FOLLOWERS

Thursday 29 January 2009

Usah politikkan kes jenayah: Syed Hamid ( Kes penjenayah Kugan )


BERITA HARIAN 29 JAN 2009


PUTRAJAYA: Kerajaan memberi amaran kepada mana-mana pihak supaya tidak mempolitikkan kes jenayah termasuk mengaitkannya dengan isu perkauman yang boleh menjejaskan keharmonian negara. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar, berkata masyarakat perlu memberi laluan kepada pihak polis menjalankan siasatan mengikut undang-undang dan prosedur jenayah sedia ada. "Saya harap hentikanlah buat perkara ini sebagai perkara perkauman, biar polis jalankan siasatan. Sebarang kenyataan yang hendak dikeluarkan perlulah berlandaskan fakta yang betul," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, semalam.
Hadir sama pada sidang media itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohd Bakri Zinin. Sambil menegaskan kenyataan secara umum tanpa merujuk kepada mana-mana kes, Syed Hamid, berkata beliau tidak mahu masyarakat menyifatkan penjenayah di negara ini sebagai wira manakala pihak yang bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang sebagai syaitan. "Saya tidak maksudkan kepada sesiapa. Kami (pihak berkuasa) tidak akan berkompromi dan jangan pula kalau seseorang lakukan jenayah jadi hero, kita yang melaksanakan undang-undang jadi syaitan.
"Kami tidak pernah menyembunyikan sebarang fakta sekalipun kesalahan dilakukan oleh pegawai atau anggota polis malah akan mengambil tindakan segera," katanya. Syed Hamid berkata, mengikut laporan polis, ada 19 kes curi kereta dan samun bersenjata yang menggunakan modus operandi sama dan polis menahan tiga yang disyaki termasuk A Kugan sementara seorang lagi dipercayai ketua kumpulan itu masih bebas. Kugan, 23, yang ditahan 15 Januari lalu kerana disyaki terbabit dalam sindiket curi kereta mewah, mati ketika disoal siasat di Balai Polis Taipan, USJ8, Subang Jaya, seminggu kemudian. Sehubungan itu, Syed Hamid meminta tidak ada mana-mana pihak yang mengeluarkan kenyataan berhubung kes itu kerana ia hanya akan menyukarkan polis menjalankan siasatan.
"Mana-mana pihak yang bercakap mengenai kes kematian Kugan perlu mengeluarkan kenyataan berdasarkan fakta dan bukannya andaian," katanya. Mengulas lanjut, Syed Hamid berkata kawasan rumah mayat adalah kawasan larangan kecuali kepada keluarga terdekat dalam proses pengecaman mayat dengan melihat kepada muka, badan dan tulang sebelum bedah siasat. "Tetapi mereka tidak boleh merumuskan sebarang keputusan dengan hanya melihat objek (bahagian) itu. Biarlah ia disiasat terlebih dulu, itu adalah tindakan paling adil. "Jika ada sesiapa yang ingin mempertahankan keadilan untuk mayat berkenaan, mereka boleh melakukannya tetapi perlu menghormati undang-undang," katanya.

No comments:

Post a Comment

PETA PELAYAR