Tun M - Saya sedih....
Bukanlah saya berharap kerana kesedihan
saya akan menarik simpati sesiapa. Hanya saya ingin menyatakan perasaan saya-
perasaan apabila melihat kaum bangsa saya, orang Melayu, begitu sekali tidak
tahu bersyukur, begitu sekali mudah lupa, begitu sekali mudah dipengaruhi dan
diperalat oleh orang lain sehingga sanggup memburukkan bangsa
sendiri.
Bagi generasi yang dilahirkan selepas
merdeka tentulah mereka tidak merasai sendiri kehinaan yang dialami oleh orang
Melayu semasa mereka dijajah dahulu. Tetapi takkanlah mereka tidak baca sejarah
bangsa mereka.
Jika mereka sudah lupa, jika mereka
tidak dapat memahami pahit maung, pedih perit bangsa yang dijajah, izinkan saya
yang biasa dengan tiga penjajahan bercerita sedikit berkenaan orang Melayu
semasa dijajah. Rata-rata mereka miskin, tidak berilmu pengetahuan, tidak
memiliki apa-apa kecekapan, tidak terdaya mempertahan negeri-negeri
mereka.
Mereka terpaksa bertuankan orang putih
Inggeris yang mereka terima sebagai Tuan mereka di negeri mereka sendiri. Mereka
bukan tuan rumah. Mereka sebenarnya hamba rumah yang diduduki orang
lain.
Orang putih, secara terbuka menyatakan
orang Melayu adalah bodoh dan malas, tidak mampu menyumbang apa-apa kepada
pembangunan negeri-negeri mereka. Mereka hanya layak jadi pemandu kereta dan
orderly atau budak pejabat atau kerani.
Mereka dianggap tidak berkebolehan
melaksanakan apa-apa kerja yang dipertanggungjawab kepada mereka. Orang asing
dari India dan Cina perlu dibawa masuk untuk mengatasi masalah Melayu malas dan
tidak cekap. Datang Jepun. Orang Melayu hilang jawatan perkeranian dan
jawatan-jawatan rendah yang lain.
Mereka terpaksa jadi penjual pisang di
tepi jalan - kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Jika tidak tunduk
serendah mungkin apabila lalu di hadapan askar Jepun, mereka dipaksa tatang
ketulan batu yang besar sehingga mereka pening dan jatuh. Mereka diarah panjat
pohon kelapa untuk dapat buah kelapa bagi askar Jepun.
Jika gagal mereka ditempeleng dan
terbongkok-bongkok meminta maaf daripada askar Jepun. Tanpa bertanya sedikitpun
akan pandangan orang Melayu sebagai pemilik negeri-negeri Melayu, Jepun
menghadiahkan empat buah negeri Melayu, iaitu Kedah, Perlis, Kelantan dan
Terengganu kepada Siam, kerana membalas budi Siam.
Di bawah pemerintahan Siam, orang
Melayu diarah supaya menghormati lagu kebangsaan Siam dan bendera Siam. Saya
lihat sendiri seorang orang tua Melayu yang tidak turun basikalnya semasa lagu
kebangsaan Siam dimainkan, ditendang di kepala oleh askar Siam apabila lagu
berhenti dan ia jatuh terlentang di atas jalan.
Saya dan beberapa Melayu lain tidak
berani menolong orang tua yang telah jatuh. Kami bangsa yang dijajah dan boleh
ditendang oleh sesiapa yang menjajah bangsa kami. Jangan siapa tolong. Kemudian,
British kembali dan raja-raja Melayu diugut akan diturunkan dari takhta mereka
jika tidak tandatangan perjanjian Mac Michael supaya negeri-negeri Melayu
diserah secara langsung kepada British. Dan raja Melayu pun tandatangan dan
diturunkan pangkat kepada kadi besar negeri mereka.
Cadangan Malayan Union British
bertujuan menamatkan negeri-negeri Melayu sebagai Tanah Melayu, milik orang
Melayu. Ia akan jadi milik siapa sahaja yang mendapat taraf rakyat Malayan Union
milik British.
