ULASAN Isu hudud dalam negara kita
sering kali dipolitikkan atas pelbagai kepentingan. Umno dalam rekodnya tidak
bersetuju cadangan hudud yang PAS bawa.
Ketidaksetujuan itu boleh
ditafsirkan atas pelbagai alasan; ada yang munasabah dan ada yang tidak
munasabah. Hari ini nampaknya Umno macam mula berubah.
PAS sejak dahulu
menyebut tentang perlaksanaan hudud sehingga kelihatan pada mata umum PAS dan
hudud bagaikan isi dan kulit. Seolah-olah matlamat utama kenegaraan PAS ialah
menegakkan hudud.
Ini agak menarik, di kala kebanyakan gerakan Islam di
seluruh dunia tidak lagi memperkatakan tentang undang-undang jenayah hudud, PAS
masih.
Gerakan-gerakan Islam yang mendapat kerajaan di Mesir, HAMAS di
Palestin, di Libya dan Tunisia meninggalkan tajuk hudud buat masa ini, tetapi
PAS terus dengan slogannya.
Pertikai Hukum
Saya meyakini keikhlasan YAB TG Nik Abd Aziz Nik Mat. Saya banyak
kali bersembang dengan beliau secara peribadi, ternyata hasrat Islam beliau
begitu mendalam. Islam itu cuba dilahirkan dalam amalan peribadinya sehingga
kepada usaha-usaha politiknya.
Namun, tidak semestinya hal yang sama
ada dalam diri setiap pembicara atas nama hudud. Sebahagian kadang-kala
mengelirukan pihak lain terutama non-Muslim dalam negara kita.
Saya
mencadangkan pembaca yang membaca tulisan ini turut membaca artikel saya "Hudud
dan Beberapa Gambaran Salah".
Kita tidak boleh mempertikaikan hukum
Allah, tetapi kita boleh mempertikaikan cara perlaksanaan dan pentafsiran hukum
berkenaan oleh manusia. Ini seperti kita tidak boleh mempertikaikan syariat
haji, tetapi kita boleh mempertikaikan amalan haji individu tertentu jika ia
tidak bertepatan.
Kita tidak boleh mempertikaikan sistem muamalat
al-Quran dan Sunnah, tetapi kita boleh mempertikaikan bank, pajak gadai,
syarikat, koperasi dan lain-lain yang menggunakan nama Islam dalam operasi
mereka jika kita dapati ia tidak menepati semangat Islam yang
sebenar.
Demikian kita tidak boleh mempertikaikan syariat hudud, tetapi
kita boleh mempertikaikan perlaksanaan oleh pihak tertentu apabila kita dapati
ia tidak memenuhi semangat keadilan yang dikehendaki oleh Allah dan rasul-Nya.
Namun, tujuannya hendaklah untuk memelihara nama Islam agar tidak
disalahgunakan atau disalahfahami.
Sukar
Sesuatu yang wajar diakui
bahawa bukannya mudah untuk melaksanakan hudud di zaman kini, terutama di negara
kita yang mempunyai persekitaran yang sangat berbeza dibanding hari-hari awal
hudud dilaksanakan.
Dalam masyarakat seperti kita, melaksanakan hudud
tanpa penelitian bagaikan memasang pintu istana untuk sebuah rumah buruk. Ia
bukan menambahkan kecantikan, sebaliknya mungkin merobohkan rumah yang buruk itu
dan merosakkan pintu yang cantik dan berharga itu.
Tokoh ilmuwan Muslim
yang terkenal Dr Mohamed Salim el-Awa dalam bukunya Punishment in Islamic
Law menyatakan bahawa dari penelitian beliau bahawa belum sempat dua kurun
selepas kewafatan Nabi SAW hudud sudah tidak dilaksanakan dalam dunia Muslim.
Sejak zaman Abbasiyah lagi penekanan
perlaksanaan hudud sudah tiada. Ini disebabkan kerangka masyarakat seperti mana
waktu hudud dilaksana pada awal sudah lagi.
