FOLLOWERS

Showing posts with label AWANG SELAMAT. Show all posts
Showing posts with label AWANG SELAMAT. Show all posts

Sunday, 12 July 2009

MACAM-MACAM TOWN : AWANG SELAMAT MENULIS !


Utusan Malaysia
12 jul 2009


DI Kuala Lumpur ada kawasan yang dikenali sebagai China Town seperti di Jalan Petaling. Ada juga Little India sebagaimana di Jalan Brickfields yang akan dinaik taraf sebagai kawasan pelancongan baru serta diperluaskan meliputi beberapa batang jalan lagi.

Di Melaka, terdapat konsep menyerupai China Town iaitu di Jonker Walk dan Little India di persimpangan Jalan Bendahara dan Jalan Temenggong. Di Kelang, Jalan Tengku Kelana diisytiharkan sebagai Little India. Banyak lagi kawasan di negara ini yang sudah dilabel dan bakal dimajukan sebagai China Town dan Little India.

Apakah ada Malay Town? Selain Pekan Rabu di Alor Setar, Pahang turut memperkenalkan satu lokasi dinamakan Malay Town di Kuantan.

Apa yang menjadi persoalan wajarkah diwujudkan China Town, Little India dan Malay Town? Apatah lagi pihak-pihak berkenaan makin ghairah memajukan konsep bandar kecil atau pekan bercirikan identiti kaum. Di satu negeri misalnya, sampai ada dua atau tiga lokasi berkenaan.

Pasti ada yang berpendapat, apa salahnya diwujud dan dikembangkan China Town dan Little India kerana di Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara lain, ia bukan pemandangan yang asing.

Tetapi Awang tidak nampak kewajaran sebegitu banyak China Town, Little India mahupun Malay Town di negara ini. Untuk menjadikan AS sebagai perbandingan adalah silap. Ini kerana Malaysia sememangnya telah dikenali dan diisytiharkan sebagai negara pelbagai kaum. Jika sudah mencapai status negara pelbagai kaum, untuk apa perlunya China Town, Little India mahupun Malay Town?

Masyarakat Cina dan India di negara ini bukan golongan imigran, mereka adalah warga negara. Lainlah kalau Afrika Town, Arab Town, Bangla Town, Nepal Town dan Vietnam Town diwujudkan oleh komuniti pendatang yang merantau mencari rezeki di negara ini kerana mereka bukannya warga negara. Awang boleh faham dan terima jika terdapat satu dua China Town atau Little India di negara ini bagi tujuan pelancongan atau untuk menampakkan kepada pelancong dari negara China dan India bahawa budaya dan ciri-ciri kedua-dua kaum itu masih ketara di negara ini.

Tetapi jika jumlahnya berkembang pesat bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan, maka ia bukan sesuatu yang boleh dibanggakan. Jika itu dibenarkan, ke mana arah kita sebagai bangsa Malaysia melainkan jika kita mahu membatalkan semula rujukan Malaysia sebagai negara pelbagai kaum.

Penghuni Gua : Jom kita berpakat ramai-ramai buka Jawa Town, Banjar Town, Melayu Town, Minang Town, Solo Town, Maluku Town, Mami Town, Syed Town, Wan Town, Sheikh Town, dan town, Town, Town....................

2. Masih bolehkah negara ini bernama Malaysia? Lihat dan pandang sekeliling...................

Sunday, 12 April 2009

UNTUK KERAJAAN DAN MELAYU BERFIKIR

Utusan Malaysia : Rencana Awang Selamat
12 apr 2009


Kekalahan BN dalam pilihan raya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau pada 7 April lalu, tidaklah mengejutkan.

Sentimen menolak BN sememangnya sudah terlalu kuat. Biarpun berlaku peralihan kepimpinan negara pada 3 April lalu dan kempen saat-saat akhir mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, ia tidak dapat membawa kemenangan.

Banyak faktor yang menyumbang kepada kekalahan BN antaranya calon, isu setempat dan sentimen kebencian yang dimainkan oleh kempen pembangkang termasuk fitnah dan serangan peribadi.

Di peringkat BN, kempen parti komponen seperti MCA dan Gerakan tidak agresif sebagaimana DAP. Misalnya, bilik gerakan ditutup pukul 11 malam sedangkan parti pesaing beroperasi sehingga awal pagi.

Bukanlah kita mahu menuding jari kepada mana-mana pihak tetapi itulah realitinya dan ia menuntut post mortem yang berani.

UMNO memang perlu berubah tetapi parti komponen yang lain juga perlu berubah. MIC sudah tentu memerlukan perubahan lebih besar terutama kepimpinannya.

Dengan prestasi hambar itu maka MCA, Gerakan dan MIC tidak berhak untuk membuat pelbagai tuntutan apatah lagi bagi jawatan Timbalan Perdana Menteri kedua.

Sebarang pendirian parti komponen untuk mengasak UMNO bagi memenuhi semua kehendak politik bukan Melayu kononnya atas nama pembaharuan, tidak akan membantu sama sekali kebangkitan BN. Jika ia terus dilakukan atas andaian UMNO makin lemah, itu adalah percaturan yang silap. Walaupun UMNO berdepan dengan banyak tekanan dan kekangan, parti itu belum hilang kekuatan.

Ternyata trend undi masyarakat Melayu kepada BN meningkat termasuk dalam pilihan raya kecil terbaharu sedangkan undi bukan Melayu menyusut. Para pengundi bukan Melayu seperti biasa akan membuat banyak tuntutan pada musim kempen tetapi undi mereka tetap kepada pembangkang.

Ini termasuk peti-peti undi yang paling banyak menerima peruntukan yang ditagih oleh pelbagai pihak mewakili pengundi antaranya RM1 juta untuk sekolah Cina, RM400,000 sekolah Tamil, tuntutan tanah rizab dan puluhan lagi.

Apa makna ini semua? Bukankah ia menampakkan BN terus dipermainkan oleh pengundi bukan Melayu. Pada Awang, keputusan kedua-dua pilihan raya kecil itu dan beberapa yang lain sebelum ini adalah isyarat jelas kepada BN supaya jangan lagi terperangkap dengan muslihat sedemikian.

Usahlah mengharapkan sangat perubahan sokongan bukan Melayu. Inilah kesan pendekatan politik pemimpin PKR, Anwar Ibrahim yang berjaya menggugat kuasa politik Melayu. Anwar membuka laluan dan Pas membantu.

Sebab itu, pengundi Cina dan India sanggup memakai logo dan mengibarkan bendera Pas yang diterjemahkan menerusi peti undi. Ia bagi menjayakan agenda DAP dan PKR yang lebih dominan dalam pakatan pembangkang terutama dalam senario politik Perak.

Realitinya sampai hari ini masyarakat Cina tetap menolak agenda Pas untuk mewujudkan negara Islam. Pas bukan pilihan sebenar sebagaimana DAP dan PKR yang mempunyai gagasan termasuk Malaysian Malaysia yang lebih memikat. Begitulah kekuatan dan kebijaksanaan masyarakat Cina berpolitik, yang kemuncaknya nanti mahu dicapai pada Pilihan Raya Umum Ke-13. Mereka bersatu dalam percaturan. Jadi siapa yang tertipu?

BISIK-BISIK AWANG SELAMAT

PETA PELAYAR