Thursday, 14 May 2009

KUASA RAKYAT KE , APA ! : ANALISIS AGENDADAILY


Bagus juga di paparkan analisis dari Agendadaily untuk tatapan pembaca. Boleh kita sama-sama fikirkan. Yang baik kita war-warkan. Fikirkanlah .


May 14, 2009 : 07.52 AM--->

1. Kemelut menentukan siapakah Menteri Besar Perak dilihat semakin rumit dan mencabar.
Pelbagai pihak membuat andaian masing-masing termasuk cuba meneka apakah kesudahan episod yang sudah berlarutan lebih tiga bulan selepas Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dilantik menggantikan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin pada 6 Februari lalu.

2. Cuma apabila ada pihak membuat tafsiran mengikut rasa dan fahaman politik masing-masing, kemelut ini dilihat seolah-olah hanya boleh diselesaikan melalui pilihan raya kecil di Perak. Sebenarnya, jika diteliti dan diamati, kes yang dikemukakan Nizar ke Mahkamah Tinggi untuk mencabar kesahihan perlantikan Zambry dan menganggap dirinya masih Menteri Besar tidak terlalu sukar diselesaikan.

3. Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah memang betul dan patut diterima semua pihak termasuk Barisan Nasional (BN) mahupun pembangkang di negeri itu. Hakim itu mendapati Nizar tidak mengosongkan jawatan sebagai Menteri Besar kerana beliau tidak kehilangan kepercayaan majoriti anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

4. Walaupun tidak melihat alasan penghakiman Abdul Aziz tetapi tidak dilaporkan beliau membuat sebarang keputusan mengatakan perlantikan Zambry sebagai Menteri Besar adalah salah atau Zambry perlu melepaskan jawatan itu kepada Nizar.

5. Difahamkan, tujuan sebenar Nizar membawa kes berkenaan ke mahkamah adalah untuk mengesahkan beliau Masih Menteri Besar kerana i) tidak berlaku pembubaran DUN, ii) tidak ada undi tidak percaya padanya di persidangan DUN dan iii) tidak berlaku perletakan jawatan oleh beliau. Memang Nizar ada memohon pengisytiharan Zambry bukanlah Menteri Besar yang sah dan tidak berhak jawatan itu tetapi seperti dinyatakan di atas, tiada ada laporan hakim memutuskan perkara itu.

6. Memandangkan kes penentuan Menteri Besar ini masih dalam lingkungan mahkamah selepas Zambry berjaya mendapatkan penangguhan pelaksanaan keputusan itu melalui Mahkamah Rayuan dan Nizar pula mengemukakan permohonan mengetepikannya, adalah tidak wajar perkara dan kuasa mahkamah disentuh.

7. Cuma tidak salah untuk semua pihak memikirkan bahawa dalam menghormati keputusan mahkamah, keputusan Sultan Perak, Sultan Azlah Shah melantik Zambry sebagai Menteri Besar juga harus ditaati. Baginda membuat keputusan itu kerana percaya dan yakin Zambry mendapat kepercayaan 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN serta sokongan tiga Adun Bebas.

8. Sultan Azlan mengambil langkah betul dengan kuasa muthlaknya melantik Zambry dengan mematuhi segala peraturan. Maka tiada siapa mahupun mahkamah boleh meragui tindakan baginda dan harus menerima kenyataan bahawa Zambry kini masih Menteri Besar yang sah berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

9. Persoalan kemelut ini sebenarnya adalah kerana Perak mempunyai dua orang Menteri Besar dengan Zambry dibuat atas perlantikan kuasa Sultan manakala Nizar pula masih sah menjawat jawatan itu berdasarkan keputusan mahkamah. Bagi penyelesaiannya adalah sama ada Nizar atau Zambry meletak jawatan ataupun membenarkan sidang khas DUN Perak memutuskan siapakah antara mereka kekal Menteri Besar melalui undi percaya oleh ahli-ahli DUN.

