Thursday, 28 May 2009

BN/ UMNO TIADA SONIA DAN RAHUL GANDHI : DR. AZHARUDIN MOHAMED DALI ialah Pensyarah Kanan, Jabatan Sejarah, Universiti Malaya.

Utusan Malaysia
28 mei 2009

BN perlukan karisma Sonia, Rahul Ghandi
Oleh AZHARUDIN MOHAMED DALI

1. INDIA, negara pengamal demokrasi terbesar di dunia baru sahaja melaksanakan proses pilihan raya yang ke-15. Dalam pilihan raya kali ini, Parti Kongres Kebangsaan India (Kongres) yang diterajui oleh Sonia Gandhi dan Manmohan Singh mengekalkan kuasanya.

2. Lebih penting lagi, bukan sekadar kemenangan biasa yang diperolehi oleh Kongres, sebaliknya satu kemenangan yang gilang-gemilang apabila parti itu dan parti-parti gabungannya berjaya menggondol 261 kerusi Lok Sabha berbanding seteru terhampir Parti Bharatiya Janata (BJP) dan parti sekutunya yang hanya memperolehi 159. Parti-parti lain pula memperolehi 123 kerusi.

3. Melihat kepada persaingan antara Kongres dan BJP didapati bahawa Kongres telah menambah 44 kerusi berbanding hanya 217 kerusi yang diperolehi pada pilihan raya 2004. BJP dan parti sekutu pula kehilangan sebanyak 26 kerusi. Pada pilihan raya lalu, parti ini memperolehi 185 kerusi.

4. Kemenangan Kongres bukanlah dicapai secara mudah. Sebaliknya saingan sengit parti lawan terutamanya BJP yang masih terus bermain dengan isu-isu komunal benar-benar menguji kewibawaan parti ini.

5. Pengalaman memegang kuasa sejak berjaya membentuk kerajaan melalui pilihan raya 2004 dijadikan aset penting dalam kempen-kempen mereka. Lebih penting lagi, Kongres berjaya membentuk kempen yang sangat sistematik. Hal inilah yang menjadi aset penting kemenangan mereka.

6. Penganalisis politik melihat bahawa kemenangan Kongres dalam pilihan raya ini kerana ia berjaya menggabungkan tiga elemen penting yang dilambangkan melalui tiga tokoh utama iaitu Sonia Gandhi, anaknya, Rahul Gandhi dan Perdana Menteri, Dr. Manmohan Singh.

7. Gabungan tiga tokoh inilah yang membolehkan Kongres berjaya memenangi pilihan raya. Sonia dilihat mencerminkan kekuatan Indira Gandhi. Jika isu mengenai asal usul beliau menjadi senjata pihak lawan dalam pilihan raya 2004, namun tidak kali ini.

8. Pengundi dilihat tidak lagi mempertikaikan kedudukan dan kesetiaan Sonia kepada India. Sebaliknya Sonia dilambangkan seperti seorang wanita yang mempunyai karisma yang cukup tinggi sebagaimana Indira Gandhi.

9. Dalam tradisi India, wanita seperti Sonia sememangnya mempunyai tempat yang cukup tinggi dalam masyarakat. Maka tidak hairanlah sekiranya sokongan kepada beliau semakin kuat dalam pilihan raya kali ini.

10. Manmohan Singh pula dilihat sebagai tokoh politik yang berkarisma, tidak menimbulkan publisiti-publisiti murahan dan sentiasa kelihatan bersedia membawa India memasuki zaman yang mencabar.

11. Kredibiliti dan karisma kedua-dua tokoh ini diseimbangkan oleh Rahul Gandhi yang dilihat sebagai ahli politik penting pada masa depan. Berbeza dengan sepupunya Varun Gandhi yang memilih tiket komunal sebagai senjata politik, Rahul pula lebih bersifat terbuka dan mendekati rakyat, terutamanya di Uttar Pradesh.

12. Selain itu, kemenangan Kongres juga diperolehi apabila BJP dan sekutunya dilihat memilih strategi yang salah. BJP masih lagi berkempen seolah-olah sebagai parti yang memegang kuasa. Tindakan Varun Gandhi memprovokasi isu komunal sendiri akhirnya memakan diri sendiri.

13. Keadaan ini menjadi bertambah sukar apabila Narendra Modi, tokoh penting di sebalik peristiwa hitam di Gujarat membabitkan masyarakat Islam dipotretkan sebagai bakal Perdana Menteri India pada masa depan.

14. Kongres sebenarnya telah melalui turun naik politik sejak penubuhannya pada tahun 1885. Parti ini pernah tewas di tangan BJP malah, hampir hilang sokongan rakyat dan kewibawaan pemimpin-pemimpinnya dipertikaikan.

15. Meskipun demikian, formula asas yang digunakan oleh Kongres dalam pilihan raya kali ini telah berjaya membawa parti ini ke kedudukannya yang dinikmati sebelum ini. Formulanya ialah Kongres telah kembali kepada rakyat dan menjadi parti yang mampu menaungi inspirasi rakyat tanpa mengira batasan agama, keturunan dan kedudukan. Inilah formula yang digunakan oleh Kongres sejak sekian lama. Ia menjadi asas yang digunakan oleh Mahatma Gandhi dan Jawaharlal Nehru dalam usaha mendapatkan sokongan rakyat.

