FOLLOWERS

Tuesday 1 November 2011

AKTA MURTAD DARI SUDUT PENGUATKUASAAN : PROF MADYA SHAMRAHAYU A. AZIZ !!!






Akta Murtad dari sudut penguatkuasaan
Oleh Shamrahayu A Aziz

2011/11/01




PDRM boleh bantu tangani jenayah syariah seperti ketetapan Akta Polis

SAYA fikir pembaca masih lagi mengikuti perbincangan mengenai cadangan Akta Murtad. Mungkin kita harus teruskan penerokaan dan kajian mengenai cadangan undang-undang sebegini supaya ia akan mendatangkan kebaikan kepada semua dan semoga pelaksanaannya nanti akan menjadi berkesan. Bicara mengenai Akta Murtad ini ada kaitan dengan penguatkuasaan jenayah syariah. Terlebih dulu saya ingin berkongsi dengan pembaca bahawa undang-undang berkaitan agama Islam ini secara asasnya boleh dibahagikan kepada dua jenis. Pertama, undang-undang yang hanya membabitkan hal dan perkara berkaitan perintah agama Islam. Sebagai contoh, undang-undang jenayah syariah yang berkuat kuasa ke atas orang Islam saja seperti minum arak. Kedua, ia membabitkan hal berkaitan agama Islam itu sendiri, seperti penghinaan terhadap agama Islam atau pengembangan agama bukan Islam di kalangan orang Islam seperti yang sedang hangat dibincangkan sekarang. Kesalahan jenis ini mungkin membabitkan orang Islam sendiri dan dalam keadaan tertentu mungkin membabitkan orang bukan Islam.

Dalam aspek pelaksanaan atau penguatkuasaan undang-undang terbabit, kita dapati wujud beberapa masalah yang tersendiri. Masalah yang membelenggu penguatkuasaan undang-undang berkaitan agama Islam seperti penghinaan terhadap agama Islam agak lebih kompleks berbanding penguatkuasaan undang-undang berkaitan perintah agama Islam. Keadaan ini berlaku kerana kuasa dan bidang kuasa penguat kuasa agama yang terbatas kepada sempadan negeri dan juga bidang kuasa mengenai orang yang disyaki.

Seperti dimaklumi pembaca, pelaksanaan undang-undang amat bergantung kepada agensi penguatkuasaan. Kita juga maklum penguatkuasaan undang-undang jenayah syariah setakat ini dilakukan penguat kuasa agama. Dari segi peruntukan undang-undang prosedur jenayah, polis juga diberi kuasa sama, bahkan dalam keadaan tertentu kuasa polis lebih besar daripada kuasa penguat kuasa agama.

Oleh itu, mengenai peruntukan undang-undang, kita tidak mempunyai masalah dalam membabitkan pasukan polis dalam penguatkuasaan undang-undang ini.
Sementara itu, dari segi peruntukan Akta Polis juga kita dapati pasukan polis bertanggungjawab menguatkuasa semua undang-undang yang sedang berkuat kuasa dengan sah. Tetapi dari segi pembabitan sebenar pasukan polis dalam penguatkuasaan bukanlah sesuatu yang begitu menyerlah. Sekiranya ada bantuan daripada polis, ia adalah atas dasar budi bicara dan kesediaan polis saja, bukan atas dasar tanggungjawab pelaksanaan yang dijelaskan undang-undang.

Saya tidak bermaksud menafikan peranan yang dimainkan pasukan polis dalam penguatkuasaan undang-undang yang membabitkan agama Islam. Kita sudah lihat sumbangan polis dalam penguatkuasaan undang-undang berkaitan agama yang juga membabitkan keselamatan awam, seperti al-Arqam.

Satu perkara lagi yang berkaitan ialah bidang kuasa berkaitan penguat kuasa agama juga terbatas ke atas negeri terbabit saja. Sekiranya pasukan polis diberikan tanggungjawab yang jelas mengenai pelaksanaan undang-undang jenayah syariah atau undang-undang berkaitan agama Islam, maka pelaksanaan boleh melangkau sempadan negeri tanpa membabitkan persoalan pentadbiran atau mungkin juga birokrasi yang agak mengganggu pelaksanaan undang-undang terbabit.

Mungkin berkaitan juga ialah, kedudukan agama orang disyaki. Fahaman yang kita ada sekarang ialah penguat kuasa agama hanya mempunyai kuasa ke atas orang Islam saja dan orang bukan Islam boleh dianggap bebas daripada bidang kuasa penguat kuasa agama.

Selain itu, reputasi agensi penguat kuasa juga perlu diberikan perhatian. Daripada namanya saja ia penguat kuasa agama adalah berbeza dengan pasukan polis. ‘Kegerunan’ kepada polis dalam penguatkuasaan mungkin lebih besar daripada kegerunan sesetengah pihak kepada pihak penguat kuasa agama. Walaupun ini bukanlah berkaitan undang-undang, tetapi ia mempengaruhi proses penguatkuasaan.

Selepas kita teliti perkara ini, kita dapati bahawa penguatkuasaan undang-undang dan pentadbiran keadilan jenayah syariah masih lagi terkesan dengan pembahagian bidang kuasa dan kuasa antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri. Sebagai sebuah negara yang membentuk Perlembagaan Persekutuan berdasarkan kehendak keadaan, ini bukanlah sesuatu yang pelik atau tidak normal.

Bagaimanapun, selepas masa dan keadaan berubah, ada kalanya pemisahan kuasa antara Persekutuan dan negeri dalam aspek ini mendatangkan kekeliruan dan seterusnya boleh mencetuskan kontroversi. Ia akan memberi implikasi tidak baik kepada pelaksanaan dan keberkesanan undang-undang terbabit.

Kita menyedari bahawa undang-undang diwujudkan untuk menangani masalah yang ada. Sekiranya tidak, ia akan menjadikan undang-undang itu tidak berguna. Pembahagian bidang kuasa berkaitan penguatkuasaan yang ketat tidak akan merealisasikan kedaulatan undang-undang yang berkuat kuasa.

Ini adalah satu kegagalan dalam sistem pentadbiran keadilan kerana setiap undang-undang yang digubal dan dilulus adalah undang-undang yang harus dihormati dan dilaksana bagi menangani permasalahan yang ada.

Berdasarkan perkara di atas, saya pernah menyuarakan cadangan bagi ditubuhkan satu pasukan khas dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk penguatkuasaan undang-undang berkaitan Islam. Saya sedar kegawatan dari segi keanggotaan dan infrastruktur dialami PDRM, tetapi kita hendaklah sentiasa menambah baik dari semasa ke semasa.

Penulis ialah Timbalan Profesor Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim Universiti Islam Antarabangsa (UIA)

No comments:

Post a Comment

PETA PELAYAR