FOLLOWERS

Tuesday, 29 September 2009

AGAMA BUKAN UNTUK TAWAR MENAWAR !




PERBICARAAN tentang agama bukanlah boleh sewenang-wenangnya seperti membicarakan persoalan lain yang lebih berbentuk peribadi. Seorang profesor melalui e-mel memberitahu bahawa dalam kuliah-kuliahnya, beliau kerap menegaskan kebebasan beragama bukan sahaja bermakna kebebasan untuk keluar dari agama yang merupakan salah satu makna kecil dari prinsip ini.

"Makna teras daripada prinsip kebebasan beragama ialah kebebasan untuk mengamalkan sesuatu agama yang ditafsir oleh mereka yang dianggap berwibawa dalam agama tersebut dalam sesuatu masyarakat. Aspek kedua dari makna ini telah diamalkan sepanjang sejarah perkembangan Islam di seluruh dunia termasuk di Malaysia,'' kata profesor itu.

Saya bersetuju dengan pandangan ini kerana agama adalah satu pegangan hidup. Ia bukan seperti baju dan seluar yang dapat ditukar ganti.

Atas dasar inilah, agama seharusnya dipelajari dengan penuh ilmu dan hikmah. Kitab dan hikmah inilah yang membawa manusia menjadi makhluk bertamadun dan berperadaban. Maka agama yang dipelajari dengan ilmu akan mampu menusuk ke sanubari seseorang penganut agama itu.

Sebab itulah, agama haruslah dipelajari dari para guru yang berwibawa, yang mampu mentafsirkan agama berdasarkan kepelbagaian ilmu di dalam agama tersebut. Agama bukanlah sesuatu yang dipelajari di tepi-tepi jalan seperti membeli ubat dari penjaja.

Profesor itu juga menyebut bahawa akidah dan syariah Islam tidak harus dilihat dari kaca mata orang lain. Malah juga bukan dari kaca mata orang Islam sendiri yang tidak terlatih dalam bidang berkenaan.

Namun begitu pintu perbincangan umum tetap terbuka dengan seluas-luasnya untuk memberikan pentafsiran di luar bidang akidah dan syariah yang menjadi dasar dan prinsip asasi agama.

Islam sendiri sentiasa membuka pintu ijtihad tetapi ia bukanlah terbuka untuk sesiapa sahaja yang merasakan dirinya mampu berijtihad. Berijtihad di dalam agama, terutamanya mengenai akidah dan syariah bukan seperti yang dilakukan oleh tukang ramal dan ahli nujum.

Berijtihad di dalam agama mempunyai syarat-syarat dan rukun yang ketat bertujuan supaya agama tidak akan menjadi satu komoditi yang boleh dijual beli menurut kemahuan individu.

Dalam mengamalkan agama, kebebasan mutlak dalam berhujah atau bersuara, malah dalam melaksanakan hukuman syariah dan prinsipnya bukanlah merupakan satu kebebasan mutlak mengikut tafsiran sesetengah individu.

Seseorang individu atau kumpulan yang tertentu juga tidak mempunyai hak mutlak untuk mempertikaikan urusan akidah dan amal ibadat agama lain.

Dalam konteks ini benarlah pandangan bahawa sekiranya diberikan kebebasan mutlak kepada segolongan penganut sesuatu agama untuk mempersoalkan akidah dan amalan penganut agama yang lain, maka hal ini bererti seperti memberikan lesen untuk membuka gelanggang pergaduhan yang boleh membawa huru-hara.

Tradisi ini perlu menjadi pegangan majoriti rakyat Malaysia dan harus dipertahankan dengan penuh kejujuran dan keikhlasan.

Kita seharusnya mencari titik pertemuan dan persamaan, bukan mencari titik perbezaan dan perselisihan.

Perbincangan mengenai agama bukanlah seperti membicarakan tajuk rukun tetangga atau dewan orang ramai. Siapakah yang harus mengambil giliran meronda, atau siapa yang harus menggunakan dewan tersebut.

