1 nov 2009
TERLANJUR saya memperkatakan tentang perjuangan Prof. Hamka rahimahullah pada minggu lepas, saya ingin menyentuh sedikit tentang sepucuk surat beliau yang panjang lebar kepada Mufti Johor ketika itu, iaitu al-Sayyid Alwi bin Tahir al-Haddad.
Surat itu dinamakan Teguran Suci Dan Jujur Terhadap Mufti Johor, sekarang telah dijadikan sebuah buku yang dijual di pasaran. Surat ini sekalipun membabitkan persoalan yang kadang-kala menyentuh soal sikap dan peribadi individu, namun ia penting untuk dibaca sebagai pengajaran kepada mereka yang ingin membangunkan Islam. Mempelajari sejarah lepas adalah panduan penting bagi kehidupan insan di hari ini dan akan datang. Sejarah jika tidak diingati untuk pengiktibaran bak kata Winston Churchill:
“History repeats itself because no one was listening the first time”. Membaca sejarah bukan bertujuan untuk mengungkit kesalahan orang yang lepas atau sudah tiada, tetapi panduan dan juga peringatan untuk mereka yang masih hidup kerana para pelakon di pentas sejarah itu datang dan pergi, tetapi watak yang diwarisi tetap seiras. Al-Quran menceritakan sejarah penentang Nabi Musa a.s. dan kerakusan Firaun, bukan untuk kita pergi Mesir menyokong Nabi Musa, atau bersiap menentang Firaun Mesir.
Mereka semua sudah tiada lagi dan hanya tinggal dalam lembaran, tetapi watak perjuangan Musa dan kerakusan Firaun terus diwarisi zaman berzaman. Maka kita wajib bersama dengan perjuangan ala Musa, dan menentang kerakusan watak ala Firaun. Demikian al-Quran menceritakan tentang kisah Nabi Yusuf a.s. dan adik-beradiknya, bukan untuk kita mengungkit kesalahan adik-beradik Yusuf, tetapi pengajaran dan panduan untuk kita yang masih hidup.
Berbalik kepada surat Prof. Hamka, dalam menghadapi pemikiran pembaharuan pada zaman tersebut, Mufti Johor berkenaan telah mengeluarkan kenyataan yang bercampur fitnah kononnya kelompok pembaharuan yang dituduh sebagai kaum muda atau pun wahabi penyebab orang jadi sesat, antimazhab, menolak ulama, terpengaruh dengan musuh Islam dan berbagai lagi. Kenyataan itu dibuat menerusi akhbar pada 14 Julai 1958.
Prof Hamka sekalipun dari Indonesia mengambil tanggungjawab menjawab fitnah-fitnah tersebut. Kata Prof. Hamka: “Melihat cara-caranya samahah al-mufti sebagai pembela kaum tua di dalam menghentam kaum muda bagi beliau rupanya tidaklah mengapa memukul kaum muda dengan membuat fitnah… sekarang samahah al-mufti rupanya memakai cara-cara pula: matlamat menghalalkan car. Asal saja kaum muda dapat dipukul hancur tidaklah mengapa berdusta..” (m.s. 85).
Ya! Orang yang kelihatan beragama pun apabila berbeza pendapat akan hilang pertimbangan. Apatah lagi apabila merasakan kepentingan mereka terjejas. Namun perubahan zaman akan tetap menuntut perubahan pemikiran umat. Prof. Hamka ketika menyentuh perkembangan ini di Indonesia ketika itu menyebut:
“Maka orang tua yang dahulunya berusaha keras mempertahankan gelaran itu dengan segala daya upaya, menuduh sesat, zindiq, Wahabi, mulhid, orang tua itu sekarang masih hidup untuk menyaksikan dengan kepalanya sendiri kemenangan yang sekian kalinya dari gerakan kaum muda! Akhirnya, semua orang hendak dikafirkannya” (m.s. 48). Katanya juga: “Memang ada juga orang yang tidak suka berebut-rebut. Jangan buka-buka masalah baru. Biar orang tinggal bodoh seperti dahulu dan kalau ada pun fatwa dari mufti hendaklah diterima dengan: Na‘am (ya)! Tetapi orang itu sudah sangat jauh ditinggalkan keretapi!” (m.s 49).
