Tuesday, 22 November 2011

MALAYAN LAW JOURNAL :SAKSI PAKAR / IMBANGAN KEBERANGKALIAN !!!!!



[1996] 4 MLJ 121
Pendakwa Raya lwn Sanusi bin Ismail
Case Details:

Malaysia MAHKAMAH TINGGI (KOTA BAHRU) — PERBICARAAN
JENAYAH NO 45–17–1993

Judges NIK HASHIM PK

Date 30 NOVEMBER 1995

Citation [1996] 4 MLJ 121


Catchwords:


Keterangan — Saksi-saksi pakar — Analisa bahan oleh ahli kimia — Sama ada ujian-ujian yang dijalankan oleh ahli kimia ke atas bahan tumbuhan untuk menentukan sama ada ianya ganja adalah teratur — Sama ada berat contoh yang diambil mencukupi untuk membuat analisa kimia untuk pengesanan ganja

Undang-Undang Jenayah — Akta Dadah Berbahaya 1952 — s 39B(1)(a) — Mengedar dadah merbahaya — Anggapan memilik di bawah s 37(d) dan anggapan mengedar di bawah s 37(da) — Sama ada anggapan-anggapan itu telah dipatahkan atas imbangan kebarangkalian — Sama ada pendakwaan telah membuktikan kes tanpa keraguan munasabah

Facts:


Tertuduh didapati membawa 882.3g dadah merbahaya iaituganja dalam suatu bungkusan di Bukit Bunga, Tanah Merah, Kelantan. Maka, tertuduh menghadapi tuduhan mengedar dadah di bawah s 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (‘Akta itu’). Ganja itu telah diperiksa oleh ahli kimia (‘SP1’) yang memeriksa dan menjalankan ujian ke atas bahan tumbuhan (‘E1A dan E1B’) itu secara berasingan. Empat jenis ujian telah dijalankan olehnya iaitu: (i) pemeriksaan fizikal; (ii) mikroskopik; (iii) ujian ‘dequenois levine test’ (‘DLT’); dan (iv) ujian ‘thin layer cromatography’ (‘TLC’). Mengenai ujian DLT dan TLC, SP1 telah mengambil 32 contoh E1A dan E1B yang berjumlah 144.02g secara rambang dan dapati positif menunjukkan ada resin ganja pada bahan tumbuhan tersebut. Berdasarkan kepada keputusan keempat-empat ujian tersebut dan dengan mengambil empat keputusan secara sekaligus, SP1 mengesahkan bahawa E1A dan E1B adalah ganja seperti yang ditakrifkan di bawah s 2 Akta itu. Pembelaan mendakwa bahawa SP1 sepatutnya mengambil 64 contoh untuk membuat kedua-dua ujian DLT dan TLC itu, bahawa berat contoh yang kurang dari 200g tidak dapat menimbulkan anggapan mengedar dan bahawa barang kes telah diganggu gugat. Juga, tertuduh mengatakan dalam pembelaan bahawa dia tidak mengetahui langsung adanya ganja di dalam bungkusan itu dan dia telah diperalatkan oleh seorang bernama Rahim.


Holdings:
Diputuskan, menyabit tertuduh dan menjatuhkan hukuman mati mandatori:


(1) Tidak terdapat keraguan mengenai ujian yang dijalankan oleh ahli kimia ke atas E1A dan E1B kerana kesemua empat ujian dibuat secara berasingan dan keputusan ke atas E1A dan E1B adalah sama dan bahan tumbuhan dari kedua E1A dan E1B adalah ganja seperti yang ditakrif di bawah s 2 Akta itu (lihat ms 127E–F).


