FOLLOWERS

Tuesday, 20 December 2011

ISLAM : CABARAN DEMI CABARAN : PROF MADYA SHAMRAHAYU A AZIZ !!!!






Ummah perlu gabungan mantap pertahan agama

SEPERTI pembaca sedia maklum, suatu masa dulu, Islam masyhur dan gemilang. Dalam kegemilangan itu orang Islam mendahului dalam semua bidang, ilmu dan amalan. Sama ada dalam hal berkaitan kesusasteraan, sains, falsafah, ketenteraan, teknologi dan sebagainya. Pendek kata, Islam telah menjadi tamadun yang mendahului tamadun lain. Tamadun Islam telah mematahkan keunggulan tamadun Rom, contohnya. Islam telah menguasai semuanya. Namun, secara berdikit, kegemilangan itu meruntuh.


Kemudian kita saksikan pengambilalihan kegemilangan Islam oleh kuasa imperialisme Barat. Negara Islam dijajah dan agama Islam dipinggirkan. Setelah itu muncul pula penentangan terhadap imperialisme Barat dan terserlahlah perjuangan menentang kuasa Barat dan gerakan mencapai kemerdekaan. Setelah berdekad perjuangan itu, banyak negara Islam telah mencapai kemerdekaan. Walaupun merdeka, Islam masih di takuk lama. Keadaan ini timbul akibat daripada fenomena dan polemik berkaitan ‘neo-imperial policies’ yang bukan saja mengawal, tetapi menggugat Islam. Keadaan ini berterusan sehingga kini. Apa yang pasti kini ialah, kegemilangan Islam hanya menjadi sebahagian daripada sejarah dunia. Saya tidak mahu mengulas mengenai punca semua ini – sama ada punca kejatuhan Islam atau punca kemunculan dan kegemilangan Barat. Ia memerlukan debat dan perincian yang menyeluruh dan sudah tentu ia akan mencetuskan pelbagai hujah dan polemik.

Saya mulakan tulisan begitu kerana saya mahukan pembaca mengimbau mengenai pencapaian Islam dan kedudukan sejarah yang membawa kita ke waktu ini. Apa yang ingin saya kongsi di sini hanyalah mengenai ruang yang sempit berkaitan kedudukan Islam di negara ini. Persoalan untuk pembaca dan saya fikirkan bersama Sanggupkah kita menjadikan keunggulan dan kegemilangan Islam di negara ini sebagai satu sejarah? Adakah setiap kita telah berbuat sesuatu untuk menghalang Islam daripada menjadi sejarah? Adakah usaha kita itu memadai? Haruskah kita berhenti setakat sumbangan itu saja? Saya tinggalkan soalan ini kepada pembaca untuk menjawab sendiri.

Bagi saya, sudah tentu tidak sanggup menjadikan Islam di negara ini sebagai satu sejarah seperti yang terjadi ke atas Islam seperti yang saya sebut tadi. Kita mahukan kedudukan Islam yang gemilang, sama ada mengenai kedudukannya di dalam Perlembagaan dan sistem sosial negara. Kita juga tidak mahu menjadikan sumbangan Islam sebagai satu sejarah. Kita mahukan kelangsungannya.

Malangnya sehingga ke hari ini kita melihat pelbagai perkara yang berpotensi menjatuhkan Islam. Mutakhir, fokusnya ialah kedudukan Islam dan juga hal berkaitan penganut Islam – kedudukan Islam di dalam Perlembagaan, penyebaran agama bukan Islam dalam kalangan orang Islam dan juga kejadian dua solat Jumaat di dalam satu kawasan. Cabaran demi cabaran – sama ada dari dalam atau dari luar Islam.
Dalam keadaan ini kita perlu bekerja dan berusaha lebih gigih jika kita tidak mahu Islam menjadi hanya sejarah.

Bagi mengekalkan kedudukan Islam di negara ini kita perlukannya bersemi dalam peruntukan Perlembagaan. Kita juga perlu tambahkan bilangan mereka yang boleh menjaga kedudukan Islam. Kita perlu tingkatkan pencapaian mereka yang berkebolehan untuk mendepani masalah semasa berkaitan Islam. Kita perlukan intelektual Islam dalam bidang teologi, falsafah, sains, teknologi dan semuanya. Kita perlukan kumpulan orang Islam yang berilmu dan berupaya menggunakan ilmu itu bagi manfaat Islam. Intelektual Islam di sini bukan hanya merujuk kepada susunan kertas ijazah, atau kelulusan akademik. Kita benar-benar memerlukan ilmuwan yang kreatif dan mampu mencipta strategi untuk kebaikan Islam.

Bagaimanakah semua ini dapat kita capai. Tidak lain dan tidak bukan, perkara utama dan segera yang perlu dilakukan ialah kita perlukan gabungan dan kesatuan yang mantap dalam kalangan umat Islam. Kita tidak boleh menjadikan perbezaan antara kita untuk memburukkan Islam. Bagi mencapai kejayaan dan keserasian, kita harus berusaha mencari persamaan dan merapatkan jurang perbezaan, bukan menuding jari atau mencari alasan untuk bertelagah.

Untuk semua orang Islam di negara ini, kita harus bergerak di atas semangat bahawa apa juga langkah dan cara kita menjalankan aktiviti, peranan dan sumbangan, ia hendaklah ditujukan untuk manfaat dan kepentingan Islam. Walaupun saya percaya, banyak gerakan Islam yang telah bersatu dan berpadu, kita perlu perkukuhkannya lagi. Kalaupun kita tidak menyertai sebarang persatuan, sebagai seorang Islam kita harus terus menerus menyumbang dalam kapasiti masing-masing dan setiap orang hendaklah sentiasa menghargai dan menghormati antara satu sama lain.

Akhir kalam, walau apapun tindakan dan perbezaan antara kita, tujuan kita adalah sama, iaitu untuk Islam. Kita tidak boleh membuat Islam dipandang hina dan menjadikannya terancam. Kita harus menjadikan Islam itu agama yang tinggi dan yang lebih tinggi tanpa menganiaya atau meremehkan agama lain kerana Islam tidak pernah mengajar kita begitu (kecuali ketika Islam diancam).



Penulis ialah Prof Madya Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

No comments:

Post a Comment

PETA PELAYAR