Dalam The Oxford Encyclopedia of the Islamic World, John
L Esposito menyebut bahawa sekalipun hudud dijadikan undang-undang di beberapa
negara tetapi tidak dilaksanakan, ini seperti di Libya dan Pakistan.
Sementara di Sudan dan Utara Nigeria hanya dilaksanakan beberap tahun
selepas diperkenalkan, kemudian dihentikan. Pada zaman kini hanya Arab Saudi
menjadi contoh dalam perlaksanaan hudud.
Ada pendapat menyebut bahawa
penulisan para pengembara silam yang melawat pelbagai wilayah Islam tidak pernah
melaporkan perlaksanaan hudud, ini seakan menunjukkan semacam ia terhenti.
Sementara itu tokoh seperti Prof Tariq Ramadan dalam artikelnya "An
International Call for Moratorium on Corporal Punishment" pula menyeru
kepada moratorium (penangguhan) hudud disebabkan keadaan dunia yang berubah.
Demikian juga tokoh fikah yang terkenal as-Syeikh Mustafa al-Zarqa dalam
Fatawa Mustafa al-Zarq meminta agar hukuman rejam tidak dilaksanakan di
zaman kini kerana itu akan menjadi fitnah kepada Islam.
Tiga golongan
Maka, mereka yang enggan menerima perlaksanaan hudud itu ada tiga
golongan; pertama, mereka yang membenci hudud itu sendiri dan menganggapnya
zalim dan buruk. Maka golongan ini rosak akidahnya.
Kedua, mereka yang
tidak menolak hudud tetapi menolak tafsiran perincian hudud yang dibuat oleh
pihak tertentu. Ini kerana nas-nas hudud dalam al-Quran dan hadis umum,
perinciannya adalah ijtihad ataupun tafsiran para pengkaji.
Sebagai
contoh, Prof Dr Hashim Kamali seorang sarjana Muslim yang terkenal telah menulis
mengkritik enakmen hudud Kelantan dan Terengganu. Sesiapa yang berminat boleh
membaca tulisan beliau ‘Hukuman Dalam Undang-Undang Islam: Suatu Penelitian
Terhadap Hukum Hudud Kelantan dan Terengganu".
Golongan ini tidak boleh
dianggap mengkritik Islam sebaliknya mengkritik tafsiran pihak tertentu tentang
hudud. Golongan ketiga, mereka tidak menolak hudud tetapi menyatakan keadaan
hari ini ataupun masyarakat yang sedang ada tidak kondusif untuk dilaksanakan
hudud.
Dalam erti kata lain, persekitaran yang membolehkan hudud itu
berfungsi dengan adil tidak wujud. Maka hudud mestilah ditangguhkan sehingga
suasana yang sesuai itu muncul. Ini seperti kita menyatakan haji itu wajib
tetapi oleh kerana kewangan tidak cukup, ataupun perjalanan tidak aman, maka
hendaklah ditangguhkan.
Jika hudud dilaksanakan juga ia tidak akan
mencapai tujuan yang Allah kehendaki. Golongan ketiga tidak menolak hudud tetapi
menyatakan bahawa dari segi maqasidnya ia tidak wajar dilaksanakan pada waktu
ini sebelum suasana yang kondusif muncul.
Tujuan kenegaraan
Hakikatnya tujuan kenegaraan dalam Islam bukanlah untuk hudud.
Tujuan kenegaraan lebih luas dari itu. Pemerintah menegak social
justice ataupun keadilan masyarakat dalam segala aspek. Hudud hanyalah
mekanisme dalam mengatasi jenayah tertentu.
Bahkan
perkataan ‘hudud Allah' dalam al-Quran tidaklah merujuk kepada undang-undang
jenayah sebaliknya dalam Surah al-Baqarah ayat 187 merujuk kepada hukum-hakam
puasa, Surah al-Baqarah ayat 229-230 merujuk kepada hukum-hakam talak, Surah
an-Nisa ayat 13 tentang harta pusaka, Surah al-Mujadilah ayat 4 tentang hukum
zihar, Surah at-Talaq ayat 1 tentang edah talak.
