FOLLOWERS

Monday, 29 December 2008

KERTAS KERJA : KONSEP KEPIMPINAN

PENDAHULUAN

1. Kita masih membicarakan satu visi besar yang merupakan wawasan untuk dicapai pada tahun 2020. Hasrat perdana ini yang diadunkan dengan ide-ide terkini menjadi Garis Besar Haluan Negara dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara maju dalam masa yang ditentukan. Cita-cita ini bukannya satu hasrat yang mudah memandangkan negara maju masa kini akan terus berkembang dengan masa. Untuk mencapai ketahap tersebut, kita perlu berkembang tiga atau empat kali ganda untuk mengejar sehingga mampu bersaing dan diiktirafkan sebagai sebuah negara maju. Apakah kita merasakan hasrat murni negara akan dibiarkan oleh negara-negara maju yang sedia ada agar bertambah lagi saingan mereka?

2. Setelah tamatnya perang dingin dan runtuhnya sistem komunis-sosialis maka berlakulah perubahan global dalam bidang politik, ekonomi dan sosial dunia. Menurut John Naisbitt dan Patricia Aburdene dalam buku mereka Megatrends 2000, dekad 80 an telah dibentuk oleh anjakan dari masyarakat industri ke masyarakat maklumat; teknologi kuasa/daya ke teknologi 'high tech/high touch'; ekonomi serantau ke ekonomi dunia; perspektif jangka pendek ke jangka panjang, sistem pemusatan kepada sistem peminggiran; bantuan institusi kepada program 'self-help'; demokrasi perwakilan ke demokrasi penglibatan; hiraki ke jaringan; dari utara ke selatan dan keupayaan untuk memilih pelbagai pilihan.

3. Tahun 90 an adalah era baru globalisasi dengan pandangan sarwa atau 'world view' yang baru di mana Amerika Syarikat akan menjelma sebagai kuasa tentera dunia yang paling kuat; melaungkan agenda Order Baru Dunia (New World Order) yang mana negara islam diharapkan mengikut kehendak kuasa Barat. Order Baru Dunia yang diisytiharkan oleh Presiden Amerika George Bush pada tahun 1990 selepas berakhirnya Perang Teluk dan Perang Dingin menandakan matinya sistem Marxist, maka tidak ada persoalan lagi tentang kemenangan doktrin barat dengan demokrasi liberal dan kapitalism.

4. Sehubungan ini penulis-penulis Islam seperti Mushahid Hussain (Penulisannya Cold War against Islam) berkeyakinan bahawa Amerika Syarikat dan rakan Eropahnya akan menukar haluan politik, ekonomi dan ketenteraan terhadap kebangkitan negara-negara Islam seperti pembaharuan yang berlaku di Algeria. Pelbagai anjakan akan berlaku dalam struktur masyarakat, sistem, ekonomi, politik dan memandangkan perubahan yang pantas di seluruh dunia, Peter Drucker dalam 'The New Realities' menyebut bahawa anjakan yang paling besar dan lebih besar dari perubahan politik, pemerintahan atau ekonomi adalahanjakan ke atas masyarakat berilmu dalam semua negara membangun yang bukan komunis. Kesannya ialah pusat sosio-masyarakat telah berpindah kepada masyarakat berilmu ini yang mempunyai nilai baru serta kehendak yang berlainan. Dengan ini, nilai ilmu menjadi perkara yang utama dalam sektor ekonomi maju dengan pekerja berpengetahuan kerana merekalah yang membentuk nilai dan norma masyarakat tersebut. Justeru itu cendikiawan, professionals dan pemimpin-pemimpin harus memikirkan perihal saingan dalam pembangunan insan kerana ia yang akan menentukan rupa bentuk masyarakat di sesebuah negara.

