Kebebasan hak asasi mencabuli prinsip agama Islam wajar ditepis
SATU demi satu isu berkaitan agama dan moral timbul di negara ini. Pembaca sudah tentu mengikuti berita mengenai perkahwinan sejenis dan juga kebebasan beragama yang menjadi topik utama dalam akhbar cetak dan internet.
Saya sudah beberapa kali menulis mengenai isu ini. Namun saya tidak dapat mengelak daripada terus menulis mengenai perkara ini kerana ia berterusan dijadikan perkara sensasi dan tekanan ke atas agama negara dan amalan kemoralan di negara ini. Di mata Barat, Malaysia dituduh tidak mengamal hak asasi kerana meletakkan sekatan tertentu berkaitan kebebasan beragama dan kemoralan. Dua perkara ini sebenarnya sentiasa dijadikan asas tekanan kepada semua negara Islam, termasuk Malaysia. Asas hak asasi tajaan Barat dijadikan kayu pengukurnya. Ini adakalanya mendapat sokongan orang kita sendiri yang mementingkan kebebasan diri yang didorong nafsu mementingkan dan bebas daripada ikatan agama. Tuduhan ke atas Malaysia bukan saja datang daripada mereka yang menggunakan platform ‘pejuang’ hak asasi, tetapi juga daripada kalangan akademik yang mempercayai kebebasan tanpa sempadan. Dalam seminar antarabangsa yang pernah saya hadiri, banyak persoalan yang dikemukakan berkisar kepada dua perkara ini, terutama kes murtad dan homoseksual.
Mereka mempersoalkan undang-undang jenayah syariah dan sekatan yang dibenarkan Perlembagaan Persekutuan. Walaupun penerangan mengenai undang-undang, sejarah, nilai amalan, budaya dan prinsip negara disampaikan dengan jelas, kebanyakan mereka enggan menerima dan memahaminya. Atas apa alasan keengganannya saya pasti pembaca boleh fikirkannya.
Pada pengamatan saya, mereka enggan menerima kedudukan agama Islam sebagai antara sumber perundangan dan cara hidup masyarakat kita dan seterusnya mereka cuba menjadikan prinsip agama dan kemoralan Islam sebagai sasaran. Mereka mengatakan kita tidak mengikut piawaian antarabangsa berkaitan hak asasi.
Alasan ini sebenarnya tidak berasas. Selain daripada beberapa kelemahan teknikal dalam proses menggubal, prinsip hak asasi di dalam deklarasi antarabangsa berkaitan kedua-dua perkara ini memberikan ruang yang memadai kepada negara untuk mengambil kira kedudukan amalan dan budaya masing-masing dalam menentukan tahap amalannya.
Jika kita lihat keputusan berkaitan agama dan kemoralan yang diputuskan oleh European Courts of Human Rights, ia banyak memberikan kebebasan kepada negara untuk membuat undang-undang berkaitan kedua-dua perkara berkenaan.
Sebagai contoh, dalam kes dari Austria berkaitan penghinaan agama, mahkamah itu memberikan Kerajaan Austria kebebasan menentukan undang-undang mereka. Undang-undang negara Austria yang menyekat penayangan filem berunsur penghinaan terhadap agama sudah diisytiharkan baik, walaupun undang-undang itu menyekat kebebasan bersuara.
Walaupun keputusan mahkamah Eropah ini tidak mengikat negara kita, iktibar yang dapat kita ambil ialah mahkamah memberikan kepada negara untuk membentuk undang-undang yang boleh diterima oleh penduduk negara berkenaan – menurut nilai yang diterima masyarakat.
Secara prinsipnya, masyarakat haruslah boleh diterima oleh masyarakat. Undang-undang yang berkesan ialah undang-undang yang tidak asing atau tidak jauh menyimpang daripada nilai, amalan dan budaya masyarakat. Oleh itu, dalam membentuk apa juga undang-undang, termasuk undang-undang berkaitan agama dan kemoralan, ia hendaklah sinonim dengan nilai, amalan dan budaya negara.
Cubaan seorang paderi untuk melangsungkan perkahwinan sejenis di negara ini, yang diketahuinya tidak mengiktiraf perkahwinan sejenis adalah mencabar kedaulatan undang-undang negara kita.
Perbuatan seperti ini menghina prinsip negara yang disandarkan kepada kedudukan agama Islam sebagai agama bagi negara. Ia juga mengaibkan Rukun Negara, terutama prinsip pertama dan prinsip terakhir, iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan dan Kesopanan dan Kesusilaan.
Cubaan itu juga meremehkan kedudukan undang-undang kita. Akta Pembaharuan (Perkahwinan dan Perceraian) yang memperjelaskan bahawa perkahwinan hendaklah sentiasa membabitkan lelaki dan perempuan.
Selain itu, Kanun Keseksaan juga mempunyai peruntukan yang menjenayahkan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii (seksyen 377A). Dalam peruntukan lain, Kanun Keseksaan juga menjenayahkan perlakuan yang melanggar kesopanan, iaitu kelucahan melampau sama ada di tempat awam atau di tempat persendirian (seksyen 377D).
Kesalahan ini bukan kesalahan baru, ia diambil daripada Kanun Keseksaan India yang didasarkan kepada undang-undang British yang dahulunya disandarkan kepada ajaran agama Kristian. Walaupun kesalahan sebegini agak sukar untuk dibuktikan di mahkamah ekoran daripada kerahsiaan di dalam perlakuannya, ia menunjukkan bahawa undang-undang negara tidak mengiktiraf perlakuan sebegini.
Mengenai kebebasan beragama, terutama kebebasan untuk menukar agama dan mengembangkan agama, ia sudah jelas dan saya fikir pembaca sudah amat maklum mengenainya. Saya tidak perlu memanjangkan hujah mengenai ini, cukuplah sekadar disebut mengenai kedudukan Islam sebagai agama negara dan kedudukan jenayah syariah yang sudah bersemi di dalam sistem perundangan negara.
Penulis ialah Profesor Madya Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Penghuni Gua : PG kirim salam pada SUHAKAM . Boleh jalan dan boleh blah!!!!!!!! Buat habis ke boreh aje. Tak perlu komen panjang-panjang. Habiskan boreh aje !!!!
