FOLLOWERS

Saturday, 25 April 2009

LTTE : MUSNAHKAN TERUS PENGGANAS INI.


Utusan Malaysia
25 apr 2009


KATA dua sama ada menyerah diri atau dihapuskan yang diberikan oleh kerajaan Sri Lanka kepada LTTE pada 20 April lalu meletakkan situasi perang saudara di Sri Lanka semakin kritikal. Operasi ketenteraan kerajaan sememangnya berada pada peringkat 'terakhir' ketika ini memandangkan tentera telah menawan hampir seluruh kawasan utara dan timur laut yang dikuasai oleh LTTE sejak Julai 1983.

Operasi tentera Sri Lanka bagaimanapun menimbulkan kebimbangan antarabangsa terhadap keselamatan penduduk awam. Sri Lanka turut dikritik kerana menarik diri daripada meneruskan perjanjian damai yang ditandatangani pada Februari 2002. Ia dilihat sebagai tidak mengendahkan keselamatan rakyat dan melakukan kekerasan ke atas etnik Tamil dan LTTE.

Persoalannya adakah Sri Lanka gemar menggunakan pendekatan 'keras' dan mementingkan pendekatan ketenteraan semata-mata?

Realitinya kerajaan turut menggunakan saluran diplomasi bagi menghadapi LTTE. Sri Lanka pernah menawarkan pengampunan termasuk kepada pemimpin tertingginya, Vellupillai Prabhakaran pada 20 April lalu.

Ia mahu konflik etnik ini dapat diselesaikan tanpa pertumpahan darah. Namun tawaran itu ditolak oleh LTTE. Prabhakaran masih mengekalkan hasrat meneruskan perjuangan dengan anggota LTTE disemai dengan kesanggupan membunuh diri demi perjuangan. Ia adalah doktrin perjuangan LTTE.



Anggota LTTE dibekalkan dengan kalung yang mempunyai kapsul racun yang akan ditelan pada bila-bila masa sekiranya ditahan oleh pihak berkuasa. Malah unit pengebom berani mati atau Black Tigers menggambarkan komitmen LTEE yang sanggup mengorbankan nyawa demi perjuangan Prabhakaran.

Usaha Sri Lanka untuk berkompromi dengan LTTE telah lama berlangsung. Malah pada awal penubuhan LTTE pada 1970-an, Colombo membenarkan pertubuhan itu bergerak bebas berdasarkan kaedah perjuangan yang tidak mengancam keselamatan negara.

Perjuangan LTTE berjaya menarik keyakinan etnik Tamil Sri Lanka dan selatan India berdasarkan perjuangan Prabhakaran menuntut keadilan daripada kerajaan Sinhala. Sri Lanka hanya mengambil pendekatan membendung pergerakan LTTE selepas Prabhakaran mempromosikan perjuangan bersenjata terhadap kerajaan dengan serangan ke atas Jafna, di utara pada 23 Julai 1983 dalam peristiwa yang digelar sebagai Black July.

Sri Lanka mengekalkan dasar untuk mempertahankan wilayah lain dengan memohon bantuan India bagi memujuk LTTE menamatkan pemberontakan bersenjata. LTTE mendapat keyakinan besar memandangkan mereka berjaya mendesak kerajaan tunduk kepada kuasa dan kewujudan LTTE sehingga berjaya membentuk "dua kerajaan bagi wilayah tertentu". Kawasan utara dan timur laut ditadbir oleh LTTE sementara kawasan tengah, barat dan selatan dikawal oleh kerajaan.

Perjuangan LTTE terus mendapat perhatian dunia apabila berjaya membunuh Perdana Menteri India, Rajiv Ghandi pada Mei 1991 apabila Prabhakaran menuduh India berpihak kepada Sri Lanka.LTTE terus subur di kalangan etnik Tamil kerana dianggap sebagai "pembela masyarakat Tamil" di Sri Lanka. Ia berkembang dengan dana yang disalurkan oleh penyokong di luar negara.

Sebagai contoh, terdapat laporan pada awal 1990-an bahawa dana disalurkan dari Kanada berjumlah sekurang-kurangnya AS$730,000 (RM2.55 juta) dan dari United Kingdom AS$390,000 (RM1.37 juta) setiap bulan.Itu hanya membabitkan dana dari dua buah negara sedangkan banyak lagi yang disalurkan dari negara-negara lain.

"Dasar berlembut" kerajaan Sinhala terus dikekalkan dalam menghadapi LTTE apabila kerajaan mengadakan perjanjian damai dengan menjadikan Norway sebagai orang tengah bagi penyelesaian konflik pada Februari 2002.

Namun tindakan LTTE yang masih melakukan serangan terhadap kerajaan termasuk ke atas pemimpin elit kerajaan seperti pembunuhan Menteri Luar, Lakshman Kadirgamar pada 12 Ogos 2005 dan serangan bom ke atas pemimpin dari luar negara seperti menyerang duta Itali, Jerman dan Amerika Syarikat (AS) pada 27 Februari 2007 menyebabkan kerajaan mengambil pendekatan untuk menghapuskan LTTE secara menyeluruh.

Sri Lanka yang kini dipimpin oleh Mahinda Rajapakse akhirnya "hilang sabar" dan menarik diri daripada perjanjian damai 2002 pada 3 Januari tahun lalu dan melakukan operasi ketenteraan secara besar-besaran.Sri Lanka telah puas berlembut dan kini, LTTE perlu menghadapi risiko kerana enggan menerima tawaran untuk berdamai.

PENULIS

Pensyarah Kolej Undang-Undang dan Pengajian Antarabangsa,
Universiti Utara Malaysia


Penghuni Gua : Kepada Malaysia, pihak berkuasa sepatutnya mengawasi penyokong dan pendokong mereka di Malaysia. Pendokongnnya adalah juga terdiri dari pemimpin dan orang ternama di Malaysia. Mereka berada di utara Semenangjung. Lihatlah laman blog mereka. Pada Penghuni Gua , tulisan ini sepatutnya di baca oleh pemimpin berkenaan. Ini kerana pemimpin ini kerap mengecam Sir Lanka kerana di katakan melakukan pembunuhan etnik dan Sri Lanka didakwa kejam.

Mana yang lebih kejam setelah anda membaca tulisan ini ? Pengganans LTTE ini atau Sri Lanka. Setiap negara akan melakukan perkara yang sama seperti kita menentang dan menghapskan kominis dahulu. Ini kerana ia menyentuh mengenai kedaulatan dan keselamatan negara.

Semuga Malaysia terus selamat. Awasi pengkhianat di dalam negara. Ini juga tugas Bloggers

No comments:

Post a Comment

PETA PELAYAR