Dibangkit
Seperti biasa, antara perkara yang selalu dibangkit oleh kelompok yang menjaga tradisi lama ialah kelompok pembaharuan tidak menghormati ulama. Mereka memutar belit maksud kelompok tajdid yang menyatakan tidak salah kita melihat hukum dari berbagai mazhab dan tokoh. Mereka menganggap mengkritik dalil itu sebagai menghina tokoh.
Ini kerana sikap kelompok agama berkenaan yang pantang dikritik dan menganggap seakan pandangan tokoh agama semuanya mesti ditelan. Hal ini kita dapat lihat kelangsungannya sehingga hari ini. Di mana akan ada kelompok yang menghalang umat Islam untuk melihat sendiri teks asal perkataan-perkataan imam-imam berkenaan bagi mengetahui apakah yang dikatakan pendapat mazhab itu benar-benar dari imam berkenaan atau andaian semata. Juga untuk sendiri membandingkan pandangan-pandangan mereka secara ilmiah dan membuat pilihan yang terbaik.
Kelompok ini akan membantah dengan seakan berkata: terima sahaja apa yang kami beritahu, jangan sibuk yang menyemak yang asal! Jangan hendak dibuat kajian perbandingan, terima sahaja apa yang kami cakap. Prof Hamka menjawab hal ini dengan katanya: “Kedua, kata orang kami tidak menghormati ulama. Sebab mereka pun telah memasukkan pula sebuah lagi tiang baru ke dalam Islam, iaitu wajib menghormati ulama. Wajib taklid kepada ulama! Wajib taat kepada guru.
Hal ini saya huraikan dengan saksama, kaum muda amat hormat kepada: ulama. Kaum muda insaf bahawa pengetahuan yang kita dapat sekarang ini, manakan sampaikan ke tangan kita kalau bukan lantaran ulama. Kami sangat patuh kepada ulama ikutan kita keempat-empatnya: Imam Malik, Imam Syafie, Imam Abu Hanifah, Imam Ahmad bin Hanbal.
Demikian cinta hormati kami kepada beliau sehingga kalau ada ulama yang menjadi pengawal di luar yang mencuba-cuba menghalangi kami buat bertemu dengan pendapat-pendapat beliau, kami sirwak (memalukan) apa ulama lain itu, dan kami berkata kepinggirlah engkau! Kami hendak bertemu dengan beliau!... keempat-empatnya (imam empat) menyuruh kami meneruskan perjalanan ke atas, ke hulu agama:
kepada al-Kitab dan as-sunnah dan keterangan-keterangan yang diberikan oleh orang yang terdekat kepadanya, iaitu sahabat-sahabat Rasulullah. Padahal tatkala kami masih di muara-muara, banyak benar yang menghalangi. Datang syeikh fulan dan sudah jauh di bawah mutaakhirin (ke belakang), bahkan mutaakhiril mutaakhirin (ke belakang dari yang belakang) melarang keras! Jangan pergi ke hulu. Jangan! Haram! Padahal kami tidak mahu dihalang-halangi lagi. Maka dituduhlah kami sesat, siapa kita yang sesat? (m.s. 63).
Berikut Prof. Hamka menjawab tuduhan kononnya kelompok pembaharuan tidak menghormati guru-guru agama yang sedia ada. Kata Hamka: “Alhasil bagi kami ijtihad itu harus digalakkan dan bagi kaum tua pula “taklid dijadikan tiang agama” dan kalau kami bantah taklid, dikatakan kami merosakkan tiang agama. Kadang-kadang dituduh kaum muda tidak hormat kepada guru. Lantaran itu dikata pula merosak tiang-tiang agama.
Yang sebenarnya kami hormat kepada guru dan hormat kepada ibubapa. Sebagai juga saudara-saudara muslimin yang lain. kedudukan guru sama dengan kedudukan ibubapa wajib dihormati dan dimuliakan. Tetapi kalau guru itu silap jalannya, maka sebagai tanda kami hormat ialah kami tegur, dan jika dibawanya dengan sengaja atau tidak dengan sengaja kepada yang salah, kami tidak akan menurut”. (m.s. 65).
