FOLLOWERS

Thursday 24 November 2011

SINGA TUA MASIH BERGUNA : ZAM !!!!

Hanging Point Sipadan









Kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun belum menampakkan bukti jelas pemulihan perpaduan dan sokongan rakyat terutama sekali daripada masyarakat Cina tetapi gegaran kerja kerasnya siang dan malam dengan pelbagai program transformasi ekonomi, sosial dan politik telah dapat dirasakan oleh rakyat.

Umum melihat Najib lebih mengutamakan strategi ekonomi untuk kemenangan politik kerana yang akan memberikan sokongan dalam pilihan raya kelak adalah masyarakat umum berbilang kaum yang dapat merasakan kehidupan mereka lebih diutamakan.

Ini dibuktikan oleh kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dapat keluar dengan kejayaan besar dari dua pilihan raya umum dalam keadaan yang tercabar oleh taufan politik dalaman dan serpihan UMNO; Parti Semangat 46 dan kemudiannya dari Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri yang disingkirkan.

Kejayaan strategi politik dan ekonomi atas keberanian mengambil risiko telah menanam perasaan bangga dan keyakinan tinggi di kalangan rakyat.

Kekuatan ekonomi dan politik yang dipulihkan dan diwariskan ketika persaraannya menyebabkan rakyat mulai bermimpi untuk mendapat sebuah kerajaan uthopian dan melihat Abdullah Badawi yang berimej agama sebagai paling layak untuk menyempurnakan janji Dr. Mahathir untuk menegakkan sebuah kerajaan yang Bersih, Cekap dan Amanah (BCA).

Kejayaan gilang-gemilang BN dalam Pilihan Raya Umum 2004 melonjak keyakinan dan semangat penggantinya Abdullah untuk mencipta era baru dengan dasar liberalisasi sekali gus memberikan gambaran bahawa demokrasi yang berjalan sekian lama di negara ini hanyalah setengah masak.

Bagaimanapun oleh kerana liberalisasi itu diisytiharkan tanpa persediaan untuk menguruskannya dengan baik telah menyebabkan rakyat merasakan “sekali merdeka, merdeka sekali” dan meruntuhkan asas-asas perpaduan yang dibina sejak merdeka.

Media cetak pelbagai bahasa di negara ini termasuk yang dipunyai oleh parti pemerintah sendiri menjuarai kebebasan baru ini dalam keadaan euphoria.

Kumpulan New Straits Times (NST) di bawah pimpinan baru merayakannya dengan penyiaran berita rencana dan surat-surat forum yang tidak lagi menampakkan keprihatinan terhadap dasar UMNO dan orang Melayu yang menunjang kerajaan.

Liberalisasi baru telah mendedahkan perasaan terpendam sekian lama di akhbar-akhbar bukan Melayu sehingga kepada peringkat memijak Perlembagaan, kontrak sosial, kedudukan agama Islam dan sebagainya yang sebelumnya dihormati dan dipatuhi.

Pelbagai langkah dijalankan untuk memadamkan program-program ekonomi dan politik yang diwariskan oleh Dr. Mahathir dengan keyakinan bahawa Abdullah akan dapat mencipta sejarah menerusi kebebasan baru.

Penasihat NST, Kalimullah Hasssan menulis dalam New Straits Times, Ahad 26 Februari 2006 yang diterjemahkan ke Berita Minggu pada hari yang sama di bawah tajuk Erti Sebuah Persahabatan: “Kita kini berada di bawah era baru kepimpinan negara diterajui insan lebih mesra yang sedia mendengar suara rakyat, penyalahgunaan kuasa berkurangan, institusi kehakiman dan perundangan kembali meniti kegemilangan seperti yang pernah dikecapi, ketelusan dan juga kebebasan lebih meluas.”

Ini adalah tamparan secara langsung kepada Dr. Mahathir.

