FOLLOWERS

Saturday, 3 July 2010

MALAYAN LAW JOURNAL : KES MENGENAI JAMINAN / KUASA BUDI BICARA YAA HAKIM !


[1993] 2 MLJ 381
Soo Shiok Liong v Pendakwa Raya
Case Details:

Malaysia HIGH COURT (PENANG) — CRIMINAL APPLICATION NO
44–16–93

Judges VINCENT NG JC

Date 12 APRIL 1993
Citation [1993] 2 MLJ 381



Catchwords:

Criminal Procedure — Bail — Quantum of bail — Factors to be considered when deciding on quantum
Criminal Procedure — Bail — Quantum of bail — Discretionary in nature — Trial judge did not apply mind to primary consideration when granting bail — Whether superior court could interfere

Bahasa Malaysia Summary:

Pemohon telah didakwa di mahkamah sesyen di bawah s 108 Kanun Keseksaan (FMS Bab 45) atas tuduhan bersubahat dalam melakukan 13 kesalahan pecah amanah jenayah meliputi sejumlah RM5 juta. Hakim mahkamah sesyen telah menetapkan jaminan pada RM1 juta dengan dua penjamin tetapi tidak merakamkan alasannya bagi menetapkan jumlah jaminan itu seperti yang telah ditetapkan. Pemohon telah ditahan kerana beliau tidak dapat menyediakan jaminan itu. Beliau telah memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk pengurangan jumlah jaminan itu.

Permohonan itu disokong, antara lainnya, oleh satu sijil kecemasan yang dikeluarkan oleh peguambela pemohon. Di dalam sijil itu, peguambela menyatakan salah satu daripada alasan kecemasan sebagai kesihatan pemohon yang tidak baik dan bahawa sebarang kelengahan dalam pembebasannya akan menjejaskan kesihatannya. Kenyataan ini tidak ditentusahkan oleh keterangan afidavit daripada pemohon pada masa apabila permohonan itu mula-mula patut didengar, biarpun beliau mengatakan di dalam satu afidavit kemudiannya bahawa kesihatannya telah terjejas akibat perlakuan yang telah diterimanya semasa beliau berada dalam tahanan. Permohonan itu juga disokong oleh satu afidavit yang diakusah oleh pemohon dalam mana beliau menyatakan dengan palsu bahawa beliau tidak pernah didakwa untuk sebarang kesalahan yang meliputi ketidakjujuran, penipuan atau pecah amanah.

Diputuskan:
Diputuskan, mengurangkan jumlah jaminan itu ke RM 600,000:
(1) Dalam semua kes di mana bidang kuasa adalah dalam bentuk budibicara, Mahkamah Tinggi akan bertindak secara perlahan sebelum bercampur tangan melainkan ianya kelihatan bahawa hakim di pendengaran tahap pertama, ketika membuat keputusannya, telah bertindak atas prinsip yang salah. Di dalam kes ini, nota-nota tidak menunjukkan sebarang prinsip, jika ada, yang telah dipakai oleh hakim itu.

(2) Hakim yang arif tidak memberikan petanda bahawa dalam menetapkan jumlah jaminan itu beliau telah mengarahkan fikirannya kepada pertimbangan utama dalam memutuskan isu itu, iaitu untuk menjamin kehadiran pemohon di perbicaraan, dan khususnya bahawa jumlah yang dikenakan tidaklah keterlaluan tetapi harus mencukupi untuk menjamin kehadiran pemohon. Lantaran itu, jumlah RM1 juta yang ditetapkan oleh hakim yang arif nampaknya satu jumlah yang ditetapkan secara sebarangan dan adalah bertentangan dengan kehendak di bawah peruntukan s 389 Kanun Acara Jenayah (FMS Bab 6) (‘Kanun itu’).

(3) Faktor-faktor yang patut dipertimbangkan ketika menetapkan jumlah jaminan adalah: (a) jenis atau berapa teruk kesalahan itu dan berapa teruk serta takat hukuman yang akan dibawa oleh satu sabitan; (b) jumlah jaminan haruslah lebih tinggi dalam kes kesalahan-kesalahan yang tidak boleh dijamin; (c) jumlah yang terlalu tinggi boleh menjejaskan tujuan jaminan kerana si tertuduh mungkin menghadapi kesusahan dalam mendapatkan seorang penjamin yang akan diterima oleh mahkamah; (d) si tertuduh dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah; (e) sama ada terdapat apa-apa kemungkinan bahawa pemohon akan melarikan diri jika jumlah jaminan adalah terlalu rendah; (f) jaminan tidak mempunyai tujuan menghukum tetapi cuma bertujuan menjamin kehadiran si tertuduh; (g) penyerahan pasport antarabangsa si tertuduh patut membawa satu pengurangan jumlah jaminan; (h) hakikat bahawa pemohon telah menyerahkan dirinya di balai polis dan telah bekerjasama dengan polis juga patut mengurangkan jumlah jaminan; (i) jumlah jaminan tidak patut ditetapkan begitu tinggi sehingga membawa kesan memenjarakan si tertuduh sebelum beliau disabitkan atas kesalahan itu; dan (j) penggunaan fikiran mahkamah dalam mempertimbangkan faktor-faktor di atas patut ditunjukkan di dalam nota hakim itu. Di sini, mahkamah berpendapat bahawa jaminan sebanyak RM1 juta mempunyai kesan malang menghukum pemohon sebelum beliau telah dibuktikan bersalah atas tuduhan terhadapnya.

Per curiam:

(1) Memandangkan yang ianya telah menjadi amalan yang umum pada masa ini bagi peguambela memfailkan sijil kecemasan dalam kes-kes jenayah dan sivil tanpa alasan yang mencukupi, mahkamah sepatutnya harus berwas-was menentukan kebenaran dakwaan kecemasan oleh peguambela. Kemudahan itu telah disalahgunakan oleh peguambela dalam kes ini.

(2) Walaupun tidak ada obligasi yang diletakkan ke atas peguambela, semasa menyediakan afidavit, untuk menentukan kebenaran kenyataan yang diakusah oleh anak guaman mereka dalam afidavit itu, namun ianya adalah tugas peguambela, sebagai pegawai mahkamah, untuk menahan daripada menjadi pihak kepada pemasukan dalam afidavit itu kenyataan-kenyataan yang boleh diketahui oleh mereka sebagai tidak benar akibat kedudukan mereka. Kelakuan sedemikian oleh peguambela adalah tidak jujur dan tidak berpatutan mengikut maksud sekatan yang terkandung di dalam s 93(2)(6) Akta Profesion Undang-Undang 1976.]

Penghuni Gua : Semuga paparan ini memberi menafaat kepada semua pembaca dan pelajar . Tq

1 comment:

PETA PELAYAR