DATO A. KADIR JASIN


Di petik dari Blog : Dato A. Kadir Jasin


APAKAH benar ada pelampau kaum di negara kita Malaysia ini yang menolak kepelbagaian bangsa?

Saya rasa tidak ada pelampau seperti itu. Tetapi jika saya faham amaran Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak, baru-baru ini, beliau seolah-olah berkata ada ekstremis seperti itu.

Boleh jadi betul kerana sebagai Perdana Menteri, tentu beliau mempunyai maklumat perisikan yang kita, sebagai rakyat biasa, tidak tahu.

Saya katakan begitu kerana laporan media memetik Mohd Najib sebagai menyatakan bangkangan keras terhadap “tindakan kumpulan dan individu ekstremis” yang didakwanya “masih tidak toleransi, apatah lagi mengakui faedah masyarakat majmuk.”

Sejak saya tahu membezakan antara Melayu, Cina, India dan Siam di kampung pinggiran sungai bernama Tanah Merah dalam mukim Guar Kepayang dalam daerah Pendang di negeri Kedah, sampailah sekarang, saya belum berjumpa seorang Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan atau mana-mana bangsa, kaum dan suku kaum yang menolak kepelbagaian.

Baru-baru ini saya melawat anak saudara sakit di Pontian. Dia dan keluarganya tinggal dalam kebun kelapa sawit. Di sebelah pagarnya sebuah bengkel kereta milik seorang Cina.

Di tengah-tengah kampung Melayu ada sebuah dua rumah orang Cina. Di merata tempat, termasuk dalam perkampungan Melayu, ada tokong Cina.

Kalau dibuat bancian, saya rasa paling banyak tokong Cina per kapita mungkin di negeri Johor.

Kalau bangsa-bangsa dan kaum-kaum di Malaysia tidak mengamalkan toleransi, apatah lagi bersikap ekstrem, saya rasa kita bukan sahaja ada satu 13 Mei (1969), tetapi banyak 13 Mei sebelum dan selepas itu.

Hatta kempen Pas pada pilihan raya umum 1969 yang mahu “menghambat” orang Cina dan India ke dalam laut itu pun bukan berpunca daripada perasaan perkauman yang mendalam, tetapi sekadar sedap cakap dan political posturing.

Bukan apa, pada masa yang sama orang Pas berniaga dan berhutang dengan orang Cina. Orang Cina jadi Along dan Ceti melalui sistem padi kunca.

Sebaliknya, di kampung saya yang terletak dalam kawasan parlimen Kota Setar Selatan (sekarang Pendang), orang Cina undi Pas dan tolak Perikatan sehingga menyebabkan kekalahan (Tun) Dr Mahathir Mohamad pada pilihan raya umum itu.

Mungkin saya kurang cerdik dan kefahaman bahasa saya lemah. Bagi saya, orang Melayu tuntut hak dan pertahan hak bukan perkauman atau ekstrem.

Kalau orang Melayu tuntut hak dan pertahan hak dituduh perkauman dan ekstrem, maka orang Iban, Kadazan, Orang Asli, Cina dan India yang tuntut hak dan pertahan hak juga perkauman dan ekstrem.

Tetapi itulah ciri kita di Malaysia. Semua bangsa tuntut hak, semua bangsa ada hak dan semua bangsa tidak puas hati dengan hak yang mereka ada.

Kalau orang Melayu tidak bersikap toleransi, kenapa pula mereka tidak memberontak dan membuat kacau apabila kuota mereka dalam pemilikan kekayaan korporat hanya 30 peratus sedangkan bilangan mereka lebih 50 peratus? Sebetulnya bukan hanya 30 peratus, tetapi sekurang-kurangnya 30 peratus.

Zaman saya kanak-kanak dulu, jiran-jiran Cina kami memelihara, menyembelih dan menjual daging babi dalam kampung Melayu. Nenek saya membenarkan jiran Cinanya mengambil keladi dan batang pisang untuk makanan babi. Sebagai ganti, mereka memberikannya gula, kopi, kuih bulan, cerut cap ikan emas dan kepada tok wan saya rokok Rough Rider.

Atau apakah seseorang itu dianggap perkauman dan ekstrem kerana tidak memeluk erat segala bentuk mantera dan slogan pemerintah seperti 1Malaysia?

