ISU moral seringkali melingkari seorang pemimpin yang diberi tanggungjawab dan amanah untuk memimpin negara dan masyarakat. Jika moral dan latar belakang seseorang pemimpin banyak dibayangi kisah hitam dan skandal, maka masyarakat sendiri kebanyakannya akan menolak untuk menerima mereka sebagai pemimpin.
Memang benar tidak ada manusia yang sempurna di dunia ini apatah lagi pada zaman moden sekarang hampir kesemua kita didedahkan secara terbuka dan rambang mata tentang segala perlakuan yang tidak elok sama ada dari sudut agama mahupun budaya.
Sesungguhnya kita sangat bernasib baik kehidupan di negara ini masih lagi dibatasi dengan kepercayaan agama yang menebal apatah lagi norma-norma ketimuran masih lagi utuh di jiwa kebanyakan masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum.
Namun di Barat kita sedia maklum tentang kehidupan dan kepercayaan mereka yang semakin terhakis dari nilai keagamaan, semuanya diakibatkan dari tuntutan cara hidup moden yang memungkinkan mereka berbuat apa saja hanya berlandaskan akal dan nafsu.
Maka kita boleh saksikan sendiri bagaimana mereka semakin menolak kepentingan agama dalam kehidupan, hilang kepercayaan kepada institusi perkahwinan dan lebih menakutkan hubungan homoseksual dibenarkan atas alasan kebebasan dan hak asasi manusia.
Malah lebih malang lagi ada pemimpin yang sepatutnya menunjukkan contoh baik serta terpuji kepada masyarakatnya memilih berbangga untuk memberitahu kepada umum bahawa mereka adalah seorang homoseksual.
Bercerita mengenai pemimpin homoseksual satu ketika dahulu kebanyakan mereka ini tidak begitu berani mendedahkan citarasa seks luar tabii mereka. Malah satu ketika dahulu Britain pernah digegarkan dengan skandal seks homoseksual apabila Setiausaha Wales, Ron Davies menjadi menteri pertama dalam kabinet Tony Blair yang meletakkan jawatan. Dalam kejadian yang berlaku pada 1998, akhbar-akhbar melaporkan dia dirompak oleh seorang lelaki yang tidak pernah ditemuinya di sebuah taman di Clapham Common di selatan London.
Taman tersebut amat terkenal sebagai tempat pertemuan lelaki-lelaki homoseksual.
Davies yang sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan berusia 13 tahun telah diberitakan sebagai biseksual dan menjadi khabar angin di Wales sejak beberapa tahun sebelum itu. Ini adalah skandal pertama melanda Kabinet Perdana Menteri, Tony Blair, sejak mengambil alih kuasa pada Mei 1997.
Dalam surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri dan kemudian di televisyen, Davies berkata beliau bersalah kerana tersilap pertimbangan. Cerita Davies dikatakan tidak masuk akal, bermula daripada pertemuan dengan lelaki tidak dikenali di Clapham Common dan berakhir dengan drama rompakan bersenjata serta kecurian keretanya.
Kejadian itu menimbulkan lebih banyak persoalan yang tidak berjawab seperti kenapa Davies bersiar seorang diri di taman dalam cuaca sejuk, basah dan berangin pada tengah malam. Malah jika benar kenapa dia perlu meletak jawatan jika hanya menjadi mangsa jenayah?
Perdebatan
Pendedahan skandal itu telah membuka ruang perdebatan mengenai peranan ahli-ahli politik homoseksual dalam kerajaan. Akhbar tabloid The Sun telah menuntut Blair mendedahkan bilangan sebenar lelaki homoseksual dalam kerajaannya dengan tajuk muka depan, "Adakah kita diperintah oleh kelompok gay Mafia?"
Akhbar itu mendakwa satu pertiga daripada anggota kabinet Blair adalah pengamal homoseksual. The Sun membuat desakan tersebut selepas Menteri Pertanian, Nick Brown terpaksa mengakui dirinya juga adalah seorang gay. Brown terpaksa mendedahkan perkara itu setelah akhbar News of the World mengancam untuk mendedahkan secara terperinci hubungan seksnya dengan seorang lelaki.
Salah seorang anggota kabinet yang turut dinamakan sebagai pengamal homoseksual ialah Setiausaha Kebudayaan, Chris Smith dan Peter Mandelson, sekutu rapat Blair yang menjawat jawatan Setiausaha Perdagangan dan Industri.
Telah terbuka rahsia sebelum Parti Buruh memenangi pilihan raya umum 1997 Mandelson mempunyai kecenderungan seks di luar tabii. Tetapi dia sentiasa cuba memisahkan kehidupan peribadinya daripada tugas sebagai ahli politik dan anggota kabinet kerajaan British.
Masalah
Menurut The Sun kerajaan Blair akan mengalami masalah rumit jika beliau tidak memberitahu perkara yang sebenar. Adakah Britain ditadbir oleh ahli politik, peguam, pembesar istana, tokoh televisyen malah pegawai polis daripada golongan mafia gay?
