FOLLOWERS

Friday 18 December 2009

SISTEM KEADILAN JENAYAH : BIDANG KUASA MAHKAMAH SIVIL / SYARIAH !


[1993] 2 MLJ 338
Hajah Amin bte Kassim lwn Hj Abdul Rashid bin Abd Hamid
Case Details:

Malaysia MAHKAMAH TINGGI (SEREMBAN) — SAMAN PEMULA NO
24–345–1992

Judges FAIZA TAMBY CHIK H

Date 15 1993

Citation [1993] 2 MLJ 338


Catchwords:
Undang-Undang Keluarga — Perceraian — Perintah oleh mahkamah syariah — Permohonan kepada mahkamah sivil untuk menguatkuasakan perintah — Bantahan awal oleh defendan bahawa mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa — Perlembagaan Persekutuan Perkara 121(1A)

Undang-Undang Keluarga — Perceraian — Perintah oleh mahkamah syariah — Permohonan kepada mahkamah sivil untuk menguatkuasakan perintah — Sama ada mahkamah syariah berupaya menguatkuasakan perintah itu — Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991 (Enakmen No 1/91) s 41(2) — Kaedah-Kaedah Prosedur Mal Mahkamah Syariah 1992 (Negeri Sembilan) Aturan 21 — Kanun Tanah Negara 1965 s 417

Undang-Undang Keluarga — Perceraian — Permohonan ke mahkamah tinggi untuk deklarasi bahawa plaintif mempunyai hak terhadap hakmilik tanah — Sama ada diperlukan memandangkan mahkamah syariah mempunyai bidang kuasa kompetan

Facts:

Plaintiff memohon melalui saman pemula meminta Mahkamah Tinggi untuk menguatkuasakan empat perintah berhubung dengan kes perceraian yang telah diberikan oleh mahkamah syariah, iaitu: (i) nafkah eddah sebanyak RM300; (ii) penyerahan tanah berkenaan di mukim Labu; (iii) sewa rumah sebanyak RM450; dan (iv) mutaah sebanyak RM2,750.

Plaintif menyatakan bahawa mahkamah syariah tidak berupaya menguatkuasakan sepenuhnya perintah itu kerana kekurangan prosedur; kekurangan badan penguatkuasa; dan kuasa yang diberikan di bawah Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991 (Enakmen No 1/91) adalah terhad. Plaintiff, antara lain, meminta Mahkamah Tinggi untuk memutuskan persoalan bahawa plaintif berhak terhadap satu deklarasi bahawa beliau mempunyai hak ke atas hakmilik dan kepentingan di dalam tanah tersebut serta relif-relif ansilari yang telah diputuskan oleh mahkamah syariah.

Defendan dalam bantahan awalnya, antara lain, telah berhujah bahawa Perkara 121(lA) Perlembagaan Persekutuan menghalang pertelingkahan bidangkuasa di antara sivil dan syariah; Kanun Tanah Negara 1965 perlu diberi tafsiran yang baru dan Enakmen No 1/91 dan A 21 Kaedah-Kaedah Prosedur Mal Mahkamah Syariah 1992 (Negeri Sembilan) (‘Prosedur Mal 92’) memberi bidangkuasa kepada mahkamah itu untuk menguatkuasakan perintah yang dijatuhkan.


Holdings:
Diputuskan, menolak permohonan plaintif:

(1) Adalah jelas bahawa perintah-perintah yang telah diperolehi oleh plaintif daripada mahkamah syariah adalah menurut s 41(2)(b)(i), (ii) dan (iii) Enakmen No 1/91 dan perintah-perintah tersebut adalah diputuskan oleh mahkamah tersebut dengan sah disisi undang-undang. Aturan 21 k 1(1) Prosedur Mal 92 boleh digunakan untuk menguatkuasakan perintah-perintah (i), (iii) dan (iv) di atas. Tetapi A 21 k 2(1) tidak berguna kepada plaintif kerana k 2(1) itu tidak dapat digunakan untuk pemindahan hakmilik harta tak alih. Kaedah itu hanya suatu perintah pemilikan sahaja sementara plaintif memohon untuk didaftarkan sebagai pemilik berdaftar tanah tersebut.

