FOLLOWERS

Showing posts with label DYMM RAJA NAZRIN. Show all posts
Showing posts with label DYMM RAJA NAZRIN. Show all posts

Tuesday, 3 April 2012

JANGAN LANGGAR SEMPADAN AGAMA ( ISLAM ) : DYMM RAJA NAZRIN !!!!


Agenda Daily

Jangan langgar sempadan agama...nanti terbakar diri...terhangus negeri-Raja Nazrin

raja-nazrin-islam513


Perak memang negeri panas...lebih-lebih lagi menjelang pilihanraya umum ke 13.Kebelakangan ini gelagat puak pembangkang sentuh bab agama Islam dalam kegairahan politik mereka membuatkan ramai yang ' naik angin'.

Hal ini rupanya bukan setakat pada rakyat biasa tetapi ia turut menyentuh perasaan Pemangku Sultan Perak,Raja Nazrin Shah.

Berucap merasmikan sidang Dewan Undangan Negeri Perak di Ipoh pagi Selasa,baginda dengan tegas memberi ingatan pada puak-puak ' yang langgar sempadan agama ' itu.

Titah Baginda,"peringatan Beta! bara keagamaan jangan dihidupkan, api keagamaan jangan dinyalakan, kelak nanti terbakar diri – kelak nanti terhangus negeri. "


Raja Nazrin tidak menyembunyikan rasa kesal baginda terhadap puak-puak ini.

"Kebelakangan ini, garis sempadan menyentuh agama Islam kelihatan mula dilanggar – malah ada di kalangan bukan Islam yang semakin lantang mencabar perkara-perkara berkaitan Islam melalui ungkapan dan kenyataan bernada mempersendakan syariat - memperkecilkan aqidah umat Islam.  



"Perkara menyentuh syariat - menyentuh aqidah Islam yang disuarakan oleh ulama Islam khusus untuk menasihati umat Islam, kini dipersoalkan – dipertikaikan – diperdebatkan secara terbuka oleh individu bukan Islam.  


"Perbuatan tersebut, nyata telah melanggar sempadan, telah melanggar adat resam beragama secara aman dan damai.  Tatasusila menghormati agama lain – tatasusila tidak memperkecilkan agama lain – tatasusila untuk tidak mencampuri urusan agama lain adalah tatasusila yang wajib dipatuhi, selaras dengan maksud yang terkandung dalam ayat tiga hingga ayat enam Surah Al Kaafiruun:

“Dan kamu bukan penyembah Tuhan yang aku sembah, Dan aku tidak pernah menyembah apa yang kamu sembah, Dan kamu tidak pernah (pula) menjadi penyembah Tuhan yang aku sembah, Untukmulah agamamu, dan untukkulah agamaku.”

"Perbuatan melanggar sempadan agama lain secara keterlaluan – secara terbuka, dibimbangkan, berkemungkinan menjadi punca – mencetuskan berlakunya tragedi buruk.

 Oleh itu perbuatan sedemikian wajib dihentikan dan secara tegas, dicegah dari dibenarkan berlaku.  Peringatan Beta! bara keagamaan jangan dihidupkan, api keagamaan jangan dinyalakan, kelak nanti terbakar diri – kelak nanti terhangus negeri. 

Sebagai anggota badan perundangan di Dewan ini, Ahli-Ahli Yang Berhormat hendaklah mencerminkan sebaik contoh – sebaik teladan dalam aspek menghormati kesucian sesuatu agama.  Kesucian agama Islam wajib dipertahankan setiap masa dan kebebasan agama lain wajib pula dihormati dalam ruang parameter dan sempadan masing-masing. "titah baginda.

Raja Nazrin bertitah pegangan agama dan kepercayaan akan kewujudan Tuhan wajib disemai di kalangan warga untuk membina kekuatan dalaman dan membina jati diri remaja.  

"Rukun Negara meletakkan prinsip Kepercayaan Kepada Tuhan sebagai prinsip pertama dan paling utama.  Tanah Air kita ini, jelas di dalam sejarah adalah tanah dan bumi yang dihuni oleh warga yang berpegang kepada agama dan percaya akan kewujudan Tuhan.  Mengamalkan agama digalakkan di bumi ini.