(2) Berat contoh yang diambil cuma perlu mencukupi atau memadai sebagai contoh perwakilan bagi tujuan membuat analisa kimia ke atas bahan tumbuhan untuk pengesanan ganja di bawah takrifan s 2 Akta itu. Walau bagaimanapun, tiada peruntukan atau autoriti yang khusus mewajibkan ahli kimia membuat analisa dengan menggunakan 100% bahan tumbuhan yang ada bagi tujuan pengesahan ganja seperti ditakrif di bawah s 2 Akta itu. Dengan itu, mahkamah berpuashati dengan keterangan dan hasil pemeriksaan yang dijalankan oleh ahli kimia tersebut tanpa sebarang keraguan walaupun barang tumbuhan yang diuji hanya 144.2g daripada berat bersih 882.3g itu (lihat ms 128B–D, F–G; Leong Bon Huat lwn Pendakwa Raya [1993] 3 MLJ 11 dibeza, PP v Mohamad bin Ambunani [1994] 4 CLJ 871 dan PP v Alex bin Hamzani [1995] 3 CLJ 102 tidak diikut).

(3) Penjagaan dan kawalan ke atas barang kes tidak terputus dari mula ia dirampas oleh polis hingga ia dikemukakan di mahkamah. Maka, tidak mungkin barang tuduhan tersebut boleh diganggu gugat. Juga, kegagalan pendakwa memanggil Ketua Polis Daerah sebagai saksi tidak menyebabkan rangkaian keterangan terputus kerana kehadirannya tidak perlu (lihat ms 128G–H; Mohd Osman bin Pawan v PP [1989] 2 MLJ 110 dan Su Ah Ping v PP [1980] 1 MLJ 75 diikut).

(4) Perkara-perkara yang bercanggah di antara keterangan saksi pendakwaan adalah perkara-perkara kecil dan tidak menyentuhi apa-apa perkara pokok ataupun penting. Dengan itu, kes pendakwa dan kebolehpercayaan saksipendakwa tidak terjejas langsung (lihat ms 128I).
(5) Keterangan perbualan di antara tertuduh dan Ketua Insp Ahmad Kamaruddin bin Abdullah yang dikemukakan oleh pihak peguambela tidak dapat diterima oleh mahkamah di atas sebab maklumat dan pengakuan tertuduh tersebut dilakukan selepas tertuduh ditangkap dan tidak beramaran. Oleh itu terdapat percanggahan mengikut peruntukan di bawah s 37A Akta itu (lihat ms 129A–D).

(6) Selepas penilaian maksima ke atas segala keterangan, didapati pendakwaan telah berjaya mengadakan kes di bawah s 180 Kanun Acara Jenayah (NMB Bab 6). Juga, anggapan-anggapan di bawah s 37(d) dan (da) Akta itu wujud. Untuk mematahkan anggapan-anggapan dibawah s 37(d) dan (da)(vi), pembelaan haruslah mematahkannya di atas imbangan kebarangkalian. Tertuduh hanya menafikan keterangan-keterangan yang diberikan oleh saksi-saksi tanpa keterangan lain untuk mengeluarkan dengan munasabah keterangan pendakwaan dan ini adalah tidak mencukupi. Juga, kewujudan Rahim, sekiranya ada, tidak membawa apa-apa kesan kepada kes pendakwa kerana kes pendakwa berasaskan milikan dan pembawaan bukan kepada kepunyaan ke atas ganja itu. Oleh itu, pembelaan telah gagal untuk menimbulkan sebarang keraguan ke atas pembawaan ganja. Dengan itu, anggapan-anggapan milikan serta pengedaran cannabis wujud di bawah s 37(d) dan (da)(vi). Pendakwaan telah membuktikan kesnya tanpa keraguan munasabah. Maka, hukuman mati mandatori dijatuhkan ke atas tertuduh (lihat ms 131C, G–I, 132A–C).

Penghuni Gua
: Semuga paparan ini memberi menafaat kepada semua pembaca dan pelajar. MLJ adalah dokumen awam. ia boleh diakses di Laman Web Jabatan Kehakiman Malaysia. Tq

No comments:

Post a Comment