(2) Oleh sebab plaintif tidak pernah memohon kepada mahkamah syariah untuk menguatkuasakan keempat-empat perintah tersebut, maka mahkamah berpendapat sudah kenalah pada tempatnya sekarang bagi plaintif memfailkan permohonan untuk menguatkuasakan keempat-empat perintah itu di bawah undang-undang yang ada sekarang termasuklah di bawah s 421A Kanun Tanah Negara 1965 untuk mendapatkan sejumlah wang RM3,500 dan pendaftaran hakmilik dan kepentingan tanah tersebut kepada beliau.

(3) Permohonan untuk deklarasi bahawa plaintif mempunyai hak terhadap hakmilik dan kepentingan mengenai tanah yang berkenaan itu tidak diperlukan kerana perintah penyerahan tanah tersebut kepada plaintif adalah suatu perintah yang dibuat oleh mahkamah yang mempunyai bidangkuasa kompeten dan adalah sah dan suatu hukuman mengikat ke atas pihak defendan.

(4) Mahkamah syariah berkenaan boleh mengarahkan defendan menyempurnakan pindahmilik tanah tersebut jika ada permohonan sedemikian dibuat oleh plaintif dan jikalau defendan ingkar mematuhi arahan itu, maka mahkamah syariah tersebut boleh menguatkuasakan penghakiman tersebut dengan suatu perintah pengkomitan di bawah A 21 k 4(1) Prosedur Mal 92. Mengenai wang sejumlah RM3,500 itu pula ianya boleh dikuatkuasakan menurut A 21 k 1(1) Prosedur Mal 92 itu.

(5) Sekiranya defendan gagal juga berbuat demikian mahkamah syariah bolehlah memerintahkan pendaftar atau pentadbiran tanah berkenaan melaksanakan perintah tersebut di bawah s 417(1) Kanun Tanah Negara 1965 sekiranya ada permohonan sedemikian dibuat oleh plaintif.

(6) Dengan itu, permohonan plaintif dibuang dengan kos kerana ia adalah suatu penyalahan proses mahkamah.

Judgment:
Faiza Tamby Chik H:

Section #1
Dalam kes ini si plaintif memohon melalui saman pemula meminta Mahkamah Tinggi ini menguatkuasakan empat perintah yang telah diberikan oleh mahkamah syariah Negeri Sembilan kerana dikatakan bahawa mahkamah syariah tersebut tidak berupaya untuk menguatkuasakan sepenuhnya empat perintah yang telah dijatuhkannya oleh sebab berikut:

(1) kekurangan prosedur;
(2) kekurangan badan penguatkuasa; dan
(3) kuasa yang terdapat di bawah Enakmen Pentadbiran Hukum Syarak (Negeri Sembilan) 1991 (Enakmen No 1/91) adalah terhad.

Empat perintah mahkamah syariah itu adalah seperti berikut:

(i) Nafkah edah sebanyak RM300.
(ii) Penyerahan tanah EMR 352 lot no 495 dan no 1929 mukim Labu, Seremban. (Kedua-dua perintah di atas telah diputuskan oleh mahkamah kadi daerah Jelebu pada 31 Oktober 1986).
(iii) Sewa rumah semasa edah sebanyak RM450.
(iv) Mutaah dengan perkiraan RM1 sehari sepanjang tempoh perkahwinan sehingga bercerai iaitu daripada 30 Mac 1979 sehingga 30 Oktober 1986 iaitu 2,750 hari sebanyak RM2,750.

Kedua-dua perintah di atas telah diputuskan oleh mahkamah kadi besar Negeri Sembilan pada 8 Februari 1991).

