FOLLOWERS

Wednesday 31 December 2008

RENCANA BERITA HARIAN 30 DIS 2008


· RENCANA
Sorotan 2008: Peristiwa sepanjang tahun cetus pelbagai emosi
Oleh Hasliza Hassanhasliza@bharian.com.my
Rasa tidak puas hati boleh dikemukakan tetapi biar berhemah bagi jaga keharmonian PERISTIWA berlaku sepanjang 2008 khususnya insiden yang menggugat ketenangan, perpaduan kaum selain mengusik emosi rakyat berbilang bangsa bakal menjadi sebahagian lipatan sejarah negara yang sudah 51 tahun merdeka. Bibit-bibit gangguan emosi rakyat bermula dengan isu kenaikan harga minyak global dengan tempiasnya turut dirasai rakyat negara ini yang tidak mengharapkan satu lagi kejutan hebat selepas terkedu dengan keputusan pilihan raya tidak diduga.

Penyusunan semula subsidi minyak memaksa kerajaan mengambil tindakan tidak popular yang menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat apabila pada 4 Jun, kerajaan mengumumkan kenaikan harga minyak sebanyak 78 sen kepada RM2.70 seliter daripada RM1.92 seliter dan RM1 untuk diesel menjadi RM 2.58 seliter. Kenaikan harga minyak yang selalunya akan dituruti dengan kenaikan harga barang, menimbulkan rasa tidak puas hati terutama kumpulan berpendapatan rendah. Malah, pemberian rebat tunai sebanyak RM625 kepada pemilik kenderaan persendirian hingga 31 Mac tahun depan walaupun harga minyak diturunkan gagal meredakan kemarahan yang diapi-apikan pihak tertentu. Keresahan umum disemarakkan dengan sikap sesetengah pihak yang suka menangguk di air keruh melalui demonstrasi membantah kenaikan harga minyak walaupun dilakukan secara aman seperti perhimpunan sekumpulan penyokong DAP di Jalan Pasar Pudu.
Itu belum lagi kenyataan mempersoal tindakan kerajaan oleh pihak pembangkang yang suka mengambil kesempatan melalui isu membabitkan kepentingan rakyat sebagai bahan menimbulkan rasa marah berpanjangan. 2008 turut mencabar semangat perpaduan bangsa Malaysia yang dulunya menjadi kekaguman negara lain kerana keharmonian hidup dinikmati rakyat berbilang bangsanya disebabkan tindakan tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang mempunyai agenda masing-masing. Suasana harmoni bangsa Malaysia diusik dengan isu menimbulkan kemarahan orang Melayu apabila Majlis Peguam menganjurkan Forum Kontrak Sosial pada 28 Jun, disertai beberapa ahli panel yang hampir semuanya bukan Melayu. Bantahan orang Melayu yang menentang forum itu menimbulkan ketegangan dan jika tidak ditangani dengan tegas oleh pihak berkuasa boleh menyebabkan berlaku pertelingkahan lebih besar. Keadaan itu memaksa Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyuarakan peringatan yang sudah berkali-kali diulang iaitu supaya semua pihak tidak membincang atau mempersoalkan kontrak sosial serta ketuanan Melayu bagi mengelak sebarang permusuhan antara kaum yang boleh menjejaskan keamanan dan kemakmuran negara.
Sekali lagi semangat perpaduan bangsa Malaysia tercalar dengan tindakan tidak sopan ahli Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) yang mengganggu kemeriahan Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri dan menteri Kabinet. Hakikatnya banyak perkara dibangkitkan Hindraf yang menuntut beberapa hak mereka untuk menaikkan kaum India selain menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap tindakan Empayar British yang membawa buruh murah dari benua kecil India ke Semenanjung Malaysia untuk bekerja di ladang-ladang. Selain itu, mereka juga dikatakan berasa tersisih apabila tidak mendapat perhatian kerajaan, isu pendidikan, hak asasi manusia, kebajikan serta taraf kerakyatan sebagai warga minoriti. Senaman yoga yang diharamkan Majlis Fatwa Kebangsaan ke atas umat Islam mengamalkannya menjadi isu hangat diperkatakan apabila ia diperbesarkan kononnya menghina masyarakat India. Beberapa pihak tampil memberi pandangan masing-masing, ada yang