Dalam blognya (http://www.1malaysia.com.my/) pada 15 September, Perdana Menteri, antara lain mengulas: “Saya menentang perlakuan seperti ini sekeras-kerasnya. Saya berasa sungguh sedih apabila di sebalik tinggal dalam sebuah negara yang berbilang kaum dan merdeka lebih dari 50 tahun, masih ada di kalangan kita ini yang tidak boleh bertoleransi, apatah lagi menerima kebaikan masyarakat yang berbeza-beza ini. Kesedihan yang saya rasakan ini adalah disebabkan dengan menolak cara hidup kita yang berbeza-beza ini, mereka juga menolak 1Malaysia.”

(I am strongly opposed to these types of behaviour. It saddens me that despite living in an independent multi-cultural nation for over 50 years, there are still those among us who cannot tolerate, much less accept the benefits of a perse (?) society. It saddens me because by rejecting our perse (?) way of life, they reject 1Malaysia.)

Kalau penolakan terhadap mantera dan slogan pemerintah boleh ditakrifkan sebagai “puak-puak dan individu-individu pelampau”, maka ramailah yang tergolong dalam kategori ini.

Mohd Najib berkata lagi: “Puak-puak pelampau ini terdiri daripada kumpulan atau inpidu-inpidu (sic) yang mempercayai pada pandangan dan tindakan radikal terhadap pihak lain. Mereka menganggap pihak yang bertentangan fahaman dengan mereka sebagai musuh dan berusaha menakut-nakutkan pihak yang tidak menerima pemikiran atau ideologi mereka dan dalam keadaan tertentu pada orang-orang yang hanya kelihatan berbeza daripada mereka.”

Apa pun diagnosis dan prognosis Perdana Menteri, saya berpendapat bahawa kita yang berbeza pendapat dengan pemerintah dan tidak memeluk erat mantera dan slogannya, bukanlah pertubuhan atau individu ekstrem, apatah lagi perkauman.

Kalau kita keras, tegas, ekstrem dan perkauman, kita tentu mengutuk dan mahu tindakan dikenakan ke atas ratusan ribu rakyat negara ini yang tidak pun boleh berbahasa Melayu dengan secukupnya, termasuklah yang memegang jawatan penting dalam politik dan pentadbiran.

Kita tentulah menuduh pertubuhan dan individu yang menolak sekolah wawasan sebagai tidak bertoleransi dan ekstrem.

Tetapi bukan sahaja konsep sekolah wawasan gagal dimartabatkan, sebaliknya ramai orang Melayu menghantar anak-anak mereka ke sekolah Jenis Kebangsaan Cina.

Apa yang sebenarnya berlaku pada akhir-akhir ini adalah bangsa-bangsa di Malaysia cuba menelah, memahami dan mencari tempat bagi anggota bangsa mereka dalam landskap politik yang cair dan dalam kerangka pemikiran serta tindakan baru yang berkisar di sekitar perisytiharan dan bahasa berkod (coded language) seperti meritokrasi, persamaan, Model Baru Ekonomi, 1Malaysia, keterangkuman, globalisasi dan keterbukaan.

Samalah dengan sebahagian umat Islam berbahas dan berpolemik mengenai Islam Hadhari dan akhirnya ramai menolak konsep itu kerana mereka tidak setuju Islam dilabelkan.

Bahas dan polemik yang mengutarakan isu-isu dan ciri-ciri kaum yang sedang berlangsung sekarang tidak bermakna masyarakat berbilang kaum kita semakin ekstrem dan perkauman.

Jika ada kenyataan dan pernyataan yang berbau perkauman atau ekstrem, ia mungkin tercetus akibat kebimbangan atau tanggapan bahawa struktur agung politik (political superstructure) negara tidak lagi mampu atau mirip kepada mempertahankan status quo dan kontrak sosial yang selama ini menjadi teras kestabilan dan keyakinan.

Justeru itu, kemunculan badan-badan bukan kerajaan dan individu yang berani bersuara serta bercanggah pendapat dengan pemerintah, khasnya dalam masyarakat Melayu, bukanlah satu tindakan perkauman atau ekstrem.

