Bidang kuasa inkues lebih luas
Oleh Ifwan Tun Tuah dan Mohamed Farid Nohmailto:Nohbhnews@bharian.com.my
Oleh Ifwan Tun Tuah dan Mohamed Farid Nohmailto:Nohbhnews@bharian.com.my
KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan mengadakan inkues bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock disifatkan pakar undang-undang sebagai tepat berikutan kesesuaian kes itu yang didakwa mempunyai unsur jenayah.
Pensyarah Fakulti Undang-Undang Universiti Teknologi Mara, Profesor Emeritus Dr Shad Saleem Faruqi, berkata kesan dan kuasa siasatan inkues juga lebih luas berbanding Suruhanjaya Siasatan Diraja. “Orang awam kurang memahami, banyak perkara dapat dilakukan dalam prosiding inkues berbanding Suruhanjaya Siasatan Diraja dan antara kelebihan inkues ialah segala bukti dan saksi boleh digunakan dalam perbicaraan mahkamah untuk pendakwaan.
“Berbeza dengan Suruhanjaya Siasatan Diraja, hasilnya tidak boleh digunakan di mahkamah termasuk semua bukti dan saksi yang dikemukakan ketika siasatan,” katanya sambil menambah Suruhanjaya Diraja tidak sesuai untuk menyiasat punca kematian.
Beliau berkata, sesetengah pihak mempertikaikan keputusan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja dan mengadakan inkues kerana persepsi mereka bahawa suruhanjaya mempunyai lebih kuasa untuk menyiasat punca kematian.
“Persepsi ini wujud disebabkan Suruhanjaya Siasatan Diraja diketuai oleh seorang atau lebih pesuruhjaya yang diberi tauliah oleh Yang di-Pertuan Agong manakala inkues hanya diketuai seorang majistret atau hakim mahkamah sesyen,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.
Sementara itu, peguam dan bekas Ketua Unit Kes Terkelas di Jabatan Peguam Negara, Datuk Salehuddin Saidin, menyifatkan keputusan kerajaan mengadakan inkues dan mewujudkan Suruhanjaya Diraja sebagai langkah yang telus.
“Ketidakfahaman terhadap pelaksanaan undang-undang negara menyebabkan wujud kekeliruan banyak pihak mengenai inkues dan Suruhanjaya Siasatan Diraja walaupun kedua-duanya mempunyai fungsi berbeza.
“Inkues yang dikendalikan majistret (koroner) boleh mencadangkan jika ada pihak boleh dikenakan tindakan sekiranya mereka menjadi penyebab kematian si mati. “Suruhanjaya Diraja pula boleh mengesan perubahan polisi atau prosedur yang salah dan boleh mencadangkan mana-mana pihak termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya menggubal undang-undang penyiasatan baru,” katanya.
Salehuddin berkata, inkues terikat dengan Akta Keterangan kerana hanya ia tidak mengambil kira keterangan berbentuk khabar angin atau dengar cakap, manakala suruhanjaya tidak terikat dengan akta itu dan boleh mengambil kira khabar angin.
Penghuni Gua : Untuk dan kepada semua loyar burok di luar sana. Jangan jadi hakim dan menjatuhkan hukuman kepada koroner lebih awal sebelum inkues bermula.
