FOLLOWERS

Sunday 19 December 2010

" PLEA BARGAINING " MENYELESAIKAN ISU PENTADBIRAN KEADILAN JENAYAH MALAYSIA !!!!





‘Plea bargaining’ mampu percepat urusan mahkamah dengan ambil kira kepentingan awam

SELEPAS Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi mendedahkan persediaan pihak badan kehakiman untuk melaksanakan konsep tawaran pengakuan bersalah atau plea bargaining, pelbagai reaksi timbul di dada akhbar tempatan mahupun blog di internet. Ada yang menyokong penuh seperti Majlis Peguam, tidak kurang pula sangsi dan ragu kerana berasa program itu akan mendatangkan banyak keburukan daripada kebaikan. Penulis ingin membicarakan perkara ini daripada beberapa perspektif. Konteks di Malaysia

Sebenarnya, tawaran pengakuan bersalah sudah lama diamalkan walaupun secara tidak formal dalam senario dan praktik undang-undang jenayah di Malaysia. Namun tawaran pengakuan bersalah kini diformalkan bagi memantapkan lagi sistem keadilan negara dengan mengambil kira aspek kepentingan awam.

Peruntukan tawaran pengakuan bersalah diperkanunkan dalam Akta (Pindaan) Kanun Acara Jenayah 2010 di bawah seksyen-seksyen 172 C dan 172D, bab XVIIIA mengenai Proses-Proses Pra-Perbicaraan. Ia sudah menjadi undang-undang apabila diluluskan oleh Parlimen pada 2 Jun lalu dan diwartakan pada 10 Jun.

Seksyen 172C Akta (Pindaan) memberi pilihan kepada tertuduh dalam mana-mana kesalahan jenayah untuk memohon tawaran pengakuan bersalah di mahkamah di mana kes dalam pertuduhan akan dibicarakan.

Dalam permohonan itu, tertuduh akan disoal dalam satu perbicaraan tertutup bagi memastikan mahkamah berpuas hati bahawa permohonan yang dibuat adalah secara sukarela. Tawaran pengakuan bersalah yang disahkan oleh mahkamah seperti yang dipersetujui, boleh menyentuh sama ada; pertama -pilihan pertuduhan atau yang kedua - tahap hukuman.

Namun penguatkuasaannya dicadang dibataskan hanya kepada pesalah kali pertama. Jika tawaran yang dipersetujui adalah berkaitan pilihan pertuduhan lebih ringan, mahkamah akan menjatuhkan hukuman bersalah dan menetapkan hukuman seperti yang diperuntukkan oleh undang-undang, sebaliknya, jika tawaran pengakuan adalah berhubung dengan hukuman, mahkamah akan memutuskan bahawa tertuduh bersalah atas tuduhan dan menjatuhkan hukuman tidak melebihi separuh daripada hukuman maksimum, tetapi tidak kurang daripada had minimum.

Amalan di luar negara

Bidang kuasa mahkamah di banyak negara di dunia sudah lama mengamalkan tawaran pengakuan bersalah, tetapi dengan kawalan perlu, bagi mengelak salah guna yang boleh mengakibatkan ketidakadilan. Tawaran pengakuan bersalah diamalkan dengan meluas di Amerika Syarikat sebagai tukar ganti kepada perbicaraan penuh dengan juri.

Justeru, lebih daripada 90 peratus kes jenayah di negara berkenaan tidak dibicarakan. Majoriti individu yang dituduh melakukan jenayah di Amerika mengetepikan hak Perlembagaan mereka dan mengaku bersalah.

Bagaimanapun, sebarang cadangan pendakwa raya di negara terbabit hanya dianggap sebagai nasihat dan mahkamah mengekalkan kata muktamad dalam menjatuhkan hukuman.

Mahkamah di negara itu juga boleh menolak hukuman yang dicadangkan dan tertuduh diberi peluang untuk menarik balik pengakuan. Pandangan yang hampir sama dikongsi oleh mahkamah di Kanada.

Di United Kingdom, selepas pindaan ke atas acara jenayah yang dilitupi dengan kontroversi pada 1980-an, tawaran pengakuan bersalah terus diamalkan di sebalik kritikan awam, tetapi secara umumnya diamalkan dengan berhemah. Negara Eropah yang lain juga secara perlahan-lahan mengesahkan konsep tawaran pengakuan bersalah.