Terdahulu selepas sahaja kemenangan besar BN pada PRU 2004 Kalimullah terus membela Anwar. Dalam tulisannya di NST pada 5 September 2004, beliau meminta rakyat dan UMNO khususnya, berbaik semula dengan Anwar yang baru dibebaskan di bawah tajuk “Buang yang keroh”. Pasport dihantar kepada Anwar untuk dirawat “sakit tengkok” di luar negara yang menimbulkan reaksi marah di kalangan rakyat, khususnya ahli-ahli UMNO.

Katanya " sesetengah pihak menganggap pemecatan Anwar adalah usaha untuk menyingkirkan pesaing utamanya bagi membolehkan Dr. Mahathir terus berkuasa.

“Episod buruk sejarah ini perlu ditutup tidak kiralah bagaimana masa depan menterjemahkannya dengan harapan kita mendapat pengajaran darinya. Jika tidak ia akan menjadi satu lagi tragedi buat kita dan negara” kata Kalimullah.

Seterusnya dalam tulisannya bertajuk Erti Sebuah Persahabatan itu juga, Kalimullah menyifatkan Mahathir sebagai ‘singa sarkas tua’.

Katanya: “Kami juga pelajari apabila masa lemah, si dubuk tua dan singa sarkas pencen pun tiba-tiba mendapat suntikan tenaga baru untuk menentang buruan tidak berdaya”.

Serangan ini yang mendapat tindak balas daripada Dr. Mahathir telah menyebabkan wujudnya keadaan tidak harmoni dalam parti, perpecahan antara pencinta Dr. Mahathir dan penyokong Abdullah yang melibatkan juga kekacauan sikap rakyat terutama dalam masyarakat Melayu.

Mereka yang waras dan tidak mempunyai kepentingan politik atau yang di luar UMNO tidak dapat memejam mata terhadap tugu-tugu kebaktian Dr. Mahathir dalam pemerintahannya lebih 20 tahun.

Walaupun perpecahan dalam parti tidak kelihatan tetapi pada orang ramai, khususnya pemimpin-pemimpin dan ahli parti merasa tidak selesa dan bimbangkan kesannya pada Pilihan Raya Umum Ke-12.

Menjelang Pilihan Raya Umum 2008 keadaan menjadi semakin buruk walaupun di permukaan nampak tenang. TV3 menjuarai peranan menjalankan perang saraf bagi memburukkan wakil-wakil rakyat yang telah disenarai hitamkan bagi diganti dengan calon mereka sendiri tanpa mengambil kira kesan menyeluruh kepada parti.

TV3 dipergunakan sepenuhnya untuk tujuan itu dengan mendedahkan kelemahan dan kepincangan di kawasan wakil-wakil rakyat BN sendiri yang akan digugurkan.

Tidak pernah sebelumnya cara ini dilakukan kerana kesannya bukan sahaja kepada wakil rakyat berkenaan tetapi merosakkan imej kerajaan dan parti pada keseluruhannya dan melibatkan jentera kerajaan.

Oleh kerana hal ini dilakukan ketika hampir dengan pilihan raya maka tentunya langkah memperbaikinya tidak dapat dilakukan dengan serta-merta seperti yang diharapkan oleh rakyat.

Yang paling dahsyat dan kejam sekali mempamerkan keadaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Syed Razak Syed Zain dalam keadaan yang daif kerana serangan angin ahmar untuk mendorong beliau berhenti dan digantikan.

Pada masa sama, RTM melaporkan mengenai pembangunan di kawasan-kawasan Parlimen untuk mendedahkan kepada rakyat pembangunan setempat tetapi tidak dapat menyaingi laporan negatif TV3 yang mempunyai penonton lebih 3 juta sedangkan RTM tidak melebihi 500,000 penontonnya bagi program bersifat dokumentari atau berita.

Bagaimanapun Abdullah membawa parti kepada Pilihan Raya 2008 dengan penuh keyakinan berasaskan sokongan media kepadanya tanpa menyedari kesan kekeruhan hubungannya dengan Dr. Mahathir. Beliau meyakini sikap diamnya tidak menjawab kecaman Dr. Mahathir mendapat simpati ramai.

