FOLLOWERS

Showing posts with label PROF SHAMRAHAYU. Show all posts
Showing posts with label PROF SHAMRAHAYU. Show all posts

Tuesday, 21 February 2012

KEMBALIKAN SEMULA KUASA YAA HAKIM : PROF SHAMRAHAYU !!!!!



Oleh Shamrahayu A Aziz
bhnews@bharian.com.my
2012/02/21




Perubahan beri kebaikan kepada reputasi kebebasan badan kehakiman

KETIKA di bangku sekolah rendah lagi, saya sering dipilih untuk mewakili sekolah dalam pertandingan pidato atau syarahan. Kenangan berkaitan masih mekar dalam ingatan. Bukan pengalaman menyertai pertandingan itu yang ingin saya kongsi.

Ia berkenaan kata-kata aluan, pembuka kata, yang sering diucap bagi menghormati hakim. Biasanya kami mulakan dengan ‘para hakim yang arif lagi bijaksana’. Setulusnya, ketika melafazkan ungkapan berkenaan, saya tidak dapat menjiwai sifat hakim yang mengadili pertandingan itu.

Maklum sajalah, sebagai pelajar sekolah rendah pemahaman saya berkaitan frasa ‘adil dan bijaksana’ itu tidaklah menyeluruh. Saya juga tidak begitu mengerti aspek yang perlu diberi perhatian dalam menentukan kriteria hakim yang ‘arif dan bijaksana’ itu. 

Ironinya, walaupun dalam pertandingan syarahan pada peringkat sekolah rendah kita memerlukan hakim yang arif dan bijaksana, tentulah juga kita memerlukan hakim yang arif dan bijaksana dalam mahkamah. 

Kedudukan penting badan kehakiman dalam sistem pentadbiran keadilan negara memang tidak dapat kita nafikan. Semua kita mahukan hakim adil, arif dan bijaksana. 

Mahkamah, seperti mana pembaca ketahui adalah tempat untuk setiap warga mendapatkan keadilan sekiranya berlaku pertelingkahan, sama ada berkaitan hal sivil atau jenayah. Maka sudah tentulah kriteria hakim yang adil dan bijaksana itu perlu wujud. 

Dalam konteks ini, kriteria arif dan bijaksana itu bukan hanya membabitkan ilmu pengetahuan hakim mengenai hal perundangan, iaitu undang-undang yang diterima pakai. Lebih luas lagi, hakim hendaklah arif dan bijaksana dalam mengendalikan kes atau menepis campur tangan pihak tidak berkaitan. Maka dengan itu wujudlah pelbagai etika berkaitan tingkah laku hakim. 

Selain etika tertentu, dalam membantu hakim mencapai tahap ‘arif dan bijaksana’ yang luas ini, sudah tentu hakim harus dibekalkan dengan prasarana undang-undang. Ini bagi membolehkan mereka membuat keputusan berkaitan hal perundangan tanpa diperalat oleh institusi lain. Dalam kata lain, kita memerlukan undang-undang jelas mengenai kuasa hakim secara spesifik atau kuasa badan kehakiman secara umum. 

Dalam sebuah negara demokrasi yang mengamalkan pengasingan kuasa (sama ada secara penuh atau pun tidak), kebebasan badan kehakiman adalah kriteria utama. 

Pengasingan kuasa secara ringkas bermaksud tiga institusi kerajaan (dikenali juga sebagai organ kerajaan), iaitu badan pentadbiran (seperti jemaah menteri), badan perundangan (iaitu Parlimen atau Dewan Undangan Negeri) dan badan kehakiman (mahkamah) mempunyai kuasa dan sekatan kuasa yang tertentu. Hal ini kebiasaannya dimaktubkan di dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Setiap satu institusi melaksanakan tugas masing-masing dan institusi terbabit boleh menyemak dan mengimbangi tindakan institusi lain. Tujuan utama pengasingan kuasa ialah untuk menggalakkan semak dan imbang supaya kuasa institusi tidak disalah guna. 

Kebebasan kehakiman pula secara umum memberi erti hakim hendaklah bebas daripada pihak pentadbiran dan juga pihak perundangan. Dalam konsep semak dan imbang ini, bagi memastikan kebebasan badan kehakiman, semakan dan imbangan terhadap badan kehakiman adalah pada paras minimum. 

