FOLLOWERS

Tuesday 11 October 2011

MASYARAKAT PATUT REALISTIK ISU KEDUDUKAN ISLAM , HAK KEBEBASAN BERAGAMA : PROF MADYA SHAMRAHAYU !!!!!!








Masyarakat patut realistik isu kedudukan Islam, hak kebebasan beragama

KESEMPATAN membentangkan kertas kerja mengenai kebebasan beragama pada Seminar Pemahaman Kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan anjuran bersama Institut Kefahaman Islam (IKIM) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pagi semalam, membuka ruang untuk saya berkongsi pandangan mengenai kedudukan Islam dalam Perlembagaan dan hak kebebasan beragama.

Seperti pembaca sedia maklum, kedua-dua perkara ini sentiasa menjadi tajuk hangat masyarakat kita. Saya tidak mahu mengulas mengenai pengisian hak kebebasan beragama atau kedudukan Islam di sini. Apa yang ingin saya kongsi ialah pemerhatian saya mengenai penganjuran wadah intelektual seumpama itu.

Perbincangan bukan bertujuan cari masalah atau keruhkan keadaan, tetapi kita cuba cari penyelesaian terbaik demi kelangsungan kita. Kita perlukan cadangan penyelesaian terbaik masalah membelenggu perkara berkaitan kebebasan beragama.

Seminar itu terbuka kepada orang ramai tanpa bayaran. Ia adalah platform membolehkan perbincangan mengenai isu sensitif begini. Saya juga mahu mengetengahkan keterbukaan kita dalam membincangkan isu sebegini.

Walaupun masih ada pihak yang menganggap perbincangan mengenai Islam, terutama kedudukan kebebasan beragama di dalam agama Islam dan perundangan negara sebagai perkara sensitif yang tidak patut dibincang secara terbuka, saya anggap masa sudah berubah. Sesungguhnya kita harus mendepani isu sebegini setiap hari. Ia seumpama rutin pemakanan kita. Ia sudah menjadi rahsia umum. Ia bukan lagi isu yang boleh disapu ke bawah tikar.

Dalam keadaan ini, perbincangan bukan bertujuan mencari masalah atau mengeruhkan keadaan, tetapi kita cuba mencari penyelesaian terbaik demi kelangsungan kita. Kita memerlukan cadangan penyelesaian terbaik kepada masalah yang membelenggu perkara berkaitan kebebasan beragama.

Walaupun begitu, kita tidak boleh nafikan perasaan pihak yang menganggap perkara ini sebagai perkara sensitif. Dalam banyak keadaan perbincangan dibuat dengan emosi yang tidak dapat dikawal atau emosi yang tidak diimbangi dengan ilmu pengetahuan yang benar dan tanpa prejudis.
Saya sedar dan sentiasa mengambil perhatian mengenai aspek ini. Oleh itu, walaupun saya menyokong perbincangan terbuka, saya percaya, perkara sebegini perlu dilakukan dengan bijaksana.

Saya harus memuji kerjasama antara IKIM dan JAKIM atas penganjuran seminar ini kerana dua agensi kerajaan ini bersedia untuk membawa isu besar ini dalam wadah ilmu yang dipenuhi dengan hujah undang-undang Perlembagaan. Perbincangan tidak dibayangi atau dinaungi emosi dan sentimen, sama ada politik atau keagamaan.

Daripada diari sejarah, kita dapat lihat juga bahawa tamadun termasyhur dulu sentiasa membuka pentas perbincangan secara terbuka, tetapi intelektual. Wadah seperti ini dapat menggembleng tenaga intelektual daripada segenap lapisan masyarakat dan ini sudah tentu akan memanfaatkan agama dan negara.

Wadah seperti ini juga kita perlukan bagi memenuhi inspirasi negara yang mahukan rakyat berilmu dan matang dalam apa juga hal dibincangkan. Kedua-dua agensi ini membuka ruang kepada khalayak untuk bersama-sama membina intelektual dan memberi ruang dan peluang untuk memahami isu atau perkara yang menjadi persoalan dan perbincangan tanpa berat sebelah dan tanpa prejudis.

Saya sering menyebut di ruangan ini dan juga di tempat lain bahawa, dalam membina negara bangsa dan tamadun negara yang gemilang, kita memerlukan masyarakat berilmu. Ilmu yang saya maksudkan di sini ialah ilmu yang benar, tidak dikotori dengan apa jua prejudis. Dengan ilmu yang benar itu kita sudah tentu akan dapat melahirkan masyarakat yang mempunyai jati diri, memahami dan dapat menyelesaikan masalah dengan ilmu yang benar itu serta dapat membezakan antara fakta, realiti, politik dan fantasi.

Selain itu, kita memerlukan masyarakat yang dapat mengimbangi antara ilmu pengetahuan dan kehendak atau tuntutan realiti kehidupan. Semua ini boleh dicapai antara lain dengan keterbukaan di dalam menerima pandangan dan berdiskusi.

Seminar atau apa juga perbincangan terbuka tidak harus dijadikan wadah indoktrinasi atau wadah menanam fahaman yang tidak dapat menerima perbezaan pendapat. Seminar dan perbincangan intelektual adalah wadah ilmu pengetahuan yang secara jelasnya mengalu-alukan perbezaan pendapat. Sekiranya ada perbezaan pendapat, sayugia perbezaan itu perlu dinilai secara bijaksana sehingga dapat diserlahkan kecantikan dan kelebihan setiap satu.

Pihak yang disokong pendapatnya tidak perlu mendabik dada dan pihak yang ditolak pendapatnya tidak perlu berasa gundah. Hasilnya nanti, kita sudah tentu akan mendapat tanaman yang subur untuk negara untuk kita sama-sama menuai hasilnya nanti.

Oleh itu, sekiranya keterbukaan dalam perbincangan perkara yang mendasar seperti kedudukan Islam dan kebebasan beragama ini dapat diterima semua pihak, kita sudah tentu dapat membincangkan isu lain dengan lebih mudah.

Islam dan kebebasan beragama adalah dua isu yang begitu tinggi caruman perdebatan dan kesannya lantaran agama adalah sesuatu yang begitu penting dan sensitif untuk setiap individu yang menghormati nilai agamanya, ditambah pula dengan kejadian yang berkisar sekitar dua perkara ini sering menjadi punca persengketaan di banyak tempat lain di dunia.

Penulis ialah Profesor Madya Kuliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM

No comments:

Post a Comment

PETA PELAYAR