Perjalanan
Itulah resam perjuangan, tuduhan dan fitnah menghiasi perjalanan. Saya tidak terkejut apabila PGSM dalam laman web membuat memorandum fitnah kepada Yang di-pertuan Agong membantah saya. Dalam memorandum yang kononnya disokong oleh beberapa NGO itu antaranya menyebut:
“Beliau juga tidak mengiktiraf iktikad ahli sunnah wal jamaah dari mazhab-mazhab fiqh seperti Mazhab Shafie, Hanafi, Maliki dan Hanbali bahkan dalam keadaan tertentu menolak hadis yang diriwayat oleh Imam Bukhari”. Bahkan fitnah lebih dahsyat daripada itu disebut:
“Beliau juga mencerca para ulama besar seperti Imam Nawawi dan Imam Ghazali yang tidak perlu disebut kehebatan dan keilmuan mereka”. Astaghfirullah, di manalah bukti mereka dalam hal ini. Adakah mereka dapat buktikan dari tulisan atau ucapan saya. Tidakkah mereka rasa takut di mahkamah Allah dengan tuduhan sebegini.
Lebih hairan lagi, tidakkah sebagai persatuan peguam mereka sepatutnya mendapatkan bukti terlebih dahulu, bukan terpengaruh dengan pihak-pihak tertentu yang memberi maklumat palsu. Namun, ini tidak pelik. Ia telah berlaku sebelum ini, ia akan berulang dan terus berulang.
Kita boleh berbeza pendapat. Sama ada saya atau sesiapa pun bercakap atau tidak, dunia globalisasi ini akan mendedahkan rakyat kepada berbagai-bagai maklumat. Namun, memfitnah orang, apatah lagi atas nama NGO Islam adalah tidak wajar.
Memfitnah termasuklah dalam soal dosa dan pahala. Allah melarang kita menerima maklumat yang disampaikan oleh orang lain melainkan setelah diselidiki. Firman Allah: (maksudnya): “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidiklah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum (dengan perkara yang tidak diingini) dengan sebab kejahilan kamu, sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”. (Surah al-Hujurat, ayat 6).
Penghuni Gua : Tahniah Dr Asri. PG setuju pandangan Dr ini. Tindakan DR Asri yang enggan menyertai politik juga dialukan.
2. Kekalkan pada kedudukan sekarang. Suara ketiga seperti Dr amat perlu dalam menentang ulama-ulama jahat yang sentiasa berkepentingan terutama apabila menyentuh politik kepartian. Mereka rela berbohong dan berduasta asalkan kedudukan politik mereka terjamin.
3. Mulut ulama-ulama ini pun lebih teruk dari syaitan yang hanya tahu memfitnah dan memaki hamun sesama islam dan hanya tahu mengkafirkan sesama islam jika sesuatu pendapat itu tidak bersamaan dengan mereka.
4. Pedulikan memorandum Persatuan Peguam Syaraei Malaysia ( PGSM ) kepada DYMM Agung. Tidak perlu juga Dr menyaman mereka. Biarkan. Manusia boleh berbeza pendapat dalam perkara yang bukan menyentuh rukun islam dan rukun iman. Perkara-perkara cabang boleh didebatkan dan terus diselongkar untuk kebaikan ummah.
5. Lihat juga penjelasan Dr Mohd Asri Zainal Abidin yang enggan menjadi pengerusi YADIm di bawah :
KUALA LUMPUR: Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin, berkata beliau tidak akan menerima jawatan Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang ditawarkan kepadanya berikutan kontroversi yang timbul daripada memorandum Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) kepada Yang di-Pertuan Agong membantah pelantikan itu.
Pada sidang media di rumahnya di Petaling Jaya, dekat sini, malam tadi, beliau mendakwa, jawatan itu ditawarkan kepadanya oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Jamil Khir Baharom, pada Ramadan lalu dan sekali lagi ketika dijemput memberi kuliah pada Kursus Orientasi Perdana anjuran Umno di Janda Baik awal bulan lalu. “Dakwaan yang dibuat terhadap saya dalam memorandum itu adalah satu pembohongan dan fitnah. Ia adalah tuduhan yang sangat besar membabitkan maruah saya dan boleh memecahbelahkan umat Islam.