Ertinya perkataan hudud
dalam al-Quran secara peraturan Allah bukan hanya tertumpu kepada hukum jenayah
sahaja.
Menjadikan politik tertumpu kepada hudud bukan satu kebijaksanaan.
Tidak dari segi maqasid agama, tidak juga dari segi kepentingan politik. Tujuan
politik jauh lebih luas dari hanya membincang cara memotong tangan pencuri.
Sebelum pencuri dipotong tangan, politik sepatutnya membincang bagaimana
memastikan tiada alasan untuk sesiapa pun mencuri disebabkan keadilan dan
kebajikan negara. Hendak dipastikan semua warga sama di hadapan undang-undang.
Tidak boleh ada pihak yang boleh bermaharajalela yang jika mereka
didakwa, yang membawa kes pula akan dikenakan di bawah akta hasutan.
Jangan sampai rakyat yang mencuri di pasar raya dipotong tangan, tapi
pembesar yang mencuri hutan balak negara dibiarkan.
Akhirnya, saya ingin memetik apa yang al-Imam Ibn Qayyim
al-Jauziyyah (wafat 751H) tentang politik dan keadilan dalam al-Turuq
al-Hukmiyyah fi al-Siyasah al-Shar'iyyah:
"Berkata al-Shafi'i: Tiada
siasah (politik) melainkan apa yang menepati syarak. Kata Ibn ‘Aqil: Siasah itu
yang merupakan tindakan yang mana dengannya manusia lebih dekat kepada kebaikan
dan jauh dari kerosakan, sekalipun ia tidak ditetapkan oleh Rasul dan diturunkan
wahyu mengenainya.
"Jika engkau maksudkan dengan perkataanmu 'Tiada
siasah melainkan apa yang menepati syarak' iaitu tidak menyanggahi apa yang
syarak sebut, maka itu betul. Jika engkau maksudkan tiada siasah melainkan apa
yang syarak sebut maka itu salah. Itu juga menyalahkan para sahabah.
"Apabila zahirnya tanda-tanda keadilan dan wajahnya memancar sinar dalam
apa jalan sekalipun maka di situlah syariat Allah dan agama-Nya. Allah SWT lebih
mengetahui, lebih bijaksana dan lebih adil untuk hanya membataskan jalan-jalan
keadilan dan tanda-tanda serta alamat-alamatnya dengan sesuatu kemudian
menafikan apa yang lebih jelas daripada itu, lebih kuat dalilnya, lebih nyata
tandanya, lalu dia tidak menerima dan menilai kewujudannya dan menegakkan
tuntutannya.
"Bahkan Allah SWT telah menjelaskan bahawa apa yang Dia
syariatkan mengenai jalan-jalan (hukum agama) tujuannya untuk menegakkan
keadilan dalam kalangan hamba-hamba-Nya dan membolehkan manusia menegakkan
keadilan. Apa-apa saja jalan yang dapat menghasilkan keadilan dan kesaksamaan
maka itu dari agama ini, dan ia tidak menyanggahinya.
Tidak mungkin
untuk dikatakan bahawa siasah yang adil itu menyanggahi apa yang ungkapkan oleh
syarak, sebaliknya ia menepatinya. Bahkan siasah yang adil itu satu juzuk dari
syarak.
"Kita menamakannya siasah mengikut istilah mereka padahal
sebenarnya ia adalah keadilan Allah dan rasul-Nya yang zahir menerusi
tanda-tanda dan bukti-bukti tersebut."
PROF MADYA DATUK DR MOHD ASRI ZAINUL ABIDIN bekas mufti Perlis.
Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya melambangkang
pendirian rasmi Malaysiakini.
No comments:
Post a Comment