Dalam keadaan orang Melayu begitu
miskin, daif dan tidak berilmu pengetahuan, tidak memiliki apa-apa kecekapan,
tidak mempunyai senjata, tidak tahu berniaga, sudah tentu mereka akan menjadi
kuli dan hamba kepada orang lain yang lebih pintar, lebih cekap dan lebih kaya
daripada mereka.
Sudah tentu tidak akan ada Tanah
Melayu, tanah tumpah darahnya orang Melayu. Mereka akan jadi bangsa yang tidak
bernegara, tidak bertanahair. Tidak ada masa depan bagi mereka. Alhamdulillah.
Di saat itu mereka tiba-tiba sedar.
Berkat beberapa kerat di antara mereka
yang terpelajar yang tahu akan malapetaka yang menanti bangsa mereka, mereka
ketepikan sikap kenegerian mereka dan kesetiaan kepada raja masing-masing atau
kepada keturunan mereka.
Mereka bersatu dan bangun menentang
rancangan Malayan Union British. Perpaduan Melayu yang tumpat ini, pendirian
mereka yang tidak berbelah-bahagi berkenaan penolakan Malayan Union memaksa
British gugurkan rancangan mereka dan kembalikan negeri-negeri Melayu bersama
Pulau Pinang dan Melaka yang dimiliki British kepada orang Melayu.
Maka terselamatlah orang Melayu dan
negeri mereka. Malangnya sekembalinya sahaja Semenanjung Tanah Melayu ke tangan
orang Melayu, maka bermulalah rebutan untuk nikmat yang datang dengan
pemerintahan sendiri, khususnya untuk menjadi ahli dalam dewan-dewan negeri dan
dewan undangan Persekutuan.
Keahlian ini menjanjikan pangkat, elaun
dan lain-lain kemudahan. Untuk bekerja sebagai budak pejabat memerlukan
kelulusan tertentu. Tetapi untuk menjadi Yang Berhormat, menteri, bahkan Perdana
Menteri tidak memerlukan apa-apa sijil atau kelulusan. Yang kecewa, yang tidak
dapat nikmat yang dikejar lupa akan nikmat perpaduan dan mereka tinggalkan UMNO
untuk tubuh kesatuan mereka sendiri.
Dengan ini mereka akan dapat dicalon
oleh parti mereka untuk bertanding dalam pilihan raya yang akan datang. Kumpulan
pertama yang menubuh parti serpihan terdiri daripada ulama dalam UMNO yang
kecewa kerana permintaan mereka supaya 10 daripada mereka dicalonkan oleh Tunku
Abdul Rahman ditolak olehnya dan hanya satu sahaja yang diberi kepada kumpulan
ini. Tetapi Tuhan Maha Kaya.
Rata-rata orang Melayu terus menyokong
UMNO yang mana ini memberi kemenangan kepada UMNO dan rakan-rakannya.
Demikianlah besarnya sokongan ini sehingga British terpaksa serah kuasa kepada
Perikatan ciptaan UMNO. Jika Parti Islam mendapat lebih daripada satu kerusi,
nescaya kemerdekaan tidak tercapai pada 1957. Tanpa merampas hak orang lain,
pemerintahan yang bertunggak kepada Melayu berjaya membangunkan negara dan
memberi kepada bangsa Melayu dan bumiputera lain pelajaran, latihan dan peluang
yang tidak pernah dinikmati oleh mereka semasa dijajah. Berkat semua ini maka
terpulihlah maruah bangsa Melayu.
Alhamdulillah.... Ramalan bahawa
pemerintahan yang dipimpin Melayu ini akan merampas hak dan harta kaum lain
tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya pimpinan yang diterajui Melayu berjaya
memajukan negara sehingga dikagumi dunia. Semua ini terang dan nyata. Dunia akui
kebolehan orang Melayu yang memimpin Malaysia. Tetapi mereka belum sampai ke
tahap bersaing dengan kaum lain terutama dalam bidang perniagaan dan perusahaan.