5. Pemikir-pemikir dunia seperti Alvin Toffler dan John Naisbitt juga telah memberikan gambaran bahawa akan ada perubahan besar dalam struktur kemasyarakatan dunia dengan pergolakan yang baru. Barat dikatakan akan berhadapan dengan ancaman baru iaitu gelombang kebangkitan Islam dan fahaman konfuciusnism. Beberapa pandangan mereka digariskan seperti berikut:

a. Terdapat ledakan ekonomi global dalam dekad 90-an. Pasaran antarabangsa berkembang secara terbuka dengan beberapa negara penting menguasai rangkaian ekonomi berasaskan revolusi kualiti.

b. Berlaku perubahan besar dalam bidang kesenian.Budaya tinggi menguasai seluruh pemikiran rakyat. Industri kesenian menjadi inti dan penting dalam wajah kehidupan manusia.
c. Perkembangan pasaran bebas dalam negara-negara sosialis.

d. Citarasa dan gaya hidup lepas bebas bercambah begitu pantas seiring dengan perkembangan nasionalisme budaya.

e. Bertambahnya negara kebajikan dan penswastaan bagi meninggikan kehidupan rakyat akibat limpahan ekonomi.

f. Bangunnya negara-negara Pasifik dalam bidang ekonomi. Negara-negara kecil mulai bertindak ganas dengan seluruh kekuatan ekonomi.

g. Kepimpinan wanita sangat terserlah sekali kerana kewibawaan dan kepintarannya.

h. Pertambahan usia dan kualiti manisia kerana terdapatnya kemudahan kesihatan dan kebajikan yang memuaskan.

i. Terdapat pertentangan dan pergeseran agama yang sangat hebat dan meruncing dalam dekad akan datang.

j. Kesungguhan individu untuk memperluas dan mencorakkan gaya hidup individu.

6. Ramalan-ramalan ini bukan saja membuka jalan kepada perancang-perancang pembangunan negara, tetapi ia menimbulkan satu kegerunan atau fobia bahawasanya negara yang tidak bangkit akan pupus dan ini dikaitkan dengan teori haiwan Darwin iaitu "survival of the fittest". Ia membentuk satu kepercayaan atau fahaman baru tentang apa yang akan terjadi pada abad mendatang dan dengan ini setiap negara terutamanya negara membangun akan berlumba-lumba berusaha 'menyelamatkan diri' masing-masing dari pupus. Ini menyebabkan negara-negara berkenaan secara tidak langsung terjebak dalam pecaturan 'permainan politik' antarabangsa khususnya kuasa-kuasa besar dunia.

7. Dengan ramalan ini juga, kuasa-kuasa besar dan syarikat gergasi akan berusaha mengambil kesempatan memainkan peranan mereka untuk meraih keuntungan, meluaskan daerah penguasaan mereka dan menyebarkan budaya mereka. Maka wujudlah syarikat-syarikat gergasi yang memonopoli sektor tertentu dan akhirnya menyebabkan syarikat saingan mereka terpaksa ditutup ataupun bergabung dengan meraka. Syarikat-syarikat kecil yang lebih berwaspada akan bergambung untuk menjadi satu syarikat yang lebih besar agar tidak pupus dan mampu memberikan daya saing.

8. Bagi memudahkan agenda mereka di negara-negara membangun, kaedah meluaskan pengaruh melalui perubahan budaya merupakan cara yang terpenting. Melalui media massa terkini dengan kemudahan satelit maka perhubungan melalui internet, television, radio merupakan alat yang terpenting dalam penyebaran budaya dan pengaruh. Melalui television pengaruh budaya sungguh berkesan dalam bentuk hiburan, pakaian, tutur kata, gaya, minat dan sebagainya. Melalui internet, maklumat disebarkan tanpa batas yang berupaya mempengaruhi cara berfikir, kecenderungan dan kepercayaan penggunanya.

9. YAB Perdana Menteri Malaysia sewaktu mendedahkan Wawasan 2020 menerangkan dengan jelas bahawa kita harus menjadi negara maju dengan acuan kita sendiri kerana apa yang dikatakan 'negara maju' mengikut acuan barat, ianya sedang mengelami keruntuhan moral / akhlak yang teruk serta kelesuan sosial yang tenat, walaupun mereka maju dalam bidang ilmu sains dan teknologi. Beliau menambah lagi bahawa Malaysia tidak hanya perlu maju dalam bidang ekonomi sahaja. Ia mesti menjadi sebuah negara yang maju sepenuhnya dalam segala dimensi: ekonomi, politik, sosial, spiritual / kerohanian, saikologi dan budaya. Kita mesti maju dalam perpaduan bangsa dan ikatan sosial, dalam ekonomi, keadilan sosial, kestabilan politik, sistem pemerintahan, kualiti hidup, nilai sosial dan spiritual, kebanggaan negara dan keyakinan.