Saya bersetuju dengan pendapat bahawa: "Orang yang membincangkan hal-hal agama di Malaysia amat terikat dengan majikannya, partinya, ketuanya, penyokongnya, medianya, jirannya, saudara maranya dan sebagainya."

Hal inilah yang cuba diatasi oleh pihak berkuasa agama Islam di negara ini. Kita cuba membanteras perbicaraan agama berasaskan parti politik dan penyokongnya. Atau mazhab yang menanamkan rasa fanatik dan taksub melulu, agama yang bercampur-aduk dengan sentimen perkauman dan kelompok serta sebagainya.

Dalam konteks Islam, mimbar masjid dilarang digunakan oleh pihak tertentu untuk mempromosikan agama ala parti politik atau aliran kefahaman berasaskan taksub melulu.

Perbincangan tentang agama tidak seharusnya diwarnai dengan rasa taksub dan fanatik. Namun keterbukaan dalam perbincangan tersebut juga haruslah dihadkan.

Kita melihat banyak contoh di negara-negara tertentu yang memanifestasikan ketaksuban ini sehingga rumah-rumah ibadat menjadi sasaran kemusnahan dan pencabulan. Penganut agama lain dianggap musuh dan dibunuh. Harta benda mereka dimusnahkan. Akhirnya ia melibatkan keruntuhan nilai moral, kehancuran pembangunan ekonomi dan kecelaruan peraturan sosial dan pendidikan.

Lebih menyedihkan, terdapat negara yang mengamalkan dasar demokrasi dan rakyat yang taksub memilih parti politik yang taksub sebagai pemerintah. Parti radikal, yang mengamalkan diskriminasi agama dan kaum mendapat sokongan majoriti.

Akibatnya rakyat menjadi korban kezaliman dan ketidakadilan. Rakyat yang taksub akan diberi perlindungan. Mereka bebas menindas dan melakukan kekejaman.

Tetapi hal ini tidak berlaku di negara kita. Majoriti rakyat Malaysia menolak fahaman pelampau dan fanatik. Maka kita tidak terancam dengan pergaduhan agama dan kaum dan boleh menumpukan kepada pembangunan ekonomi, teknologi, pendidikan, dan sosial untuk semua.

Bagaimanapun hal ini tidak seharusnya membuatkan kita merasa selesa dan leka. Mutakhir ini, aliran pemikiran dan tindakan sesetengah pihak yang taksub agama mula muncul.

Negara-negara yang mengalami kekacauan kaum atau agama sering terbantut pembangunannya. Anak-anak keciciran dalam pelajaran. Rakyat mengalami kebuluran dan penyakit merebak. Ekonomi merudum.

Oleh kerana agama bukan merupakan soal peribadi yang boleh ditawar-menawar, maka para penganut agama yang berbeza haruslah mempunyai rasa hormat kepada agama lain.

Kalau dalam urusan peribadi pun, kita masih dapat menghormati peribadi orang lain, maka apatah lagi dalam isu agama.

Maka diharap kita akan terus mempertahankan kerukunan ini selama-lamanya sesuai dengan falsafah negara kita tentang konsep dan gagasan Satu Malaysia.

PENULIS ialah Pemegang Amanah Yayasan Satu Malaysia,
Penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim,
UKM.


Penghuni Gua : Amat baik penulisan rencana ini dan boleh menjadi renungan kita bersama. Fikirkanlah.

2 comments:

  1. Elok juga offer kat sapa2 yg berkenaan..
    Kalau rasa tak puas hati dgn perlembagaan negara boleh pi cari tanah lain kat mana2 tempat di bumi tuhan ni.. Selain Tanah Melayu ni!
    Nak stay? Ikut je , tok sah dok pandai-memandai.
    Itu tak cukup laa..ini tak kena laa..

    ReplyDelete
  2. Betul tu. Kita mesti saling hormat menghormati agama lain jugak. Tak payah memperlekehkan agama lain walaupun kita tak bersetuju dgn mereka. Tak perlu kita usung kepala lembu spt mana yg telah dibuat oleh org tak bertamdun seksyen 23 tu. Buat malu org Islam aje. Mcmlah org islam tak reti hidup berjiran.

    ReplyDelete

PETA PELAYAR