Mengenai perintah (1) dan (2) di atas mahkamah kadi besar Negeri Sembilan telah berkata, ‘Tentang nafkah edah dan tuntutan tanah lot 459 dan lot 1929 yang terletak di mukim Labu, Seremban, Negeri Sembilan, ianya telahpun dibicarakan dan diputuskan oleh mahkamah kadi daerah Jelebu, iaitu adalah menjadi hak yang menuntut (iaitu si plaintif dalam kes ini)’.

Melalui saman pemula bertarikh 8 Julai 1992 si plaintif telah memohon mahkamah ini memutuskan soalan-soalan yang berikut:

(a) Bahawa plaintif adalah berhak terhadap satu deklarasi di mana beliau mempunyai hak terhadap hakmilik dan kepentingan di dalam harta EMR 352 lot 495 dan 1929 mukim Labu dan lain-lain relief yang telah diputuskan di dalam perintah kadi Jelebu bertarikh 31 Oktober 1986 dan perintah mahkamah kadi besar Negeri Sembilan pada 8 Februari 1991.

(b) Relif-relif ansilari

(i) defendan hendaklah melaksanakan dan menyempurnakan pindahmilik dengan hakmilik yang berkenaan kepada plaintif dalam masa 14 hari di atas penyampaian perintah tersebut dan bayar wang sebanyak RM3,500;
(ii) sekiranya defendan gagal berbuat demikian suatu perintah penolong kanan pendaftar akan didapatkan untuk melaksanakan pindahmilik tersebut dan pemungut hasil tanah akan diarahkan untuk mendaftarkan yang tersebut;
(iii) kos tindakan ini; dan
(iv) lain-lain relif yang difikirkan munasabah oleh mahkamah yang mulia ini.

Si defendan pula dalam penghujahannya telah mengemukakan bantahan awalnya terhadap permohonan si plaintif itu dengan mengutarakan lima alasan dan alasan-alasan itu adalah seperti berikut:

(1) Perkara 121(lA) Perlembagaan Persekutuan menghalang pertelingkahan bidangkuasa di antara sivil dan syariah.
(2) Kekebalan ss 4, 23 dan 24 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 telah dinafikan oleh Mahkamah Agong.
(3) Seksyen 417(1) Kanun Tanah Negara 1965 (‘KTN’) perlu diberi tafsiran yang baru, mengambil kira Perkara 121(lA) Perlembagaan Persekutuan.
(4) Seksyen 41(2)(b)(i) dan (ii) Enakmen No 1/91 dan A 21 Kaedah-Kaedah Prosedur Mal Mahkamah Syariah 1992 (Negeri Sembilan) (‘Prosedur Mal 92’) memberi bidangkuasa kepada mahkamah syariah untuk menguatkuasakan perintah yang diberi.
(5) Menyekat peluang lompat-melompat daripada satu bidangkuasa kepada satu bidangkuasa yang lain.

Section #2

Peguambela yang bijaksana bagi pihak defendan telah bergantung sepenuhnya kepada kes Mohd Habibullah bin Mahmood v Faridah bte Dato’ Talib1.

Adalah benar bahawa melalui Perkara 121(lA) Perlembagaan Persekutuan adalah jelas bahawa Parlimen berniat memberikan bidangkuasa eksklusif kepada mahkamah syariah untuk menghakimi apa-apa perkara yang telah terletakhak dengan sah disisi undang-undang di dalam bidangkuasa mahkamah syariah. Dalam kes kita s 41(2)(b) Enakmen No 1/91 menyenaraikan di antara lain bidang kuasa Mal Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Sembilan seperti berikut:

(i) pertunangan, perkahwinan, penceraian, pembatalan perkahwinan (fasakh) atau perpisahan (faraq);
(ii) sebarang pelupusan atau tuntutan kepada harta yang wujud daripada perkara-perkara yang disebut dalam sub-perenggan (1);

(iv) pembahagian atau tuntutan kepada harta sepencarian;

(ix) perkara-perkara lain yang berkenaan di mana bidangkuasa diberi oleh mana-mana undang-undang bertulis.

