FOLLOWERS

Friday, 9 January 2009

BERITA HARIAN 9 JAN 2009

PDRM pertahan kes tangkapan isu penghadang jalan

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam mempertahankan tindakan dan cara anggotanya menahan dua orang awam dalam isu penghadang jalan di Bandar Mahkota Cheras, dekat sini, pada 27 Mei lalu. Dalam reaksi terhadap laporan siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung kejadian itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, berkata pihaknya menggunakan Seksyen 15(1), 15(2) dan 15(3) Kanun Acara Jenayah sebagai panduan ketika membuat tangkapan ke atas Chang Jiun Hau, 23 dan Chan Siew Meng. Katanya, tatacara penugasan diguna pakai Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) juga konsisten dengan piawaian antarabangsa dan undang-undang negara, manakala kekerasan digunakan dalam melaksanakan tangkapan itu sesuai dengan keadaan semasa.

“Siasatan sudah dijalankan terhadap anggota yang dikatakan menggunakan kekerasan berlebihan terhadap kedua-dua individu itu. Tindakan akan diambil terhadap mereka selepas perkara ini ditimbang dan arahan dibuat Jabatan Peguam Negara,” katanya dalam kenyataannya di sini, semalam. Kelmarin, Pesuruhjaya Suhakam, Datin Paduka Zaitoon Othman, mengumumkan hasil siasatan awam panel badan itu mengenai kejadian yang berlaku di Persiaran Bandar Mahkota Cheras 1 pada malam hari berkenaan, yang mendapati polis menggunakan kekerasan berlebihan ketika membuat penahanan itu.
Bagaimanapun Suhakam tidak dapat menentukan siapa pegawai atau anggota yang bertanggungjawab itu dan mencadangkan PDRM menyiasat perkara itu. Pada Jun lalu, Chang yang bekerja sebagai mekanik didakwa di Mahkamah Majistret Kajang atas tuduhan memandu dengan melulu dan membahayakan orang lain dalam kejadian itu. Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan. Mengenai cadangan Suhakam supaya polis mempamerkan nama dan nombor pengenalan diri apabila bertugas supaya mudah dikenali, Ismail berkata, semua anggota FRU memakai tanda nama dan nombor pengenalan diri pada malam itu, tetapi terlindung apabila mereka memakai vest pelindung badan di dada.

No comments:

Post a Comment

PETA PELAYAR