FOLLOWERS

Tuesday 21 September 2010

OPS SIKAP : TAHNIAH PDRM DAN SEMUA PENGUATKUASA !!!!!


PROF DR ABD RAHIM MD NOR
Professor of Public Transport
Faculty of Social Science and Humanities
Universiti Kebangsaan Malaysia


Mentafsir 10 tahun Ops Sikap
Oleh ABD. RAHIM MD. NOR


SEHINGGA musim perayaan terakhir minggu lepas, sebanyak 22 Ops Sikap telah dilaksanakan di negara ini. Ops Sikap yang mula diperkenalkan pada hujung tahun 2001 ialah antara inisiatif terbesar yang pernah dilaksanakan melibatkan ribuan anggota penguat kuasa dan perbelanjaan jutaan ringgit.

Data rasmi yang telah saya analisis menunjukkan kejayaan langkah-langkah mengurangkan kematian di jalan raya yang amat ketara di negara ini, khususnya sejak Ops Sikap dimulakan.
Kajian saya menggunakan kaedah regresi multivariat dan dengan mengambil kira jumlah kenderaan, jumlah pemandu, jumlah penduduk dan panjang jalan, menunjukkan sekiranya program Ops Sikap tidak dilaksanakan di Malaysia, jumlah kematian tahunan sudah pasti jauh lebih tinggi daripada apa yang ada sekarang.

Misalnya, pada tahun lepas, negara kita mencatatkan 6,745 kematian di jalan raya untuk setahun (2009), pada hal sekiranya tiada Ops Sikap dan langkah-langkah lain, bilangan kematian tahun 2009 dijangkakan 9,116.

Kematian yang dijangkakan pada tahun 2005, 2006, 2007 dan 2008 ialah 7,684, 7,775, 8,293 dan 8,845 masing-masingnya, tetapi usaha-usaha pihak berwajib termasuk program Ops Sikap telah mengurangkan kematian itu kepada 6,188, 6,287, 6,282 dan 6,527 bagi siri tahun-tahun yang sama (lihat Jadual 1).

Jadual 1

Bagaimana pun, rakyat Malaysia tidak sewajarnya selesa dengan angka-angka ini. Kalau kesedaran telah menyeluruh, sebenarnya kita boleh mengurangkan lagi jumlah kematian ini, seperti negara-negara maju di Eropah dan Jepun.

Ops Sikap yang berakhir baru-baru ini seolah-olah tidak dipedulikan oleh segolongan pemandu kenderaan bermotor di negara ini. Data rasmi menunjukkan terdapat 196 peristiwa kemalangan jalan raya yang melibatkan kematian, dan seramai 227 insan telah terkorban sepanjang kempen Ops Sikap ke-22 yang berakhir minggu lepas.

Dalam pada ramai yang bergembira berhari raya, setiap tahun banyak juga keluarga yang berendam air mata kerana kehilangan suami, isteri, anak atau ahli keluarga terdekat yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya.

Rendang dan ketupat yang selalunya menjadi hidangan paling enak di pagi raya, bertukar menjadi hambar dan tawar kerana kesedihan telah membunuh selera makan seluruh keluarga. Jamuan rumah terbuka raya bertukar menjadi majlis tahlil dan kenduri arwah.
Tiada siapa yang perlu dipersalahkan kecuali si pemandu kenderaan yang tidak mematuhi undang-undang dan orang-orang sekitarnya yang tidak menasihati. Negara kita mempunyai jaringan lebuh raya antara yang terbaik di dunia, berlorong lebar, lengkap dengan papan tanda, dan diceriakan pula oleh barisan pokok bunga dan pokok hiasan lain sepanjang laluan.

Kalau penat dan mengantuk boleh singgah di mana-mana kawasan rehat yang lengkap dengan kemudahan termasuk surau dan calet. Tidak cukup dengan itu, dalam musim perayaan polis ditempatkan di sepanjang lebuh raya untuk memantau pergerakan trafik yang sepatutnya menimbulkan kesedaran kepada pemandu bahawa maut menanti kalau tidak berhati-hati.
Di luar bandar, di mana terdapat banyak jaringan jalan negeri, jalan memang agak lebih berbahaya tetapi banyak yang telah dilebarkan dan diluruskan untuk mengurangkan risiko.

Garisan putih dan kuning pada jalan di kawasan berbahaya, sepatutnya sudah mencukupi untuk mengingatkan pemandu supaya sentiasa mematuhi peraturan untuk mengelak musibah.

Tahun lepas, seramai 6,745 orang terkorban di lebuh raya di negara kita, memberikan purata kematian sekitar 18 orang sehari. Ini bermakna, antara subuh pagi ini dengan pagi esok, akan ada 18 orang yang mati sia-sia di jalan raya.