Adalah jelas bahawa perintah-perintah yang telah diperolehi oleh si plaintif daripada mahkamah kadi daerah Jelebu (lihat eks ADl) adalah menurut s 41(2)(b) (i), (ii) dan (iii) Enakmen No 1/91 sementara perintah-perintah yang telah diperolehinya daripada mahkamah kadi besar Negeri Sembilan (lihat eks AD3) adalah menurut s 41(2)(b)(i) dan (ii) Enakmen No 1/91 dan perintah-perintah tersebut adalah diputuskan oleh kedua-dua mahkamah tersebut dengan sah disisi undang-undang.

Akan tetapi sehingga hari ini si plaintif belum lagi mendapat apa-apa hasil daripada perintah-perintah tersebut. Si plaintif mendakwa bahawa ini berlaku oleh kerana mahkamah-mahkamah syariah tersebut tidak berupaya menguatkuasakan perintah-perintah tersebut. Sementara si defendan menghujahkan sebaliknya iaitu mahkamah-mahkamah syariah itu berupaya menguatkuasakan perintah-perintah itu.

Dapat diperhatikan dalam hal ini saya mendapati bahawa selain daripada Borang 14A KTN yang diketengahkan sebagai keterangan tidak ada sebarang keterangan lain di sini yang menunjukkan si plaintif pernah membuat apa-apa permohonan untuk menguatkuasakan perintah-perintah tersebut. Si defendan menghujahkan bahawa melalui s 41(2)(b)(i) dan (ii) Enakmen No 1/91 dan A 21 Prosedur Mal 92 si plaintif boleh menguatkuasakan perintah-perintah tersebut. Aturan 21 Prosedur Mal 92 di antara lain berbunyi:

1(1) Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan kaedah-kaedah ini sesuatu penghakiman atau perintah bagi pembayaran wang … bolehlah dikuatkuasakan melalui satu atau lebih daripada cara-cara yang berikut iaitu:

(a) perintah penyitaan dan penjualan dalam Borang 24;
(b) prosiding garnishmen;
(c) dalam hal di mana kaedah 4 (iaitu seseorang mengingkari sesuatu penghakiman …) suatu perintah pengkomitan;
(d) tertakluk kepada peruntukan mana-mana undang-undang bertulis yang sedang berkuatkuasa, penahanan pendapatan.

Jadinya adalah jelas di atas bahawa A 21 k 1(1) Prosedur Mal 92 boleh digunakan untuk menguatkuasakan perintah-perintah (i), (iii) dan (iv) di atas oleh pihak plaintif.

Section #3
Aturan 21 k 2(1) Prosedur Mal 92 berbunyi:

Tertakluk kepada peruntukan-peruntukan kaedah-kaedah ini, sesuatu penghakiman atau perintah bagi pemberian pemilik harta tak alih bolehlah dikuatkuasakan melalui satu atau lebih daripada cara-cara yang berikut, iaitu:

(a) perintah pemilikan dalam Borang 25;
(b) dalam hal di mana kaedah 4 terpakai (iaitu seseorang mengingkari sesuatu penghakiman …) suatu perintah pengkomitan.

Adalah jelas di atas bahawa A 21 k 2(1) tersebut tidak berguna kepada si plaintif dalam kes ini oleh kerana k 2(1) itu tidak dapat digunakan untuk pemindahan hakmilik harta tak alih. Kaedah itu hanya suatu perintah pemilikan sahaja sementara si plaintif memohon untuk didaftarkan sebagai pemilik berdaftar tanah tersebut.

