FOLLOWERS

Tuesday, 8 February 2011

MALAYAN LAW JOURNAL : BIDANG KUASA MAHKAMAH !!!!


[1996] 4 MLJ 421
Jayakumari a/p Arul Pragasam v Suriya Narayanan a/l V Ramanathan
Case Details:

Malaysia HIGH COURT (KUALA LUMPUR) — PETITION NO S5–33–155–96

Judges JAMES FOONG J

Date 29 MARCH 1996
Citation [1996] 4 MLJ 421


Catchwords:

Civil Law Act — Common law — Circumstances under which common law and equitable rights not available — Whether British Domestic Violence and Matrimonial Proceeding Act 1976 and English authorities relating thereto are binding in Malaysia — Civil Law Act 1956 s 3

Civil Procedure — Jurisdiction — Matrimonial causes — Application to evict husband from matrimonial home — Whether court has jurisdiction to make such an order — What principles should be applied in granting such relief

Family Law — Matrimonial property — Application to evict husband from matrimonial home — Factors to be considered

Bahasa Malaysia Summary:

Pempetisyen telah berkahwin dengan responden 19 tahun yang lalu mengikut adat Hindu dan kemudiannya mereka mendaftarkan perkahwinan mereka mengikut Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 (‘Akta itu’). Mereka memperolehi dua orang anak hasil daripada perkahwinan itu. Keluarga itu menetap di kediaman suami isteri bersama ibu pempetisyen. Pada 27 Februari 1996, pempetisyen telah meninggalkan kediaman suami isteri itu dengan ibu dan anak-anaknya dan menetap sementara di rumah sepupunya kerana penentang telah menyerang dan mengugut untuk membunuh pempetisyen setelah mengetahui bahawa pempetisyen inginkan perceraian.

Pada 4 Mac 1996, peguam pempetisyen telah memfailkan petisyen untuk pemisahan kehakiman dan satu saman dalam kamar (‘lampiran 8’) telah dikeluarkan di mana pempetisyen memohon relief daripada mahkamah iaitu: (i) supaya penentang ditahan sama ada secara sendiri atau melalui wakil atau ejennya daripada mencabul, mengganggu berulang kali, mengugut, mendera, menyerang atau mengacaunya dalam apa-apa cara sekalipun; dan (ii) supaya responden diperintahkan untuk mengosongkan kediaman suami isteri dan tidak memasukinya sehingga diperintahkan sebaliknya. Apabila permohonan ini dihadapkan ke mahkamah pada 18 Mac 1996, mahkamah tanpa apa-apa bantahan daripada penentang menerima persetujuan penentang berkenaan relief pertama yang dipohon oleh pempetisyen mengenai halangan daripada mencabul dan menganggu berulang kali. Walau bagaimanapun, mahkamah perlu memutuskan tentang relief kedua yang dipohon oleh pempetisyen di dalam lampiran 8. Isu-isu yang berbangkit di sini adalah: (i) sama ada mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk memberi relief jenis ini; dan (ii) apakah prinsip-prinsip yang harus dipakai dalam memberikan relief sebegini.

Diputuskan:
Diputuskan, membenarkan permohonan untuk relief yang kedua:

(1) Di bawah Akta itu, adalah nyata bahawa tiada peruntukan untuk relief sebegini. Juga, Akta Keganasan Rumah Tangga dan Prosisding Perkahwinan 1976 di United Kingdom dan autoritiautoriti Inggeris yang berkaitan dengannya tidak mengikat mahkamah tempatan kerana kesemuanya berdasarkan undang-undang statutori yang diluluskan pada tahun 1976 manakala s 3 Akta Undang-Undang Sivil 1956 memperuntukkan bahawa cuma common law dan ekuiti Inggeris seperti yang digunakan di England pada 7 April 1956 mengikat undang-undang Malaysia (lihat ms 426C–D, H–I, 427A; HG Warren v Tay Say Geok & Ors [1965] 1 MLJ 44 dan Chan Ah Moi v Phang Wai Ann [1995] 3 MLJ 130 tidak diikut).

(2) Mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk mengusir suami dari kediaman suami isteri sementara menunggu kes itu dibicarakan, jika terdapat bukti berdasarkan prinsip-prinsip yang dipertimbangkan untuk berbuat demikian, jika tidak isteri itu akan dibuli daripada memperolehi remedinya atau dihalang oleh kerana tekanan daripada mendapatkan pertolongan mahkamah. Lagipun, seseorang isteri bukannya tidak mempunyai hak dalam kediaman suami isteri walaupun rumah itu kepunyaan suami, dan haknya untuk menetap di situ adalah dianggap di sisi undang-undang sebagai telah dikurniakan ke atasnya oleh suaminya berikutan daripada konsep perkahwinan. Maka, mahkamah mempunyai bidang kuasa untuk memberikan relief untuk mengusir suami yang bersalah dari kediaman suami isteri itu (lihat ms 427C–F, 428A; Silverstone v Silverstone [1953] P 174, Bendall v McWhirter [1952] 2 QB 466 dan Gurasz v Gurasz [1969] 3 All ER 822 diikut).

(3) Faktor-faktor atau prinsip-prinsip yang perlu dipertimbangkan dalam tuntutan untuk mengusir seorang suami dari kediaman suami isteri adalah sama ada perintah sebegitu diperlukan untuk melindungi isteri dan dalam mempertimbangkan perkara itu, tingkah laku pihak-pihak yang terlibat serta kedudukan dan kepentingan mereka, termasuk anak-anak (jika ada), mestilah diambil kira. Hanyalah apabila kelakuan dan tingkah laku suami itu adalah begitu keterlaluan sehingga menjadi mustahil untuk kedua-dua pihak hidup bersama permohonan sebegitu akan dibenarkan. Oleh itu, melihat fakta-fakta kes ini, ia adalah jelas bahawa tingkah laku penentang adalah begitu keterlaluan sehinggakan permohonan untuk mengusirnya dari kediaman suami isteri itu boleh dibenarkan oleh mahkamah. Ia adalah mustahil untuk pempetisyen hidup dalam rumah yang sama bersama penentang (lihat ms 428C–I, 429A–C; Akingbehin v Akingbehin(1964) 108 SJ 520, Gurasz v Gurasz [1969] 3 All ER 822, Hall v Hall [1971] 1 All ER 762 dan Jones v Jones [1971] 3 All ER 1201 diikut).

Per curiam

Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 (‘AKR’) walaupun telah diluluskan oleh Parlimen pada 24 Jun 1994 belum lagi menjadi undang-undang negara ini kerana keperluan dalam s 1(1) AKR itu belum dipenuhi sebab menteri yang bertugas mengimplementasikan AKR itu belum lagi memberikan notifikasi dalam Warta mengenai penguatkuasaan AKR itu (lihat ms 426E–G).]

Penghuni Gua : Semuga paparan ini memberi menafaat kepada semua pembaca dan pelajar. MLJ adalah satu dokumen awam. Ia boleh diakses di laman WEB Badan Kehakiman Malaysia.

2 comments:

  1. boleh en Penghuni Gua terangkan kes PUSPAVATHY a/p THAVEETHU v MAJLIS PERBANDARAN KLANG & ORS AND OTHER APPEALS?
    saya kurang jelas ttg kes ni

    ReplyDelete
  2. salam ziarah..

    mohon untuk dipaut bersama..

    http://wadahkelanajaya.blogspot.com

    - asam -

    ReplyDelete

PETA PELAYAR