Sebagai contoh, pihak perundangan tidak boleh secara melulu membincangkan tingkah laku hakim dalam perdebatan Parlimen. Begitu juga dengan gaji hakim. 
Parlimen umumnya tidak boleh meminda gaji hakim sehingga menyebabkan kerugian kepada hakim. Prinsip ini dibolehkan bagi memberikan kebebasan kepada hakim untuk menjalankan tugas mereka tanpa takut. 

Dalam aspek lain, kuasa kehakiman hendaklah diletak hak kepada badan kehakiman. Institusi lain tidak boleh menjalankan kuasa kehakiman. Sebelum Jun 1988, kita mempunyai peruntukan khusus yang meletak hak kuasa kehakiman kepada mahkamah (Perkara 121(1)). 

Perkara berkenaan bagaimanapun sudah dipinda. Kita sudah tidak mempunyai peruntukan khusus mengenai letak hak kuasa kehakiman. Pindaan 1988 mengundang banyak spekulasi. 

Mutakhir, hal ini disebut oleh seorang bekas Ketua Hakim Negara dan saya terpanggil untuk berkongsi pendapat di sini. 

Kita harus tahu bahawa ada keputusan kes yang menegaskan mengenai pengekalan kuasa kehakiman kepada mahkamah walaupun perkara berkaitan dimansuhkan. Namun, satu keputusan kes lain memberi gambaran bahawa kuasa kehakiman boleh dilaksanakan oleh pihak lain. 

Ada juga satu keputusan lain yang menggambarkan kemungkinan negatif hasil ketiadaan peruntukan khusus di dalam Perlembagaan mengenai letak hak kuasa kehakiman. 

Jika diteliti keputusan mahkamah dan perdebatan akademik, pindaan 1988 yang memansuhkan letak hak kuasa kehakiman memberi implikasi negatif kepada badan kehakiman. Mungkin cadangan untuk mengembalikan peruntukan asal Perkara 121(1) ke dalam Perlembagaan Persekutuan adalah perubahan yang dialu-alukan oleh banyak pihak dan boleh mendatangkan kebaikan kepada reputasi kebebasan badan kehakiman. 

Walaupun mengembalikan kuasa kehakiman ini tidak dapat menutup mulut mereka yang tidak berpuas hati, prinsip kebebasan badan kehakiman perlu diberi perhatian sewajarnya. Namun, kuasa kehakiman mahkamah syariah dan mahkamah anak negeri tidak boleh diabaikan. 

Penulis ialah Prof Madya di Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Thursday, 29 December 2011

KEBEBASAN PERLU ADA DISIPLIN : PROF MADYA SHAMRAHAYU !!!!









Hidup tanpa sekatan penyumbang kecelaruan sosial

KEBEBASAN bersuara dalam pelbagai aspek, termasuk kebebasan media, kebebasan berhimpun, kebebasan akademik, kebebasan menyertai parti politik (bagi pelajar universiti) dan seumpamanya sedang dan akan terus hangat diperkata. Begitu juga dengan kebebasan diri dan kebebasan peribadi seperti kebebasan seksual identiti dan seksual orientasi. Pembaca juga maklum, perkembangan semasa berkaitan kebebasan ini bukan perkara kecil. Ia sudah menular sehingga terdapat perselisihan besar antara beberapa kelompok orang kita. Ramai yang menganggap dua jenis kebebasan ini, iaitu kebebasan bersuara dan kebebasan diri adalah satu-satunya cara yang dapat menilai atau menentukan tahap intelektual dan keupayaan identiti individu. Sekiranya kita menganggap kebebasan adalah segalanya, kita akan menjadikan kebebasan itu 'tuhan'. Dalam kata lain, kita akan menganggap kebebasan itulah yang menentukan baik buruk atau sebagainya. Ini adalah salah. Kebebasan cuma satu wadah, tetapi ia bukan penentu kepada semuanya Sejak dari dulu kala, manusia mengutamakan kebebasan dalam pelbagai hal. Ramai ahli falsafah telah memberi pandangan mereka mengenai kebebasan ini. Benar, dalam apa juga hal, kebebasan adalah perkara pokok. Kebebasan akan menyumbang kepada pembangunan diri dan intelektual manusia. Tanpa kebebasan manusia akan menjadi alat mainan mekanikal kanak-kanak, robot atau boneka yang dikawal dengan tali. Dalam keadaan ini kita mengiktiraf kebebasan manusia.