Tindakan Dr. Mahathir keluar dari parti selepas tsunami 2008 dan usaha gigih membawanya kembali kepada parti oleh pemimpin-pemimpin besar UMNO membuktikan betapa beliau masih berharga dan disayangi oleh parti sekalipun telah dihina oleh wartawan-wartawan yang menyokong komplot untuk menunjukkan bahawa beliau tidak relevan lagi.

Kritikan keras, tajam dan pedas Dr. Mahathir terhadap kepimpinan Abdullah mengenai rasuah, penyelewengan dan kronisme telah merendahkan pandangan rakyat terhadap BN.

Dr. Mahathir sendiri mengakui dalam suatu ucapannya di sebuah hotel di Petaling Jaya selepas tsunami politik 2008 bahawa beliau tidak menjangka kesannya kepada BN begitu parah sekali.

Dr. Mahathir tidak dapat menafikan bahawa beliau turut menyumbang kepada kekalahan parah itu kerana setiap katanya tetap dipercayai dan diminati oleh kebanyakan rakyat.

Tindakannya keluar UMNO adalah suatu pembedahan yang diperlukan untuk dirinya dan juga untuk menyelamatkan UMNO daripada keadaan yang lebih memudaratkan.

Selain dari fakta krisis Mahathir-Abdullah yang menyebabkan rakyat berada dalam kebingungan, penyiaran langsung perdebatan dalam Perhimpunan Agung UMNO di PWTC dari 5 hingga 9 November 2007 oleh Astro telah membawa malapetaka kerosakan imej baik UMNO di kalangan bukan Melayu yang dibina berpuluh tahun dalam sekelip mata sahaja.

Penyiaran itu menggemparkan masyarakat Cina oleh perbahasan-perbahasan yang bersifat sentimen Melayu dan agama walaupun hakikatnya hal ini bukanlah kali pertama, sebaliknya berlaku pada setiap kali Perhimpunan Agung UMNO malah berlaku juga di mesyuarat parti politik bukan Melayu.

Wartawan-wartawan akhbar bahasa Cina yang berpengalaman membuat liputan berasa Perhimpunan Agung UMNO tidak lagi mengejutkan mereka kerana mereka telah terdidik untuk mengenali yang sensitif atau tidak.

Mereka melakukan penapisan sendiri untuk menulis apa yang wajar atau diketepikan demi memelihara prasangka baik antara kaum.

Kebanyakan wartawan dari akhbar semua bahasa berhati-hati dalam penyiaran laporan perdebatan panas di Perhimpunan Agung UMNO.

Selain itu, para pengarang mereka juga turut mengawal tetapi siaran langsung Astro adalah ibarat memberikan lesen kepada seluruh media menyiarkan semua perbahasan tanpa penapisan untuk membuktikan bermulanya suatu era baru kebebasan di Malaysia.

Perwakilan juga tidak boleh disalahkan kerana mereka tidak diberitahu mengenai adanya siaran langsung perbahasan di Perhimpunan Agung UMNO itu.

Kejadian ini telah memberikan senjata yang besar dan sangat berkesan kepada parti-parti pembangkang untuk menunjukkan kepada masyarakat umum terutamanya masyarakat Cina tentang perkauman UMNO. Sekali gus siaran langsung itu menghitamkan imej UMNO yang kesan kekotoran amat sukar untuk dibersihkan hingga ke hari ini.

Untuk mengawal kerosakan ini maka usaha memperbaiki semula imej UMNO dilakukan sehingga kepada peringkat Pemuda UMNO meminta maaf kerana menghunuskan keris yang selama ini menjadi lambang kebanggaan dan nasionalisme UMNO. Permohonan maaf ini disiarkan di muka depan NST dan Berita Harian dalam bentuk rencana pengarang.

Kepada rakyat, UMNO terlihat sebagai parti yang dalam ketakutan untuk menyuarakan hak dan mempertahankan maruah bangsanya.

