FOLLOWERS

Tuesday, 6 December 2011

MALAYAN LAW JOURNAL : TANDA DAGANGAN !!!!



[1993] 3 MLJ 122
Dlm Perkara Johnson & Johnson
Case Details:

Malaysia MAHKAMAH TINGGI (KUALA LUMPUR) — SAMAN PEMULA
NO D6–24–279–92

Judges ABDUL AZIZ H

Date 13 MAY 1993
Citation [1993] 3 MLJ 122


Catchwords:


Tanda Dagangan — Permohonan untuk perintah perihal dagangan — Produk tiruan — Cap dagangan yang menceroboh — Penggunaan cap dagangan dan grafik label yang identikal — Sama ada cap dagangan itu mesti dikenalpasti dengan spesifik — Akta Perihal Dagangan 1972 s 16(1)
Tanda Dagangan — Perintah perihal dagangan — Penggunaan cap dagangan berdaftar untuk barangan tiruan — Sama ada cap itu merupakan suatu cap yang menceroboh — Akta Perihal Dagangan 1972 s 16(1)

Tanda Dagangan — Perihal dagangan — Perbezaan antara ss 4 dan 9 Akta Perihal Dagangan 1972 — Akta Perihal Dagangan 1972 ss 4 & 9

Perkataan dan Rangkaikata — ‘Perintah perihal dagangan’ — Sama ada boleh digunakan di dalam kes barangan tiruan — Tujuan s 16(1) Akta Perihal Dagangan 1972 — Akta Perihal Dagangan 1972 s 16(1)

Facts:


Pemohon dalam saman pemula ex parte ini, Johnson & Johnson, adalah pemilik berdaftar cap dagangan ‘Johnson’s’. Pengedar eksklusif barangan pemohon di Malaysia ialah Johnson & Johnson Sdn Bhd. Pemohon telah mendapati bahawa lampin bayi yang bukan produk pemohon yang dilabelkan dengan cap dagangan ‘Johnson’s’ dalam grafik yang identikal dengan grafik label produk pemohon telah didapati dijual secara terbuka di pasaran. Dari label bungkusannya, seseorang pembeli tidak akan menyangka bahawa lampin bayi itu bukan produk pemohon. Pemohon memohon ‘perintah perihal dagangan’ di bawah s 16(1) Akta Perihal Dagangan 1972 (‘Akta itu’), supaya lampin yang tidak dikilang, diedar, dijual, dan ditawarkan untuk penjualan oleh pemohon atau wakil-wakil mereka, yang berlabelkan cap dagangan yang identikal dengan cap dagangan pemohon, adalah dianggap sebagai cap dagangan palsu mengikut makna Akta itu. Pemohon memohon perintah itu untuk mengenalpasti cap dagangan yang menceroboh itu sebagai termasuk tandaniaga lain yang serupa dalam bunyi yang boleh dilancungkan atau mengelirukan. Persoalan yang timbul adalah sama ada perintah perihal dagangan di bawah s 16 diperlukan dalam kes barangan tiruan seperti ini.


Holdings:
Diputuskan, menolak permohonan itu:

(1) Sesuatu cap yang menceroboh mesti sebenarnya wujud dan dikenalpasti secara spesifik untuk mengelakkan kontroversi tentang apakah cap dagangan yang menceroboh. Dalam kes ini, cap dagangan yang menceroboh yang berbangkit adalah cap dagangan ‘Johnson’s’ sahaja, maka, jika mahkamah hendak membuat perintah perihal dagangan di sini, mahkamah akan membataskan subjek perintah itu hanya kepada cap dagangan itu dan tidak akan memasukkan cap dagangan lain ‘yang serupa dalam bunyinya, yang boleh dilancungkan atau mengelirukan’. Juga dalam kes ini, tidak ada barang lain yang dikatakan terlibat selain lampin bayi. Oleh itu mahkamah tidak seharusnya memasukkan juga ‘barang-barang yang berkaitan atau perihalnya yang serupa’.

(2) Seksyen 16 tidak bertujuan supaya perintah perihal dagangan dibuat dalam kes barangan tiruan seperti ini, di mana cap dagangan identikal digunakan, kerana dua sebab: (a) jika perintah dibuat mengikut makna ‘natural’ s 16, perintah itu akan hanya menyatakan nama atau jenis barang itu tanpa menyatakan siapa yang mengilangkan atau mengedarkan barang itu atau siapakah yang tidak. Oleh itu, mengikut maksud s 16, cap dagangan pemohon sendiri akan juga menjadi cap dagangan penceroboh. Ia akan menjadi perihal dagangan palsu walaupun digunakan bagi produk pemohon sendiri; dan (b) tujuan s 16 ialah untuk memberikan kuasa kepada Mahkamah Tinggi untuk membuat perintah perihal dagangan bagi menetapkan bahawa sesuatu cap dagangan yang menceroboh adalah perihal dagangan yang palsu, semata-mata untuk menjadikan penggunaan cap dagangan itu suatu kesalahan di bawah s 3(1) Akta itu. Dalam pendakwaan sesuatu kesalahan di bawah s 3(1), bukti utama yang perlu ialah bahawa barang itu tidak dibuat atau dikeluarkan oleh tuanpunya cap dagangan itu. Oleh itu, s 16 tidak mungkin bertujuan untuk membantu penguatkuasaan dalam kes seperti ini kerana penguatkuasaan sudahpun boleh dijalankan tanpa bantuannya.

(3) Seksyen 4(1) Akta itu digunakan untuk menentukan sama ada sesuatu cap dagangan adalah suatu perihal dagangan manakala s 9 membentangkan keadaan-keadaan di mana penggunaan sesuatu perihal dagangan tidak akan menjadi perihal dagangan palsu. Tujuan pengecualian di dalam s 9 adalah untuk memberi kekebalan daripada tindakan Akta itu hari ini terhadap perihal dagangan palsu dalam sesuatu situasi yang wujud tanpa salah sebelum dan sehingga Akta itu wujud dan yang berterusan sehingga hari ini. Itulah kepentingan sebenarnya s 9. Seksyen itu tidak ada pengaruh terhadap soal pentafsiran s 4 bagi menentukan sama ada sesuatu cap dagangan boleh menjadi perihal dagangan.

Per curiam:


(1) Dengan menggunakan cap berdaftar orang lain, seseorang mungkin menceroboh cap dagangan itu tetapi cap itu tidak menjadi cap dagangan yang menceroboh.

(2) Mahkamah berpendapat bahawa kedudukan undang-undang dalam hal ini bererti bahawa bahagian penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna boleh dan wajib menguatkuasakan terus Akta itu dalam kes-kes yang melibatkan cap-cap dagangan yang identikal — iaitu kes barangan tiruan — tanpa tuanpunya cap dagangan yang berkenaan perlu datang ke mahkamah terlebih dahulu untuk mendapatkan perintah perihal dagangan.

Penghuni Gua
: Semuga paparan ini memberi menafaat kepada semua pembaca dan pelajar. MLJ adalah dokumen awam. Ia boleh diakses di laman Web Jabatan Kehakiman malaysia. Tq

No comments:

Post a Comment

PETA PELAYAR