10. Justeru itu, apakah langkah yang perlu diambil untuk menghadapai cabaran ini? Apakah persediaan kita? Bagaimanakah caranya untuk kita mencapai hasrat kita untuk menjadi negara maju pada tahun 2020? Apakah bentuk negara maju yang kita inginkan? Persoalan ini bukannya persoalan baru tetapi kita menerima pelbagai jawapan, pelbagai kaedah dan tidak kurang pelbagai tentangan.

TAKRIFAN

11. Konsep dan kepimpinan adalah merupakan tajuk yang berulang kali dibincangkan dalam mana-mana seminar kepimpinan, motivasi, pengurusan dan apa saja program yang berkaitan dengan pembangunan insan dan masyarakat. Perbincangan kali ini merupakan 2 tajuk yang digabungkan menjadi satu tajuk besar yang perlu difahami oleh semua anggota baik sebagai pemimpin ataupun anggota biasa.

12. Berasaskan ungkapan "mengenali diri nescaya kamu mengenali Allah", jelas bahawa untuk mengetahui sesuatu yang lebih besar, ianya perlu kepada memahami perkara asas yang berkaitan dengan subjek tersebut. Justeru itu, tanpa mengetahui organisasi sendiri termasuk pentadbiran dan pengurusan, matlamat dan visi organisasi, struktur organisasi dan sebagainya, maka seseorang boleh diandaikan sebagai seorang buta yang berjalan tanpa tongkat, tanpa panduan atau bimbingan.

13. Tugas pemimpin adalah menyeluruh yakni untuk membimbing anggota kearah yang lebih produktif, berilmu, berakhlak tinggi, berwibawa dan mampu mendokong hasrat organisasi. Maka setiap pemimpina perlu mengetahui falsafah kepimpinan serta mempunyai fokus dalam merancang program dan mengatur aktiviti.

KEPIMPINAN DAN ORGANISASI

14. Apabila disebut organisasi, ia membayangkan satu pertubuhan atau badan yang tersusun dengan rangkaian-rangkaian tertentu baik dari segi dalaman ataupun perhubungan luar. Secara amnya, setiap pertubuhan mempunyai struktur organisasi dan struktur kepimpinannya yang tersendiri. Struktur ini menerangkan aliran kepimpinan dan pertalian antara satu jawatan dengan yang lain. Ia juga memudahkan intepretasi rangkaian antara pertubuhan induk dengan
cawangan-cawangannya, perhubungannya dengan pertubuhan-pertubuhan lain. Justeru itu, ia akan mengwujudkan keadaan tersusun untuk melicinkan pengurusan, memudahkan pembahagian tugas serta pengagihan kerja dan membantu perancangan program untuk memenuhi matlamat.

15. Dalam sebuah organisasi maka wujudlah lapisan kepimpinan yang melibatkan pemimpin, pengurusan dan anggota biasa. Pemimpin membuat dasar kepimpinannya serta menggariskan hala tuju persatuan. Perancangan dibuat dengan mengatur program untuk melaksanakan dasar tesebut.

16. Pengurusan membuat intepretasi dasar serta melaksanakan perancangan yang telah di putuskan. Ia mengatur program dan aktiviti untuk memenuhi matlamat tersebut. Anggota biasa dari masa kesemasa dilantik dalam bidang pengurusan untuk membantu perlaksanaan aktiviti. Mereka juga bertanggung jawab untuk memenuhi tuntutan organisasi dengan mengikuti aktiviti yang dilaksanakan.

17. Sebagai kesimpulan, oraganisasi boleh diibaratkan seperti tubuh manusia iaitu:

a. Otak = minda-merancang-pimpinan.

b. Mata/telinga = deria-sumber-maklumat/analisis- pengurusan.

c. Hati/kalbu = nilai/pertimbangan-dasar-peraturan-arahan.

d. Anggota = pelaksana.

KEPIMPINAN SECARA UMUM

18. Kepimpinan adalah suatu proses menggerakkan sekumpulan manusia atau persatuan menuju ke suatu arah yang telah ditentukan melalui dorongan yang tidak memaksa. Kepimpinan yang baik menggerakkan manusia untuk memenuhi kehendak jangka panjang. Ia adalah suatu peranan dan proses mempengaruhi orang lain. Pemimpin adalah seorang ahli dalam organisasi yang diharap dapat menggunakan pengaruh dalam melaksana dan mencapai matlamat organisasi.