menentang tindakan Majlis Fatwa Kebangsaan dan tidak kurang yang menyokong demi memelihara akidah umat Islam. Walaupun kini keadaan sudah agak reda rasa tidak puas hati masih ada terutama di kalangan yang tidak faham mengenai Islam. Berikutan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu bahawa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan mempergiatkan usaha memberi penerangan kepada umat Islam di negara ini. Tragedi tanah runtuh meragut lima nyawa di Taman Bukit Mewah di Hulu Klang, yang meranapkan 14 banglo di lereng bukit memberi kejutan kepada rakyat seluruh negara yang turut berkongsi kesedihan dialami mangsa. Peristiwa 6 Disember yang berlaku jam 4 pagi itu menyebabkan 3,000 hingga 5,000 penduduk sekitar terputus hubungan apabila satu-satunya jalan masuk ke perumahan mereka ditimbus runtuhan tanah membabitkan kawasan seluas lebih empat hektar. Ketika kejadian sebahagian penduduk nyenyak tidur dan dikejutkan bunyi seperti letupan, diikuti gegaran dan pergerakan tanah yang meranapkan 14 rumah terbabit. Pada 30 November lalu, dua beradik maut tertimbus apabila banglo setingkat di Ulu Yam Perdana, Kuala Kubu Bharu, ranap, manakala dalam kejadian kedua pada 4 Disember lalu di Pusat Bandar Damansara di sini, 11 kereta tertimbus. Tapak kejadian tragedi terbaru itu terletak hanya kira-kira 1.5 kilometer dari lokasi tragedi Highland Towers yang mengorbankan 48 nyawa pada 11 Disember 1993. Itu hanya sebahagian daripada peristiwa yang sempat menimbulkan gangguan kepada semangat perpaduan, saling hormat menghormati hak bangsa lain dan keadaan menimbulkan tekanan emosi akibat daripada perubahan yang melanda dunia. Bagi rakyat negara ini, kejadian berlaku sepanjang tahun 2008 sewajarnya menjadi iktibar kerana kita tidak tahu apa yang bakal menanti sepanjang 2009 ini. Menjadi harapan setiap rakyat supaya tahun baru menjanjikan kehidupan lebih baik. Bagaimanapun, keadaan akan menjadi sukar jika kita tidak mahu belajar daripada sejarah kerana tidak dapat disangkal sebahagian peristiwa mewarnai tahun 2008 adalah natijah daripada sikap tidak mahu belajar daripada pengalaman, terutama pengalaman pahit. Contohnya, tragedi tanah runtuh yang mengorbankan nyawa dikatakan berpunca daripada sikap cuai manusia selain faktor semula jadi alam yang tidak mampu dihalang. Diharap tindakan tegas menghentikan pembangunan di lereng bukit adalah tindakan yang benar-benar tegas. Jangan nanti, beberapa tahun akan datang kita dikejutkan lagi dengan tragedi tanah runtuh meragut nyawa dan apabila disiasat, pembangunan itu diluluskan selepas kerajaan menetapkan tiada lagi pembangunan di lereng bukit. Selain itu, menjadi harapan kita semua semoga tiada lagi pihak yang cuba menimbulkan persengketaan antara kaum dengan menimbulkan isu-isu basi terutama yang sudah termaktub dalam perlembagaan. Adalah lebih baik setiap rakyat tanpa mengira bangsa memikirkan usaha supaya masing-masing boleh mencapai kemajuan demi negara. Jika kenaikan harga petrol awalnya menyebabkan semua mengeluh, diharap fasa penurunan harga petrol sebanyak tujuh kali dengan yang terakhir menjadikan harga kini RM1.80 dan RM1.70 bagi diesel, dapat meringankan tekanan emosi dihadapi. Malah, usaha pihak berkuasa memastikan penurunan harga barang berjaya dilaksanakan secara berkesan akan mendapat sokongan peniaga dan pengguna. Mungkin juga, rakyat negara ini perlu melatih diri untuk bertenang tatkala berdepan pelbagai cabaran sama ada kerana sifat cepat marah atau terlalu mengikut perasaan, tidak membantu menyelesaikan masalah. Rasa tidak puas hati atau tidak setuju boleh dikemukakan tetapi biar berhemah kerana walau besar mana dugaan sebolehnya kita tidak mahu ia menggugat keharmonian serta semangat perpaduan yang menjadikan bangsa Malaysia di kagumi bangsa lain.


No comments:

Post a Comment

PETA PELAYAR