Angka ini tidak termasuk ratusan sehari yang cedera parah dan hilang upaya, cedera ringan dan terpaksa di rawat di hospital beberapa hari, dan hilang harta benda yang jutaan ringgit jumlahnya.

Apa yang menghairankan ialah masih ramai yang tidak insaf walau pun mereka tahu dan faham semua angka ini. Sikap yang diambil bagi kebanyakan pemandu, terutamanya motosikal, ialah bahawa dia tidak akan mengalami kemalangan; yang terlibat ialah orang lain.

Persepsi masyarakat terhadap konsep kematian juga agak pelik. Kalau seorang atau dua penoreh getah mati di baham harimau, beritanya akan tersiar dalam akhbar, lengkap dengan ceritanya sekali. Tapi, jumlah 18 orang mati di jalan raya setiap hari di seluruh Malaysia, tidak ramai yang peduli.

Kesakitan yang dideritai oleh seorang yang maut atau cedera parah dalam kemalangan jalan raya samalah dengan kesakitan dan penderitaan yang dirasai oleh seorang yang punggungnya dikerkah harimau, semuanya melibatkan kesakitan dan darah yang sama merah.

Cerita tentang orang yang dibunuh kejam yang hanya melibatkan beberapa orang sahaja, terus-terusan menjadi hiasan di dada akhbar harian selama berminggu, tetapi jumlah belasan orang yang mati setiap hari di jalan raya tidak begitu menarik perhatian orang ramai, pada hal kesakitan adalah sama, dan darah yang tumpah adalah sama merah.

Berbagai-bagai usaha yang dianjurkan oleh pihak berwajib sejak dua puluh tahun lepas masih belum dihayati sepenuhnya oleh sebilangan pemandu, terutama yang menggunakan motosikal.
Tempoh operasi sekali Ops Sikap ialah dua minggu walaupun terdapat beberapa Ops Sikap yang tempohnya hanya seminggu yang dipanggil Ops Sikap Khas.

Statistik 22 kali Ops Sikap sepanjang tempoh 2001-2010 bagi bilangan peristiwa kemalangan dan jumlah nyawa yang terkorban atau cedera amat menyedihkan. Bagi 22 Ops Sikap dalam tempoh 2001-2010 itu, sebanyak 279,204 peristiwa kemalangan berlaku, di mana 3,909 peristiwa kemalangan melibatkan sekurang-kurangnya seorang mati.

Jumlah yang mati pula ialah 4,479 orang. Purata bilangan yang mati dalam sehari mencapai dua digit, dengan Ops Sikap IV (Tahun Baru Cina 2003) mencatatkan bilangan mati purata harian paling rendah iaitu 11 dan Ops Sikap III (Hari Raya 2002) mencatatkan purata paling tinggi iaitu 18 orang sehari.

Ini juga bermakna purata kematian sehari sebanyak 16 orang dalam Ops Sikap 22 baru-baru adalah antara yang tertinggi dalam tempoh sejarah program ini selama sepuluh tahun.
Kajian mudah yang menggunakan kaedah ganda dua terkecil yang saya jalankan terhadap data bagi 22 Ops Sikap (2001-2010) menunjukkan trend purata kematian harian yang jelas meningkat, iaitu pada purata 5.4 peratus bagi setiap Ops Sikap atau sekitar purata 10.8 peratus setahun.

Data ini jelas memberi amaran kepada kita bahawa jumlah kematian akan berterusan, sekiranya pengguna jalan masih tidak sedar. Bolehkah kita mengharapkan keajaiban bahawa pada tahun hadapan Ops Sikap akan mengurangkan kematian kepada aras yang lebih rendah, misalnya di bawah 10?

Hasil analisis data saya menunjukkan harapan ini sukar menjadi kenyataan. Petunjuk yang ada pada saya setelah meneliti dan menganalisis data 22 operasi Ops Sikap memberitahu bahawa perangai sebahagian pemandu di Malaysia masih tidak berubah, dan tidak mungkin akan berubah dalam tempoh terdekat, misalnya dalam setahun dua akan datang.

Kalau tempoh dua minggu itu dipecahkan kepada tiga tahap selama lima hari setiap tahap, kajian saya juga menunjukkan bahawa dalam Ops Sikap September 2010 ini, kejadian kemalangan di jalan-jalan dalam kawasan perbandaran adalah tinggi di peringkat awal, kemudian turun di peringkat pertengahan dan naik semula di peringkat akhir.

Sebaliknya, bagi jalan-jalan Persekutuan, kejadian kemalangan adalah rendah di peringkat awal, tinggi di peringkat pertengahan, dan rendah semula di peringkat akhir. Kemalangan pada lebuh raya tol juga menunjukkan pola tahap-tahap yang hampir serupa dengan jalan kawasan perbandaran iaitu tinggi, kemudian rendah dan tinggi semula.