"Komponen agama, termaktub dalam Perkara Tiga Perlembagaan Persekutuan, mendahului perkara-perkara lain.  Islam ialah agama bagi Persekutuan sementara agama-agama lain boleh diamalkan secara aman dan damai di serata negara.  Perkataan-perkataan agama Persekutuan, aman dan damai adalah tiga kata kunci yang wajib dijadikan kompas panduan dalam budaya beragama di negara ini.

"Agama Islam mula berakar di negeri-negeri Tanah Melayu sejak kurun keempat belas.  Pengiktirafan Islam sebagai agama Negara telah diterjemahkan melalui persetujuan yang telah dicapai oleh kaum-kaum dan kumpulan-kumpulan agama yang menghuni Tanah Melayu untuk menerima Perkara 3(1), memaktubkan di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perkara 3(2) untuk menjamin hak-hak, keistimewaan, kuasa prerogatif Raja-Raja di Negeri-negeri.  Islam adalah ‘Magna Carta’, satu kontrak sosial yang tersirat, dan adalah komponen yang terkandung di dalam Perlembagaan, satu kontrak sosial yang tersurat di negara ini.


"Perkara-perkara utama mengenai Islam yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh ditafsir secara harfiah.  Ia perlu ditafsirkan secara holistik, dikaitkan dengan peruntukan-peruntukan lain yang berkaitan, demi memastikan, tujuan sebenar peruntukan-peruntukan tersebut tidak dimanipulasikan hingga menidakkan hak yang nyata kepada umat Islam.  Islam adalah agama yang memiliki benteng perlindungan dan taraf keistimewaan mutlak di dalam Perlembagaan Persekutuan.


"Peruntukan dan keistimewaan yang termaktub di dalam Perlembagaan tidak sama sekali digunakan oleh umat Islam untuk bersifat angkuh, sombong dan bongkak terhadap agama lain; tidak juga dijadikan justifikasi oleh barisan pemimpin Islam dan ulama Islam di negara ini untuk bersifat ekstrem, menindas, menghina dan menyerang agama lain atau memusnahkan rumah ibadat warga bukan Islam.  Umat Islam di bumi ini, majoritinya diasuh untuk memahami erti kemuliaan agama dan menghargai kesucian Tuhan.  

"Kerana itu, umat Islam di negara ini, pada lazimnya, menghindarkan diri dari membuat ulasan, teguran atau komentar secara terbuka terhadap amalan atau pegangan kepercayaan agama lain, jauh sekali dari mahu campur tangan atau mengulas secara terbuka terhadap amalan, ritual, acara dan hukum hakam agama lain.

"Umat Islam amat mematuhi disiplin, adab dan tertib perkara berkaitan agama dan menghormati autoriti agama, waima ia seorang Raja Pemerintah.  Umat Islam senantiasa menghormati, memuliakan dan mensucikan perkara menyentuh agama.

"Oleh itu dalam perkara menyentuh hukum - menyentuh syariat, menyentuh aqidah – menyentuh ibadah, umat Islam akan merujuk kepada ulama, hatta seorang Raja Pemerintah.  Walaupun memegang amanah sebagai Ketua Agama Islam, Raja Pemerintah masih merujuk kepada ulama dalam perkara berkaitan Islam.  
"Kerana itu, dalam tradisi Kesultanan Perak, seorang ulama dilantik sebagai Orang Besar Istana, bergelar Imam Paduka Tuan untuk menasihatkan Raja Pemerintah tentang perkara-perkara berkaitan Islam.  Hari ini, Raja Pemerintah turut merujuk kepada Mufti Kerajaan, dan Mufti Kerajaan dalam menyembahkan nasihat dalam perkara-perkara berkaitan hukum, di bantu oleh barisan ulama melalui forum mesyuarah Jawatankuasa Fatwa." - 3/4/2012  

Penghuni Gua : Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, Daulat Tuanku !!!!

Tuesday, 27 September 2011

PENCEROBOHAN TERHADAP ISLAM : TITAH DYMM RAJA NAZRIN !!!!!!!!!!!!!!








KUALA LUMPUR 26 Sept. - Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini bertitah Islam telah mula dijadikan instrumen bertujuan meraih pengaruh dan mendapatkan kuasa sehingga ke peringkat sedia berkompromi kepada prinsip-prinsip menyentuh akidah.


