FOLLOWERS

Tuesday 21 February 2012

KEMBALIKAN SEMULA KUASA YAA HAKIM : PROF SHAMRAHAYU !!!!!



Oleh Shamrahayu A Aziz
bhnews@bharian.com.my
2012/02/21




Perubahan beri kebaikan kepada reputasi kebebasan badan kehakiman

KETIKA di bangku sekolah rendah lagi, saya sering dipilih untuk mewakili sekolah dalam pertandingan pidato atau syarahan. Kenangan berkaitan masih mekar dalam ingatan. Bukan pengalaman menyertai pertandingan itu yang ingin saya kongsi.

Ia berkenaan kata-kata aluan, pembuka kata, yang sering diucap bagi menghormati hakim. Biasanya kami mulakan dengan ‘para hakim yang arif lagi bijaksana’. Setulusnya, ketika melafazkan ungkapan berkenaan, saya tidak dapat menjiwai sifat hakim yang mengadili pertandingan itu.

Maklum sajalah, sebagai pelajar sekolah rendah pemahaman saya berkaitan frasa ‘adil dan bijaksana’ itu tidaklah menyeluruh. Saya juga tidak begitu mengerti aspek yang perlu diberi perhatian dalam menentukan kriteria hakim yang ‘arif dan bijaksana’ itu. 

Ironinya, walaupun dalam pertandingan syarahan pada peringkat sekolah rendah kita memerlukan hakim yang arif dan bijaksana, tentulah juga kita memerlukan hakim yang arif dan bijaksana dalam mahkamah. 

Kedudukan penting badan kehakiman dalam sistem pentadbiran keadilan negara memang tidak dapat kita nafikan. Semua kita mahukan hakim adil, arif dan bijaksana. 

Mahkamah, seperti mana pembaca ketahui adalah tempat untuk setiap warga mendapatkan keadilan sekiranya berlaku pertelingkahan, sama ada berkaitan hal sivil atau jenayah. Maka sudah tentulah kriteria hakim yang adil dan bijaksana itu perlu wujud. 

Dalam konteks ini, kriteria arif dan bijaksana itu bukan hanya membabitkan ilmu pengetahuan hakim mengenai hal perundangan, iaitu undang-undang yang diterima pakai. Lebih luas lagi, hakim hendaklah arif dan bijaksana dalam mengendalikan kes atau menepis campur tangan pihak tidak berkaitan. Maka dengan itu wujudlah pelbagai etika berkaitan tingkah laku hakim. 

Selain etika tertentu, dalam membantu hakim mencapai tahap ‘arif dan bijaksana’ yang luas ini, sudah tentu hakim harus dibekalkan dengan prasarana undang-undang. Ini bagi membolehkan mereka membuat keputusan berkaitan hal perundangan tanpa diperalat oleh institusi lain. Dalam kata lain, kita memerlukan undang-undang jelas mengenai kuasa hakim secara spesifik atau kuasa badan kehakiman secara umum. 

Dalam sebuah negara demokrasi yang mengamalkan pengasingan kuasa (sama ada secara penuh atau pun tidak), kebebasan badan kehakiman adalah kriteria utama. 

Pengasingan kuasa secara ringkas bermaksud tiga institusi kerajaan (dikenali juga sebagai organ kerajaan), iaitu badan pentadbiran (seperti jemaah menteri), badan perundangan (iaitu Parlimen atau Dewan Undangan Negeri) dan badan kehakiman (mahkamah) mempunyai kuasa dan sekatan kuasa yang tertentu. Hal ini kebiasaannya dimaktubkan di dalam Perlembagaan Persekutuan. 

Setiap satu institusi melaksanakan tugas masing-masing dan institusi terbabit boleh menyemak dan mengimbangi tindakan institusi lain. Tujuan utama pengasingan kuasa ialah untuk menggalakkan semak dan imbang supaya kuasa institusi tidak disalah guna. 