10. Jika selama ini semua pihak termasuk pembangkang melaung-laungkan soal menghormati majoriti, maka biarlah majoriti ahli-ahli DUN memutuskannya. Langkah ini sekaligus membolehkan semua pihak menghormati undang-undang atau mahkamah dan dalam masa sama mentaati Raja-Raja. Soalnya adakah Nizar sanggup?.

11. Dengan majoriti 31 Adun yang memihak BN, Nizar dan rakan-rakan PAS, DAP dan PKR yang hanya ada 28 sokongan sudah tentu menolak cadangan ini. Awal-awal lagi Nizar memilih untuk memohon Sultan Perak membubarkan DUN supaya pilihan raya negeri dapat diadakan kerana percaya pembangkang dapat menawan semula majoriti DUN dan beliau akan kekal sebagai Menteri Besar.

12. Nizar lupa bahawa kemelut sekarang adalah untuk menentukan Menteri Besar Perak bukannya memilih kerajaan yang akan mentadbir negeri itu. Tindakannya kini jelas lebih bersifat peribadi dengan menjadikan alasan kononnya kemelut ini perlu undi rakyat negeri Perak sebagai penyelesaian.

13. Tidak hairanlah dalam sidang medianya selepas keluar pejabat Menteri Besar petang Selasa, Nizar mendakwa keputusan yang diperolehi Zambry melalui Mahkamah Rayuan membelakangkan rakyat. Sekadar bertanya, siapakah yang membelakangkan rakyat dan siapakah yang membelakangkan kuasa majoriti?

14. Jawapan pada persoalan dan tindak tanduk Nizar dalam kemelut ini mendedahkan bahawa beliau seorang yang hanya berani berumah di tepi pantai, tetapi tidak sanggup di pukul ombak. Kalau Nizar benar-benar berani, mintalah speaker DUN Perak mengutus surat mohon perkenan Sultan Perak supaya diadakan sidang khas bagi membuat penentuan siapa lebih majoriti untuk kekal sebagai Menteri Besar dan yang tewas haruslah meletak jawatan.

15. Dalam hal ini, Agendadaily teringat kenyataannya ketika sidang media petang Selasa di Wisma DAP apabila diajukan soalan mengenai sokongan majoriti ini.

16. Kata Nizar, “Kalau nak uji majoriti, bawalah ke DUN. Jangan cakap di luar…Sayapun boleh cakap begitu,”. Jadi apa kata Nizar buktikan kata-katanya.- 13/5/200

3 comments:

  1. Nizar tak berani nak ada kan undi tidak percaya pada beliau sebab dia tahu dia akan kalah. Kalah 3 undi bebas tu hehehe. Dah tentu speaker mee segera lantikan BN akan luluskan usul undi tidak percaya pada beliau jika Nizar setuju. Dan jika Nizar masih MB yang sah, maka semua tindakan Zambry sewaktu jadi MB mee segera dulu terbatal, termasuk lantikan Speaker mee segera Ganesan. Dan ini bermaksud Speaker masih Sivakumar, dan tentu dia takkan luluskan usul undi tidak percaya pd Nizar. BN tak setuju adakan pilihanraya negeri sebab takut kalah lagi besar (sebab dah kalah 3 pilihanraya kecil semenanjung sekaligus). Tp peluang masing-masing untuk memang pilihanraya negeri masih 50%. BN ada kekuatan sendiri dan SPR, Pakatan ada kekuatan sendiri dan blogger. So pilihanraya negeri masih pilihan paling adil untuk semua.

    ReplyDelete
  2. Awak kena tengok dari mana keaadan tersebut bermula. Dah sebelum dilantik speaker haram yg tak layak masuk dewan akibat tewas dlm pilihanraya tak berani buat undi tidak percaya. Sampaikan segala talian hayat yg umno gunakan. Rakyat nampak amat jelas bahawa umno sebenarnya memang bermain kotor dalam politik Perak.Umnolah yg cuba menegakkan benang yang basah..

    ReplyDelete
  3. Kalau takut pada komen atau pendapat, lebih baik off terus...

    Fadzil Perak Said

    ReplyDelete