Namun begitu kita perlu ingat bahawa kebebasan bukan hanya relevan kerana demokrasi. Demokrasi juga bukan semata-mata kebebasan. Berkaitan, kebebasan juga bukan politik dan politik bukan semata-mata kebebasan. Saya menyebut ini kerana saya membaca daripada pelbagai sumber bahawa, kebebasan dituntut kerana demokrasi dan politik.

Asalnya, kebebasan diperlukan kerana sifat manusia. Ia secara umumnya dikawal oleh biologi atau emosi dan diri manusia itu sendiri. Dari asal kejadian manusia mempunyai naluri untuk bebas. Makna atau maksud ‘bebas’ dalam naluri manusia itu berbeza-beza. Perbezaan berkenaan wujud mengikut kepercayaan agama, keadaan sosial (termasuk emosi) dan juga undang-undang.

Bagaimanapun, kita harus sentiasa ingat bahawa kebebasan bukanlah segalanya. Sekiranya kita menganggap kebebasan adalah segalanya, kita akan menjadikan kebebasan itu ‘tuhan’. Dalam kata lain, kita akan menganggap kebebasan itulah yang menentukan baik buruk atau sebagainya. Ini adalah salah. Kebebasan cuma satu wadah, tetapi ia bukan penentu kepada semuanya.
Selain daripada itu, dalam kebebasan satu individu, terdapat kebebasan individu yang lain. Di sana juga terdapat kebebasan sesebuah masyarakat. Lantas, kebe-basan individu terikat dengan kebebasan individu lain dan juga kebebasan masyarakat.

Seiringan dengan itu, kita sedia maklum, sejak dari kejadian manusia itu juga setiap individu yang dinamakan manusia itu, setiap satunya mempunyai diri dan naluri yang tersendiri. Ada ketika tertentu naluri antara setiap satu itu akan bertembung dan bercanggah. Di sinilah justifikasi sekatan kepada kebebasan.
Oleh itu, kebebasan dan sekatannya tidak bertentangan antara satu sama lain. Kedua-duanya saling melengkapi antara satu sama lain. Kedua-duanya hendaklah sentiasa ada bersama dan beriringan. Kebersamaan itulah yang akan membantu manusia mencapai tujuan utama kehidupan sebenar secara bersendirian, atau juga secara berkelompok dalam masyarakat.

Selain daripada itu, kebebasan tanpa sekatan menjadi penyumbang besar kepada kecelaruan sosial. Apa tidaknya, dari satu sisi, kebebasan peribadi dan kebebasan diri diperjuang, manakala dari satu segi yang lain pula kita saksikan rungutan kepada keruntuhan moral dan masalah sosial. Kebebasan peribadi dilaung, bila timbul masalah sosial kita bising dan menuding jari kepada kerajaan. Ini telah jelas berlaku di negara kita. Oleh itu kebebasan perlu didisiplinkan.

Pada falsafahnya kebebasan itu adalah satu ikatan. Kebebasan bukan lesen untuk bebas lepas tanpa ikatan atau tanpa sempadan. Kebebasan juga mempunyai pengisian kerohanian. Ia tidak memisahkan langit dan bumi – kebebasan tidak memisahkan manusia daripada tuhannya. Kebebasan bukan lambang keegoan. Kebebasan adalah lambang kesederhanaan. Kebebasan menyatakan yang benar walaupun sukar dan pahit. Kebebasan hendaklah sentiasa berada di atas landasan kejujuran. Ia menyebarkan yang benar dengan kejujuran.

Kebebasan bukan propaganda. Kebebasan tidak harus diniat dan diamal untuk menarik seseorang atau satu pihak ke sisinya. Kebebasan harus menyampaikan ilmu dan juga menjadi sumber asas pengetahuan. Kebebasan adalah proses atau mekanisme mengajak orang lain berfikir. Kebebasan adalah ejen pembuka minda, bukan penghalang kepada kebebasan minda. Kebebasan juga bertujuan untuk membaik pulih sesuatu yang tersalah. Kebebasan harus menyatupadukan, bukan memecah belah. Natijahnya, kebebasan hendaklah menjadi asas kepada penyatuan dan persefahaman.

Selepas menghayati falsafah kebebasan itu, kita perlu sentiasa teliti dalam menentukan sama ada kita perlukan kebebasan ataupun kita perlu pinggirkannya. Kita harus meneliti sama ada (antaranya); pertama, adakah kebebasan yang dituntut oleh sebahagian daripada kita di negara ini sebenarnya membawa kepada kebenaran; kedua, adakah kebebasan tersebut disertai dengan kejujuran; ketiga, adakah kebebasan yang dituntut itu adalah untuk membuka minda dan intelektual; dan keempat, adakah kebebasan itu semata-mata propaganda, sama ada bertujuan politik atau sebagainya, yang tidak akan membawa kita ke mana-mana kecuali kepada keruntuhan peribadi dan rohani, perpecahan dan kegawatan antara kita. Semoga kita tidak gelap mata dalam memilih dan memperjuangkan kebebasan.