16. Ini juga senjata yang digunakan oleh Rahul Gandhi dalam kempen-kempen politiknya. Malahan Rahul dilihat telah sanggup turun ke padang dan bersama-sama dengan kalangan rakyat, buruh dan pekerja tanpa rasa kekok dan janggal.

17. Keprihatinan Rahul inilah yang menarik minat rakyat kepada beliau. Tanpa sokongan rakyat, maka Kongres pastinya tidak akan mampu mendapat sokongan seperti yang terlihat dalam pilihan raya kali ini.

18. Di lihat lebih dalam, formula inilah yang seharusnya digunakan oleh mana-mana parti yang ingin mendapat kemenangan dalam pilihan raya. Di negara ini, Barisan Nasional (BN) juga harus menjadikan formula ini sebagai senjata ketika kempen mahupun menjadi dasar penting ketika memegang kuasa.

19. Dalam keadaan-keadaan tertentu, sejarah BN dilihat menyamai apa yang berlaku terhadap Kongres. BN terutamanya UMNO menjadi tunjang penting dalam perjuangan kemerdekaan, sama sebagaimana yang dilakukan oleh Kongres.

20. Jika Jawaharlal Nehru, pemimpin Kongres menjadi Perdana Menteri India yang pertama, Tunku Abdul Rahman, pemimpin UMNO dan Perikatan (ketika itu) turut menjadi Perdana Menteri yang pertama.

21. UMNO dan Perikatan pernah menjadi parti yang menaungi seluruh masyarakat negara ini dan menjadi parti rakyat, bukan parti elit milik golongan atasan. Guru-guru, kakitangan kerajaan, petani, nelayan dan seluruh lapisan masyarakat menjadi anggotanya yang setia.
Kongres turut melalui hal ini apabila menjadi parti milik rakyat yang diisi oleh kalangan buruh, petani, kakitangan kerajaan dan sebagainya. Orang Islam di India turut menjadikan Kongres sebagai parti mereka.
22. Dalam perkembangan kebelakangan ini, Parti UMNO dan BN dilihat tidak lagi menjadi parti rakyat, sebaliknya parti eksklusif yang anggotanya terdiri daripada kalangan peniaga, pengusaha, pemodal mahupun kalangan jutawan.

23. Rakyat dilihat tidak lagi memberi sokongan kepada UMNO, malah ahli UMNO dan BN dilihat sebagai tidak amanah dan melaksanakan politik wang. Kongres juga pernah melalui hal ini.

24. Malah parti ini pernah melalui zaman sukar apabila orang Islam tidak lagi mengundi parti ini dalam pilihan raya hingga menjadi antara faktor kekalahan mereka pada pilihan raya sebelum ini.
25. Bagaimanapun, Kongres dilihat telah kembali bertenaga dan mengalami proses transformasi yang sangat penting. Ia dapat dilihat dari sokongan semua lapisan masyarakat termasuklah orang Islam dalam pilihan raya ini. Hal inilah yang perlu dilakukan oleh UMNO dan BN.

26. Kemenangan Kongres ini menjadi penanda bahawa parti politik seperti UMNO dan BN perlu melakukan transformasi secara besar-besaran sekiranya ingin mendapatkan sokongan rakyat. UMNO dan BN perlukan karisma dan kredibiliti Sonia, Rahul dan Manmohan Singh.

27. Soalnya, adakah ketokohan ketiga-tiga mereka ada dalam UMNO dan BN? Adakah mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad boleh menjadi seperti Sonia? Adakah Najib Tun Razak boleh menjadi Manmohan Singh? Siapakah pula yang mampu memainkan peranan seperti Rahul Gandhi di Malaysia?

28. Siapa pun orangnya, UMNO dan BN harus melihat kemenangan Kongres dengan mata terbuka dan melihat bahawa tidak ada yang mustahil di dunia ini. Dengan iltizam dan wawasan yang jelas, pasti UMNO dan BN akan mampu menarik rakyat ke dalam parti itu. UMNO dan BN mempunyai sekurang-kurangnya kurang empat tahun untuk melakukannya.

DR. AZHARUDIN MOHAMED DALI
Pensyarah Kanan, Jabatan Sejarah, Universiti Malaya.

Penghuni Gua : Pada pandangan PG , tulisan diatas adalah baik. Sebagai pemerhati yang tidak berparti dan orang luar dari mana-mana parti, PG rasakan memang benar BN, UMNO tiada 3 tokoh di atas. Mungkin Najib boleh mewakili Manmohan, Mahathir boleh mewakili Sonia, tidak boleh di nafikan Muhyiddin berada dalam 3 tokoh di atas.


2. Masalahnya, tokoh dari parti komponen BN masih tidak menonjol dan bersofaat keanakkan. Amat sukar kita mencari tokoh seperti Tun Sambanthan, Tun Tan Siew Sin, Tun Manikavasagam, Tun Ling Liong Sik, Chan Kong Choy, Lim Ah Lek yang ada personaliti dan aura tersendiri dalam menarik masyarakat berbilang kaum untuk menyokong mereka.

3. Sonia, Rahul dan Manmohan Singh boleh dibentuk dan dilahirkan di Malaysia. Di bawah kepimpinan DS Najib dengan gagasan 1 Malaysia PG percaya 3 tokoh ini dapat dilahirkan di Malaysia dalam tempoh terdekat apabila semua pihak dan parti komponen ikhlas dalam tindakan dan perjuangan mereka.

No comments:

Post a Comment