Peguambela yang bijaksana bagi pihak defendan telah menghujahkan bahawa s 417(1) KTN perlulah diberi tafsiran yang baru dengan ertikata mahkamah atau hakim dalam seksyen tersebut bermakna mahkamah sibil dan mahkamah syariah, memandangkan bahawa s 41(2)(b) Enakmen No 1/91 dan A 21 kk 1 dan 2 Prosedur Mal 92 dibuat di bawah Perkara 121(lA) Perlembagaan Persekutuan.

Seksyen 417(1) KTN berbunyi: ‘Mahkamah atau Hakim boleh dengan perintah mengarahkan Pendaftar atau mana-mana Pentadbir Tanah untuk melakukan segala apa benda sepertimana yang perlu untuk memberi kuatkuasa kepada apa-apa hukuman atau perintah yang diberi atau dibuat dalam mana-mana pembicaraan berkaitan dengan mana-mana tanah, dan ia hendaklah merupakan kewajipan Pendaftar atau Pentadbir Tanah untuk mematuhi perintah itu selepas itu.’ Akta Kanun Tanah Negara (Pindaan) 1992 (Akta A832) telah meminda KTN dengan memasukkan selepas sahaja s 421, seksyen baru 421A yang berbunyi, ‘For the purposes of sections 417 and 420 “court” includes a Syariah Court’. Dapat diperhatikan bahawa Akta A832 tersebut telah mendapat persetujuan diraja pada 9 Julai 1992 dan diterbitkan dalam Warta pada 16 Julai 1992 dan s 1(2) berbunyi:

This Act shall come into force in each State upon such date as the Minister may, with the approval of the National Land Council, appoint in relation to that State by notification in the Gazette of the Federation, and the Minister may, with the approval of the National Land Council, appoint different dates in respect of different provisions of this Act in relation to that State.

Saya telah difahamkan oleh penasihat undang-undang negeri, Negeri Sembilan bahawa di Negeri Sembilan s 421A KTN tersebut telah berkuatkuasa mulai daripada tarikh 1 Januari 1993.

Section #4
Perintah mahkamah kadi Jelebu dibuat pada 31 Oktober 1986 dan perintah mahkamah kadi besar Negeri Sembilan dibuat pada 8 Februari 1991. Oleh hal yang demikian, s 421A KTN tidak terpakai semasa pendengaran kes-kes itu berjalan kerana ianya tidak mempunyai kesan kuatkuasa kebelakangan. Walau bagaimanapun, mengikut keterangan yang ada di hadapan saya oleh sebab tiada pernah permohonan untuk menguatkuasakan keempat-empat perintah tersebut di atas dibuat oleh si plaintif kepada mahkamah syariah berkenaan di bawah undang-undang yang ada pada masa itu, maka saya berpendapat sudah kenalah pada tempatnya sekarang si plaintif memfailkan permohonan untuk menguatkuasakan keempat-empat perintah itu di bawah undang-undang yang ada sekarang termasuklah di bawah s 421A KTN untuk mendapatkan sejumlah wang RM3,500 dan pendaftaran hakmilik dan kepentingan tanah tersebut kepada beliau dan dengan berbuat sedemikian akan dapat menyekat pihak-pihak dalam sesuatu tindakan yang serupa itu daripada peluang menyalahgunakan proses mahkamah dengan melompat daripada satu bidang kuasa kepada satu bidang kuasa yang lain mengenai perkara yang sama seperti kata Mohamed Azmi HMA dalam kes Mohamed Habibullah bin Mahmood v Faridah bte Dato’ Talib1 di ms 807:

Applying the above principle, it is difficult to imagine how the administration of justice can be served if the parties are allowed to abuse the process of the court by hopping from one jurisdiction to another over the same subject matter.

Harun Hashim HMA dalam kes yang sama di ms 804 telah berkata:

What art 121(lA) has done is to grant exclusive jurisdiction to the syariah court in the administration of such Islamic laws. In other words art 121(lA) is a provision to prevent conflicting jurisdiction between civil cases and the syariah courts.