Penulis ialah Profesor Madya di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Tuesday, 6 December 2011

PERLEMBAGAAN MENGIKAT SETIAP WARGANEGARA : PROF SHAMRAHAYU !!!!









Kebebasan patut seiring tanggungjawab jaga keharmonian majoriti rakyat

ADAKAH Perlembagaan Persekutuan terpakai dan mengikat semua rakyat Malaysia? Apa akan terjadi sekiranya saya tidak mahu diikat kerana tiada peruntukan yang menghendaki kita mengikuti semua peruntukannya? Terkejut juga saya ketika diaju soalan ini pada sesi soal jawab diskusi berkaitan Perlembagaan Persekutuan. Selepas ditanya lebih panjang kenapa persoalan sebegini diajukan, orang yang bertanya menyatakan ketidakpuasan hati terhadap beberapa peruntukan perlembagaan. Secara khusus, beliau menyebut mengenai peruntukan berkaitan sekatan yang boleh dibuat ke atas Perkara 10 dan 11 Perlembagaan Persekutuan iaitu peruntukan yang menjamin kebebasan berhimpun secara aman dan kebebasan beragama.

Secara jujurnya persoalan sebegini tidak pernah terlintas di fikiran saya. Mungkin kerana saya mengambil mudah mengenai penerimaan dan pemakaian peruntukan perlembagaan. Saya terlepas pandang mengenai isu penting ini.

Pada anggapan saya, semua ahli masyarakat sedia maklum mengenai peranan perlembagaan dan tanggungjawab setiap individu terhadap perlembagaan.

Pada anggapan saya juga, semua ahli masyarakat sedar mereka hendaklah mengikat diri dengan perlembagaan tanpa sangsi walaupun jelas perlembagaan tidak menyediakan peruntukan khusus mewajibkan setiap orang mengikatkan diri dengannya.


Saya menganggap perbuatan menghormati perlembagaan bukan saja menampilkan semangat patriotisme, tetapi ia juga tanggungjawab wajib yang perlu dilaksanakan setiap warga negara.

Malah, mereka yang bukan warga negara juga terikat dengan prinsip ini. Saya sediakan sedikit ulasan untuk dikongsi dengan pembaca kerana persoalan terbabit begitu penting.

Secara umumnya tujuan undang-undang ialah mengawal selia kehidupan manusia. Ia juga diwujudkan untuk membetulkan atau menebus kesalahan serta menyelesaikan pertelingkahan.

Undang-undang mengikat manusia kepada satu sistem yang boleh menjamin kehidupan selesa dan juga penuh kehormatan. Undang-undang tidak boleh dikatakan sebagai penghalang aktiviti masyarakat. Ialah adalah pemangkin kepada aktiviti masyarakat.

Disebabkan peranannya begitu besar, maka undang-undang mempunyai semangat dan nilai tersendiri. Sebagai contoh, undang-undang boleh menjadikan sesuatu perbuatan yang memberi kesan negatif ke atas orang lain atau masyarakat sebagai satu jenayah yang boleh dihukum. Ini bagi membolehkan setiap ahli masyarakat secara individu atau berkelompok, dihargai kewujudan dan kehormatannya. Tiada orang yang lain boleh meragutnya tanpa sebarang tindakan undang-undang. Oleh itu, setiap orang terikat dengan undang-undang.

Mengenai tanggungjawab mengikat diri dengan perlembagaan, perkara pertama yang perlu kita ingat dan semat di dalam hati; perlembagaan ialah undang-undang tertinggi negara. Mengapa?

Jawapan di atas kertas seorang pelajar undang-undang perlembagaan mungkin menyatakan setiap undang-undang lain hendaklah menepati peruntukan perlembagaan. Mungkin ini agak rumit untuk pembaca umum.

Bagi umum, jawapan perlembagaan sebagai simbol kemerdekaan dan kedaulatan negara lebih bermakna. Tanpa perlembagaan, kita tidak dapat menjadi negara merdeka berdaulat dalam sistem negara bangsa yang diamalkan dunia. Perlembagaan juga manifesto negara. Ia menampilkan ciri pentadbiran dan negara bangsa yang mahu dibina.

