Tuesday, 7 February 2012

BICARA ILMIAH LAWAN POLITIK KAMPUS : PROF MADYA SHAMRAHAYU !!!!!


2012/02/07



Pendidik, mahasiswa perlu berusaha tambahkan kualiti akademik

PADA pertemuan minggu ini saya mahu panjangkan perbincangan mengenai Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang saya ulas dalam ruangan ini minggu lalu. Untuk tulisan itu saya terima beberapa respons daripada pembaca; ada yang bersetuju dan ada juga tidak bersetuju. Saya menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada pembaca yang sudi menjadi pembaca setia saya dan juga memberi pandangan balas. Antara respons yang saya terima ialah, pelajar mahukan lebih kebebasan dan ruang bersuara lebih besar di luar bilik kuliah. Saya tidak menafikan kehendak ini. Sebenarnya ini fitrah. Semua orang mahukan ruang luas dan bebas, terutama ketika membabitkan kepentingan mereka. Mungkin penjawat awam, termasuk pensyarah seperti saya juga begitu.
Peniaga atau penjaja juga begitu. Pasukan polis juga begitu. Peguam pun begitu. Pendek kata, semua pihak mahukan kebebasan bersuara, bukan mahasiswa saja.

Namun, mahasiswa juga harus sedar mengenai kenyataan sebenar kehidupan. Hidup kita bersistem dan bertatacara. Hidup bukan dalam satu lipatan saja. Ia berlapis-lapis dan berlipat-lipat.

Dalam setiap keadaan, setiap pihak mempunyai batasan masing-masing dan kehidupan juga mempunyai fasa. Mahasiswa perlu mengambil kira hal ini. Mahasiswa perlu sedar bahawa menjadi ‘mahasiswa’ hanyalah fasa permulaan. Ia bukan segala-galanya.

Sebelum betul-betul menghadapi realiti di luar universiti, mahasiswa hendaklah berupaya memenuhkan diri mereka dengan ilmu supaya mereka benar-benar berbeza daripada rakan yang tidak berpeluang menjejak kaki ke menara gading.

Di sini wujud kebaikan AUKU. Ia menyelia dan mengawal mahasiswa supaya mereka sedar tanggungjawab asas.

Respons lain yang saya terima ialah, mahasiswa berasa bimbang kehilangan markah sekiranya mereka berhujah dan mengeluarkan pendapat berbeza dengan pendapat atau pendirian pensyarah.

Mereka bimbang akan kehilangan markah sekiranya tidak ‘mengikut kata’. Sekiranya ini benar berlaku dan universiti mempunyai pensyarah sebegini, sistem pendidikan tinggi negara yang kita idamkan untuk menghasilkan pemikir tidak membawa kita ke mana-mana.

Kita akan gagal. Universiti tidak dapat mengeluarkan modal insan berwibawa dan berfikiran tahap tinggi. Pensyarah di pusat pengajian tinggi harus berbeza daripada pendidik pada peringkat rendah.

Daya kebolehan menerima pendapat dan menganalisis sesuatu hal perlu dimiliki mereka. Pensyarah perlu fokus dalam bidang mereka. Lebih penting, mereka tidak harus dikawal emosi tetapi dinaungi ilmu pengetahuan sebenar; sedia berhujah, berdebat dan belajar berterusan dan menyelidik.

Pensyarah hendaklah berbangga sekiranya pelajar dapat menandingi mereka untuk berdebat dan berhujah. Sekiranya pensyarah itu berwibawa, mahasiswa dengan sendirinya akan menjadikan mereka idola dan tidak berupaya menolak hujahnya.

Saya sentiasa mengambil pendirian bahawa pensyarah adalah penyelia dan pemudah cara, bukan mengongkong pelajar dengan fahaman mereka.

Sekiranya takut kepada pelajar bijak, pensyarah perlu sentiasa memperbaiki diri untuk menjadi pemikir dan hendaklah sentiasa berusaha untuk menjadi lebih baik daripada pelajar.

Pensyarah perlu mengambil perhatian bahawa universiti adalah platform untuk pelajar mengembangkan kebolehan mereka. Pelajar tidak boleh didera untuk bersetuju dengan mereka. Pensyarah hendaklah membuka minda dan membenarkan pelajar berfikir di luar kotak.

Walaupun begitu, ini tidak bermakna pensyarah harus membenarkan pelajar menjadi biadab. Aturan dan adab menuntut ilmu hendaklah sentiasa dipatuhi. Mahasiswa juga harus tahu tatasusila menuntut ilmu dan adab berbeza pendapat.

Saya menyebut dan mengulas mengenai respons ini kerana mahu pendapat saya difahami dengan jelas. Apabila saya menyatakan AUKU bukanlah faktor utama yang menyekat kebolehan mahasiswa, ini bukan bermakna pelajar menjadi lebih baik atau berfikiran lebih kritis dengan adanya AUKU.

Apa yang saya pentingkan ialah, pelajar menjadi bagus dan dapat berfikiran tahap tinggi sekiranya mereka mengambil peluang ketika berada di universiti untuk menimba ilmu dengan membaca bahan ilmiah dan menguji kebenaran pendapat mereka secara ilmiah di dalam bilik kuliah.

Mereka juga harus berupaya menghasilkan tulisan pemikiran. Jika di luar negara kita lihat jurnal akademik dikendalikan oleh pelajar sepenuhnya, sebagai ahli akademik, saya mahu lihat perkara ini berlaku di negara kita.

Ini adalah persediaan awal mahasiswa sebelum mereka mahukan suara mereka didengar. AUKU tidak menyekat pelajar daripada berbuat demikian.

Mahasiswa perlu buktikan mereka bijak dan masyarakat tidak ragu-ragu dengan keilmuan mereka. Pemerhatian saya di tempat saya berkhidmat mendapati jerih pelajar yang mahu menghidupkan jurnal akademik kendalian pelajar sepenuhnya.

Realitinya, mereka sukar mendapat tulisan ilmiah daripada pelajar sendiri dan bilangan mereka juga sangat kecil. Sehingga kini aktiviti mereka tidak menyerlah. Saya pasti keadaan ini berlaku bukan kerana AUKU.
Akhir kata, pendidik di universiti serta mahasiswa hendaklah berusaha menambahkan kualiti akademik dengan memberi penekanan kepada perbincangan ilmiah bukan mementingkan ideologi atau fahaman politik. Ini sesungguhnya lebih baik dan lebih bermanfaat untuk agama, bangsa dan tanah air kita.
Penulis ialah Profesor Madya di Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)






No comments:

Post a Comment