Dalam kes ini si plaintif telah mendapat perintah-perintah tersebut melalui mahkamah syariah dan mahkamah syariah tersebut telahpun dibekalhakkan dengan kuasa sepatutnya untuk menguatkuasakan perintah-perintah yang dijatuhkannya.

Oleh hal yang demikian, adalah jelas bahawa mulai daripada 1 Januari 1993 s 417 KTN memberi kuasa kepada mahkamah syariah di Negeri Sembilan untuk mengarah melalui perintahnya pendaftar atau pentadbir tanah di negeri itu supaya melaksanakan segala perkara yang diperlukan bagi memberi kesan kepada perintahnya iaitu dalam kes ini untuk memerintahkan pendaftar atau pentadbir tanah berkenaan supaya mendaftarkan nama plaintif dalam hakmilik dan kepentingan harta tanah EMR 352 lot 459 dan lot 1929 mukim Labu, Seremban.

Berkaitan dengan permohonan 2si plaintif melalui saman pemulanya yang bertarikh 8 Julai 1992 saya memutuskan seperti berikut:

(a) Permohonan untuk deklarasi bahawa si plaintif mempunyai hak terhadap hakmilik dan kepentingan mengenai tanah EMR 352 lot 495 dan lot 1929 mukim Labu, Seremban itu tidak diperlukan (‘redundant’), kerana perintah penyerahan tanah tersebut kepada plaintif yang dibuat oleh mahkamah kadi daerah Jelebu pada 31 Oktober 1986 adalah suatu perintah yang dibuat oleh mahkamah yang mempunyai bidang kuasa kompeten dan adalah sah dan suatu hukuman mengikat (‘binding judgment’) ke atas pihak defendan.

(b) (i) Mahkamah syariah berkenaan boleh mengarahkan defendan menyempurnakan pindahmilik tanah tersebut jika ada permohonan sedemikian dibuat oleh si plaintif (dalam kes ini tiada permohonan sedemikian dibuat oleh si plaintif) dan jikalau si defendan ingkar mematuhi arahan itu, maka mahkamah syariah tersebut boleh menguatkuasakan penghakiman tersebut dengan suatu perintah pengkomitan di bawah A 21 k 4(1) Prosedur Mal 92. Mengenai wang sejumlah RM3,500 itu pula ianya boleh dikuatkuasakan menurut A 21 k 1(1) Prosedur Mal 92.

(b) (ii) Sekiranya defendan gagal juga berbuat sedemikian maka mahkamah syariah bolehlah memerintahkan pendaftar atau pentadbir tanah berkenaan melaksanakan perintah tersebut di bawah s 417(1) KTN sekiranya ada permohonan sedemikian dibuat oleh si plaintif (dalam kes ini tiada permohonan sedemikian dibuat oleh si plaintif).

Section #5

Di atas alasan-alasan di atas permohonan plaintif dibuang dengan kos menurut A18 k 19(1)(d) Kaedah-Kaedah Mahkamah Tinggi 1980 kerana ia selainnya adalah suatu penyalahan peroses mahkamah.

Permohonan ditolak.

Penghuni Gua : Semuga paparan ini memberi menafaat kepada semua pembaca dan pelajar. Tq

2 comments:

  1. Maknanya Perkara 121-1A Perlembagaan Persekutuan itu tidak sempurna sehingga enakmen enakmen hukum syarak di negeri negeri dan undang2 lain yang berkaitan ikut disemak. Betul gitu ke PG.

    ReplyDelete
  2. dah sama taraf,. ini kes 2002. kes ini pun mahkamah sivil tidak mahu mengganggu keputusan dan perlakasaan hukuman dan perintah mahkamah syariah. sebab itu permohinan perayu ditolak dan meminta ia diurujuk ke syariah court.

    ReplyDelete

PETA PELAYAR