19. Pemimpin yang amanah ialah seorang yang memimpin dan bukan seorang yang menggunakan kedudukan untuk memimpin. Kepimpinan boleh jelaskan melalui konsep-konsep berikut:

a. Kepimpinan merupakan suatu kuasa yang menghubungkan pemimpin dengan pengikutnya dan mendorong pengikutnya supaya mengerah tenaga secara tersusun menuju objektif yang dirumus secara kolektif. Berkerja secara sedemikian akan memberi kepuasan kepada pemimpin dan pengikutnya.

b. Kepimpinan juga memberikan perwatakan dan menerima perwatakan daripada media, persekitaran dan iklim di tempat ia berfungsi. Kepimpinan tidak bekerja dalam ruang yang tidak mempunyai udara, tetapi bekerja dalam iklim yang diwujudkan oleh berbagai unsur. Interaksi pemimpin, anggota, masyarakat dan suasana sekitaran sentiasa berlaku.

c. Kepimpinan sentiasa aktif. Kepimpinan mungkin berubah-ubah mengikut peringkat, kekuatan, atau had tetapi ia tidak akan tenggelam dan timbul. Ini bermakna tiada pemimpinan, tiada pengikut dan jika tiada anggota maka tiada kumpulan. Keadaannya sama ada dinamik atau tidak ada langsung.

d. Kepimpinan mengambil prinsip-prinsip, kaedah dan sistem mengikut profil masing-masing.

20. Pemimpin mengendalikan orang bawahannya untuk mencapai matlamat melalui motivasi dan contoh peribadi. Pengurus memperoleh tindakan yang diingini dengan menggunakan kedudukannya dalam struktur organisasi.

21. Pemimpin yang baik menyedari bahawa mereka juga mesti menjadi pengikut yang baik. Boleh dikatakan pemimpin sentiasa melaporkan kepada sesorang atau kumpulan tertentu. Mereka biasanya adalah anggota yang berilmu dan mampu memberi pandangan yang baik. Disamping itu pemimpin juga mesti
mampu untuk mengikut. Pengikut yang baik mesti mengelakkkan persaingan dengan pemimpin, berperanan dengan penuh setia dan apabila menegur pemimpin perlulah dengan penuh hikmah, bernilai dan tingkah-laku yang membina.

22. Jenis-jenis kepimpinan. Ianya adalah seperti berikut:

a. Autokrat. Kurang mempercayai anggota dan hanya mempercayai ganjaran yang berupa kebendaan sahaja yang boleh memberikan dorongan. Perintah yang dikeluarkan mesti dilaksanakan tanpa sebarang persoalan.

b. Benevolent Autokrat. Memberikan perhatian kepada pengikut-pengikutnya serta memberikan tanggapan bahawa ia seorang yang demokratik. Sentiasa membuat keputusan sendiri.

c. Demokrat. Membuat keputusan bersama dengan anggota. Menerangkan sebab-sebab keputusan yang dibuat sendiri kepada kumpulan danmenyampaikan kritikan dan pujian secara objektif.

d. Laissez-faire. Tidak mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan sendiri. Tidak menetapkan matlamat untuk anggota. Komunikasi dan interaksi antara kumpulan dikurangkan.

23. Kepimpinan Dalam Islam. Ciri-ciri kepimpinan dalam Islam adalah seperti berikut:

a. Setia (wala'). Pemimpin dan pengikut terikat dengan wala' kepada Allah

b. Matlamat Islam yang menyeluruh (syumul). Pemimpin melihat matlamat persatuan bukan sahaja berdasarkan kehendak kumpulan, tetapi dalam skop Islam yang luas.

c. Mengikut syariah dan akhlak Islam. Pemimpin terikat dengan peraturan-peraturan Islam dan boleh terus memegang amanah kepimpinan selagi ia mengikut perintah Syariah. Semasa mengendalikan urusannya ia mesti patuh kepada adab-adab Islam khususnya semasa berurusan dengan musuh atau lawan.

d. Memberi thiqah (kepercayaan). Pemimpin menerima kuasa sebagai amanah daripada Allah yang disertai oleh tanggungjawab besar. Al-Quran menyarankan pemimpin supaya melaksanakan tanggungjawab kepada ALlah dan menunjukkan kebaikan kepada pengikutnya.