Malangnya kejayaan yang sedikit ini telah menjadikan mereka bongkak dan
tamak.
Rebutan kuasa antara mereka terus
berlaku dan rebutan yang berpunca kepada ketamakan individu tertentu menyebabkan
perpecahan dan serpihan daripada parti utama mereka. Mereka yang kecewa kerana
gagal merebut tempat menghasut ahli-ahli dan pemimpin kerdil untuk menyertai
mereka, untuk menjayakan hasrat sempit mereka merebut kuasa, terutama untuk
menjadi Perdana Menteri.
Untuk ini mereka membohong,
menyalahtafsir agama, menyokong orang lain yang tidak suka melihat orang Melayu
meraih walaupun sedikit kekayaan, kedudukan dan nikmat yang terdapat di negara
ini. Hasilnya ialah perpaduan Melayu diganti dengan perpecahan. Orang Melayu
yang dahulu digeruni oleh British kerana kukuhnya perpaduan mereka, sekarang
berpecah kepada tiga kumpulan kecil yang terpaksa mengemis untuk mendapat
sokongan orang lain termasuk mereka yang menentang segala usaha untuk
mengimbangkan kedudukan orang Melayu dengan kaum-kaum lain.
Sokongan orang lain ini tidak diberi
secara percuma. Jika mana-mana daripada parti Melayu ini memenangi pilihan raya
dan mendirikan Kerajaan, tak dapat tidak Kerajaan ini akan terpaksa mengikuti
telunjuk orang lain.
Melayu tidak lagi akan menjadi tunggak
kepada pemerintahan negara yang mereka rela berkongsi dengan orang lain. Mereka
akan jadi puak minoriti dalam pakatan yang mereka sertai. Inilah yang akan
terjadi hasil perpecahan orang Melayu.
Siapakah yang membawa malapetaka ini.
Tak lain tak bukan malapetaka ini dibawa oleh orang Melayu sendiri - orang
Melayu yang tamak, orang Melayu yang kurang pintar, orang Melayu yang mudah
dipengaruhi nafsu, yang mudah dikuasai oleh perasaan benci apabila dihasut.
Orang Melayu sudah lupa akan betapa hinanya mereka semasa dijajah
dahulu.
Mereka tidak pun mengakui akan nikmat
yang banyak yang dinikmati oleh mereka setelah merdeka dan mereka menerajui
Kerajaan - Kerajaan Malaysia merdeka. Oleh kerana lupa dan tidak bersyukur,
mereka rela supaya perpaduan yang memberi kekuatan kepada mereka dimusnahkan.
Mereka sanggup dipecah dan dipisah daripada kuasa yang sedikit yang ada pada
mereka. Sebab inilah yang saya sedih. Bangsa saya jelas tidak dapat menangani
kejayaan.
Bangsa saya mudah lupa..... Bangsa saya
tidak tahu bersyukur.... Bangsa saya tidak tahu mengambil iktibar daripada nasib
yang menimpa kaum sebangsa yang hari ini tinggal di wilayah yang dikuasai orang
lain. Jangan bersedih dan bersimpati dengan saya. Bersimpatilah dan bersedihlah
dengan diri sendiri, dengan anak cucu yang akan alami masa depan yang gelap
kerana kita tamak dan begitu benci kepada bangsa dan pemerintahan oleh kita
sendiri.
TUN MAHATHIR
Penghuni Gua : Fikirkan pengundi muda!!!! Fikirkan. Jangan sekali lagi kita dihina sebegitu rupa semasa kita dijajah. Juga semasa 13 mei..................Penghina kita iaitu DAP masih ada sehingga kini. Fikirkan !!!!!!!!!!!
Tun M akan terus saya sanjung dan hormati..
ReplyDeleteTUN M ni melayu ke atau MAMAK?...
ReplyDelete