Kebebasan kehakiman pula secara umum memberi erti hakim hendaklah bebas daripada pihak pentadbiran dan juga pihak perundangan. Dalam konsep semak dan imbang ini, bagi memastikan kebebasan badan kehakiman, semakan dan imbangan terhadap badan kehakiman adalah pada paras minimum. 

Sebagai contoh, pihak perundangan tidak boleh secara melulu membincangkan tingkah laku hakim dalam perdebatan Parlimen. Begitu juga dengan gaji hakim. 
Parlimen umumnya tidak boleh meminda gaji hakim sehingga menyebabkan kerugian kepada hakim. Prinsip ini dibolehkan bagi memberikan kebebasan kepada hakim untuk menjalankan tugas mereka tanpa takut. 

Dalam aspek lain, kuasa kehakiman hendaklah diletak hak kepada badan kehakiman. Institusi lain tidak boleh menjalankan kuasa kehakiman. Sebelum Jun 1988, kita mempunyai peruntukan khusus yang meletak hak kuasa kehakiman kepada mahkamah (Perkara 121(1)). 

Perkara berkenaan bagaimanapun sudah dipinda. Kita sudah tidak mempunyai peruntukan khusus mengenai letak hak kuasa kehakiman. Pindaan 1988 mengundang banyak spekulasi. 

Mutakhir, hal ini disebut oleh seorang bekas Ketua Hakim Negara dan saya terpanggil untuk berkongsi pendapat di sini. 

Kita harus tahu bahawa ada keputusan kes yang menegaskan mengenai pengekalan kuasa kehakiman kepada mahkamah walaupun perkara berkaitan dimansuhkan. Namun, satu keputusan kes lain memberi gambaran bahawa kuasa kehakiman boleh dilaksanakan oleh pihak lain. 

Ada juga satu keputusan lain yang menggambarkan kemungkinan negatif hasil ketiadaan peruntukan khusus di dalam Perlembagaan mengenai letak hak kuasa kehakiman. 

Jika diteliti keputusan mahkamah dan perdebatan akademik, pindaan 1988 yang memansuhkan letak hak kuasa kehakiman memberi implikasi negatif kepada badan kehakiman. Mungkin cadangan untuk mengembalikan peruntukan asal Perkara 121(1) ke dalam Perlembagaan Persekutuan adalah perubahan yang dialu-alukan oleh banyak pihak dan boleh mendatangkan kebaikan kepada reputasi kebebasan badan kehakiman. 

Walaupun mengembalikan kuasa kehakiman ini tidak dapat menutup mulut mereka yang tidak berpuas hati, prinsip kebebasan badan kehakiman perlu diberi perhatian sewajarnya. Namun, kuasa kehakiman mahkamah syariah dan mahkamah anak negeri tidak boleh diabaikan. 

Penulis ialah Prof Madya di Kulliyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

3 comments:

  1. MCM MNA LA NK ADIL KLU KEPUTUSAN TAK MEMIHAK FUCKATAN. KLU DIORANG X NK TERIMA KEPUTUSAN MAHKAMAH BEK JGN JADI MANUSIA. JD BEROK DOK UTAN. HAAA KT UTAN XDE UNDANG2 KEHKEHKEHKEH

    ReplyDelete
  2. Untuk makluman Ass-so-shit Pro-PISS-Her Shame-ar-you, yang telah mengambil kuasa2 hakim dan memusnahkan integriti kehakiman Msia adalah PM MahaFiraun yg UMNgOk Be-eNd dan Arif Hindu anak Omar ni agung2kan dulu.

    Kuasa Raja2 pun lagi kan ditarik ini kan pulak sistem kehakiman... Pi tanya kat MahaFiraun, sape punye angkara!

    ReplyDelete
  3. kesian ko langsi.kkau tak faham apa yang ditulis dan iosunya, kesian. kah kah kah

    ReplyDelete

PETA PELAYAR