“Orang-orang yang jika Kami beri kedudukan di muka bumi, mereka tetap mengerjakan sembahyang dan membayar zakat dan menyuruh mengerjakan perbuatan baik dan melarang perbuatan yang salah. Dan kepunyaan Allah kesudahan segala urusan.”

Al Quran (Al-Hajj:41)

24. Prinsip Asas Kepimpinan Islam. Ianya seperti berikut:

a. Syura. Syura adalah prinsip pertama dalam kepimpinan Islam. Al-Quran menyatakan dengan jelas bahawa pemimpin-pemimpin Islam wajib mengadakan syura dengan orang-orang yang mempunyai pengetahuan atau orang-orang boleh meberi pandangan yang baik.
“ Dan bagi orang-orang yang menerima (mematuhi) seruan Tuhannya dan mendirikan solat, sedang urusan mereka (diputuskan) dengan mesyuarat antara mereka; dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada mereka.”

(As-Syura:38)

b. Adil. Pemimpin hendaklah berurusan dengan orang secara adil dan saksama tanpa mengira bangsa, warna, keturunan atau agama. Al-Quran memerintahkan orang-orang Islam supaya berlaku adil apabila berurusan dengan orang-orang yang menentang mereka.

“ Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu berlaku tidak adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa.”

(Al-Maidah:8)

c. Kebebasan memberi pendapat. Pemimpin Islam hendaklah memberikan ruang dan mengajak ahli-ahlinya mengemukakan pandangan yang membina. Mereka hendaklah diberi peluang mengeluarkan pandangan dan bantahan secara bebas, serta menjawab segala persoalan yang ditimbulkan oleh mereka.

Hadith Rasulullah saw.

“Agama adalah nasihat. Kami berkata, "Kepada siapa?" baginda menjawab, "Kepada Allah. KitabNya, RasulNya, pemimpin umat Islam dan kepada masyarakat kamu."

MERANCANG PROGRAM

25. Maka timbul beberapa persoalan yang berkisar di dalam fikiran seseorang pemimpin yang melalui sesuatu latihan terutamanya yang melibatkan soal kepimpinan. Persoalan ini biasanya menyentuh tentang perkara-perkara yang perlu dilaksanakan, misalnya:

a. Apakah yang harus dilakukan selepas ini?

b. Apakah visi dan objektif untuk tahun ini?

c. Apakah sasaran pada tahun ini?

d. Apakah keutamaan organisasi?

e. Aktiviti apakah yang harus dilaksanakan dahulu?

f. Apakah program jangka pendek dan apakah program jangka panjang?

g. Apakah keupayaan organisasi untuk menganjurkan program untuk tahun ini?

26. Program dan aktiviti dirancang lazimnya berlandaskan matlamat organisasi secara keseluruhan. Ia juga bergantung kepada dasar pepimpinan atasan organisasi yang mempunyai visi tertentu, cita-cita tertentu dalam mengemudi organisasi tersebut sewaktu di bawah mandatnya.

27. Perancangan juga boleh berubah-ubah, meliputi perancangan jangka pendek, perancangan jangka panjang dan perancangan disebabkan perubahan suasana semasa. Justeru itu program-program yang diatur perlulah berpandu kepada dasar dan perancangan yang telah ditetapkan agar aktiviti-aktivitinya mempunyai fokus dan dilaksanakan secara sistematik dengan mengambil kira kehendak semasa..

28. Terdapat 3 perkara yang tidak dapat dipisahkan dalam mengatur aktiviti dan program organisasi. Ianya seperti berikut:

a. Pembangunan diri/insan.

b. Pembangunan organisasi.

c. Membentuk barisan pimpinan pelapis

PERSEDIAAN DIRI DAN CABARAN

PERSEDIAAN DIRI

29. Pemimpin perlu bersedia melalui cabaran dan segala saat getir. Pemimpin haruslah berwibawa serta mampu mengemudi anggota mengharungi gelombang dalam usaha membentuk satu pasukan yang mapan. Pemimpin perlu membuat pelbagai anjakan dan perubahan dalam pelbagai aspek seperti berikut:

a. Perubahan cara berfikir.

b. Perubahan cara bekerja.

c. Perubahan cara menghadapi masalah.

d. Perubahan cara bertindak.