Malah menerima dan menghormati kepelbagaian suara serta pendapat, khasnya di kalangan kaum majoriti, adalah sesuatu yang sihat dan selaras dengan sikap toleransi dan kesederhanaan yang hendak ditegakkan itu.


Posted by A KADIR JASIN

Penghuni Gua : Tulisan dan pandangan Dato A kadir Jasin ini wajib dibaca oleh 3 makhluk yang acap kali PG menyentuhnya iaitu, KJ, Nazri Aziz dan Ku Nan. Buka sikit minda anda bertiga. Jangan senang diperbodohkan oleh orang lain. Ingat, kita Melayu tak ambil hak orang lain, tetapi kita mempertahankan hak kita seperti yang termaktub di dalam perlembagaan. Itu persetujuan nenek moyang kita setelah berbagai tolak ansur antara mereka.

2. Kita yang mentah ini jangan nak menunjuk pandai dan berlagak lebih. Lihat diri sendiri. Melayu sendiri pun menyampah melihat anda bertiga.

3 comments:

  1. Artikel 8 perlu dibaca sekali dengan 153, tiada kompromi

    http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0917&pub=Utusan_Malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_21.htm

    Kuan Yew terdesak, risau pengaruh Malaysia

    ............. Pakar bahasa dan perpaduan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Teo Kok Seong pula berkata, Kuan Yew tidak layak untuk memburukkan nama Malaysia kerana pemimpin republik itu hanya menjaga sebuah negara pulau yang majoriti rakyatnya berketurunan Cina.

    Kok Seong yang juga Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) UKM menjelaskan, Kuan Yew selain itu dilihat cuba menghidupkan kembali sentimen 'Malaysian Malaysia' yang tidak berjaya diperjuangkan beliau sehingga Singapura 'dihalau' keluar oleh Perdana Menteri Pertama, Tunku Abdul Rahman Putra.

    "Kuan Yew memang berusaha menghapuskan Artikel 153 dalam Perlembagaan Persekutuan untuk memakai hanya Artikel 8 sejak sebelum Singapura disuruh keluar dari Malaysia.

    "Setelah lebih 50 tahun gagal, beliau nampaknya cuba membangkitkan isu itu sekali lagi, namun saya harap tiada rakyat Malaysia yang terpengaruh dengannya. Artikel 8 perlu dibaca sekali dengan 153, tiada kompromi," katanya.

    ReplyDelete
  2. Seorang itu boleh dikatakan racists bilamana memperjuangkan yang bukan hak bangsanya dan lebih teruk, mengambil hak bangsa lain. Perkataan "bangsa" dengan "bangsat" bezanya cuma "t" diletakkan dibelakangnya. Bangsa Israel "bangsat" kerana beranggapan Palestin mereka punya. Bila orang-orang Palestin bangkit nak mengambil balik tanah hak nenek moyang mereka, dikatakan mereka (orang-orang Palestin) terrorist. Ibarat racist cuma label racist tahap rendah.

    http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0913&pub=Utusan_Malaysia&sec=Politik&pg=po_01.htm

    Jauhkan diri dari Perkasa rugikan UMNO - Dr. M
    .................... Dr. Mahathir berkata, satu perkara yang perlu diambil kira iaitu Perkasa selama ini tidak melakukan apa-apa kesalahan kerana perjuangannya masih tertakluk kepada hak-hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

    ....Dalam perkembangan berkaitan beliau berkata, apabila ada pihak mula mempersoalkan sesuatu hak yang telah termaktub di dalam Perlembagaan sudah tentu ia akan mengundang reaksi daripada pihak lain.

    ''Kewujudan Perkasa adalah salah satu contoh. Pada zaman pemerintahan saya tidak ada NGO seperti Perkasa kerana tiada pihak yang berani mempersoalkan hak-hak yang telah termaktub dan diamalkan selama ini.

    ''Berbanding sekarang yang mana sudah ada pihak atau kumpulan yang sengaja membangkitkan atau mempersoalkan hak-hak tersebut antaranya persetujuan mengenai kontrak sosial. Bila terjadi demikian pasti akan muncul satu pihak untuk mempertahankannya,'' katanya lagi.

    ReplyDelete