Tuesday, 23 November 2010

MALAYAN LAW JOURNAL : MENGENAI JAMINAN / AMAUN JAMINAN / ASAS JAMINAN / BUDI BICARA MAHKAMAH !!!


1995] 2 MLJ 385
Ramlah bte Selamat & Satu Yang Lain lwn Pendakwa Raya
Case Details:

Malaysia MAHKAMAH TINGGI (IPOH) — PERMOHONAN JENAYAH NO
54–6–95

Judges ABDUL HAMID EMBONG PK

Date 21 APRIL 1995

Citation [1995] 2 MLJ 385


Catchwords:

Acara Jenayah — Jaminan — Permohonan untuk mengurangkan jaminan — Sama ada terlalu tinggi sehingga menjadi suatu hukuman — Prinsip penentuan amaun jaminan — Amaun jaminan 21Ú2 kali denda maksimum — Sama ada boleh mengambilkira sentimen masyarakat umum dalam penentuan amaun

Facts:

Sepasang suami isteri (‘tertuduh tersebut’) telah didakwa di mahkamah majistret dengan tuduhan berniat bersama untuk menganiayai seorang kanak-kanak dengan cara yang menyebabkan dia mengalami kecederaan fizikal. Kesalahan tersebut boleh dihukum di bawah s 26(1) Akta Perlindungan Kanak-Kanak 1991, yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan/atau penjara maksimum lima tahun. Tertuduh tersebut telah mengaku tidak bersalah, dan majistret telah mengenakan jaminan RM25,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh, sementara menunggu perbicaraan.

Tertuduh tersebut telah memohon ke Mahkamah Tinggi untuk mengurangkan jaminan tersebut, atas alasan bahawa: (i) amaun jaminan yang terlampau tinggi itu tidak mampu dibayar oleh tertuduh tersebut, dan oleh itu membawa kesan yang sama seperti mereka tidak dibenarkan jaminan; (ii) tiada bukti yang menunjukkan bahawa mereka akan melarikan diri; dan (iii) penahanan mereka akibat jaminan yang melampau tinggi adalah bertentangan dengan prinsip bahawa seseorang tertuduh dianggap sebagai tidak bersalah sehingga dibuktikan sebagai bersalah di sisi undang-undang. Timbalan pendakwa raya pula berhujah bahawa amaun jaminan tersebut harus dikekalkan kerana kes ini membangkitkan perasaan kecewa dan marah di kalangan masyarakat umum, dan kanak-kanak yang didera itu telahpun meninggal dunia.

Diputuskan, membenarkan permohonan itu:

(1) Menurut s 389 Kanun Acara Jenayah (NMB Bab 6) (‘KAJ’), tujuan pengenaan jaminan ke atas tertuduh ialah untuk memastikan bahawa tertuduh itu hadir di mahkamah pada hari perbicaraan. Jika keseluruhan Bab XXXVIII KAJ yang berkaitan dengan jaminan ditelitikan, dapat dilihat bahawa pendekatan yang diambil adalah berdasarkan prinsip bahawa seseorang tidak bersalah di sisi undang-undang sehingga terbukti demikian. Berpandukan prinsip yang sama, s 389 KAJ juga menyatakan bahawa amaun jaminan yang dikenakan itu tidak haruslah keterlaluan. Oleh itu, mahkamah perlu meneliti sama ada amaun jaminan yang dikenakan itu tidak keterlaluan sehingga menjadi satu bentuk hukuman ke atas tertuduh tersebut.
(2) Seksyen 389 KAJ telah memberikan budi bicara yang luas kepada mahkamah untuk menentukan amaun jaminan dengan mempertimbangkan perihal yang khusus dan faktor peribadi tertuduh tersebut, misalnya pendapatan keluarganya dan kehadiran seorang bayi yang masih memerlukan jagaan mereka.

(3) Walaupun kes ini membangkitkan perasaan marah dan kecewa di kalangan masyarakat umum, mahkamah tidak dapat menerima sentimen itu sebagai suatu faktor yang boleh dipertimbangkan, dan perlu menegakkan keadilan berlandaskan prinsip undang-undang.

(4) Dalam kes sini, mahkamah membuat kesimpulan bahawa amaun yang dikenakan sebagai jaminan tersebut adalah terlalu tinggi dan mendatangkan kesan sebagai suatu hukuman. Mahkamah juga tidak nampak asas bagi menetapkan amaun jaminan yang 21Ú2 kali melebihi denda maksimum. Lantaran itu, mahkamah menurunkan amaun jaminan kepada RM7,500 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan memerintahkan supaya Jabatan Imigresen Malaysia tidak meluluskan sebarang bentuk pas perjalanan kepada tertuduh tersebut.

Penghuni Gua : Semuga paparan ini memberi menafaat kepada semua pembaca dan pelajar. Tq

Nota : Untuk makluman pembaca, MLJ ini adalah dokumen awam dan boleh di akses di laman web badan kehakiman dan buku-buku yang serta disemua perpustakaan awam dan universiti. Paparan ini bukan untuk mengaibkan sesiapa tetapi adalah bagi pedoman kepada semua di samping memberi panduan dan sedikit kefahaman undang-undang kepada semua pihak . MLJ adalah sebahagian dari undang-undang yang digunapakai oleh semua pengamal undang-undang. Tq

No comments:

Post a Comment