Suatu perkara lagi yang mungkin tidak disedari atau tidak diberikan perhatian dan tidak diperkatakan ialah BN menghadapi Pilihan Raya 2008 tanpa penyebaran manifesto.

Pada mulanya percetakan manifesto itu diserahkan kepada Syarikat Utusan Melayu tetapi “diculik” dengan bijak untuk dicetak oleh sebuah percetakan akhbar lain tetapi hanya segelintir kecil sahaja calon yang mendapatnya.

Kebanyakan calon tidak pernah melihatnya langsung kecuali mengetahui pengumuman mengenainya dibuat oleh Perdana Menteri menjelang beberapa hari lagi sebelum pilihan raya.

Sama ada manifesto itu dicetak dalam jumlah yang diperlukan atau dicetak hanya sebagai contoh untuk pengumuman tidak diketahui keadaan sebenarnya hingga hari ini tetapi yang pasti sebahagian besar calon tidak menerimanya.

Inilah pertama kali berlaku pilihan raya umum tanpa penyebaran manifesto parti pemerintah. Khabarnya manifesto itu sukar untuk difahami kerana ditulis oleh orang yang sangat tinggi akal fikirannya.

Dalam suasana kebebasan baru yang serba pincang inilah BN memasuki Pilihan Raya Umum 2008 dan menerima padah yang paling buruk dalam sejarahnya.

Bagaimanapun nampaknya pilihan raya umum kali ini akan dihadapi dengan persediaan yang cukup rapi dan semangat yang tinggi. Media yang didukung oleh parti terutama TV3 juga telah menunjukkan proaktif, faham dan komited terhadap tanggungjawabnya untuk memulihkan keyakinan rakyat.

Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak telah memulihkan keyakinan orang Melayu yang merosot kepada UMNO di zaman Perdana Menteri Pertama Tunku Abdul Rahman kerana sikap tolak ansur menerusi strategi ekonomi dan keselamatan.

Dr. Mahathir membina pemodenan negara di atas kestabilan ekonomi dan politik yang diasaskan oleh Tun Razak.

Najib mengambil tanggungjawab kepimpinan negara dalam keadaan kerajaan hilang kuasa dua pertiga dan keruntuhan asas dan tunjang kekuatan negara yang dibina oleh ayahnya.

Jika beliau dapat mengeluarkan negara daripada krisis keyakinan ini kepada kedudukan yang lebih mantap, maka rakyat pastinya akan menobatkannya sebagai seorang lagi pemimpin dalam barisan terbilang kerana dapat membina semula negara daripada keping-keping perpecahan dan keruntuhan.

Dr. Mahathir sekalipun membuat teguran keras terhadap beberapa kelemahan kepimpinan Najib tetapi beliau sendiri pada peringkat ini tidak menampakkan keyakinan kepada orang lain yang lebih layak dan lebih berdaya untuk memimpin UMNO dan negara.

Teguran dan kritikan oleh pemimpin yang dianggap sebagai singa sarkas tua ini adalah lebih kepada untuk mengingatkan Najib supaya mengenali kelemahan dan kepincangan yang masih wujud daripada hanya mendengar cerita-cerita indah bagi memastikan agar Najib boleh meneruskan kepimpinan negara dalam suatu keadaan yang lebih meyakinkan.

Ngauman “Singa Tua” masih menggegarkan.


TAN SRI ZAINUDDIN MAIDIN ialah

Karyawan Tamu Institut Pemikiran

Tun Dr. Mahathir, Universiti Utara Malaysia

2 comments:

  1. Tahniah Brother Zam: satu penulisan yg bagus.Cuma panglima-panglima UMNO kini yg pantang dikritik.Depa kata duri dalam daging.

    Semoga Allah lanjutkan usia Tun Det yg di kasihi.

    ReplyDelete
  2. Tun Dr M, terus kreatif, inovatif, yang paling subjektif untuk memakmurkan negara melalui agama, bangsa...

    ReplyDelete

PETA PELAYAR