Perlembagaan juga dokumen yang mencipta institusi negara, iaitu badan kehakiman, badan perundangan dan badan pelaksana. Ia mengiktiraf dan meletakkan kesinambungan kepada institusi tradisi, iaitu institusi raja.

Bukan saja mencipta dan mengiktiraf kelangsungan institusi ini, perlembagaan menggariskan kuasa dan peranan semua institusi berkenaan. Setelah itu, perlembagaan juga menyekat kuasa institusi itu supaya setiap sesuatu yang bergerak dalam orbit menghormati kedaulatan undang-undang, termasuk kebebasan rakyat.

Walaupun tidak berpuas hati dengan peruntukan sedia ada, kita tidak harus mementingkan diri sendiri dan mahu meragut kewujudan dan kehormatan orang lain. Kebebasan sentiasa berkembar dengan tanggungjawab kita.

Maka sekatan yang dibenarkan perlembagaan mempunyai alasan, semangat dan nilai tersendiri. Cuma, apa yang kita harapkan ialah pelaksana peruntukan perlembagaan menjalankan kuasa dan peranan dalam konteks yang diinginkan prinsip perlembagaan. Kita tidak harus mengasingkan diri daripada perlembagaan.

Perlembagaan Persekutuan menentukan kelangsungan sistem negara. Ia menjadi panduan dan piawaian kepada tindakan setiap institusi dan menjamin kehormatan individu sama ada warga negara atau bukan warga negara.

Perlembagaan menjadikan kita bangsa bersatu, bukan berpecah. Perlembagaan adalah rantai kukuh yang mengikat kita.


Perlembagaan juga menyinarkan konsep demokrasi yang mengekalkan kebebasan beragama, kebebasan bersuara dan berkumpul dalam keadaan aman. Dalam membenarkan sekatannya, perlembagaan bukan semata-mata dokumen, ia adalah dokumen yang mempunyai nilai, kepercayaan dan agama. Ini harus diteroka sedalam mungkin oleh ahli masyarakat.

Semoga masyarakat yang menjadi pengguna sebenar Perlembagaan tetap berusaha untuk memastikan kandungan dan amalannya yang terbaik berdasarkan semangat dan nilainya demi agama, bangsa dan tanah air.

Penulis ialah Profesor Madya di Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Tuesday, 18 October 2011

MENGAWAL PERLUASAN AGAMA BUKAN ISLAM : PROF MADYA SHAMRAHAYU !!!!!









Undang-undang murtad sedia ada perlu lebih jelas, ada penambahbaikan

SAYA teruja mengenai cadangan mewujudkan undang-undang khusus bagi menangani murtad. Saya juga teruja dengan langkah persatuan Islam di negara ini yang akan menganjurkan perhimpunan sejuta umat Sabtu ini. Kedua-dua ini menunjukkan sensitiviti sebahagian besar masyarakat Malaysia berkaitan isu murtad. Walaupun begitu, pada masa sama, saya pasti masih ada antara umat yang tidak mengambil tahu, memandang ringan atau tidak mahu mengambil tahu atau jika sudah tahu pun, sengaja buat-buat tidak tahu kerana mahu berbaik sangka dengan mereka yang cuba memurtadkan orang Islam. Murtad di Malaysia bukan perkara baru, bahkan sudah banyak kertas kerja dan bahan bacaan berkaitan yang disebarkan. Bukanlah maksud untuk bermegah, tetapi di kulliyyah (fakulti) saya, tidak kurang empat program ilmiah yang agak besar sudah dianjurkan.

Selain itu pelbagai program berkaitan sudah dianjurkan oleh pihak universiti, agensi kerajaan dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Pendek kata, semua pihak sudah banyak melakukan kegiatan ilmiah berkaitan perkara ini.

Di samping aktiviti akademik, ada juga undang-undang yang menjenayahkan perbuatan murtad dan juga perbuatan cuba memurtadkan orang Islam. Kesalahan ini diwujudkan sama ada di dalam undang-undang jenayah syariah dan juga undang-undang khas berkaitan kawalan dan sekatan pengembangan agama bukan Islam di kalangan orang Islam.