30. Pemimpin perlu mempunyai sifat tunduk kepada PenciptaNya mengamalkan bermuraqabah atau memeriksa diri dan bermuhasabah atau menghitung diri (menilai) dari masa kesemasa. Tanpa muhasabah dan muraqabah, seseorang itu akan melihat kesilapan diri; yang dilihat hanyalah kesilapan dan kelemahan orang lain. Dengan menghitung diri juga, sifat-sifat keji yang meruntuhkan boleh dipendamkan sebelum membiak dan menjalar. Justeru itu, Iman dan kehidupan tidak boleh dipisahkan.

SIKAP YANG MERUNTUHKAN PEMIMPIN

31. Sikap dan sifat yang meruntuhkan yang terdapat dalam pemimpin dan pengurus organisasi telah digariskan oleh Stephen R. Covey dalam "The 7 Habits of highly Effective people". Beliau menyebut 7 dosa yang membinasakan (deadly sins) yang terdapat dalam organisasi yang berorientasi sekular. Ianya seperti berikut:

a. Kekayaan tanpa kerja. Ia merujukkan amalan memanipulasi pasaran, manusia, barangan untuk menjadi kaya.

b. Keseronokan tanpa kata hati (conscience). Antara godaan-godaan utama pemimpin hari ini ialah terpengaruh dengan ketamakan, mementingkan diri dan nafsu.

c. Pengetahuan tanpa keperibadian. Hanya pembangunan pengetahuan tanpa pembentukan peribadi.

d. Perniagaan tanpa nilai moral/etika. Jika kita mengenepikan asas moral/etika/akhlak dan membenarkan sistem ekonomi berfungsi tanpa asas moral dan pendidikan yang berterusan, kita akan melahirkan sesuatu tanpa moral/akhlak; masyarakat tidak berakhlak, perniagaan tidak beretika.

e. Sains tanpa keperimanusiaan. Jika sains hanya mengutamakan teknik dan teknologi, ia akan mejatuhkan martabat manusia sehingga menghancurkan nilai kemanusiaan.

f. Agama tanpa pengorbanan. Ia memerlukan pengorbanan untuk memenuhi keperluan masyarakat.; termasuk pengorbanan ego and
prasangka.

g. Politik tanpa prinsip. Jika sesuatu masyarakat itu dikuasai oleh daya sosial yang berpenyakit disamping daya politik yang tidak berprinsip, maka seluruh organisasi atau masyarakat akan menjadi tenat dengan nilai yang



CABARAN

32. Cita-cita untuk membangunkan pemimpin dan yang dipimpin bukanlah satu perkara yang mudah. Terdapat pelbagai rintangan yang menghalang usaha yang dirancang. Secara umumnya permasalahan masyarakat berkisar disekitar gejala sosial yang melibatkan keruntuhan akhlak, dadah, perhubungan sumbang, mencuri, merosakkan harta awam dan sebagainya.

33. Masalah dan cabaran yang dihadapi oleh pemimpin boleh diringkaskan seperti berikut:

a. Kelemahan diri dan kekeliruan diri. Dalam sesuatu organisasi tidak semua pemimpin mempunyai latarbelakang dan hasrat yang sama. Terdapat pelbagai ideologi, kefahaman, pendekatan, pandangan sosial, soal nilai, kehendak dan sebagainya yang menghalang kesatuan matlamat. Kegagalan menggariskan matlamat terperinci dan jelas dalam sesuatu dasar atau panduan menyebabkan intepretasi yang berbeza. Ia juga akan menimbulkan pelbagai andaian perkara yang dibolehkan atau tidak dibolehkan.

b. Kelemahan organisasi. Tidak dapat dinafikan bahawa tidak ada yang sempurna dalam sesuatu organisasi. Namun begitu yang penting ialah usaha kearah mengurangkan kelemahan ini ketahap yang paling minima dengan pemantauan serta tindakan susulan.

PENUTUP

34. Perbincangan ini bertujuan untuk memberi gambaran kasar senario kepimpinan masa kini. Perancangan yang teratur dengan pemantapan oraganisasi penting dalam usaha kearah kejayaan sesuatu organisasi, pemimpin serta komunitinya.

35. Ia juga bertujuan untuk memberi kesedaran tentang betapa pentingnya nilai agama dalam membentuk pemimpin yang berupaya dan secara tidak langsung melahirkan suatu organisasi yang berjaya.





1 comment:

  1. Saya ingin mengetahui lebih banyak info kaitan dengan "Pemimpin adalah dibentuk dan bukan dilahir".

    ReplyDelete

PETA PELAYAR