''Orang awam mempunyai hak untuk mengetahui berapa ramai homoseks yang menduduki jawatan tertinggi. Apa yang dibimbangkan ialah penglibatan rapat mereka dengan pemimpin lelaki dunia berdasarkan kepentingan peribadi," lapor akhbar berkenaan.
Hipokrasi seorang Gabenor New Jersey, James McGreevey yang berselindung di sebalik kebahagiaan hidup berumah tangga terbongkar apabila dia mengumumkan peletakan jawatan pada Ogos 2004.
Peristiwa yang digelar "menggugurkan bom politik" oleh akhbar Amerika Syarikat (AS) kerana McGreevey mendedahkan diri sebagai seorang gay dan mempunyai hubungan dengan beberapa lelaki walaupun telah berkahwin.
Ketika pengumuman yang turut disertai isterinya, Dina, lelaki yang berusia 47 tahun ketika itu mengakui mempunyai masalah dengan seksualitinya dan ia telah bermula sejak dari kecil.
"Kebenarannya saya merupakan seorang gay Amerika. Namun perbuatan yang telah saya lakukan ini adalah salah, bodoh dan tidak boleh dimaafkan," katanya yang mewakili Parti Demokrat.
Peletakan jawatannya adalah susulan dari saman yang dikeluarkan oleh bekas pembantu keselamatan, Golan Cipel.McGreevey mempunyai seorang anak perempuan selain turut mempunyai seorang anak perempuan dari perkahwinan terdahulu.
Cerita pemimpin yang terlibat dalam kegiatan homoseksual ini tidak akan lengkap jika kisah bekas Presiden pertama Zimbabwe Canaan Sodindo Banana dimuatkan. Dia yang memegang jawatan tersebut dari April 1980 hingga Disember 1987 merupakan seorang paderi Kristian terkenal namun akhirnya rekod baiknya ini musnah setelah didakwa meliwat berikutan pertuduhan yang dilakukan ketika perbicaraan kes pembunuhan pegawai peribadinya Jefta Dube.
Ketika hayatnya dia bertanggung jawab menyatukan dua parti politik sekali gus membawa kestabilan politik selain mengetuai jabatan agama di Universiti Zimbabwe. Namun akhirnya Banana dituduh terlibat dalam penyalahgunaan kuasa serta kegiatan homoseksual pada 1998.
Banana kemudiannya didapati bersalah atas 11 kesalahan meliwat, cubaan meliwat dan berkelakuan tidak senonoh. Dia kemudiannya melarikan diri ke Afrika Selatan namun diyakinkan oleh Nelson Mandela supaya menjalani hukuman. Banana dijatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun tetapi dipendekkan kepada hanya enam bulan sebelum dibebaskan pada Januari 2001. Dia akhirnya meninggal dunia akibat kanser namun tetap tidak mengakui terlibat dalam semua pertuduhan dan menganggap apa yang berlaku sebagai cubaan menjatuhkannya walaupun bukti yang ditunjukkan sangat jelas.
Kisah pemimpin homoseksual ini bukanlah sesuatu yang baru namun sejak dahulu lagi perlakuan sebegini sememangnya tidak diterima oleh masyarakat sebagai sebahagian dari norma kehidupan bermasyarakat. Namun kini pemimpin homoseksual dikatakan semakin mendapat tempat di Barat walaupun secara majoritinya masyarakat mereka sendiri masih tidak menerimanya sebagai sesuatu yang dibenarkan.
Hanya beberapa kelompok pejuang hak asasi homoseksual yang serius memperjuangkan perkara ini dan mereka ini pula mendapat sokongan beberapa pihak dan orang berpengaruh maka mereka ini dilihat sebagai sangat dominan.
Sebenarnya majoriti penduduk di barat dan kebanyakan penduduk dunia masih tidak boleh menerima kegiatan sangat tidak bermoral ini namun mereka seolah-olah dipaksa menerima dengan hati yang yang tidak rela bahawa kelompok homoseksual perlu diterima seperti mana pasangan lelaki dan wanita.
Walaupun kebanyakan mereka ini berasa jijik dengan apa yang berlaku namun kerana terlalu berlandaskan hak asasi manusia serta sokongan beberapa pemimpin bacul yang terlalu takut kehilangan sokongan maka kegiatan homoseksual ini semakin dilihat menjadi-jadi.
Maka kita sebagai manusia yang dianugerahkan tuhan dengan akal dan ilmu pastinya boleh membuat membuat penilaian sendiri apakah pemimpin sebegini layak untuk dijadikan pemimpin untuk membina sebuah negara.
Penghuni Gua : Inilah kehidupan dan perangan pemimpin homoseksual ya ng pandai menyorok dan melindungi kehidupan mereka yang aneh dan berlainan dari orang lain buat sementara. Itu pun ramai orang di Malaysia ini masih rasa pelik dan tidak percaya perkara ini berlaku juga di Malaysia.
2. Mungkin fikiran mereka terlalu beku dan taksub dengan seseorang pemimpin dan fikiran mereka yang merelakan ia dibelenggu. Kesian...............
No comments:
Post a Comment