FOLLOWERS

Sunday, 15 November 2009

MALAYSIA LAW JOURNAL : KES DADAH : KENYATAAN SESEORANG YANG TIDAK DIPANGGIL SEBAGAI SAKSI !


[1996] 1 MLJ 89 - Public Prosecutor v Tan Kok An
[1996] 1 MLJ 89
Public Prosecutor v Tan Kok An
Case Details:

Malaysia HIGH COURT (JOHOR BAHRU) — CRIMINAL TRIAL NO
45–1–1995

Judges ABDUL MALIK ISHAK J

Date 6 OCTOBER 1995

Citation [1996] 1 MLJ 89



Bahasa Malaysia Summary:

Pihak polis telah menangkap seorang yang bernama Lim Jin Kue (‘Lim’) atas kesalahan memiliki heroin. Lim telah memberitahu polis semasa soal siasat bahawa heroin tersebut telah diperolehi daripada seorang yang bernama ‘Ah An’. Lim kemudiannya menelefon Ah An dalam kehadiran pihak polis, dan dia berlagak bahawa dia ingin membeli heroin. Dia juga meminta Ah An supaya menghantar heroin tersebut ke rumahnya (‘perbualan telefon tersebut’). Pada malam itu juga, tertuduh datang ke rumah Lim.

Tertuduh, yang telah dikenali oleh Lim sebagai Ah An, membawa sebuah beg plastik bersamanya. Pihak polis menangkap tertuduh dan menjumpai sebuah bungkusan suratkhabar yang mengandungi heroin dalam bag itu. Tertuduh kemudiannya telah dituduh mengedar heroin di bawah s 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (‘Akta tersebut’). Semasa perbicaraan, pihak pendakwa tidak memanggil Lim untuk memberi keterangan walaupun Lim hadir. Keterangan perbualan telefon tersebut antara Lim dan Ah An telah dikemukakan oleh pihak pendakwa melalui pegawai-pegawai polis yang telah diberitahu isi kandungannya oleh Lim.

Walau bagaimanapun, pihak pembela tidak membantah terhadap kebolehterimaan perbualan telefon tersebut. Apabila pembelaan tertuduh dipanggil, tertuduh telah mendakwa bahawa dia merupakan seorang pembawa beg yang tidak bersalah, kerana dia telah diminta oleh seorang yang bernama ‘Gay Au’ untuk menghantar duit kepada Lim. Pemeriksaan balas pihak pendakwa ke atas tertuduh telah menunjukkan penglibatan seorang yang bernama ‘Sow Kiong’ buat kali pertamanya.

Pihak pembela juga memanggil seorang saksi untuk memberi keterangan bahawa dia terdengar Gay Au meminta tertuduh supaya menghantar duit kepada Lim. Isu penting yang harus dipertimbangkan oleh mahkamah ialah sama ada keterangan pegawai polis berkenaan dengan perbualan telefon tersebut boleh diterima.

Diputuskan:
Diputuskan, membebas dan melepaskan tertuduh:

(1) Walaupun pembelaan tidak membantah terhadap kebolehterimaan perbualan telefon tersebut, apa yang tidak boleh diterima tidak boleh menjadi boleh terima akibat kegagalan untuk membantah (lihat ms 97E–F); Wong Kok Keong v R [1955] MLJ 13, Packiam & Anor v PP [1972] 1 MLJ 247 dan Lim Yam Hong & Co v Lam Choon & Co AIR 1928 PC 127 diikut.

(2) Sesuatu kenyataan yang dibuat oleh seseorang yang tidak dipanggil sebagai saksi tidak boleh diterima untuk membukti kebenaran fakta yang dinyatakan itu. Oleh kerana tujuan pihak pendakwa mengemukakan perbualan telefon adalah semata-mata untuk membuktikan bahawa tertuduh mempunyai pengetahuan berkenaan dengan heroin tersebut, dan bahawa tertuduh juga dikenali sebagai Ah An, keterangan perbualan telefon tersebut merupakan keterangan dengar cakap. Oleh itu, ia tidak boleh diterima (lihat ms 97I dan 98A); Berkeley Peerage Case (1811) 4 Camp 401 and Healy v Jacobs (1827) 5 LJOS KB 180 diikut.

(3) Lim merupakan seorang saksi terpenting yang boleh mengaitkan tertuduh dengan heroin. Oleh kerana Lim yang dapat memberi keterangan mengenai keseluruhan kejadian secara langsung tidak dipanggil oleh pihak pendakwa, adalah wajar untuk mahkamah membuat suatu inferens yang memudaratkan kes pendakwaan di bawah s 114(g) Akta Keterangan 1950 (lihat ms 98G); Seneviratne v R [1936] 3 All ER 36 dan Munusamy v PP [1987] 1 MLJ 492 diikut.

(4) Jika soalan yang dikemukakan oleh pihak pendakwa tentang peranan Sow Kiong diperiksa, adalah jelas bahawa dia juga memainkan peranan yang penting dalam pembentangan kes pendakwaan. Oleh yang demikian, adalah tidak salah jika mahkamah membuat suatu inferens yang memudaratkan kes pendakwaan kerana pihak pendakwa boleh mengemukakan keterangan yang lebih baik, tetapi enggan berbuat demikian (lihat ms 99B); Gopal Krishnaji v Md Haji AIR 1968 SC 1413 diikut.

(5) Doktrin ‘kebutaan sengaja’ (‘wilful blindness’) harus digunakan dengan ketatnya apabila soalan pengetahuan dipertimbangkan. Supaya doktrin tersebut digunakan dengan berjayanya, inferens yang relevan harus dibuat daripada semua fakta dan keadaan sesuatu kes itu, dan perhatian yang sewajarnya harus diberi, di mana perlu, kepada kebolehpercayaan saksi. Di mana kes pendakwaan adalah amat kuat, doktrin ‘kebutaan sengaja’ seharusnya gagal (lihat ms 101F–H) ; R v Griffiths (1974) 60 Cr App R 14 diikut; PP v Hla Win [1995] 2 SLR 424 dibeza.

(6) Tertuduh telah berjaya menimbulkan keraguan munasabah tentang kebersalahan beliau. Keterangan pembelaan juga telah mematahkan anggapan statutori di bawah s 37(d) dan (da) Akta tersebut (lihat ms 102C–F); Mohamed Radhi bin Yaacob v PP [1991] 3 MLJ 169 dan Sochima Okoye v PP [1995] 1 MLJ 538 diikut.]

Penghuni Gua : Semuga paparan kes ini dapat memberi menafaat kepada pembaca dan pelajar semua. Tq

1 comment:

PETA PELAYAR