Sekiranya diperhatikan pengisian undang-undang ini secara akademik, ia agak memadai untuk kita uruskan hal berkaitan murtad secara perundangan. Namun, lahir juga masalah di dalam amalannya atau penguatkuasaannya.
Seperti yang kita semua maklum, sesuatu pertuduhan di mahkamah memerlukan bukti kukuh. Oleh itu, proses pelaksanaan yang cekap dan menyeluruh harus dilakukan. Kesalahan murtad dan kesalahan pengembangan agama ini bukan seperti kesalahan trafik yang boleh kita buktikan dengan cara yang agak mudah.

Selepas mendengar cadangan untuk digubal undang-undang berkaitan murtad, iaitu Akta Murtad, apa yang menjelma di dalam kotak fikiran saya ialah jenis kesalahan yang mesti kita masukkan ke dalam akta terbabit.

Saya pinggirkan dulu soal perundangan atau kesahannya menurut Perlembagaan, tetapi saya utamakan yang baik untuk Islam dulu, iaitu mencegah murtad dan menghukum murtad. Berbalik kepada kesalahan berkaitan murtad tadi, ia termasuklah melakukan perlakuan atau mengucap apa yang boleh menjadikan seseorang itu murtad.

Elemen pengembangan agama bukan Islam di kalangan orang bukan Islam sudah banyak disebut di dalam enakmen berkaitan. Pada dasarnya semua elemen sudah wujud di dalam undang-undang yang sedia ada.

Oleh itu, apa yang lebih utama setakat ini ialah usaha kita merealisasi atau melaksanakan undang-undang sedia ada. Undang-undang menyekat dan mengawal pengembangan agama bukan Islam sudah dibuat pada pertengahan 1980-an, tetapi sehingga kini kita bukan saja belum melihat keberkesanannya, tetapi kita belum dikhabarkan dengan apa-apa pertuduhan melaluinya.

Sukar untuk saya sebut di sini bahawa, ketika memberi ceramah kepada sepasukan penguat kuasa pada 2004, saya terkejut kerana mendapati ada antara penguat kuasa tidak menyedari kewujudan enakmen terbabit.

Mungkin itu pada 2004 – kini saya percaya penguat kuasa bukan saja mengetahui kewujudan undang-undang ini, tetapi sudah pun cuba menguatkuasakannya.

Apa yang saya dan mungkin juga masyarakat Islam negara ini mahukan ialah realisasi kepada penguatkuasaan undang-undang terbabit. Sekiranya kita sudah mencuba untuk menguatkuasakannya, kita cuma perlu mencari kelebihan dan kelemahan di dalam undang-undang itu sebelum kita pergi lebih jauh untuk membuat undang-undang baru, seperti dicadangkan.

Secara praktikalnya, proses menggubal undang-undang bukanlah sesuatu yang mudah. Walaupun dalam menangani masalah biasa, proses penggubalannya agak panjang, apatah lagi dalam proses menggubal undang-undang yang sudah tentu menghadapi persoalan yang lebih kompleks seperti murtad.

Secara praktikalnya penguatkuasaan undang-undang juga mempunyai komplikasi tersendiri. Barang sudah tentu, penguatkuasaan undang-undang murtad juga tidak terkecuali. Oleh yang demikian, adalah menjadi lebih praktikal untuk kita meneruskan tangkisan terhadap perlakuan memurtadkan orang Islam dan perbuatan murtad itu dengan undang-undang yang sedia ada sebelum kita meneruskan dengan niat untuk menggubal undang-undang baru berkaitan murtad.

Bukan maksud saya untuk tidak bersetuju kepada apa yang lebih mendatangkan kebaikan kepada Islam dan umatnya di negara ini, tetapi saya lebih gembira sekiranya kita menggunakan apa juga yang dapat mendatangkan kebaikan kepada Islam menerusi mekanisme yang ada kerana ia lebih praktikal.

Kita teruskan usaha untuk menambah baik apa yang sedia ada, sama ada dari segi pengisian undang-undang terbabit atau juga pelaksanaannya. Kita tidak harus berterusan menangguhkan pelaksanaan undang-undang berkaitan pengembangan agama bukan Islam di kalangan orang Islam.

Semua pihak harus berusaha ke arah itu bagi menjamin kelangsungan kedudukan agama Islam dan umatnya di negara ini.

Penulis ialah Profesor Madya Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Penghuni Gua
: Sama-sama kita fikirkan. Terima kaseh Prof atas pandangan ini. Untuk Aziz Bari boleh jalanlah. Kalau ikut Aziz Bari, apa yang ditulis oleh Prof Shamrahayu ini pun bukan sesuatu yang lazim............... Tak gitu ?

PETA PELAYAR