Di India, pindaan kepada Kanun Acara Jenayah pada 2005 (dikuatkuasakan 2006) membolehkan tawaran pengakuan bersalah dicapai bagi kes yang hukuman maksimum adalah tujuh tahun penjara dengan mengecualikan kesalahan membabitkan keadaan sosioekonomi negara dan kesalahan dilakukan terhadap wanita atau kanak-kanak di bawah 14 tahun.

Faedah pindaan

Malaysia, seperti juga negara lain yang memperkenalkan konsep tawaran pengakuan bersalah mengetengahkannya dengan alasan utama untuk mengurangkan kelewatan dalam menyelesaikan kes jenayah.

Ia juga sebagai satu usaha proaktif bagi menyelesaikan kes tertunggak. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, sehingga 31 Disember 2009, kes jenayah tertunggak di Mahkamah Tinggi membabitkan 521 kes, Mahkamah Seksyen (2,441 kes) dan Mahkamah Majistret (12,645 kes). Ini jelas jumlah kes yang besar.

Kelewatan perbicaraan boleh menafikan keadilan atau dalam bahasa Inggerisnya justice delayed justice denied, disebabkan pemulihan undang-undang tidak dinikmati dalam masa sepatutnya. Bahkan ia boleh melemahkan kesan pencegahan atau deterrence.

Ini berlaku apabila kejelikan dan kekejaman sesuatu jenayah tidak lagi diingati masyarakat umum dan tidak dapat dihubungkaitkan dengan hukuman yang dijatuhkan, walau pun berat.

Kemungkinan salah guna

Pihak yang skeptikal dengan langkah baru ini berhujah bawah dalam situasi sekarang di mana hampir 98 peratus tertuduh dalam perbicaraan jenayah tidak diwakili peguam, tawaran pengakuan bersalah boleh disalah gunakan sebagai alat untuk menjamin sabitan mudah. Prosedur baru ini sebenarnya menyediakan langkah pencegahan bagi mengelak salah guna kuasa dan paksaan.

Jika tertuduh tidak diwakili peguam dan bagi menjamin kesukarelaan membuat pengakuan, perbicaraan untuk mengesahkan perjanjian tawaran pengakuan bersalah dilakukan tanpa kehadiran pendakwa raya.

Bagaimanapun, bagi kes membabitkan jenayah serius seperti bunuh, rogol dan rasuah, pendakwa raya bertanggungjawab untuk melindungi kepentingan awam dengan tidak menerima tawaran pengakuan bersalah.

Lagi pun, kemungkinan berlaku rasuah sebagai dorongan untuk menerima tawaran pengakuan bersalah bagi kes di atas, kini dikurangkan berikutan penubuhan 14 mahkamah khas rasuah dan penggubalan Akta Perlindungan Saksi yang berkuatkuasa pada 15 Disember lalu.

Langkah lebih holistik

Sesuatu langkah pembaharuan pasti menerima pelbagai reaksi, sama ada positif mahupun negatif. Yang pentingnya, usaha baru sebegini perlulah disertai dengan prosedur pemantauan dan program audit supaya penambahbaikan berterusan dapat dilakukan.

Satu langkah tunggal yang mustahil dapat menyelesaikan masalah kelewatan perbicaraan dan kes tertunggak. Operasi fail, pengkhususan hakim dan sistem pengesanan kes adalah antara pelbagai inisiatif yang diambil kerajaan untuk mengatasi masalah di atas di mahkamah seluruh negara.

Tambahan pula sistem keadilan jenayah yang berkesan dan mapan bukan saja bergantung kepada penyelesaian kes di mahkamah. Peranan dan aktiviti agensi bertanggungjawab dalam mencegah perlakuan jenayah juga penting.

Justeru, sikap inovasi dan proaktif diperlukan di kalangan pihak terbabit bagi mencari penyelesaian berkesan kepada masalah pentadbiran keadilan jenayah yang kini menjadi semakin mencabar kerana perubahan zaman, teknologi dan komunikasi.

Penulis adalah Profesor (Dr) Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Penghuni Gua : Semuga sistem keadilan jenayah kita akan lebih mantap dan dapat mengurangkan kes-kes tertunggak yang berjuta banyaknya.

No comments:

Post a Comment

PETA PELAYAR