Tafsiran saya terhadap data ini ialah begitu besarnya kesan balik kampung di negara kita ini, berbanding dengan negara maju. Pola ini sewajarnya dipelajari dan dihayati oleh sesiapa juga yang bakal 'mengemudikan' kereta atau motosikal dalam musim perayaan.

PROFESOR DR. ABD. RAHIM MD. NOR
Profesor Pengangkutan Awam,
Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan,
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Penghuni Gua : PG tertarik dengan pandangan dan ulasann yang dibuat oleh bekas Prof yang pernah mengajar PG tahun lepas. Pandangannya amat baik. Tahniah Prof. Dan tahniah kepada PDRM dan semua pihak berkuasa yang terlibat dalam Ops Sikap.

5 comments:

  1. SEBAB APA BANYAK KEMATIAN DLM KEMALANGAN JLN RAYA DI MALAYSIA?

    MUGKIN SEBAB INI KITA TDK TERFIKIR ATAU BUAT2 TAK SEDAR KOT, IAITU:

    1. KEBANYAKKAN KENDERAAN YG TERLIBAT DLM KEMALANGAN YG MENGAKIBATKAN KECEDERAAN ATAU KEMATIAN ADALAH KENDERAAN BUATAN MALAYSIA SENDIRI SPT PROTON DAN PERODUA...KERANA APA? KERANA KETAHANAN KENDERAAN BUATAN MALAYSIA INI AMAT RENDAH KUALITINYA DR SEGI KETAHANAN BODY DAN KETAHANAN ENJIN...BELANGAR DGN AYAM SAHAJA BOLEH REMUK BODY KERETA...SISTEM ENJIN YG TIADA KUALITI...CEPAT PANAS, TEMPERATURE CEPAT ROSAK DAN NAIK DGN TIBA2 LBH2 LAGI BILA JALAN JAMMED DAN SESAK..CUBA LIHAT SENDIRI BILA ADA KESESAKAN JALAN, KERETA MANA YG BYK BERASAP DAN TERSADAI KAT TEPI2 JALAN?

    2. BOLEH LAH KITA BUAT ANDAIAN BHW, KERETA BUATAN MALAYSIA INI ADALAH YG BYK MEMBUNUH RAKYAT DIA SENDIRI...INI REALITI..BUKAN NAK MENGHINA SESIAPA!!

    3. DAN CUBA LIHAT MANA2 USED CAR DI MERATA2 TEMPAT, KERETA MANA YG PALING BYK DIJUAL DAN TAK LAKU? ADAKAH KERETA MERCEDES, TOYOYA, HONDA, NISSAN, BMW, ATAU PROTON DAN PERODUA? ...ANDA SENDIRI LIHAT DAN TENGOK DAN ANDA SENDIRI TENTU TAHU JAWAPANNYA..JIKA ANDA BELI KERETA BUATAN MALAYSIA YG SECOND HAND LAGI TERUK, BADAN KERETA NAMPAK SGT CANTIK TAPI ANDA HARUS BERSEDIA UTK MENABUR DUIT YG BYK UTK REPAIR KEROSAKAN YG MACAM2...SEBAB ITU BYK YG PAKAI KERETA SECOND NI TERLIBAT DLM KEMALANGAN...SIAPA YG NAK MENAFIKAN PERKARA INI?

    SEOLAH2 KERETA KITA YG MEMBUNUH KITA SENDIRI...KERANA SATU SAHAJA IAITU KUALITI!!!!

    ReplyDelete
  2. aku pakai kete proton wira 2nd hand ok je, tak de lah meragam sangat kalau buat maintance 3 bulan sekali, kete tu pun dah berbelas tahun dah. kotak gear auto pun tak de pun meragam.

    kemalangan maut tu - dah ajal nak buat macam mana.
    jalan 110 bawa 180 macam mana lah tak kemalangan.

    kebanyakan orang yang mempunyai kenderaan yang mewah lebih mempunyai kesedaran sivik yang lebih dari yang mempunyai kenderaan kurang mewah kerana nak menunjuk-nunjuk aku punya kete kancil boleh bawa 180 gak... pasang turbo, mau tak kemalangan kalu dah ubahsuai lebih dari had.

    ReplyDelete
  3. Salam,

    21 September 2010 08:40

    - Bewok penghina

    ReplyDelete
  4. saya pakai proton wira 1.5 . dah 17 tahun. tak ada apa pun. free kemalangan dan kerosakan minima aje. hanya tukar minyak hitam aje

    ReplyDelete
  5. Salam tuan PG & Sema2...,

    21 September 2010 08:40

    - Biasalah tu kerana masih lagi menggunakan pengangkutan tradisional. Jangan2 berok matyeh nih naik kereta lembu kalau dah tua sembelih ja.

    Katak bawah tempurung.

    P5B..

    ReplyDelete

PETA PELAYAR