FOLLOWERS

Tuesday, 18 October 2011

MENGAWAL PERLUASAN AGAMA BUKAN ISLAM : PROF MADYA SHAMRAHAYU !!!!!









Undang-undang murtad sedia ada perlu lebih jelas, ada penambahbaikan

SAYA teruja mengenai cadangan mewujudkan undang-undang khusus bagi menangani murtad. Saya juga teruja dengan langkah persatuan Islam di negara ini yang akan menganjurkan perhimpunan sejuta umat Sabtu ini. Kedua-dua ini menunjukkan sensitiviti sebahagian besar masyarakat Malaysia berkaitan isu murtad. Walaupun begitu, pada masa sama, saya pasti masih ada antara umat yang tidak mengambil tahu, memandang ringan atau tidak mahu mengambil tahu atau jika sudah tahu pun, sengaja buat-buat tidak tahu kerana mahu berbaik sangka dengan mereka yang cuba memurtadkan orang Islam. Murtad di Malaysia bukan perkara baru, bahkan sudah banyak kertas kerja dan bahan bacaan berkaitan yang disebarkan. Bukanlah maksud untuk bermegah, tetapi di kulliyyah (fakulti) saya, tidak kurang empat program ilmiah yang agak besar sudah dianjurkan.

Selain itu pelbagai program berkaitan sudah dianjurkan oleh pihak universiti, agensi kerajaan dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Pendek kata, semua pihak sudah banyak melakukan kegiatan ilmiah berkaitan perkara ini.

Di samping aktiviti akademik, ada juga undang-undang yang menjenayahkan perbuatan murtad dan juga perbuatan cuba memurtadkan orang Islam. Kesalahan ini diwujudkan sama ada di dalam undang-undang jenayah syariah dan juga undang-undang khas berkaitan kawalan dan sekatan pengembangan agama bukan Islam di kalangan orang Islam.

Sekiranya diperhatikan pengisian undang-undang ini secara akademik, ia agak memadai untuk kita uruskan hal berkaitan murtad secara perundangan. Namun, lahir juga masalah di dalam amalannya atau penguatkuasaannya.
Seperti yang kita semua maklum, sesuatu pertuduhan di mahkamah memerlukan bukti kukuh. Oleh itu, proses pelaksanaan yang cekap dan menyeluruh harus dilakukan. Kesalahan murtad dan kesalahan pengembangan agama ini bukan seperti kesalahan trafik yang boleh kita buktikan dengan cara yang agak mudah.

Selepas mendengar cadangan untuk digubal undang-undang berkaitan murtad, iaitu Akta Murtad, apa yang menjelma di dalam kotak fikiran saya ialah jenis kesalahan yang mesti kita masukkan ke dalam akta terbabit.

Saya pinggirkan dulu soal perundangan atau kesahannya menurut Perlembagaan, tetapi saya utamakan yang baik untuk Islam dulu, iaitu mencegah murtad dan menghukum murtad. Berbalik kepada kesalahan berkaitan murtad tadi, ia termasuklah melakukan perlakuan atau mengucap apa yang boleh menjadikan seseorang itu murtad.

Elemen pengembangan agama bukan Islam di kalangan orang bukan Islam sudah banyak disebut di dalam enakmen berkaitan. Pada dasarnya semua elemen sudah wujud di dalam undang-undang yang sedia ada.

Oleh itu, apa yang lebih utama setakat ini ialah usaha kita merealisasi atau melaksanakan undang-undang sedia ada. Undang-undang menyekat dan mengawal pengembangan agama bukan Islam sudah dibuat pada pertengahan 1980-an, tetapi sehingga kini kita bukan saja belum melihat keberkesanannya, tetapi kita belum dikhabarkan dengan apa-apa pertuduhan melaluinya.

Sukar untuk saya sebut di sini bahawa, ketika memberi ceramah kepada sepasukan penguat kuasa pada 2004, saya terkejut kerana mendapati ada antara penguat kuasa tidak menyedari kewujudan enakmen terbabit.

Mungkin itu pada 2004 – kini saya percaya penguat kuasa bukan saja mengetahui kewujudan undang-undang ini, tetapi sudah pun cuba menguatkuasakannya.

Apa yang saya dan mungkin juga masyarakat Islam negara ini mahukan ialah realisasi kepada penguatkuasaan undang-undang terbabit. Sekiranya kita sudah mencuba untuk menguatkuasakannya, kita cuma perlu mencari kelebihan dan kelemahan di dalam undang-undang itu sebelum kita pergi lebih jauh untuk membuat undang-undang baru, seperti dicadangkan.

Secara praktikalnya, proses menggubal undang-undang bukanlah sesuatu yang mudah. Walaupun dalam menangani masalah biasa, proses penggubalannya agak panjang, apatah lagi dalam proses menggubal undang-undang yang sudah tentu menghadapi persoalan yang lebih kompleks seperti murtad.

Secara praktikalnya penguatkuasaan undang-undang juga mempunyai komplikasi tersendiri. Barang sudah tentu, penguatkuasaan undang-undang murtad juga tidak terkecuali. Oleh yang demikian, adalah menjadi lebih praktikal untuk kita meneruskan tangkisan terhadap perlakuan memurtadkan orang Islam dan perbuatan murtad itu dengan undang-undang yang sedia ada sebelum kita meneruskan dengan niat untuk menggubal undang-undang baru berkaitan murtad.

Bukan maksud saya untuk tidak bersetuju kepada apa yang lebih mendatangkan kebaikan kepada Islam dan umatnya di negara ini, tetapi saya lebih gembira sekiranya kita menggunakan apa juga yang dapat mendatangkan kebaikan kepada Islam menerusi mekanisme yang ada kerana ia lebih praktikal.

Kita teruskan usaha untuk menambah baik apa yang sedia ada, sama ada dari segi pengisian undang-undang terbabit atau juga pelaksanaannya. Kita tidak harus berterusan menangguhkan pelaksanaan undang-undang berkaitan pengembangan agama bukan Islam di kalangan orang Islam.

Semua pihak harus berusaha ke arah itu bagi menjamin kelangsungan kedudukan agama Islam dan umatnya di negara ini.

Penulis ialah Profesor Madya Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Penghuni Gua
: Sama-sama kita fikirkan. Terima kaseh Prof atas pandangan ini. Untuk Aziz Bari boleh jalanlah. Kalau ikut Aziz Bari, apa yang ditulis oleh Prof Shamrahayu ini pun bukan sesuatu yang lazim............... Tak gitu ?

1 comment:

  1. AZIZ BARI NI OTAK KEMPIS. DUDUK LAMA2 KAT KERUSI EMPUK CUMA NAK LAGA2 UMAT. DAH BOLEH DI LABEL PENGKHIANAT AGAMA PON HUHUHUHU

    ReplyDelete

PETA PELAYAR