FOLLOWERS

Saturday 27 November 2010

KESULTANAN KELANTAN : DAULAT TUANKU !!!!





PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini, semalam memutuskan bahawa Tengku Mahkota Kelantan berkuasa penuh sebagai Sultan apabila Sultan negeri itu mengalami ketidakupayaan seperti yang peruntukan oleh Perlembagaan Negeri Kelantan.

Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, yang mengetuai panel tiga hakim, berkata Perlembagaan Negeri Kelantan juga memperuntukkan bahawa Tengku Mahkota boleh melaksanakan tugas Sultan walaupun Sultan tidak mengalami ketidakupayaan.

“Kami berpendapat hanya seorang individu patut menguruskan hal ehwal Negeri Kelantan pada satu-satu masa,” katanya dalam penghakiman setebal 33 muka surat itu.
Oleh itu, kata, Zulkefli, Tuanku Ismail Petra Ibni Sultan Yahya Petra, tidak mempunyai kedudukan dari segi undang-undang untuk meminta Mahkamah Persekutuan membuat keputusan mengenai persoalan berkaitan kuasa dan kewibawaan Tengku Mahkota itu ketika Sultan mengalami ketidakupayaan.

Panel yang turut dianggotai Hakim Datuk Md Raus Sharif dan Hakim Datuk Abdull Hamid Embong, sebulat suara menolak petisyen Tuanku Ismail Petra selepas membenarkan bantahan awal peguam Tan Sri Cecil Abraham, yang mewakili responden, Sultan Muhammad V (Tuanku Muhammad Faris Petra), bahawa ayahanda baginda tidak ada bidang kuasa merujuk persoalan itu kepada mahkamah berkenaan.

Tuanku Ismail Petra, yang memfailkan petisyen berkenaan pada 5 Mei dan 22 Jun tahun ini, menamakan Sultan Muhammad V dan Kerajaan Negeri Kelantan sebagai responden. Dalam petisyen itu, Tuanku Ismail Petra memohon Mahkamah Persekutuan membuat keputusan mengenai beberapa persoalan undang-undang sama ada Sultan Muhammad V, yang memangku jawatan Tengku Mahkota ketika itu, mempunyai kuasa memecat atau melantik anggota Majlis Perajaan.

Sultan Muhammad V dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada 24 Mei tahun lalu oleh Majlis Perajaan atas alasan ayahanda baginda gering.
Pada 13 September lalu, Sultan Muhammad V dilantik sebagai Sultan Kelantan oleh Majlis Perajaan. Tuanku Ismail Petra mengalami ketidakupayaan sejak Mei tahun lepas.

Zulkefli berkata, Tuanku Ismail Petra tidak boleh melaksanakan kuasa sebagai Sultan mengikut Perlembagaan Negeri Kelantan, selagi Tengku Mahkota menyandang jawatan ketika baginda mengalami ketidakupayaan.

“Ini kerana, disebabkan ketidakupayaan pempetisyen (Tuanku Ismail Petra) sebagai Sultan Kelantan ketika itu, Tengku Mahkota Kelantanlah dan hanya Tengku Mahkota Kelantan saja yang akan melaksanakan kuasa yang diberi kepada ‘Sultan’ mengikut Perlembagaan Negeri Kelantan,” katanya.

Katanya, Tuanku Ismail Petra hanya boleh melaksanakan kuasa itu setelah kembali semula ke Kelantan dan menyandang jawatan sebagai Sultan Kelantan.

“Mengikut fakta yang ada di hadapan kami, pempetisyen tidak berbuat demikian sebaik saja pulang ke Kelantan pada atau kira-kira pada Mac 2010. Malah, pempetisyen terus berada dalam keadaan tidak berupaya, manakala responden pertama (Sultan Muhammad V) terus menjadi Tengku Mahkota Kelantan.

“Berlandaskan alasan di atas, pempetisyen tidak boleh melaksanakan sebarang kuasa yang diperuntukkan kepada ‘Sultan’ selagi ada Tengku Mahkota.

“Pempetisyen, yang mengalami ketidakupayaan, tidak boleh melaksanakan kuasa itu, melainkan beliau pulih daripada ketidakupayaan yang dialaminya,” katanya.

Zulkefli berkata, tiada bezanya antara kuasa yang dilaksanakan Sultan Muhammad V ketika baginda menjadi Tengku Mahkota Kelantan dan kuasa yang dilaksanakan seorang Sultan yang memerintah, tanpa mengira sama ada Sultan Muhammad V dilantik oleh Majlis Perajaan atau oleh Sultan Kelantan ketika itu, Tuanku Ismail Petra. – BERNAMA

Penghuni Gua : daulat Tuanku, Daulat Tuanku, Daulat Tuanku. Banyak pihak berkepentingan dalam hal ini. Banyak pihak cuba memanjangkan krisis ini dengan menggunkan berbagai cara. Ia tidak lain , hanya untuk melemahkan Institusi Kesultanan Melayu secara perlahan-lahan dalam jangka panjang. Kita semua perlu melihat ke arah itu. Hati-hati dengan perkara ini.

2. Tiga perkara utama yang akan melemahkan kerajaan dan orang melayu, Institusi Kesultanan, Pasukan keselamatan dan Kehakiman. Tiga institusi inilah tulang belakang orang melayu dan negara ini. Sebab itu , ketiga nya diserang kiri kanan sejak dahulu lagi bagi melemahkannnya dalam jangka panjang.

3. Hati-hati semua. daulat Tuanku, Daulat Tuanku, Daulat Tuanku. PG doakan semuga Ke Bawah Duli Tuanku Sultan Ismail Petra segera sembuh dari kegeringan. Juga semua Allah memberikan perlindungan kepada Sultan Mohamad Ke V menduduki tahta Kerajaan Kelantan. Daulat Tuanku.

No comments:

Post a Comment

PETA PELAYAR