Pada masa sama baginda dalam titah ucapannya turut mengingatkan bahawa kemusnahan ummah bukan lagi menghadapi pencerobohan daripada Alfonso de Alburque atau Stamford Raffles atau Francis Light mahu pun Yamashita tetapi ia datang daripada pencerobohan baru melalui manipulasi fakta sejarah, mempersendakan lagu kebangsaan dan menghina bendera negara.


Baginda bertitah pencerobohan baru itu turut berlaku melalui perlanggaran penggunaan kalimah suci Allah yang telah sekalian lama menjadi hak eksklusif umat Islam tanpa menghiraukan sensiviti serta terhirisnya perasaan mereka.


''Nama suci Allah yang termaktub di dalam al-Quran diambil dan dijadikan terjemahan kepada perkataan God. Allah yang merupakan kalimah yang amat suci di kalangan umat Islam kini turut dinamakan kepada simbol pujaan agama lain.

''Kalimah suci Allah bukan sekadar nama am yang bermaksud Tuhan walau apa bentuknya. Kesucian kalimah Allah amat tinggi di sisi Islam. Kalimah tersebut apabila dicetak pada kertas, tidak boleh dipijak, tidak boleh dijadikan bahan bungkusan, tidak boleh dibawa ke dalam tandas. Allah adalah nama khas-Tuhan Maha Suci-Tuhan Maha Agong. Allah adalah satu-satunya," titah baginda.


Baginda bertitah ketika menyampaikan titah ucapan diraja yang bertajuk Majlis Agama Islam Pemacu Transformasi Ummah sempena Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia Kali Pertama di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.


Sehubungan itu Raja Nazrin berkata, adalah amat merbahaya sekiranya prinsip asas agama diredakan untuk dijadikan bahan tolak ansur politik.


''Sesungguhnya insiden yang sedang berlaku itu merupakan ujian besar kepada umat Islam di bumi ini. Ujian yang mungkin sengaja diturunkan oleh Allah terhadap umat Islam, menguji keikhlasan kepimpinan Islam di bumi ini. Ujian Allah terhadap ketegasan umat Islam keseluruhannya sama ada di kalangan ulama, barisan kepimpinan, organisasi politik hatta raja-raja.


''Ini juga merupakan ujian terhadap ketegasan umat Islam dalam mempertahankan kalimah tauhid, keesaan ilahi, Allah yang satu lagi berkuasa atas segala-galanya dan Allah yang mengamanahkan kuasa di kalangan mereka yang telah ditentukan," titah baginda.

Dalam menghadapi cabaran besar ini baginda menyeru semua umat Islam berpegang dan yakin kepada kalam Allah yang terkandung dalam petikan ayat 26 surah Ali Imran yang bermaksud 'Katakanlah (wahai Muhammad) Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan. Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki. Engkau juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki.


Raja Nazrin bertitah, yakinlah bahawa kuasa itu adalah amanah Allah kerana ia datang daripada Allah dan Allah sahaja yang boleh memberi berkat, memberi kekuatan untuk mempertahankan kesucian kalam tauhid.


''Hanya disebabkan politik, umat Islam janganlah sampai hilang pedoman untuk tidak menghalang kepada sesiapa sahaja 'mengAllahkan' apa sahaja yang mereka anggap tuhan. (Ia merupakan) satu keredaan yang membuka jendela kepada proses yang berpotensi menyimpangkan akidah," titah baginda.

Penghuni Gua
: Daulat Tuanku, Daulat Tuanku, Daulat Tuanku.

2. Tapi " ustad" Khalid Gereja kata tak apa. Tak beri nanti politik " ustad Khalid gereja akan susah nak dapat undi bukan melayu. Jadi dibolehkan. Pok Nik juga kata tak apa. Lelaki Y , jangan cakap lah. Semua boleh. Yang haram , lagi dibedalnya. Apa pulak kalimah Allah..............Sardin aje dibuatnya.

3. Daulat Tuanku!!!!!!!!!!!!!!!!! Fikirkan pengundi muda. Fikirkan.....................

PETA PELAYAR