Thursday, 5 November 2009

MALAYSIA LAW JOURNAL : KES HARTA RAMPASAN PENGEDAR DADAH !


[1995] 2 MLJ 238
Kanagasavey a/l Sinayah v Public Prosecutor
Case Details:

Malaysia HIGH COURT (PULAU PINANG) — CRIMINAL APPEAL NO
42–404–93

Judges JEFFREY TAN JC

Date 26 JANUARY 1995

Citation [1995] 2 MLJ 238



Bahasa Malaysia Summary:


Perayu telah ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1988 dan jumlah sebanyak RM7,500 yang disimpan dalam dua akaun bank perayu (‘harta itu’) telah disita oleh responden di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucuthakan Harta) 1988 (‘Akta itu’).

Perayu kemudiannya telah dilepaskan melalui suatu writ habeas corpus dan menuntut harta itu. Responden telah merujukkan tuntutan itu kepada mahkamah sesyen untuk keputusannya di bawah s 32(2) Akta itu. Mahkamah sesyen telah memutuskan bahawa perayu telah gagal mematahkan anggapan di bawah s 35 Akta itu dan harta itu diperintah untuk diperlucuthakkan.

Perayu telah membuat rayuan, menegaskan bahawa pelepasannya daripada tahanan, secara ipso facto menyebabkan tahanannya tidak sah ab initio dan tidak selaras dengan undang-undang dan tidak termasuknya sebagai orang yang berliabiliti di bawah Akta itu. Perayu menegaskan selanjutnya bahawa perkataan-perkataan ‘yang ditahan atau telah ditahan’ di dalam s 7(1)(a)(ii) Akta itu bermakna tahanan sah, dan memandangkan peruntukan untuk perlucuthakan adalah bersifat penal, s 7(1)(a)(ii) perlu ditafsirkan secara terhad dengan memihak kepadanya, dan dengan itu menarik perkataan ‘sah’ untuk dibaca ke dalam s 7 Akta itu.

Diputuskan:
Diputuskan, menolak rayuan itu:

(1) Tuntutan perayu kepada mahkamah sesyen adalah dikawalselia oleh s 35 Akta itu. Dari permulaan hingga penamatan prosiding di bawah Akta itu, mahkamah perlu menganggap bahawa orang terhadap mana tindakan itu dibawa adalah seorang yang berliabiliti dan bahawa harta itu adalah harta yang haram, kecuali jika sebab sebaliknya boleh ditunjukkan dengan keterangan boleh terima, dan orang terhadap mana tindakan itu dibawa perlu mematahkan anggapan tersebut atas imbangan kebarangkalian.

(2) Walaupun perayu telah dilepaskan melalui writ habeas corpus,secaraex facie, beliau tidak akan menjadi ‘seorang yang ditahan secara sah’. Walau bagaimanapun, itu tidak boleh disinonimkan dengan tidak menjadi seorang yang berliabiliti. Seksyen 7 mengenal pasti kategori orang-orang yang berliabiliti untuk ditindak terhadap dan perkataan ‘telah ditahan’ akan termasuk sebagai orang yang berliabiliti, seorang yang ditahan tetapi dilepaskan tanpa menjalani tempoh tahanan atau sekatan, seorang yang ditahan tetapi dilepaskan oleh suatu perintah kehakiman, dan seorang yang ditahan tetapi dilepaskan setelah menjalani tempoh penuh (atau sebahagian) daripada tahanan atau sekatan, tertakluk kepada proviso bahawa orang tersebut telah ditahan atau disekat setelah berkuatkuasanya Akta itu di bawah mana-mana undang-undang berkenaan dengan sebarang aktiviti yang berkaitan atau melibatkan pengedaran apa-apa dadah berbahaya.

(3) Apa-apa pembacaan atau pentafsiran s 7(1)(a)(ii) Akta itu dengan memasukkan perkataan ‘sah’ tidak akan termasuk kategori kedua di atas dan memberinya maksud yang lebih terhad. Bahasa dalam s 34 Akta itu adalah jelas dan tidak taksa, iaitu dalam prosiding di bawah Akta itu, Akta itu perlu ditafsirkan untuk memberi kesan kepada niatnya. Adalah jelas bahawa tafsiran kehakiman atau apa-apa tafsiran yang lain adalah tidak termasuk kecuali untuk memberi kesan kepada tujuan Akta itu.

(4) Setelah mengenal pasti seorang yang berliabiliti untuk ditindak terhadap sebagai seorang yang kini ditahan atau yang pada masa lalu telah ditahan, keesahan tahanannya sebagai harus ditahan bukan sahaja merupakan tafsiran kehakiman yang bertentangan dengan tujuan Akta itu, tetapi juga mempertimbangkan ketaksaan atau kelemahan bahasa, atau kecacatan atau kekurangan dalam s 7(1)(a)(ii). Itu jelas tidak dibenarkan, kerana Akta itu memberikan kepada mahkamah budi bicara yang amat kurang untuk bergantung kepada tafsiran sendirinya apabila mengendalikan terma Akta itu.]

Penghuni Gua : Semuga semua pembaca dan pelajar mendapat menafaat dari paparan kes ini. Tq.

No comments:

Post a Comment