“Sebenarnya saya langsung tidak terfikir mengenai jawatan itu apabila ditawarkan. Saya belum membuat keputusan dan masih menimbangkannya tetapi dengan apa yang berlaku sekarang saya sudah tidak berminat lagi dengan jawatan itu,” katanya.
Beliau berkata, keputusan itu juga selepas mendapatkan pandangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berpendapat lebih baik beliau menjadi suara ketiga daripada memegang jawatan dalam mana-mana agensi kerajaan. Dalam memorandum berkenaan yang salinannya turut diedarkan Dr Mohd Asri kepada media, persatuan berkenaan mendakwa beliau tidak mengiktiraf iktikad Ahli Sunnah Wal Jamaah, mencerca solat hajat dan menolak hadis yang diriwayatkan Imam Bukhari.
Memorandum itu turut mendakwa Mohd Asri mencerca ulama besar seperti Imam Nawawi dan Imam Ghazali. Sambil menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu, Mohd Asri turut mencabar PGSM mengemukakan bukti beliau mencerca Imam Ghazali dan Imam Nawawi serta menolak hadis Imam Bukhari melalui ucapan atau tulisannya.
“Saya tidak kisah jika mereka ingin menghantar memorandum kerana itu hak mereka dan saya juga boleh menerima jika mereka mengkritik pandangan saya dan berkata pandangan saya berlainan daripada ulama lain. Tetapi apa yang terkandung dalam memorandum itu satu fitnah dan pembohongan. “Sebab itu saya rasa perlu memanggil sidang akhbar ini untuk membuat penjelasan,” katanya yang mengakui mengetahui apa disifatkannya sebagai ‘dalang’ di sebalik memorandum itu.
Katanya, beliau belum terfikir untuk menyaman PGSM tetapi mencabar mereka mengemukakan bukti dakwaan dalam memorandum itu dalam masa seminggu. Ditanya sama ada beliau akan menyertai parti politik, Mohd Asri berkata, pada masa ini, beliau tidak berminat. “Saya pernah dipelawa menyertai Umno dan Pas sebelum ini tetapi saya tidak berminat. Buat masa ini saya lebih selesa menjadi suara ketiga tanpa menyertai mana-mana parti politik,” katanya.
..........!@#$%^&*()_)(*&^%$#@#$%^&*()(*&^%$#
Salam bro,
ReplyDeletePGSM tu Ulama ke? Bukankah mereka itu hanyalah sekumpulan LAWYER yang mencari keuntungan atas kes2 Syariah?
Salam PG, cantik sangatlah tu, biarlah Mohd Asri menjadi suara ketiga yang sentiasa mengeluarkan pendapat tanpa didalangi emosi politik tertentu... akan lebih ikhlas....
ReplyDeleteHamba faham sangat finomina ini. Hamba pun dah 12 tahun buat keputusan untuk tidak punyai sebarang jawatan serta tidak juga mempunyai sebarang perniagaan untuk menjadi suara luar yang bebas.
ReplyDeleteYang kecil macam hamba pun kena berdiri di atas keputusan begitu. Apa lagi potensi sebesar Dr. Asri.
Kita kena menghormati keputusan Dr Asri itu; namun adalah teramat dikesali bahawa YADIM kehilangan satu potensi yang amat besar untuk mendapat pimpinan yang teramat cemerlang. Angkara fitnah dpd PGSM.
Soalan hamba tidakkan pimpinan PGSM merasa malu ?
Tidakkah ahli ahli PGSM merasa malu sehingga merasakan sesuatu harus dibuatnya.
Apakah hari hari akhir zaman ini akan menyaksikan dunia dicorakkan oleh fitnah2.
Relakah kita.
Relakah mereka yang bergelar pemimpin.
Relakah mereka yang mempunyai pendidikan ugama yang tinggi tinggi.